30 Mei 2013

Kesal tanah pusaka ‘diceroboh’

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

ROMPIN – Seorang warga emas kecewa apabila tanah pusaka miliknya dibangunkan jalan tar, saluran paip dan tiang elektrik tanpa sebarang permohonan dari pihak yang berkenaan.

Peneroka, Osman Ali, 64, berkata, pembangunan tanpa kebenaran itu dilakukan sejak arwah ayahnya masih hidup iaitu pemilik asal tanah tersebut tetapi ketika itu dia tidak membuat sebarang tuntutan kerana tanah masih belum ditukar hak milik kepada namanya.

“Saya sedih dan kecewa kerana tanah yang sah-sah milik saya dibangunkan tanpa sebarang permohonan kebenaran atau makluman.

“Sudah tiga tahun saya menunggu, tetapi sampai sekarang masih tiada maklum balas positif dari kerajaan negeri mengenai tuntutan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau yang berasal dari Keratong 9 juga hampa dengan ramai peguam apabila sejak 2004, tiada yang berani untuk mewakilinya untuk melakukan tuntutan tersebut.

“Sejak geran ditukar nama pada 2004, saya cari peguam di merata tempat tetapi semuanya tak berani kerana kata mereka ini kes melawan kerajaan. Nasib baik jumpa dengan peguam ini yang berani mewakili saya,” katanya.

Peguam, Mohd Fadzli Mohd Ramly, 35, berkata, hak anak guamnya adalah dijamin undang-undang tanah negara.

“Kes anak guam saya ini ialah pembangunan yang dijalankan di atas tanahnya tanpa persetujuan dan bayaran pampasan sebagai mana yang dinyatakan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Dalam akta tersebut menyatakan mana-mana tanah yang diambil bagi tujuan pembangunan, ia mesti dibayar pampasan,” katanya.

Menurutnya, Osman tidak pernah mendapat dokumen atau permohonan dari kerajaan negeri dan cukai tanah dibayar setiap tahun tanpa gagal.

“Saya yang mewakili anak guam menghantar notis tuntutan kepada Pentadbir Tanah daerah Rompin bagi pihak kerajaan negeri menuntut supaya satu ganti rugi diberikan dan tuntutan bayaran sewa penggunaan tanah beliau.

“Pernah dipanggil beberapa kali oleh Pentadbir Tanah dan yang terakhir pada Julai 2011, namun hingga kini senyap. Oleh demikian, satu penjelasan dari kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Rompin tentang status masalah ini mesti diberikan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hak menuntut ganti rugi adalah dijamin Perlembagaan Malaysia dan sedang mempertimbangkan untuk membawa kes ini ke Biro Pengaduan Awam sebelum memfailkan kes di mahkamah.

sinar/-

Negara Paling Selamat: Anak Menteri Kena Ragut: Rugi RM8,000

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

Anak seorang menteri Kabinet kerugian lebih RM8,000 apabila diragut dua lelaki di kawasan sebuah pasar raya di Ampang, Selasa.

Mangsa, merupakan seorang guru wanita berumur 26 tahun, turut cedera ringan di bahagian lutut kanan akibat kejadian ragut pada kira-kira 11.50 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata wanita itu diragut ketika meletak barang dalam but kereta jenis Suzuki Swift.

"Suspek menaiki kenderaan jenis Proton Satria, meragut beg tangan mangsa dan melarikan diri bersama barangan berharga mangsa iaitu Ipad, Iphone dan wang tunai RM5,000," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, Khamis.

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan berkata polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an berkaitan kes pembunuhan seorang rakyat Amerika Syarikat dalam operasi sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

"Ketujuh-tujuh suspek merupakan warga asing dan ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 4 Mei lepas, mayat David James Ginter, 62, ditemui di sebuah rumah di Taman Sri Ukay di sini oleh jiran dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat ke belakang serta lehernya dijerut dengan tali kabel pengecas telefon. — Bernama

Mangsa karam kongsi cerita

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

BELAGA – Seorang lelaki bukan sahaja trauma, malah terkilan apabila gagal menyelamatkan isterinya yang sedang mengandung lima bulan apabila Bot Ekspres Bakun Mas yang mereka naiki karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan kelmarin.

Mengimbau semula kejadian itu, John Soon, 39, memberitahu, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Roslin Jati, 34, dan anak lelakinya, Jacky Soon, 5, dalam perjalanan pulang dari kem pembalakan Sin Yang, Lakin B, Bakun ke kampungnya di Nangat Merit, Kapit bagi menyambut Hari Gawai, Sabtu ini.

Katanya, mereka duduk bersama di dalam bot yang berlepas pada pukul 7 pagi dari Jeti Bakun sebelum singgah di Jeti Belaga kira-kira sejam kemudian.

“Ketika sedang dalam perjalanan, tiba-tiba enjin bot tersebut senyap dan kenderaan itu seolah-olah terumbang-ambing sebelum saya terdengar bunyi seperti sesuatu berlanggar.

“Semasa bot ekspres itu mulai tenggelam sedikit demi sedikit, saya pegang tangan anak dan isteri untuk bawa mereka keluar, tetapi ketika keluar melalui pintu depan bot, saya terlepas tangan isteri saya yang saya agak tenggelam bersama bot,” ceritanya ketika ditemui berhampiran Rumah Panjang Uma Tevok dekat sini semalam.

sinar/-

Dihempap besi terlerai

Foto
18 Rejab 1434 H. [MOD] -


Petaling Jaya: Seorang lelaki maut manakala majikannya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah besi kerangka kren yang terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian di susur keluar Jalan Lapangan Terbang Subang menghala Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa Kelvin Kumar, 26; maut di tempat kejadian manakala majikannya, Anisa Abd Rahman, 43, cedera parah selepas besi berkenaan jatuh di atas kereta Peugeot 3008 dipandu wanita terbabit.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus pihaknya percaya kejadian berlaku akibat besi berkenaan tidak diikat dengan kuat sehingga mengakibatkannya terjatuh sebelum menghempap kenderaan mangsa.

“Mangsa lelaki yang bekerja di restoran wanita terbabit sebagai tukang masak duduk di bahagian penumpang depan ketika kejadian dan mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

KEADAAN kereta yang remuk selepas ditimpa besi kerangka kren. Gambar kecil, anggota trafik memeriksa kereta mangsa yang remuk, semalam.

“Manakala wanita terbabit dihantar ke pusat perubatan swasta berdekatan untuk rawatan,” katanya.

sinar/-

Dihempap besi terlerai

Foto
18 Rejab 1434 H. [MOD] -


Petaling Jaya: Seorang lelaki maut manakala majikannya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah besi kerangka kren yang terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian di susur keluar Jalan Lapangan Terbang Subang menghala Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa Kelvin Kumar, 26; maut di tempat kejadian manakala majikannya, Anisa Abd Rahman, 43, cedera parah selepas besi berkenaan jatuh di atas kereta Peugeot 3008 dipandu wanita terbabit.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus pihaknya percaya kejadian berlaku akibat besi berkenaan tidak diikat dengan kuat sehingga mengakibatkannya terjatuh sebelum menghempap kenderaan mangsa.

“Mangsa lelaki yang bekerja di restoran wanita terbabit sebagai tukang masak duduk di bahagian penumpang depan ketika kejadian dan mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

“Manakala wanita terbabit dihantar ke pusat perubatan swasta berdekatan untuk rawatan,” katanya.

sinar/-

Masjid dibakar di Myanmar


18 Rejab 1434 H. [MOD] -



SEBUAH masjid yang dibakar di Lashio semalam - AP


YANGON - Keganasan agama merebak ke kawasan baharu di Myanmar dengan sekumpulan penduduk membakar sebuah masjid dan rumah anak yatim penganut Islam di sebuah bandar di timur laut negara berkenaan, kata pihak berkuasa semalam.
Keganasan tersebut berlaku selepas khabar angin tersebar bahawa seorang lelaki Islam membakar seorang penganut Buddha wanita.
Media tempatan melaporkan, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kekacauan tersebut pada petang kelmarin di bandar Lashio, dekat sempadan China.
Setakat ini, jumlah kemusnahan dan angka kecederaan akibat keganasan tersebut juga tidak dipastikan.
Keganasan berdarah antara orang Islam dan penganut Buddha bermula sejak tahun lalu di barat Myanmar sebelum merebak ke beberapa buah bandar di tengah negara itu.
Insiden terbaharu itu meningkatkan kesangsian sama ada pentadbiran Presiden Thein Sein berupaya bertindak untuk mengekang keganasan di Myanmar.
"Merosakkan bangunan agama dan mencetuskan kekacauan agama adalah tidak wajar untuk masyarakat demokratik yang ingin kita pupuk," kata jurucakap Presiden, Ye Htut di laman Facebooknya.
"Sebarang perbuatan jenayah akan ditangani berlandaskan undang-undang negara," tambah kenyataan tersebut.
Stesen televisyen negara ini melaporkan tangkapan awal dibuat melibatkan lelaki berusia 48 tahun yang didakwa membakar seorang wanita beragama Buddha.
Menurut laporan tersebut, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai berketurunan India yang beragama Islam mencurahkan minyak tanah ke atas mangsa sebelum membakarnya.
Wanita itu kini dirawat kerana melecur di dada, tangan dan belakang badannya. - Agensi


Meracau tahan derita

18 Rejab 1434 H. [MOD] -
Shah Alam: “Saat-saat akhir sebelum pemergiannya, Allahyarham dilaporkan meracau-racau akibat terlalu panas diserang virus penyakit kencing tikus. Memang saya amat sedih melihatnya dan sebagai cucu sulung, pemergian arwah amat dirasakan,” kata Hasnah Abu Kassim, 72, nenek pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Megat Hariqh Hakimi, 21.
Pelajar peringkat ijazah jurusan reka bentuk industri di UiTM kampus Shah Alam itu, meninggal dunia jam 10 pagi semalam di Hospital Putrajaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kota Kemuning, di Seksyen 31, berdekatan kediaman keluarganya, dekat sini, kira-kira jam 2 petang.Hasnah dalam keadaan sebak berkata, cucunya yang juga anak Penerbit Rancangan BERNAMA TV, 

Hakimi Mohd Zain, seorang yang pintar dan berbakat luar biasa dalam bidang lukisan serta amat rapat dengannya dan dua adiknya yang masing-masing berusia 14 dan 10 tahun.

“Dia dimasukkan ke hospital Khamis lalu selepas mengalami gejala pelik, dua hari selepas dimasukkan, arwah tidak sedarkan diri dan kemudian meracau-racau termasuk menjerit-jerit dipercayai menahan virus penyakit yang menyerangnya.

“Kami sekeluarga memang sedih lebih-lebih lagi Megat Hariqh rapat dengan saya dan dua adiknya yang lain. Dua adiknya pasti merasai kehilangan abang mereka yang amat baik,” katanya.

metro/-

Polis siasat ibu bayi jatuh dalam lubang tandas

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

BEBERAPA anggota penyelamat dan doktor mengeluarkan bayi tersebut selepas dia terperangkap di dalam saluran paip kumbahan.- REUTERS


BEIJING - Seorang ibu berusia 22 tahun membuat pengakuan kepada polis bahawa bayinya terjatuh ke dalam paip saluran kumbahan tandas secara tidak sengaja selepas dia melahirkannya di dalam tandas di bandar Jinhua, wilayah Zhejiang, China.
Pendedahan itu dilaporkan media China selepas berita tentang bayi yang baru dilahirkan itu yang terperangkap di dalam saluran paip kumbahan mendapat liputan meluas di seluruh dunia semalam.
Menurut laporan akhbar Dushikuaibao, ibu bayi tersebut melahirkan anak itu di dalam tandas pada Sabtu lalu kerana dia tidak mempunyai wang untuk menggugurkannya.
Akhbar Zhezhong News melaporkan, ibu itu berkata, dia cuba untuk menarik bayinya itu selepas melahirkannya tetapi anaknya itu terjatuh ke dalam saluran paip kumbahan.
Ibu tersebut kemudian bertindak memberitahu tuan rumah bahawa terdapat bayi yang terperangkap di dalam saluran paip tersebut.
Bagaimanapun, ketika itu, dia tidak memberitahu kepada sesiapa bahawa bayi lelaki tersebut adalah anaknya.
Ibu bayi tersebut kemudian pergi bekerja selepas anaknya itu diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat.
Dia hanya membuat pengakuan bahawa bayi itu merupakan anaknya selepas dia disoal oleh polis selepas kejadian tersebut.
Polis menyoalnya selepas beberapa alat permainan bayi dan kertas tandas yang mempunyai tompokan darah ditemui di rumah sewanya.
Rumah sewanya itu terletak di dalam bangunan yang menempatkan tandas tersebut.
Menurut Zhezhong News, ibu bayi tersebut merupakan lulusan sekolah tinggi dan bekerja di sebuah restoran di bandar Jinhua.
Menurut ibu bayi itu, dia hamil selepas melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki.
Lelaki tersebut kemudian enggan bertanggungjawab terhadap anaknya itu.
Ibu bayi itu juga tidak memberitahu kehamilannya kepada keluarganya.
Menurut laporan media tempatan, ibu bayi berkenaan mahu membesarkan anaknya itu tetapi dia tidak mengetahui cara untuk melakukannya.
Bayi itu yang seberat 2.8 kilogram terperangkap di dalam saluran paip kumbahan yang mempunyai diameter 10 sentimeter.
Anggota-anggota penyelamat menggunakan gergaji untuk memecahkan saluran paip berbentuk L itu bersama dengan beberapa doktor di sebuah hospital untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
Nasib bayi itu kemudian mendapat perhatian beberapa orang yang bersimpati dengannya.
Sejumlah orang datang membawa lampin, pakaian bayi, susu tepung ke hospital selain terdapat pelawat yang mahu mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat.
Polis berkata, kes tersebut disiasat sebagai percubaan membunuh.
Bagaimanapun, setakat ini, masih tidak diketahui sama ada ibu bayi berkenaan akan berdepan dengan sebarang dakwaan.
Polis tempatan enggan memberikan komen tetapi menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan.
Bayi itu diberi nama No.59 berdasarkan nombor inkubatornya di hospital tersebut. - Agensi



Letak anak dalam penyejuk beku untuk hentikan tangisan


18 Rejab 1434 H. [MOD] -



Washington: Dalam satu kes penderaan yang mengejutkan, seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan meletakkan anaknya di dalam penyejuk beku dengan tujuan untuk menghentikan tangisannya.
Tyler James Deutsch, 25, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera kanak-kanak, salah laku jenayah dan menghalang laporan mengenai keganasan rumah tangga. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) ke atasnya.

Pendakwa raya Pierce County, Mark Lindquist memberitahu mahkamah, Deutsch tertidur selepas meletakkan anaknya di dalam penyejuk beku itu Sabtu lalu. Dia terjaga sejam kemudian dan mengeluarkan bayi itu apabila ibu kanak-kanak berkenaan pulang.

Dia merampas telefon si ibu yang berusia 22 tahun itu ketika wanita berkenaan cuba menelefon untuk meminta bantuan dari kediaman di Roy, Washington.

Wanita itu kemudian membawa kanak-kanak itu dan meminta bantuan jiran untuk menelefon polis.


Suhu badan kanak-kanak itu jatuh 84 darjah Fahrenheit di dalam pembeku ais itu. Deutsch akan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. - A
P

NGO T’ganu bersolidariti bela Safwan Anang

18 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA TERENGGANU: Sekretariat Royalti Terengganu atau ‘R’, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Gabungan Anak Terengganu (Gate) mengadakan himpunan secara aman di hadapan sebuah pasaraya di sini, petang semalam.

Perhimpunan tersebut dibuat sebagai tanda solidariti serta kebersamaan rakyat Malaysia yang prihatin kepada Safwan Anang dalam menuntut demokrasi yang bersih di negara ini.

Penyelaras SAMM Terengganu, Rafzi Ramli menjelaskan perhimpunan secara aman ini sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib aktivis pimpinan mahasiswa Safwan Anang.

“Siapa Safwan Anang..beliau adalah rakyat Terengganu, beliau bekas pimpinan mahasiswa, beliau jawatankuasa ‘R’ Terengganu, beliau terlibat dalam aktivis SAMM Terengganu dan beliau pejuang demokrasi di negara ini,” ujarnya ketika berucap pada himpunan itu.

Menurutnya, penangkapan Safwan juga bermotif politik bagi menjaga survival pemimpin politik kerajaan.

Setiausaha Kerja R Terengganu, Syed Husain Solahuddin Syed Hassan menyeru anak muda serta rakyat yang prihatin agar sama-sama membela Safwan Anang.

Menurutnya, nama Safwan Anang sebagai lambang perjuangan dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menuntut hak serta demokrasi yang bersih.

harakah/-

Khalid ucap tahniah kepada Exco Selangor

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada barisan Exco kerajaan negeri bagi penggal 2013-2018 yang selesai mengangkat sumpah pagi ini.
Adun Pelabuhan Klang itu turut memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Penerangan, Jawatankuasa Adat Melayu negeri.

Berikut ialah senarai Exco Kerajaan Selangor.

Iskandar Abdul Samad (Cempaka) - Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar

Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) - Belia Dan Sukan, Infrastruktur Dan Kemudahan Awam.

Dr. Halimah Ali (Selat Klang) - Pendidikan Dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan.

Sallehen Mukhyi (Sabak) - Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa.

Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan) - Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu & Pemutihan Kilang Haram

Ganapathi Rao a/l Veraman (Kota Alam Shah) - Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin

Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang) - Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan

Rodziah Ismail (Batu Tiga) - Kebajikan, Hal Ehwal Wanita

Dr. Daroyah Alwi (Sementa) - Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi

Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) - Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar

Khalid melalui twitter juga mengucapkan tahniah kepada Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang dilantik Speaker Dewan Negeri Selangor dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker.

harakah/-

Pemuda PAS 'salute' Safwan Anang, Adam Adli

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda  dalam mempertahankan kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan dipenjarakan.

Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi.

"Beliau juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan demokrasi yang kian nazak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Raja, kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan Anang dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini.

Di negara lain, adalah menjadi suatu tanda yang besar sekiranya mahasiswa serta anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi yang sebenar.

Tambahnya, menjadi suatu hikmah yang besar pasca PRU ke 13 apabila anak-anak muda mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi dalam berpolitik.

"Anak-anak muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak mereka yang ‘dicuri’ ekoran penipuan yang berlaku dalam PRU ke 13.

"Anak-anak muda kini sudah mula bercakap soal ketelusan, kejujuran dan kerajaan yang beramanah dalam memimpin negara," jelasnya lagi.

Raja berkata, penangkapan Adam Adli dan Safwan Anang adalah titik tolak kebangkitan anak-anak muda dan kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun pemenjaraan ikon mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu anak-anak muda.

"Justeru, sebagai tanda  solidariti kepada perjuangan anak-anak muda ini, DPPM dengan ini menawarkan untuk menanggung kos guaman buat Safwan Anang dan Adam Adli sepanjang kes beliau di mahkamah.

"DPPM juga bersedia membantu dengan membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya.

harakahdaily/-

Air terjun seperti teh tarik

Air terjun seperti teh tarik18 Rejab 1434 H. [MOD] -

Keadaan air terjun yang bewarna coklat pada sebelah pagi dipercayai akibat kesan gondolan bukit.
BUKIT GAMBIR - Ibarat teh tarik, itulah yang dapat digambarkan apabila melihat air terjun yang menderu laju di belakang perumahan Mutiara Heights di sini.

Penduduk di situ percaya air terjun semulajadi yang bertukar warna di belakang perumahan mereka terjadi akibat kesan penebangan pokok di sebuah bukit berhampiran.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam mendapati, keadaan air terjun berkenaan berwarna coklat pekat.

Seorang penduduk yang tidak ingin namanya disiarkan berkata, kejadian berlaku akibat bawaan tanah dari cerun bukit ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, tambahan lagi malam semalam, berlakunya hujan lebat selama hampir tiga jam.

“Mungkin disebabkan itu, air terjun belakang rumah kami bertukar warna. Ini bukan petanda baik kerana air di sini jarang berubah warna sebegini.

“Air bukit ini selalunya akan ada selepas hujan lebat dan berterusan beberapa hari, tetapi ada waktu ianya kering sahaja, namun warnanya berubah paling teruk pada hari ini,” katanya.

Kawasan air terjun di belakang perumahan berkenaan terletak beberapa ratus meter sahaja daripada lokasi bukit yang dibotakkan di Changkat Bukit Gambar.

Kemudiannya, tinjauan Sinar Harian pada waktu petang semalam, mendapati, air berkenaan sudah berubah warna namun bahagian takungan air masih kelihatan lumpur.

Sebelum ini, pada 24 Mei lalu, melaporkan salah sebuah bukit di kawasan pulau kelihatan ‘botak’ serta dapat dilihat dengan jelas dari arah Jambatan Pulau Pinang.

Penduduk mendakwa ia dapat dilihat ketika berulang alik dari Seberang Perai ke kawasan pulau menggunakan jambatan.

Mereka juga mendakwa bukit berkenaan cuba digondolkan secara perlahan-lahan, namun dalam tempoh dua hingga tiga bulan sahaja ia sudah kelihatan semakin kritikal.

Ada di antaranya juga kecewa gara-gara kebotakan bukit tersebut dapat dilihat agak jelas berikutan kawasan berbukit lain di bahagian pulau masih kelihatan hijau dengan tumbuh-tumbuhan.

Kemudiannya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 25 Mei lalu, mengesahkan menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kesan-kesan kerja penebangan pokok, pemotongan dan penimbusan tanah di atas bukit di Cangkat Bukit Gambir.

MPPP sudahpun memberi amaran serta arahan pemberhentian kerja serta merta di tapak berkenaan.

Berdasarkan semakan rekod MPPP tiada kebenaran merancang dan kelulusan kerja tanah yang diberikan.

sinar/-