30 Mei 2013

Kesal tanah pusaka ‘diceroboh’

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

ROMPIN – Seorang warga emas kecewa apabila tanah pusaka miliknya dibangunkan jalan tar, saluran paip dan tiang elektrik tanpa sebarang permohonan dari pihak yang berkenaan.

Peneroka, Osman Ali, 64, berkata, pembangunan tanpa kebenaran itu dilakukan sejak arwah ayahnya masih hidup iaitu pemilik asal tanah tersebut tetapi ketika itu dia tidak membuat sebarang tuntutan kerana tanah masih belum ditukar hak milik kepada namanya.

“Saya sedih dan kecewa kerana tanah yang sah-sah milik saya dibangunkan tanpa sebarang permohonan kebenaran atau makluman.

“Sudah tiga tahun saya menunggu, tetapi sampai sekarang masih tiada maklum balas positif dari kerajaan negeri mengenai tuntutan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau yang berasal dari Keratong 9 juga hampa dengan ramai peguam apabila sejak 2004, tiada yang berani untuk mewakilinya untuk melakukan tuntutan tersebut.

“Sejak geran ditukar nama pada 2004, saya cari peguam di merata tempat tetapi semuanya tak berani kerana kata mereka ini kes melawan kerajaan. Nasib baik jumpa dengan peguam ini yang berani mewakili saya,” katanya.

Peguam, Mohd Fadzli Mohd Ramly, 35, berkata, hak anak guamnya adalah dijamin undang-undang tanah negara.

“Kes anak guam saya ini ialah pembangunan yang dijalankan di atas tanahnya tanpa persetujuan dan bayaran pampasan sebagai mana yang dinyatakan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Dalam akta tersebut menyatakan mana-mana tanah yang diambil bagi tujuan pembangunan, ia mesti dibayar pampasan,” katanya.

Menurutnya, Osman tidak pernah mendapat dokumen atau permohonan dari kerajaan negeri dan cukai tanah dibayar setiap tahun tanpa gagal.

“Saya yang mewakili anak guam menghantar notis tuntutan kepada Pentadbir Tanah daerah Rompin bagi pihak kerajaan negeri menuntut supaya satu ganti rugi diberikan dan tuntutan bayaran sewa penggunaan tanah beliau.

“Pernah dipanggil beberapa kali oleh Pentadbir Tanah dan yang terakhir pada Julai 2011, namun hingga kini senyap. Oleh demikian, satu penjelasan dari kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Rompin tentang status masalah ini mesti diberikan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hak menuntut ganti rugi adalah dijamin Perlembagaan Malaysia dan sedang mempertimbangkan untuk membawa kes ini ke Biro Pengaduan Awam sebelum memfailkan kes di mahkamah.

sinar/-

Tiada ulasan: