02 Mei 2013

Norman Fernandez tarik balik kenyataan

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez hari ini mengumumkan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menggesa pengundi tidak mengundi PAS.

Beliau menjelaskan, kenyataan tersebut yang dibuatnya sebelum ini atas kapasiti peribadi kerana salah fahamnya mengenai hudud.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media bersama Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat di Taman Maju Jaya Johor Bharu tengah hari tadi.

Pada sidang media sama, beliau sebaliknya kini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap PAS selaku parti dalam Pakatan Rakyat yang bertanding pada PRU13 ini. 

Katanya, pendirian bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng mengenai hudud adalah jelas. 

Tambahnya, meskipun ia dasar perjuangan PAS, namun dalam konteks perkongsian kuasa, sebarang dasar-dasar Kerajaan mesti diputuskan bersama.

Katanya, Apabila PAS bersama dalam tahaluf siasi dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat, persefahaman dan permuafakatan antara satu sama lain adalah tersangat penting. 

Deklarasi bersama dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang ditandatangani ketiga-tiga pemimpin utama parti dengan jelas mempertahankan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, hak istimewa orang melayu terpelihara, kedudukan Raja-raja melayu yang tetap dimartabatkan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

"Sekaligus ia suatu jaminan bahawa kebersamaan PAS dalam Pakatan Rakyat tetap menjamin kepentingan Melayu dan Islam,"katanya.

Dalam konteks negeri Johor, katanya, hubungan PAS bersama DAP sangat baik khsusnya kebersamaan dalam isu-isu rakyat, memerangi rasuah dan penyelewengan. 

Dengan erti kata lain,  jelasnya, jika mandat rakyat diperolehi dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Johor, setiap dasar kerajaan dibincang dan diputus bersama melalui mesyuarat exco kerajaan negeri; proses perkenan Baginda Sultan Johor, agar keutuhan Kerajaan berlangsung secara kolektif. 

"Negara ini bukan milik satu kaum sahaja. Ia hak 28 juta rakyat Malaysia. Setiap rakyat dijamin kebebasan beragama dan tiada diskriminasi kaum buat mereka.

"Tuduhan yang mengatakan PAS menggadai prinsip perjuangan Islam, Melayu akan hilang kuasa dan PAS hanya alat DAP adalah palsu dan tidak berasas sama sekali," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: