06 Julai 2008

Keputusan Petisyen Kuala kangsar dan Kubu Gajah memihak kepada BN

IPOH, 4 July :- Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, masing-masing kekal sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kedua-dua kerusi itu. Hakim Datuk Zakaria Sam menolak tanpa kos petisyen terhadap keputusan pengundian kerusi Parlimen Kuala Kangsar, tetapi menolak dengan kos petisyen bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah.

Dalam penghakimannya, Zakaria berkata, Rafidah sudah menandatangani borang asal kertas penamaan calon, manakala dua lagi kertas penamaan yang tidak ditandatangani adalah borang salinan.

Beliau berkata, Rafidah juga menyerahkan sendiri borang itu kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta membayar wang deposit. “Ini sudah cukup untuk membuktikan beliau memang berhasrat bertanding kerusi berkenaan,” katanya. Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal ketujuh selepas mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Dr Khairuddin Abd Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Bagaimanapun, pada 28 April, seorang pengundi, Ahmad Jamaluddin Abdul Majid, memfailkan petisyen memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan pengundian kerusi itu batal dan tidak sah kerana Rafidah, yang dinamakan sebagai responden pertama, didakwa gagal menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan mengikut Jadual Pertama Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.

Dalam permohonannya, Ahmad Jamaluddin, 51, yang juga seorang ahli perniagaan, mahu mahkamah mengisytiharkan Dr Khairuddin sebagai pemenang kerusi itu. Beliau turut menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua serta ketiga. Zakaria berkata, Pengurus Pilihan Raya menggunakan kebijaksanaannya apabila menerima borang permohonan itu selaras dengan peruntukan Peraturan 4 Akta Pilihan Raya yang memberinya kuasa untuk membuat pertimbangan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

"Ini hanya isu teknikal dengan penamaan calon cuma satu daripada langkah awal pencalonan dalam pilihan raya, sedangkan proses pilihan raya itu sendiri dapat dijalankan tanpa sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran undang-undang pilihan raya serta tiada aduan mengenai proses pengiraan undi," katanya.

Terdahulu, Zakaria menolak petisyen bagi kerusi DUN Kubu Gajah yang difailkan bekas calon Pas, Mohamad Nazri Din yang mendakwa Raja Ahmad Zainuddin melakukan perbuatan rasuah ketika pilihan raya berkenaan. Pada pilihan raya umum Mac lalu, Raja Ahmad Zainuddin memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 66 undi. Dalam petisyen yang difailkan pada 24 April itu, Mohamad Nazri menamakan Raja Ahmad Zainuddin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Yusoff Abustam (kedua) dan SPR (ketiga).

Mohamad Nazri antara lain mendakwa Raja Ahmad Zainuddin ketika berkempen pada 4 Mac di sebuah rumah di Kubu Gajah, mengungkap perkataan berunsur rasuah, iaitu ‘Jika mengundi BN, apa-apa minta boleh kasi'. Dalam keputusannya, Zakaria berkata, mahkamah tidak pasti sama ada kumpulan 50 hingga 100 orang yang hadir di rumah itu adalah pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Katanya, mahkamah juga tidak pasti sama ada 37 penama yang didakwa menerima pelbagai pemberian terdiri pengundi berdaftar di Kubu Gajah. Beliau berkata, kesilapan paling nyata ialah apabila petisyen itu menyebut bahawa majlis berkenaan diadakan pada 27 Mac, iaitu 19 hari selepas pilihan raya. “Justeru, ia dianggap sudah tidak relevan. Mungkin tarikh berkenaan adalah kesilapan menaip dan saya percaya memang begitu, tetapi untuk memindanya adalah sangat terhad. "Saya hairan, begitu ramai peguam di Perak, kesilapan seperti ini tidak dapat dikesan," katanya. (Bernama)

05 Julai 2008

Drs. Khalil : Tidak wajar 100 hari menjadi ukuran Kerajaan Perak yang baru.

BAGAN SERAI, 4 July :- Genaplah 100 hari Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di bawah Pakatan Rakyat (PR) adalah tidak wajar dan adil kalau sudah menjadi ukuran dan rakyat telah mengambil keputusan inilah wajah sebenar Kerajaan Negeri Perak, sedangkan Perak telah ditadbir oleh orang lain sejak 50 tahun yang lepas. Demikianlah antara ucapan YB. Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong semasa meresmikan Majlis Penyampai Bantuan kepada Miskin Tegar Daerah Kerian di sini hari ini.


Y.B Drs Khalil Idham Lim memberikan ucapan.

Hadir sama dalam majils itu ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, YB. Dr. Mujahid Yusuf, Ahli Parlimen Bagan Serai, YB. Hj. Mohsin Fadli, ADUN Gunung Semanggol, YB. Hj.Ramli Tusin, ADUN Selingsing, YB. Hj. Husin Din, ADUN Kuala Kurau, YB. En. Ab. Yunus Jamhari, Orang Besar Jajahan Kerian, Dato' Seri Zulkifli Khusairi dan Isteri, Pegawai Daerah Kerian, En. Ismail Hassan, Tn. Hj. Zakuan, Penolong Setiausaha Jabatan Pembangunan Negeri Perak.

Selain itu semua Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung yang baru terpilih telah hadir sama dalam program tersebut.

Jumlah penerima bantuan ialah seramai 211 orang di mana setiap seorang telah diberikan wang tunai RM 100, 30 kilo beras, 5 kilo gula dan 2 kilo minyak masak.

Y.B. Drs Khalil Idham Lim memberikan bantuan.

Drs. Khalil juga mengucapkan tahniah kerana ada segelintir yang berada dalam golongan miskin tegar telah berusaha keluar dari kelompok itu. Katanya ada yang jual goreng pisang dan nasi lemak.

Kesusahan yang dirasakan oleh rakyat adalah kerana kesan dari kenaikan harga minyak yang menyebabkan semua harga barang naik, katanya.

Selain itu beliau sangat bersimpati dengan kedudukan harga padi di Daerah Kerian yang tidak semahal mana berbanding dengan harga padi di Selangor. Sikap pengilang yang tidak hadir dalam dailog dengan rakyat di sini kelmarin amatlah dikesali.

Bolehkah akuan bersumpah ditarik balik ?

Tidak sampai 24 jam penyiasat persendirian, P Balasubramaniam kelmarin telah menarik balik beberapa perenggan dalam akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.


Beliau membuat akuan bersumpah semalam kerana dalam keadaan tertekan dan kecewa kepada kerajaan .Perenggan yang ditarik balik itu ialah dakwannya bahawa Najib menjalin hubungan seks dengan Altantuya dan dakwaan bahawa Najib yang memperkenalkan Altantuya kepada penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.


Semalam bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di pejabat PKR, Balasubramaniam telah mendedahkan mengenai hubungan langsung Timbalan Perdana Menteri bersama wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata akuan bersumpah yang dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh ditarik balik.

"Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu akuan bersumpah boleh diselitkan tambahan atau pembetulan dan seperti dalam kes di mana seorang saksi memberi keterangan palsu di mahkamah dan sesiapa yang membuat akuan bersumpah palsu boleh melakukan satu kesalahan,"

Datuk Bandar Ipoh di umumkan

IPOH, 4 July:- Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Hj. Roshidi Hashim dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baru berkuat kuasa 1 Julai. Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini. Roshidi, 52, mengisi kekosongan selepas persaraan Datuk Bandar ketujuh, Datuk Mohamad Rafiai Moktar, 57, bulan lalu.









Hj. Roshidi b. Hj. Hashim, Datuk Bandar Ipoh Ke lapan








Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, Nga Kor Ming sementara itu berkata pelantikan Roshidi diharap akan menamatkan spekulasi dan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jawatan berkenaan sebelum ini menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk kemungkinan akan diisi ahli politik antaranya Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran daripada DAP. Nga berkata, pelantikan Roshidi satu penghargaan dan penghormatan terhadap penjawat awam dan sekali gus diharap menamatkan tohmahan bahawa kerajaan Perak menindas kakitangan awam.

“Kita pilih calon yang sesuai yang mempunyai kredibiliti dan akauntabiliti...kita sanggup walaupun beliau pernah bertugas sebagai sebagai setiausaha sulit bekas Menteri Besar yang lalu. "Ini petanda positif dan tidak ada alasan lagi bagi mana-mana penjawat awam untuk tidak memberi komitmen 100 peratus kepada kerajaan negeri,” katanya. Nga yang juga Ketua Pemuda DAP berkata Roshidi juga berpengalaman selama 16 tahun sebagai pegawai pendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pemilihannya sejajar dengan imej kerajaan negeri yang berusaha untuk membanteras rasuah.

04 Julai 2008

Teladan yang baik.

“Rasulullah SAW pernah ditanya tentang dosa-dosa besar. Beliau bersabda, “Menyekutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersaksi dengan kesaksian palsu” (HR. Imam Bukhari)

Salah satu harapan manusia yang sering gagal di dunia ini adalah harapan orang tua kepada anak-anaknya. Banyak orang tua berharap agar anaknya menjadi orang yang baik suatu masa nanti, namun tidak semuanya tercapai. Banyak anak ketika dewasanya malah menjadi pelaku dosa besar, antara lain: menyekutukan Allah, menjadi pembunuh, membuat kesaksian palsu, dan lain-lain lagi.


Boleh jadi, kegagalan itu bukan hanya disebabkan oleh apa yang disampaikan dalam mendidik anak-anaknya, tetapi bagaimana menyampaikannya. Dengan kata lain, boleh jadi apa yang disampaikan adalah berasal dari Nabi SAW, tetapi bagaimana disampaikan tidak seperti yang disampaikan Nabi.


Kalau membuka kembali sejarah pendidikan yang dilakukan Rasulullah SAW, salah satu metode paling berkesan yang beliau gunakan adalah metode keteladanan. Iaitu, memberi contoh dengan perilakunya sendiri. Contohnya, kalau seseorang mengharapkan anak-anaknya rajin, orang tua tentunya perlu memberikan contoh yang baik tentang kerajinan. Demikian juga, seseorang yang menghendaki anaknya untuk tidak membuka aurat tentu saja akan mustahil diteladani, bila ia sendiri mendedahkan aurat tubuhnya di depan orang lain. Demikian pula tidak masuk akal ketika seseorang meminta anaknya untuk tidak mengumpat, mencela atau menmengeji orang lain, sementara ia sendiri selaku orang tua malah bertindak sebaliknya.


Namun demikian, tidak mudah memberi contoh teladan tanpa melalui proses mendidik diri sendiri dalam kebaikan. Oleh karena itu, sewajarnya kita sebagai orang tua perlu terlebih dahulu mendidik dirinya sendiri dengan keteladanan agar menjadi orang baik sebelum ia meminta anaknya menjadi orang baik.

Exco Pertanian : Kerajaan negeri akan menyokong usaha untuk kebaikan rakyat.

BAGAN SERAI, 3 July :- Kerajaan Negeri akan menyokong usaha baik dalam bidang pertanian untuk kebaikan rakyat Perak, demikian antara isi ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri Perak, YB. En. Jamaluddin bin Mohd Radzi dalam Majlis Bersama Peladang-Peladang Daerah Kerian di sini hari ini.





Dailog hangat dengan soal berkaitan harga padi dan beras.


Program tersebut turut dihadiri oleh ADUN Gunung Semanggol, YB. Hj. Ramli Tusin , ADUN Selingsing, YB. Hj. Husin Din, ADUN Kuala Kurau, YB. En. Ab. Yunus Jamhari dan ADUN Titi Serong, YB. Drs. Khalil Idham Lim. Selain itu hadir sama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. Antaranya Pengerusi Jemaah Peladang Negeri Perak, Hj. Zaki Din, Pengarah pertanian negeri, Hj. Ariffin dan Pengarah LPP Perak Hj. Azhar.

Bersempena itu diadakan satu dailog dari peserta yang terdiri dari peladang-peladang kawasan sekitar Daerah Kerian dengan Exco Pertanian, Pengarah Pertubuhan Peladang, Pengarah Pertanian dan Pengarah LPP Perak.

Tegas beliau juga kerajaan Perak bertanggungjawab dalam membangunkan pertanian walaupun langkahnya agak sukar tapi bermakna.

Usaha mengadakan program itu bagi beliau adalah satu usaha untuk merapatkan hubungan serta mambantu dan memahami tentang dasar-dasar kerajaan dalam bidang pertanian.

Sambil menganggap program itu baik, untuk diteruskan diperingkat daerah lain, Exco Pertanian yang juga ADUN Behrang itu menyatakan prihatin dengan keluhan para petani dan bebanan kesan dari kenaikan harga minyak.

Anak tahanan ISA akan dikebumikan esok

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Jenazah anak mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Aina Mardiah Shahrial akan dibawa ke kediamannya di Lorong Serai 8, Batu 11 1/2, Hulu Langat (berhampiran Masjid Kg. Sungai Serai) selepas Isyak, setelah segala urusan berhubung kematiannya selesai.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan esok.

Sehingga berita ini ditulis, ayah Allahyarhamah, Shahrial Sirin masih belum tiba di hospital.

Usaha ahli keluarga Allahyarhamah untuk menghubungi pegawai Cawangan Khas bagi mendapat kepastian di mana Shahrial berada menghadapi jalan buntu.



Shahrial dilaporkan dibawa keluar dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar jam 1.00 tengahari tadi.

Kegagalan pihak polis cawangan khas menemukan Sahrial dengan anaknya dikecam sanak saudara, sahabat handai dan para simpatisan yang hadir di Hospital Kajang.

Aina Mardhiah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Fatma dan ahli keluarga terdekat jam 6.25 petang tadi.

Anak sulung pasangan terbabit dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam dan berada dalam keadaan koma sehingga disahkan meninggal dunia.


Shahrial ditahan di Kem Tahanan Kamunting sejak tujuh tahun lalu.

Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA), untuk mendapatkan pelepasan sementara Shahrial bagi menziarahi anaknya menghadapi kerenah birokrasi sehingga mangsa tahanan ISA itu tidak dapat menatap wajah anak sulungnya yang sedang koma sejak semalam.





Moga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarhamah, mengurniakan kesabaran kepada keluarganya dan menimpakan azab balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan kezaliman. Alfatihah.

Malaysia Harap Pecah Rekod Raih Pingat Emas dalam Sukan Olimpik Beijing

Agensi Berita Xinhua China melaporkan Malaysia berharap dapat memecah rekod meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 setelah gersang meraih emas dalam beberapa temasya Olimpik yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi di Kuala Lumpur semalam.

Seramai 33 orang atlet Malaysia akan menyertai Sukan Olimpk kali ini untuk bertanding dalam 9 acara. Antaranya, acara olahraga, renang, terjun, badminton, memanah, menembak, lumba basikal, Taekwondo dan perahu layar. Kontijen itu paling berpotensi untuk meraih pingat emas menerusi badminton.

03 Julai 2008

Siapa akan kecundang ?

Perdebatan hangat antara kedua-dua pihak dalam isu liwat DS Anwar Ibrahim nampaknya menjadi berita utama semua akhbar dan media elektronik lain. Pemberitannya ditahap 100% dan pada suhu padang pasir yang sangat panas . Kalau dipadang pasir orang hampir tidak berbaju dek kepanasannya, sekarang orang Malaysia juga hampir tidak berbaju kepanasan dengan isu ini.

Apa lagi para blogger dengan blognya memaparkan berita sensasi dan terkini yang tidak disiarkan dalam media arus perdana.

Ke mana saja menjejakkan kaki cina islam ditanya pendapat mengenai persoalan ini, saya menjawab ringkas, kedua-duanya ada kekuatan untuk menang atau kencundang....macam mana YB tanya dia lagi. Saya secara spontan memberi pandangan peribadi. Kekuatan Najib dan teamnya dia ada media perdana dan kekuatan DS anwar dia ada rakyat marhain dan pelbagai lapisan lain yang sudah buat kesimpulan itu semua adalah fitnah belaka.

Dalam sebuah perlawanan pasti ada kalah dan akan ada yang menang, dalam soal ini siapa yang kalah dan siapa pula yang akan menang, Najib atau Anwar. Mustahil dua-dua akan menang.

Pilihanraya Umum ke 11 menyaksikan Calon PAS Cikgu Zakaria di DUN Banggol Judah di Parlimen Machang Kelantan menang hanya dengan 2 undi. Menang juga dengan hanya 2 undi tersebut.

Kita tunggu dan lihat siapa akan tersungkur jatuh rebah tertiarap, seperti kata MB Kedah misai bukan saja mencecah bumi tapi akan masuk ke bumi.

Bersabar hadapi dugaan fitnah - Muslimat PAS

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Pusat menasihati Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail agar bersabar menghadapi ujian dan dugaan.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Saleh berkata, sebagai isteri, Wan Azizah tentunya berasa terlalu berat menanggung aib apabila suaminya Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dituduh terlibat dengan kes liwat.

Katanya, isu yang dihadapi Wan Azizah cukup besar kerana ia berkait dengan maruah keluarganya.

"Dalam hal ini, sebenarnya Islam berpendapat soal liwat dan zina, pendakwa mesti membawa bukti, dan tidak boleh menuduh tidak tentu pasal dan ini yang dipegang oleh orang Islam," katanya semasa dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sabtu lalu, seorang pembantu sukarela pejabat Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Dalam pada itu, Nuridah berkata, sama ada seseorang itu berniat tidak baik atau sebaliknya mereka yang dikaitkan itu harus bersabar di atas dugaan yang menimpa.

Apatah lagi katanya jika Ahli Perlimen Permatang Pauh itu yakin suaminya tidak melakukan perkara tersebut.

"Beliau hendaklah terus bersabar serta banyak berdoa kepada Allah SWT; Insya-Allah setiap ujian itu ada kebaikannya sekaligus boleh menambahkan keimanan dan kebergantungan kepada Allah," katanya.

Dalam pada itu katanya, Muslimat PAS berpegang kepada prinsip perundangan Islam iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Oleh kerana itu, katanya adalah lebih wajar kerajaan mengguna pakai perundangan Islam.

Menurutnya, jika undang-undang Islam tidak dilaksanakan terlalu banyak isu-isu yang menjatuhkan maruah seseorang tidak dapat dibela dengan sebaiknya.

"Mungkin sekarang ini berlaku kepada Anwar, dan perkara sama mungkin juga akan berlaku kepada orang lain termasuk orang-orang besar BN sendiri," katanya sambil meminta kerajaan dan cerdik pandai agama memikirkan kewajaran pelaksanaan perundangan Islam secara serius.

"Tok Guru pesan sabarlah dalam hadapi dugaan" - Anwar

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengunjungi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Anwar di Petaling Jaya jam 4.00 petang tadi.

Dalam pertemuan dua mata itu antaranya Tuan Guru Nik Aziz melahirkan keprihatinan beliau terhadap apa yang berlaku (tuduhan liwat), kata Anwar ketika mengulas pertemuan tersebut.

Image











Ujar Anwar Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan turut melahirkan rasa kesalnya dengan taktik kotor dan berterusan yang dihadapi kini.

"Tuan Guru berkata kepada saya, supaya sabar dan katanya adatlah seumpama 'pohon tinggi maka gelobang laut atau angin yang datang ia akan terkena juga' sabarlah dalam hadapinya," katanya.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada kesudian Tuan Guru Nik Aziz mengunjunginya tatkala Ketua Umum KeADILan itu berhadapan dengan dugaan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertemu kira-kira 45 minit dengan Anwar dan meninggalkan pejabat Anwar pada jam 4.50 petang.

Menteri Besar Kelantan itu yang datang dengan jubah putihnya ditemani dengan pemandu dan beberapa orang pegawainya, sementara Anwar turut ditemani Naib Presiden, Sivarasa Rasiah.

Pegawai agama perlu bebas daripada politik kepartian: Raja Dr Nazrin

IPOH, 2 July :- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mahu supaya pegawai agama bebas daripada politik kepartian atau pengaruh mana-mana pemimpin atau kumpulan politik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab urusan agama Islam.

“Urusan agama Islam sama sekali tidak harus dibenar untuk dipolitikkan,” titah baginda pada majlis menghadap oleh Orang Besar Jajahan dan pegawai tadbir agama daerah negeri Perak di Kompleks Islam di sini hari ini. Raja Nazrin menjelaskan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk mengadakan kegiatan politik sebaliknya hendaklah menjadi instrumen untuk menyatupadukan ummah.

Baginda bertitah, Orang Besar Jajah adalah wakil Sultan Perak di daerah masing-masing dan mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada Sultan mengawasi kegiatan agama Islam di daerah masing-masing.

Raja Nazrin juga bertitah baginda wajib memberikan peringatan bahawa Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri. “Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam. Raja Pemerintah berada di atas politik kepartian, bersikap bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh atau kepentingan politik kepartian,” titah baginda.

Baru-baru ini semasa merasmikan Sidang DUN Perak, D.Y.M.M. Sultan Perak bertitah sebagai dipetik "Masjid dan surau adalah rumah suci Allah dan hendaklah bebas dari pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian . Demi menjamin perpaduan ummah , Beta sama sekali tidak membenarkan masjid dan surau dijadikan pentas untuk menjalankan kempen-kempen politik kepartian . "

Mesyuarat Majlis Raja-Raja bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 2 July :- Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-214 bermula hari ini di Istana Negara. Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Terengganu yang masing-masing menghantar wakil.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Turut hadir menteri besar dan ketua menteri. Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dijadual menghadiri mesyuarat hari kedua di Istana Melawati, Putrajaya esok dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

02 Julai 2008

Rosmah tidak bimbang dakwaan Raja Petra

KUALA LUMPUR, 1 Julai :– Isteri TPM, Datin Seri Rosmah Mansor tidak bimbang dengan dakwaan yang mengaitkannya dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana beliau tidak bersalah.

Katanya, beliau telah memberikan keterangan kepada polis sejelas-jelasnya berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah yang dibuat oleh pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkannya dengan kes itu.

Rosmah ditanya mengenai akuan bersumpah Raja Petra yang difailkan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur baru-baru ini yang antara lain turut mengaitkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan kes pembunuhan Altantuya pada 19 Oktober 2006.

Ditanya sama ada beliau akan menyaman Raja Petra kerana membuat fitnah itu, Rosmah berkata, beliau tidak mahu menumpukan pada isu-isu yang tidak perlu.

Raja Petra menamakan dua lagi individu yang didakwanya turut dikaitkan dalam kes bunuh itu iaitu Leftenan Kolonel Aziz Buyong, yang beliau katakan sebagai pakar bahan letupan C4, dan isteri Aziz, Norhayati, yang didakwa pegawai pengiring (ADC) Rosmah. Rosmah menjelaskan, Norhayati bukan ADC beliau.

“Norhayati ialah pegawai yang membantu semua program saya, dan kini beliau tidak lagi bekerja dengan saya. Beliau telah dinaikkan pangkat dan kembali bertugas di Kementerian Pertahanan,” katanya.

China bertindak ringankan beban kaum petani

Kementerian Pertanian menuntut supaya diringankan beban kaum petani berdasarkan lima pendekatan mulai tahun ini.

Pendekatan itu termasuk, menjalankan pemeriksaan berkala terhadap peraturan pembayaran yang ditanggung oleh kaum tani dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menambah beban kepada kaum tani.


Kerajaan mula membatalkan cukai pertanian terhadap penduduk dikalangan petani seramai 900 juta orang di negara ini mulai tahun 2006. Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Kementerian Pertanian, selepas pembatalan cukai pertanian itu, beban purata seorang petani telah menurun 140 Yuan RMB setahun berbanding dengan tahun 1999.