21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
ALOR PONGSU - Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis dan diseret sebuah treler bersama motosikal yang dinaikinya sejauh hampir 100 meter dari lokasi kejadian di Simpang Lima di sini, petang kelmarin.
Mangsa, M Sharendran, 22, dari Ladang Jin Seng, Bagan Serai, ditemui mati di tempat kejadian dengan keadaan tangannya terputus dan sebahagian tubuhnya hancur setelah digilis tayar belakang sebuah treler yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Kurau.
Saksi kejadian dikenali Saiful Mu’azam, 21, berkata, dalam kejadian 5.40 petang itu, dia sedang mengekori motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki mangsa sebelum terkejut apabila motosikal mangsa bergesel dengan bahagian belakang treler dan seterusnya terjatuh.
“Saya tergamam melihat mangsa jatuh betul-betul di bawah tayar belakang lori itu dan seterusnya digilis dan diseret sejauh 100 meter dari lokasi kejadian bertentangan Balai Polis Simpang Lima, di sini.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan kemalangan menyayat hati sebegini dan kesan geseran tayar dan darah dapat dilihat sepanjang seratus meter dari lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.
Saiful Mu’azam turut menegaskan kejadian kemalangan itu menyebabkan laluan jalan raya dari arah Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau mengalami kesesakan selama hampir satu jam.
Tambahnya, lalu lintas pada waktu itu agak sibuk kerana kebanyakan penduduk pulang dari tempat kerja ditambah dengan cuaca hujan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan