02 Mei 2013

Pengundi Cina sambut baik Pas

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Pengundi Cina sambut baik Pas

Kaum Cina mengikuti ceramah Pas di pos Pas khusus untuk kaum tersebut di bandar Pasir Puteh, malam kelmarin.
PASIR PUTEH - Sambutan pengundi Cina di sini kepada calon Pas memberangsangkan, sekali gus memberi petanda baik dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) khususnya Unit Peti Undi Bandar.

Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Pasir Puteh, Zainuddin Awang Hamat berkata, pos Pas yang digerakkan kaum Cina di bandar ini membuktikan penerimaan golongan itu kepada Pas tidak pernah terjejas.

Beliau berkata, dalam ceramah kelompok diadakan di pos itu malam kelmarin, lebih 300 penduduk Cina keluar bagi menyatakan sokongan.

“Daripada maklum balas diterima, mereka yakin dengan calon Pas khususnya membabitkan kawasan mereka iaitu calon Dun Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Haabullah dan Parlimen, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamed.

“Sokongan ini memberi kekuatan kepada kita untuk menempuh pelbagai bentuk cabaran menjelang 5 Mei, saya berharap Pas dapat mengekalkan kecemerlangan dengan memenangi semua kerusi di daerah ini,” katanya.

Zainuddin berkata, Mohd Nazlan merupakan calon bercirikan ulama yang disukai penduduk dan sesuai dengan konsep perjuangan Pas.

Mohd Nazlan katanya, berkelulusan Kusza, Kuala Terengganu dan Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum ini menjadi pengetua sekolah agama selain Ketua Pemuda Pas Pasir Puteh dan Exco Pemuda Pas Kelantan.

Sementara itu, Nik Mazian pula katanya, memiliki keistimewaan tersendiri kerana berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dan Kampus Perubahan UKM (Sarjana Surgeri).

Katanya, Nik Mazian pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubahan Hospital Raja Perempuan Zainab II dari tahun 1985 hingga 1989 dan pakar pembedahan di hospital sama dari 1994 hingga 2000.

Selain itu katanya, Nik Mazian merupakan bekas Adun Gaal dan pernah dilantik sebagai Exco dan timbalan kerajaan Kelantan.

Sinar/-

Tiada ulasan: