21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Poster yang dibuat oleh Gamis Pahang yang mendakwa kerajaan Pahang membisu
KUANTAN: Sebanyak lapan NGO dari gerakan masyarakat dan belia negeri Pahang semalam telah mengadakan satu sidang media mengisytiharkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk pilihanraya umum ke 13.
Sokongan itu dibuat dalam bentuk Deklarasi Anak Muda Pahang yang bertemakan “Tumbangkan Barisan Nasional (BN), Bersama Pakatan Rakyat (PR) Menerajui Wisma Pahang”. Mereka menyifatkan kerajaan Pahang membisu ke atas segala dakwaan rakyat dan diam ini bermakna ya bagi mereka.
Sidang media ini yang diadakan di bandar Kuantan turut mendapat liputan wartawan dari Astro Awani, Sinar Harian, Nanyang and Sin Chew.
Kesemua NGO bersepakat menyeru seluruh rakyat negeri Pahang khususnya anak muda untuk bersama dengan kebangkitan rakyat Malaysia yang bertekad untuk menumbangkan BN dalam PRU13.
Antara isi deklarasi yang dibentangkan menyatakan bahawa BN gagal mengurus ekonomi negara sehingga membebankan rakyat dengan hutang negara, yang mana kini nilai hutang melebihi RM500 bilion.
Deklarasi itu turut menyelar BN atas kegagalan mereka memupuk suasana demokrasi yang baik dan adil antaranya dengan memanipulasikan media untuk survival politik sendiri.
“Isu Lynas di Gebeng dan Cyanide di Raub turut menggambarkan kerajaan negeri Pahang yang dipimpin BN mementingkan keuntungan semata tanpa mengambil cakna terhadap keselamatan rakyat dan alam sekitar. Deklarasi juga menyeru generasi kedua dan ketiga Felda yang menjadi harapan rakyat untuk sama-sama melakukan perubahan dalam PRU-13,” kata pengerusi Gamis Ahmad Fatihi Makhtar kepada Harakahdaily.
Selain itu, deklarasi itu turut menegaskan harapan mewakili seluruh rakyat Malaysia agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menggalas amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang ingin melihat proses demokrasi pilihanraya di Malaysia berlaku dengan penuh adil dan saksama.
“Harapan adalah agar SPR yang benar-benar menjunjung prinsip sebuah badan yang bebas dan berintegriti tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan,” tegas Fatihi lagi.
Rakyat negeri Pahang khususnya anak muda, kata Fatihi, akan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk memimpin Malaysia dan menerajui Wisma Pahang selepas PRU-13.
Katanya, deklarasi ini dipersetujui bersama oleh 8 NGO dari gerakan masyarakat dan belia iaitu:
1) Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang),
2) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM Pahang),
3) Jingga 13 Pahang
4) Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK),
5) Save Malaysia Stop Lynas (SMSL),
6) Sekretariat Anak-anak Pahang Perantauan (Perantau),
7) Sinergi Gerakan Mahasiswi Pahang (SIGMA Pahang) dan
8) Hal Ehwal Wanita Remaja PAS Pahang (HALWA Pahang).
Selain sidang media, kumpulan NGO ini turut mengadakan silent flashmob di beberapa persimpangan utama bandar Kuantan.
Mereka menaikkan plakad tertera manifesto Pakatan Rakyat dan slogan menuntut perubahan termasuk seruan “bunyikan hon jika anda sokong PR”.
Gimik mereka menerima sambutan hangat daripada pemandu-pemandu kenderaan di tengah kesibukan bandar tanda reaksi sokongan kepada mereka.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan