Dalam Islam memilih atau melantik pemimpin adalah penting,
malah menurut Rasulullah SAW apabila tiga orang keluar musafir hendaklah
dilantik seorang dalam kalangan mereka sebagai ketua. Jadi, berdasarkan hadis itu
tentu lebih wajar dalam masyarakat kampung, daerah, negeri dan negara dilantik
seorang pemimpin dalam kalangan mereka.
Walau bagaimanapun orang yang berhak melantik pemimpin di
negara ini bukan berada dalam tangan rakyat tetapi hak Yang Dipertuan Agung dan
Sultan negeri-negeri berdasarkan ketokohan mana-mana wakil rakyat yang mewakili
parti terbesar. Biasanya pemimpin itu dicadangkan oleh parti yang memang dalam
pilihan raya berdasarkan kelayakan tertentu dan pada masa yang sama dia boleh
diterima oleh semua pihak.
Manakala wakil rakyat pula mereka dipilih oleh rakyat pada
pilihan raya umum yang dilakukan lima tahun sekali. Dalam pilihan raya tersebut,
rakyat diberi kuasa mutlak untuk memilih wakil mereka berdasarkan kemampuan mereka
menjalankan tugas, amanah, dan bijaksana. Biasanya pemilihan rakyat mengikut
parti yang membawa dasar yang baik.
Berdasarkan itu semua pemimpin adalah wakil rakyat tetapi
tidak semua wakil rakyat itu pemimpin. Inilah yang sesetengah rakyat kita terkeliru.
Mereka mengganggap wakil rakyat itu adalah pemimpin mereka lalu dalam banyak
mereka merujuk kepada wakil rakyat itu. Salah faham inilah yang menjadikan
mereka sering menyalahkan wakil rakyat dalam soal kepimpinan.
Pilih pemimpin
Sebenarnya siapapun kita, adalah wajib
memilih pemimpin yang statusnya Islam berdasarkan firman
Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu jadikan orang-orang kafir itu menjadi pemimpin
kamu, padahal mereka bukan dari kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu
mencari satu alasan yang nyata bagi tujuan Allah untuk menyiksamu?" ( Surah An-Nisa', Ayat 144)
Walau bagaimanapun
dalam konteks Malaysia, rakyat tidak bertanggungjawab untuk melantik pemimpin
negara atau negeri. Jadi, rakyat tidak boleh dipersalahkan kalau pemimpin itu
tidak menepati kehendak Islam. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pemimpin negara
akan dipilih oleh Sultan atau Yang diPertuan Agung dalam kalangan orang bukan
Islam. Namun jika pemimpin itu dilantik dalam kalangan orang bukan Islam, rakyat
tidak akan dipertanggungjawabkan lagi.
Cuma sebagai rakyat kita sangat mengharapkan
pilihan atau perlantikan pemimpin ini menepati syarat yang ditetapkan oleh
Islam iaitu qawi, amin, hafiz dan alim. Percayalah jika pemimpin sesebuah
negara atau negeri itu dipilih atas dasar di atas sudah pasti kerajaan yang
dipimpin oleh mereka itu akan maju, aman dan disegani oleh musuh.
Wakil rakyat bukan pemimpin
Menyentuh soal syarat atau ciri-ciri pemimpin, sebenarnya rakyatlah
yang sewajarnya meneliti dan memastikan mereka sebelum pilihan raya. Dan melului
pemilihan wakil rakyat dalam pilihan raya umum itu nanti, akan dilantik sebahagiannya
untuk menjadi pemimpin negara.
Oleh sebab itu mengundi tidak boleh dibuat sambil lewa
sahaja. Maka rakyat perlu serius dalam menentukan wakil rakyat itu memenuhi ciri-ciri
yang melayakkan mereka menjadi pemimpin. Pastikan wakil rakyat pilihan kita itu
qawi iaitu kuat fizikal dan mentalnya. Maknanya mereka itu mestilah sihat dan
mampu menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pastikan juga mereka itu amin ialah amanah dan
bertanggungjawab terhadap bebanan yang diberikan kepadanya. Selain itu mereka
juga hendaklah terdiri daripada orang yang hafiz iaitu berkemampuan dan
berkemahiran dalam menjaga khazanah negara. Mereka amanah terhadap wang negara
pada cara perbelanjaan agar tidak boros atau kedekut. Mereka juga alim iaitu
berpengetahuan tinggi dalam ilmu pentadbiran dan pengurusan selain soal-soal
agama.
Jelas di sini mana-mana wakil rakyat yang tidak dilantik
sebagai pemimpin negara, mereka kekal sebagai wakil rakyat. Mereka bukan
pemimpin tetapi wakil kepada rakyat yang mereka ini akan bercakap di dewan
rakyat dan DUN bagi pihak rakyat. Maknanya mereka akan membela rakyat dan
memperjuangkan hak rakyat setiap kali berada dalam dewan.
Oleh sebab itu wakil rakyat bukan pemimpin kepada rakyat sebaliknya
qadam atau pembantu kepada rakyat. Atas status itu wakil rakyat tidak
sepatutnya melupakan rakyat selepas mereka memang dalam pilihan raya. Malah mereka
sepatutnya selalu berjumpa dengan rakyat atau menyediakan jadual untuk memberi
ruang kepada rakyat untuk bertemu dengan mereka.
Wakil rakyat seharusnya memberi perhatian kepada rakyat baik
meskin mahupun kaya. Mereka hendaklah berusaha memberi bantuan jika diperlukan
rakyat. Namun perlu diingat, peranan wakil rakyat bukan untuk membantu kewangan
rakyat, tetapi berusaha mendapatkan wang untuk mereka melalui saluran kerajaan.
Jadi, berdasarkan peranan wakil rakyat ini, tidak salahlah
mereka itu dipilih dalam kalangan orang bukan Islam. Hal ini kerana mereka
bukan pemimpin rakyat tetapi hanya wakil rakyat sahaja. Jadi, wakil rakyat
tidak tertakluk kepada larangan ayat di atas. Kalau begitu tidak timbullah isu
orang Islam tidak boleh memilih orang bukan Islam sebagai wakil rakyat.
Pilih berdasarkan parti
Selain memilih wakil rakyat berdasarkan ciri-ciri di atas, kita
harus juga melihat kepada parti yang diwakilinya. Pastikan parti yang disertainya
itu mempunyai dasar yang jelas untuk keamanan, keadilan, kebajikan rakyat,
kemakuran negara dan rakyat dan yang paling penting meletakkan Islam tinggi
sebagai penyelesaian masalah rakyat dan negara.
Berdasarkan itu jika wakil rakyat itu kurang lengkap ciri-ciri
di atas maka bolehlah dilengkapkan dengan dasar dan perjuangan parti. Dengan kaedah
ini, mereka yang terpilih akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat berdasarkan
dasar parti tersebut.
Semoga tarikh 5 Mei 2013 ini semua rakyat boleh turun dan
keluar untuk mengundi. Walaupun kerajaan dalam hal ini tidak mewajibkan mengundi,
sedarkan bahawa Islam mewajibkan mengundi bagi memilih kerajaan yang berwibawa
di bawah pemimpin yang hebat dan wakil rakyat yang beramanah. Selamat mengundi.
Ahmad Baei Jaafar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan