29 November 2009

Kisah Ibrahim Adham

http://yaneyms.blogspot.com/

Diceritakan ada seorang lelaki datang menemui Ibrahim bin Adham. Ia berkata kepada Ibrahim bin Adham: "Hai bapa Ishak (Ibrahim). Saya ini telah menzalami diri sendiri, maka terangkan padaku sesuatu yang dapat menginsafkan diriku dan menyelamatkan hatiku". Ibrahim bin Idham pun menjawab: "Jika engkau dapat menerima dan boleh melakukan 5 perkara (yang akan aku katakan)) nescaya apa sahaja kesedapan yang engkau kecapi tidak akan memudaratkan diri mu. Lelaki tersebut pun berkata: Apa dia ?. Cubalah engkau beritahu wahai bapa Ishaq. Ibrahim menerangkan:

Pertama: Apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah, maka jangan engkau makan rezeki Allah!. Lelaki itu meningkah dan berkata" Dari sumber manakah lagi aku hendak makan, sedangkan segala yang ada atas dunia ini ialah rezeki kurniaan Allah " Ibrahim idham mencelah " Wahai pulan, adakah patut dan wajar engkau makan rezeki kurniaan Allah, kemudian engkau menderhaka kepadanya!. Tentu tidak" jawabnya.

Baiklah Yang kedua: Ibrahim menerangkan lagi: "Bila engku hendak menderhaka kepda Allah, maka janganlah engkau menginap dimana-mana atas dunia ini. Lelaki itu pun berkata: "Ini lebih hebat lagi dari yang pertama". kalau timur, Barat dan antara kedua semuanya adalah kepunyaan Allah, maka dimana pula aku akan tinggal. Ibrahim mencelah: " Hai pulan, adakah engkau patut makan rezeki Allah, tinggal dibumi Allah dan kemudian engkau menderhaka kepadanya." Tidak, jawabnya.

Yang ketiga: Ibarahim menerangkan lagi: Kalau engkau mahu menderhaka, sedangkan engku makan rezki Allah dan tinggal dibuminya, maka carilah tempat yang berkira-kira dia tidak nampak engkau mencabar perintah Allah. Kalau engku sudah temui, nah engkau lakukan maksiat tersebut." Lelaki itu pun berkata " Hai Ibrahim!. Bagaimana aku dapat berbuat demikian, sedangkan Allah maha mengetahui, malah ia tahu apa yang tersembunyi sekalipun?. "Ibrahim menjawab Hai pulan: Adakah engkau patut makan rezekinya, tinggal dibuminya, menderhaka kepadanya, walhal ia mengetahui hakikatmu dan melihat apa yang engku lakukan secara terang-terang? " Tidak jawabnya, "

Yang Ke Empat: Apa dia tanya lelaki itu. Jawab Ibrahim " Apabila tiba malaikat maut hendak mencabut nyawa mu, maka katakan padanya: " Berikan aku tempoh untuk bertaubat Nasuha dan untuk beramal soleh kerana Allah" Takkan dia mahu menurut perintahku" Jawab lelaki itu. Hai pulan " Kata Ibrahim: " Apakah dalam kedaan engkau tidak terdaya menolak maut untuk mendapat tempoh bertaubat dan engkau faham betul bahawa kalau maut datang engkau tidak terdaya menolak maut, untuk mendapat tempoh bertaubat dan engkau faham betul, maka dalam keadaan begitu engkau masih mengharapkan engkau boleh selamat (dengan Maksiat mu)?" Lelaki itu bertanya lagi:

Yang kelima: Ibrahim menerangkan: Apabila datang malaikat Zabaniah pada hari Qiamat hendak membawa mu masuk neraka, maka janganlah engkau mahu pergi bersamanya!. "sudah tentu mereka tidak akan biarkan aku atau menerima permintaan ku: sampuk lelaki itu. Kata Ibrahim " Kalau begitu bagaimana engkau harap engkau boleh selamat?." Lelaki itu pun berkata, Wahai Ibrahim cukuplah, cukuyplah" Saya minta ampun kepada Allah dan saya bertaubat kepadanya. Lelaki tersebut pun akhirnya ikut beribadah bersama ibrahim hingga mereka dipisahkan oleh ajal masing-masing. (Dari kitab Tawwabin)

ADUN Titi Serong puji usaha mengumpulkan keluarga keturunan Janggol dan Normah

ADUN Titi Serong memberikan ucapan sekaligus merasmikan himpunan hari keluarga Keturunan Janggol dan Normah .


TITI SERONG, 28 Nov :- Usaha mengumpulkan keturunan keluarga yang dilakukan oleh waris keturunan Janggol dan Normah merupakan satu usaha yang baik dan perlu dicontohi oleh semua pihak khususnya warga setempat, kerana itu saya ucapkan tahniah diatas kejayaan usaha murni ini. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Majlis Korban dan Hari Keluarga Keturunan Janggol dan Normah yang diadakan di Dewan Sek.Men.Agama Al Falah disini.

Himpunan keluarga keturunan Janggol dan Normah itu dikendalikan oleh sebuah Jawatan Kuasa yang dipengerusikan oleh Waris ke 3, Ust. Hj. bahruddin bin Sulaiman. Satu kejayaan yang ditunjukkan oleh program yang julung kali diadakan dalam usaha mengumpulkan keluarga itu apabila sekitar 700 orang memenuhi dewan dan dijamu dengan 2 ekor lembu korban.

Sebahagian dari muslimat keluarga Janggol dan Normah yang hadir.


"Manusia dijadikan oleh Allah dengan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku namun yang paling mulia disisiNya ialah yang paling bertakwa, termasuklah dalam keturunan Janggol dan Normah, mereka menjadi mulia disisi Allah adalah kerana takwa". Jelas Drs. Khalil.

"Saya berharap dengan usaha ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mengeratkan hubungan kekeluargaaan sesama kita, usaha ini penting kerana generasi masakini dilihat telah terhakis dari mengamalkannya" Ucap Drs. Khalil.

Bagi merealisasikan dan meneruskan aktiviti pada masa akan datang, Drs. Khalil menyarankan kepada Jawatankuasa pengelola supaya mewujudkan sebuah Website dan menubuhkan khairat kematian.

Sementara itu semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, Pengerusi jawatankuasa Program, Ust. Hj. Bahruddin Sulaiman menjelaskan himpunan melibatkan keturunan ke 3 hingga ke 6 sahaja.

Beliau juga menjelaskan usaha jawatankuasa menghubungi mereka dengan berbagai cara termasuk mengiklankan dalan akhbar Sinar Harian. Mereka ada yang tinggal di Johor, Pahang, Sabah dan semuanya dijemput untuk hadir.

"Air dicincang tidak akan putus" Demikianlah harapan akhir kepada keluarga Janggol dan Normah, ucap Ust.bahruddin mengakhiri ucapannya.

“Kembali ke ajaran Islam”

ARAFAH - Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh semalam mengingatkan hadirin bahawa masalah serius yang dihadapi umat Islam sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada penyimpangan fahaman Islam sebenar.

“Penyimpangan ini mengetepikan prinsip yang benar dalam Islam dan mengangkat kepercayaan yang salah,” katanya.

Menurutnya, kepatuhan kepada kepercayaan Islam sebenar adalah sangat penting bagi seseorang penganut Islam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah di masjid Namira di Arafah sebelum mengimamkan jemaah menunaikan solat Jumaat.

Abdul Aziz turut mengecam serangan pengganas dan operasi berani mati kerana menyebabkan kematian ramai orang awam yang tidak berdosa.

“Operasi berani mati dicela di tanah orang Islam. Lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dibunuh,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada hadirin supaya tidak menjadi alat kepada musuh Islam yang tidak pernah berputus asa untuk menjatuhkan agama suci itu.

“Musuh Islam pada zaman moden ini tidak jauh berbeza dengan musuh pada zaman lampau. Apa yang berbeza hanya strategi yang diubah mereka supaya bersesuaian dengan peredaran masa,” katanya. Sinar/-

Tiga Lagi Mayat Tragedi Bot Karam Di Jumpai

KUDAT: Tiga lagi mayat tragedi bot karam dekat sini dijumpai dengan mayat terbaru dikesan kira-kira pukul 4 petang ini, kata Ketua Polis Kudat DSP Dawi Ossen.

Katanya mayat pertama dijumpai kirakira pukul 1 tengah hari dan yang kedua ditemui kira-kira sejam kemudian.

Bagaimanapun, Dawi berkata identiti dan jantina mayat berkenaan belum dikenal pasti dan satu daripada mayat itu dipercayai kanak-kanak.

"Sekarang ada sembilan lagi mangsa yang hilang dan gerakan mencari masih diteruskan," katanya.

Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Kudat.

Pada kejadian petang Khamis lalu, sebuah bot, yang membawa 28 penumpang, karam kira-kira pukul 5.30 petang, sejam selepas bertolak dari jeti Kudat ke Pulau Banggi.

Dawi berkata gerakan mencari melibatkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Unit Udara Polis dan Tentera Darat, tertumpu di perairan Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kira-kira 20 batu nautika dari Kudat.

BERITA TERDAHULU

KUDAT: Jumlah mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di Pulau Banggi dekat sini adalah 12 orang dan bukannya empat orang seperti yang dilaporkan semalam, kata Ketua Polis Kudat DSP Dawi Ossen hari ini.

Katanya jumlah penumpang yang terlibat dalam tragedi bot karam itu adalah seramai 28 orang.

"Angka terbaru ini mengikut maklumat yang kita terima daripada keluarga yang membuat laporan polis.

Katanya angka mangsa terselamat masih 13 orang manakala tiga mangsa yang meninggal sudah ditemui.

Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi seperti polis Marin, Unit Udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Darat, katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kudat di sini.

Beliau berkata pencarian tertumpu di perairan dekat Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kirakira 20 batu nautika dari Kudat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri, yang juga Anggota Parlimen Kudat, berkata beliau akan meminta laporan daripada semua agensi terlibat mengenai kejadian itu bagi mencari jalan memperbaiki perkhidmatan feri antara Pulau Banggi dan Kudat.

"Pengangkutan feri amat penting terutamanya bagi penduduk pulau itu untuk berulang-alik ke pekan Kudat.

"Kita perlu pastikan perkhidmatan feri mencukupi dan penyelengaraan feri yang berterusan kerana pengangkutan laut adalah pengangkutan utama penduduk pulau itu dan akan kekal begitu untuk tempoh yang lama di masa hadapan," katanya.

Abdul Rahim diberi taklimat oleh Dawi mengenai kejadian itu dan sempat menemui mangsa yang terselamat Yahya Othman, 61, yang turut berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Pada kejadian petang Khamis lepas, sebuah bot yang membawa penumpang dari jeti Kudat ke Pulau Banggi karam kirakira pukul 5.30 petang selepas sejam bertolak dari jeti Kudat.

Kebanyakan penumpang merupakan anggota sebuah keluarga iaitu seramai 21 orang dari Papar yang pulang ke Pulau Banggi untuk merayakan Hari Raya Aidiladha serta beberapa penumpang lain.

BERITA TERDAHULU

KUDAT: Jumlah mangsa tragedi bot karam di sini kini dilaporkan seramai 28 orang, kata Ketua Polis Kudat DSP Dawi Ossen hari ini.

Beliau berkata angka mangsa yang hilang kini meningkat kepada 12 orang daripada empat orang seperti dilaporkan semalam."Angka terbaru ini mengikut maklumt yang kita terima daripada keluarga yang membuat laporan polis.

Katanya angka mangsa terselamat masih 13 orang manakala tiga mangsa yang meninggal sudah ditemui.

Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi seperti polis Marin, Unit Udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Darat, katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kudat di sini.

Beliau berkata pencarian tertumpu di perairan dekat Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kira-kira 20 batu nautika dari Kudat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri, yang juga Anggota Parlimen Kudat, berkata beliau akan meminta laporan daripada semua agensi terlibat mengenai kejadian itu bagi mencari jalan memperbaiki perkhidmatan feri antara Pulau Banggi dan Kudat.

"Pengangkutan feri amat penting terutamanya bagi penduduk pulau itu untuk berulang-alik ke pekan Kudat.

"Kita perlu pastikan perkhidmatan feri mencukupi dan penyelengaraan feri yang berterusan kerana pengangkutan laut adalah pengangkutan utama penduduk pulau itu dan akan kekal begitu untuk tempoh yang lama di masa hadapan," katanya.

Abdul Rahim diberi taklimat oleh Dawi mengenai kejadian itu dan sempat menemui mangsa yang terselamat Yahya Othman, 61, yang turut berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Pada kejadian petang Khamis lepas, sebuah bot yang membawa penumpang dari jeti Kudat ke Pulau Banggi karam kira-kira pukul 5.30 petang selepas sejam bertolak dari jeti Kudat.

Kebanyakan penumpang merupakan anggota sebuah keluarga iaitu seramai 21 orang dari Papar yang pulang ke Pulau Banggi untuk merayakan Hari Raya Aidiladha serta beberapa penumpang lain. BERNAMA

Kerajaan Sarawak arah siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana dijalankan

MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak telah mengarahkan satu siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa berlaku penyalahgunaan dana dalam tuntutan untuk projek-projek infrastruktur negeri itu antara tahun 2002 hingga 2008 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan projek tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, jabatan audit negeri akan menjalankan satu siasatan terperinci terhadap tuduhan-tuduhan itu bagi mencari kebenaran berhubung isu berkenaan.

"Kami juga mahu SPRM memberikan taklimat penuh dan terperinci berhubung tuntutan yang telah dibuat oleh pihak yang terbabit.

"Kami (kerajaan negeri) memandang serius masalah tuntutan yang dikemukakan itu.Jika benar masalah penyalahgunaan dana ini telah berlaku, kami akan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mereka.

"Kita bercakap mengenai wang kerajaan yang diperoleh daripada pembayar cukai. Sekiranya peruntukan untuk mengadakan projek untuk rakyat dan golongan miskin telah dilesapkan bermakna kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan masalah penyalahgunaan dana itu.

"Dana yang diperuntukkan untuk projek infrastruktur awam perlu memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Sebarang penyalagunaan dana ini tidak boleh diterima. Pendirian kita amat jelas dalam hal ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pesuruhjaya SPRM Negeri, Datuk Zakaria Jaffar bahawa SPRM berjaya mengesan kes di Sarawak bahawa 60 peratus peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan pusat telah 'dilesapkan' daripada projek yang telah ditetapkan itu.

Baru-baru ini, Zakaria telah membuat pendedahan yang mengejutkan itu dalam satu seminar anti-rasuah di Kuching.

Beliau mendakwa,masalah penyalahgunaan dana itu telah berlaku pada tahun 2002 hingga tahun 2008 dan daripada siasatan yang telah dijalankan oleh pegawai penyiasat SPRM mendapati hanya 40 peratus peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan pusat itu telah dibelanjakan dalam projek-projek tersebut, manakala baki, 60 peratus telah lesap ke tempat lain.

Zakaria bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti dan nama-nama projek itu termasuk jumlah keseluruhan peruntukkan yang terlibat serta nama-nama agensi atau jabatan yang bertanggungjawab dalam projek-projek tersebut.

Beliau hanya memberitahu bahawa projek-projek yang terlibat ialah projek pembinaan infrastruktur yang melibatkan pembinaan jalan raya, kawasan perumahan dan pembinaan masjid di sekitar negeri itu dari tahun 2002 hingga 2008.

Zakaria berkata, daripada siasatan yang dijalankan oleh SPRM mendapati kebanyakan daripada projek itu tidak dijalankan dengan sempurna sementara ada juga projek yang terbengkalai dan ada juga projek yang masih belum dilaksanakan walaupun kerajaan pusat telahpun menyalurkan dana kepada pihak yang berkenaan.

"SPRM telah berjaya mengenalpasti bahawa wujud tuntutan-tuntutan palsu yang dibuat oleh pegawa-pegawai dan kontraktor yang terbabit dalam projek-projek yang dijalankan itu.

Mengulas lanjut mengenai isu berkean, Dr Chan yang juga Menteri Pembangunan & Perindustrian negeri hari ini berkata, kerajaan negeri sentiasa tegas dalam soal pengagihan dan penggunaan peruntukkan yang telah diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada mereka.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sentiasa telus dalam soal penggunaan wang daripada pembayar cukai.

"Saya gembira dengan pendedahan oleh pihak SPRM dalam isu ini. Jika mereka melakukan kerja mereka dengan betul, kami sangat bersyukur ini kerana projek tersebut adalah demi kepentingan rakyat. Sebarang pembaziran dana mesti dikawal," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg mahu SPRM memberikan butir-butir yang lebih jelas berhubung projek-projek perumahan yang terjejas akibat penyalahgunaan wang kerajaan.

Katanya, SPRM mesti memberi butiran yang lebih jelas mengenai jumlah projek yang terlibat kerana Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri turut terlibat sama dalam isu pembinaan kawasan perumahan. Mstar/-

Pegawai Polis Antara Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Gerik

GERIK: Tiga orang termasuk seorang pegawai polis maut manakala lima cedera apabila dua buah kereta bertembung dalam kemalangan di KM 35.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Mahad Nor Abdullah berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira kira pukul 4 petang semalam ialah Mat Saufi Mohamad, 28, isterinya Fuziani Abdul Latif, 28, dan Halijah Hamzah, 57, yang menaiki sebuah kereta lain.

Mat Saufi, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong, manakala isterinya dan Halijah yang juga cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, kata Mahad Nor di sini hari ini.

Beliau berkata Mat Saufi yang berpangkat Inspektor bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, manakala isterinya seorang jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun berasal dari Kampung Permatang, Pasir Putih, Kelantan.

Halijah berasal dari Felda Lawin Selatan, Gerik.

Semasa kejadian, kereta jenis Proton Perdana yang dipandu Mat Saufi dalam perjalanan dari Batu Gajah ke Gerik apabila bertembung dengan kereta jenis Nissan Bluebird yang dipandu suami Halijah dari arah bertentangan, kata Mahad Nor.

Pemandu kereta itu, Mohamad bin Man, 60, dan dua anaknya Norazira, 20, Norzaihan, 18 dan dua anak saudaranya Norhanim Yakob, 25, dan Noradrina Alisa Hairul Azuddin, 2, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Taiping.

Siasatan awal polis mendapati kereta, yang dipandu Mat Saufi dalam perjalanan ke Gerik untuk menyambut Hari Raya, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan memasuki laluan kanan jalan dan bertembung dengan kereta yang dipandu Mohamad.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit, katanya. BERNAMA

Penyokong Liow sedia letak jawatan, desak pemilihan parti

Anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA yang menyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai berikrar untuk meletak jawatan bagi mendesak supaya pemilihan baru pucuk pimpinan parti itu diadakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Liow berkata, 13 daripada anggota CC yang dipilih, telah menandatangani surat peletakan jawatan tidak bertarikh dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkannya kepada parti.

Tiga belas anggota CC yang menyokong naib presiden MCA itu, turut menghadiri sidang akhbar tersebut seleps sesi taklimat kepada perwakilan parti itu di ibupejabat MCA hari ini.

Tetapi mereka perlu meyakinkan tujuh lagi daripada 30 anggota CC - bagi mendapatkan jumlah satu pertiga - bagi memaksa pemilihan baru dapat diadakan.

Awal pagi ini, lebih 1,600 penyokong Liow meluluskan satu deklarasi di sesi taklimat khas hari ini, menggesa pucuk pimpinan parti itu membenarkan pemilihan baru diadakan bagi menyelesaikan krisis parti.

Menurut mereka, krisis itu dianggap berpunca daripada kegagalan pucuk pimpinan parti untuk menerima dan melaksanakan resolusi mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lalu.

Liow berkata beliau dan penyokongnya berharap pemilihan baru dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.

Katanya, apabila peletakan jawatan dibuat, pihak parti mesti mengadakan pemilihan baru bagi jawatankuasa pusat dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Menurut Liow, kata sepakat telah dicapai dengan puak yang menyokong presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan penyokong timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa pemilihan baru adalah penting.

Liow bagaimana tidak bersedia untuk menyatakan sama ada Ong dan Chua bersetuju atau tidak, atau sekurang-kurangnya telah dimaklumkan mengenai cadangan pemilihan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Liow berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak terbabit dalam membantu menyelesaikan krisis MCA dan meminta pemberita merujuk kepada Muhyiddin.

Satu halangan kepada usaha puak Liow itu adalah mesyuarat agung (AGM) parti pada 5 Disember ini, yang mereka harap dapat ditangguhkan supaya pemilihan baru dapat diadakan sewaktu AGM pada tarikh kemudiannya.

Liow berkata tidak timbul soal perundangan untuk menangguhkan AGM tahun ini - dengan mengadakan dua AGM dalam satu tahun - kerana Umno telah pernah berbuat demikian dengan kebenaran Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Semalam, ketua penerangan MCA, Heng Saei Kee berkata parti itu tidak menangguhkan AGM pada 4-5 Disember dan mendakwa mereka yang mendakwa ia ditangguhkan, berniat untuk menimbulkan kekeliruan.

Para pemerhati berpendapat, puak Liow berusaha supaya pemilihan baru
parti itu diadakan segera untuk memanfaatkan gelombang tidak pua hati terhadap Ong.

Manakala Ong pula mahu pemilihan itu diadakan selepas pertengahan tahun depan untuk memberinya masa meminda sistem pemilihan parti, bagi meluaskan jumlah pemilih, yang tidak terhad kepada 2,400 perwakilan sahaja.Malaysiakini.-

Lebih 1,000 hadiri taklimat Liow


Lebih 1,000 menghadiri sesi taklimat oleh naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Lee San Choon, Wisma MCA di Jalan Ampang Pagi ini.

Tema taklimat tersebut adalah '1128, satu permulaan baru'.

Kerusi yang disediakan tidak mencukupi dan kerusi tambahan terpaksa dibawa masuk ke dalam dewan tersebut untuk menampung jumlah hadirin.

Tetapi tidak diketahui berapa ramai perwakilan yang hadir kerana sesi taklimat itu bukan perhimpunan agung, maka para hadirin tidak perlu mendaftar.

Selain pemimpin yang menyokong Liow dan serta tiga pemimpin yang meminta EGM diadakan, turut kelihatan ialah beberapa pemimpin lain termasuk naib presiden, Tan Kok Hong yang dilihat mengambil bersikap 'atas pagar' dalam krisis MCA, serta bekas setiausaha agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Malah, Ong turut menyediakan ucapan bertulis dalam bahasa Cina yang bertemakan "MCA melangkah ke hadapan'.

Kandungannya sepeti manifesto pemilihan. Sebelum ini tercetus spekulasi beliau akan bertanding jawatan tinggi parti dalam pemilihan baru yang akan diadakan nanti, dan perhimpunan hari ini menjadi gelanggang yang paling sesuai untuk beliau melancarkan "kempennya".

Perhimpunan itu juga meluluskan satu deklarasi menggesa pucuk pimpinan parti supaya mengadakan pemilihan baru parti dalam tempoh 60 hari.


Liow berkata beliau terharu apabila kira-kira 1,600 "perwakilan" menghadiri sesi taklimat tersebut, tetapi pengiraan secara bebas mendapati jumlahnya hampir 1,100 orang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ramai antara mereka adalah perwakilan.

Orang pertama berucap ialah bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka CHuan, yang memberi ucapan panjang lebar bertajuk"MCA melangkah ke hadapan".

Manakala dua penyokong kuat Liow - Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun pula mengecam Ong kerana memecat mereka dari majlis presiden, untuk menutup mulut mereka yang menentangnya.


Sehubungan itu, mereka menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi menghadkan kuasa presiden.

"Kita perlu meminta Artikel 46 perlembagaan parti supaya majlis presiden mesti dianggotai empat naib presiden yang dipilih dan dua lagi yang dilantik.

"Ini bagi mengelak berulangnya pucuk pimpinan (bertindak sendiri) dengan mengetepikan dua sayap parti dan menjadi diktator 'yang tidak bersayap'," kata Chew.

Wee pula berkata pindaan itu juga bagi memastikan penyandang jawatan awam - terutama menteri dan timbalan menteri - menjadi anggota majlis presiden.

"Rakan-rakan seperjuangan, bangunlah dan jangan biarkan presiden berbuat sesuka hati," kata Wee kepada para hadirin,


Liow yang terakhir berucap, menyifatkan MCA seperti kapal yang tidak berkemudi sejak dilanda krisis kepimpinan dan hanya boleh diselamatkan melalui pemilihan parti yang baru.

"MCA telah hilang haluan seperti kapal yang tidak berkemudi. Bolehkah kita biarkan parti berterusan seperti ini? Kita mesti bawa MCA balik ke pangkal jalan," katanya.

Beliau meletakkan kesalahan itu terhadap keenganan presiden MCA, Tee Keat, mengosongkan jawatannya selepas kalah dalam undi tidak percaya terhadapnya bulan lalu, walaupun sebelumnya berjanji untuk berbuat demikian walaupun kalah dengan satu undi.

Sesi taklimat tersebut berjalan selama hampir dua jam. Malaysiakini/-

28 November 2009

Dr.Mujahid dan Drs. Khalil raikan petugas Korban PAS Kawasan Parit Buntar.

Drs. Khalil bersama melapah kulit lembu dalam program Korban anjuran PAS Kawasan Parit Buntar yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Titi Serong pada Hari Raya pertama.



TITI SERONG, 27 Nov:- Kemeriahan Hari Raya Korban pada tahun ini diteruskan oleh program rutin tahunan anjuran PAS Kawasan Parit Buntar iaitu Ibadah Korban di mana pada tahun ini sebanyak 7 ekor lembu telah dapat dikumpulkan dari pelbagai pihak. Keadaan lebih meriah dengan kehadiran Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf dan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim sebagai peserta korban dan sekaligus meraikan petugas dalam program tersebut.

Mereka yang melakukan Ibadah korban termasuklah PAS Kawasan Parit Buntar sendiri , Ahli Parlimen Parit Buntar dan ADUN Titi Serong.

"Saya sangat kagum dengan golongan pelapis dikalangan pemuda yang berkerja keras untuk menumbangkan lembu, melapah dan mengagihkan daging korban pada hari" Demikian pujian yang diberikan oleh salah seorang peserta korban tersebut.



Semua daging korban telah diagihkan kepada semua cawangan PAS dalam Parlimen Parit Buntar.


Drs. Khalil : Cawangan PAS perlu bersiap untuk hadapi pembubaran DUN

ADUN Titi Serong sedang memberikan taklimat pembubaran DUN kepada petugas parti di Cawangan Parit Kasa.

TITI SERONG, 27 Nov.:- Cawangan PAS perlu bersiap lebih awal untuk menghadapi pembubaran DUN kerana isu pembubaran adalah sesuatu yang wajar berlaku bila-bila masa dengan suasana politik Perak yang tidak menentu. Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi taklimat Pembubaran DUN Perak untuk Cawangan PAS Parit Kasa di sini .

"Sejak BN merampas kuasa pada Februari yang lepas, saya ingatkan kepada Jentera PAS bahawa BN telah melakukan sesuatu untuk menghadapi Pilihanraya, kerana itu jentera parti PAS juga mesti melakukan sesuatu juga" Jelas Drs. Khalil sambil memuji langkah proaktif yang dilakukan oleh cawangan tersebut dan wajar dicontohi oleh cawangan PAS di DUN Titi Serong dan seluruh negeri Perak.


Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Cawangan dan Ajk Cawangan tersebut dengan petugas pilihanraya dikalangan pemuda cawangan yang terletak dalam DUN Titi Serong tersebut.

"Usaha yang dilakukan oleh BN termasuklah mempergunakan badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya" jelas Drs. Khalil.

Drs. Khalil juga mengharapkan Cawangan perlu mengadakan sesuatu dan program tertentu seperti pergerakan jentera lebih awal seperti cula undi dan pendaftaran pemilih yang baru.

"Pemuda perlu memeriksa setiap rumah penyokong PAS di cawagan dan memastikan kalau masih ada pengundi yang belum didaftarkan, kerana cawangan boleh tahu masalah ini berdasarkan pemeriksaan yang teliti yang dilakukan oleh cawangan" jelas Drs. Khalil.

ADUN Titi Serong juga mengingatkan bahawa PAS dan pakatan Rakyat perlu ada jentera yang kuat untuk menghadapi pilihanraya apalagi kita berdepan dengan BN yang mempergunakan sepenuhnya jabatan kerajaan yang ada.

Pada kesempatan itu beliau juga menjelaskan kemelut politik yang berlaku dan membuat kesimpulan krisis yang berlaku tidak akan dapat diselesaikan dengan perbicaraan di Mahkamah dan persidangan DUN. Kata Drs. Khalil " Hanya pembubaran DUN yang mampu memyelesaikan krisis ini" tegas nya.

Muhamad Yusuf Chen Kun, Penulis Khat China yang Terkemuka



Muhamad Yusuf Chen Kun,penulis khat yang terkenal di China. Beliau dilahirkan di Kaunti Autonomi Etnik Dongxiang Provinsi Gansu pada tahun 1966. Setelah tamat dari Institut Al-Quran Lanzhou, Gansu pada tahun 1989, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Islam Antarabangsa Pakistan. Di situ, beliau mula belajar menulis khat. Dia belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang tersebut. Pada masa ini, Muhamad Yusuf Chen Kun merupakan penulis khat yang terkemuka di China malah menjangkau ke arena antarabangsa.



Beliau menyandang pelbagai jawatan dalam bidang tersebut seperti Anggota Eksekutif Persatuan Penulis Kaligrafi Pen Keras Antarabangsa China, Pensyarah Institut Pengajian Seni Kaligrafi China, Setiausaha Persatuan Penulis Kaligrafi Pen Keras Provinsi Gansu, Pengetua Institut Vokasional Etnik Lanzhou, Pensyarah Institut Al-Quran Lanzhou dan penterjemah Syarikat Penterjemahan Sains dan Teknologi Provinsi Gansu.

Karyanya telah banyak kali dipamerkan bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga luar negara Banyak antaranya tersimpan di muzium dan di tangan individu dari Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan, Turki, A.S. dan Jepun.

Dalam Ekspo Budaya Etnik China yang diadakan di Beijing sempena menyambut hari kebangsaan pada tahun 1991, Muhamad Yusuf telah menulis khas di hadapan pengunjung. Persembahannya menarik perhatian ramai. Pelbagai media massa dari dalam dan luar negara seperti Stesen TV Pusat China (CCTV), Radio Nasional China, Akhbar Guangming, Akhbar Wenhui, Harian Budaya Etnik, Harian Beijing, Akhbar Malam Beijing dan akhbar-akhbar di negara-negara Arab telah memperkenalkan Chen Kun dan karya Katanya. 6 Karyanya telah meraih hadiah dan disimpan oleh Muzium Sejarah China. Selain itu, lebih 400 karyanya laris dan dijual habis dalam ekspo tersebut. Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Wang Guangying memuji karyanya dan menganggar karya beliau berjaya "mengembangkan budaya etnik".

Pada 28 Julai 2001, Muhamad Yusuf Chen Kun menyertai Pameran Kebudayaan dan Kesenian Islam di China dalam Tempoh 6 Abad yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia atas undangan Muzium Kesenian Islam di negara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap merasmikan berkata, pameran tersebut membolehkan rakyat Malaysia lebih memahami budaya Islam di China.

Beliau dan isterinya serta tokoh-tokoh yang lain seperti Ketua Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Pengerusi Persatuan Islam Cina Malaysia amat kagum dengan kemahiran Chen Kun dalam bidang menulis khat. Sebanyak 15 karyanya disimpan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia. RTM 1 dan TV 3, CCTV, akhbar Berita Harian, Harian Sin Chew, The Straits Times Singapura dan media massa yang lain telah membuat liputan tentang kejayaan Chen Kun dalam pameran tersebut.

Banyak buku koleksi karya Chen Kun telah diterbitkan oleh Agensi Penerbitan Gansu. Menurut pendapatnya, selain mewarisi budaya Islam dari Asia Barat, seni khat juga perlu menerima budaya tradisional China. Beliau menggabungkan ciri kaligrafi tradisional China dengan seni khat dan mewujudkan ciri seni khat tersendiri. Kejayaannya yang cemerlang amat membanggakan penduduk Islam di China.

Pameran Karya Seni Khat Chen Kun berlangsung di Muzium Kesenian Gansu pada 27 Jun tahun ini. Kira-kira seribu orang tokoh dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pegawai kerajaan, pakar, sarjana, tokoh Islam dan peminat seni khat telah mengunjungi pameran tersebut. Lebih 120 karya yang terpilih daripada penghasilannya dipamerkan dalam pameran ini. Seminar mengenai kejayaan beliau di bidang seni khat, sejarah seni khat dan perkembangan seni khat di China telah berlangsung dalam tempoh pameran tersebut. Sarjana, tokoh Islam dan peminat seni khat yang hadir dalam seminar tersebut mengagumi kejayaan Muhamad Yusuf Chen Kun dalam bidang tersebut.

Andika.CRI/-

Mao Sui Zi Jian : Cadangkan Diri Sendiri untuk Melaksanakan Sesuatu Tugas

Pada Zaman Chunqiu, iaitu kira-kira 2000 tahun yang lalu, negeri Qin telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Zhao. Akhirnya, tentera Qin berjaya mengepung Handan, ibu kota negeri Zhao, untuk memaksa raja negeri tersebut menyerahkan kuasa pemerintahannya. Pada saat yang genting itu, raja negeri Zhao memutuskan untuk menghantar Perdana Menterinya, Zhao Sheng ke negeri Chu untuk meminta bantuan tentera daripada negeri tersebut.

Sebelum berangkat, Zhao Sheng memanggil semua pengikutnya, untuk memilih seorang yang serba boleh daripada mereka untuk mengikutnya ke negeri Chu. Melihat Zhao Sheng susah untuk membuat pilihan, salah seorang pengikutnya yang bernama Mao Sui pun mencadangkan dirinya sendiri untuk dibawa bersama ke negeri Chu.

Melihat kemahuan dan azam yang kuat yang ditunjukkan oleh Mao Sui itu, ahkirnya, Zhao Sheng bersetuju untuk membawanya ke negeri Chu.

Sebaik sahaja tiba di negeri Chu, Zhao Sheng segera mengadap raja Chu di istana. Bagaimanapun, walaupun kedua-dua mereka telah berbincang panjang dari pagi hingga petang, namun sedikit kemajuan pun tidak tercapai. Melihat keadaan itu, Mao Sui yang menunggu di luar dewan istana itu, terus meluru masuk ke dalam dewan istana, sambil berkata dengan lantang,

"Tuanku membantu negeri Zhao melawan negeri Qin sesuai dengan kepentingan kedua-dua pihak. Situasi di negeri Zhao benar-benar sangat cemas. Mengapa tuanku masih berlengah-lengah membuat keputusan?"

Raja Chu menjadi berang, dan meminta Mao Sui supaya segera keluar dari dewan istana. Bagaimanapun, Mao Sui tidak mematuhi arahan raja Chu. Sebaliknya, dia bergegas mendekati raja itu dan mencabut keluar pedangnya, sambil berkata,

"Negeri Chu besar dan kaya, tetapi takut kepada negeri Qin. Kini negeri Zhao ingin bersekutu dengan negeri tuanku, tetapi tuanku tetap takut kepada mereka. Dengan sifat ini, bagaimana tuanku dapat mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan? Bagaimana pentadbiran yang tuanku terajui ini akan kekal lama? Nyawa tuanku kini berada di tangan hamba. Silalah tuanku buat keputusan dengan segera. "

Melihat hati raja Chu seolah-olah sudah tersentuh dengan pujukannya itu, Mao Sui menurunkan pedangnya, lalu menjelaskan secara lebih terperinci apa manfaat yang dapat diperoleh oleh negeri Chu jika negeri itu membantu negeri Zhao melawan serangan negeri Qin. Setelah berfikir beberapa lama, raja Chu berkenan dengan cadangan Mao Sui tersebut. Maka, baginda segera menghantar tenteranya ke negeri Zhao, dan berjaya membantu negeri tersebut menewaskan tentera negeri Qin.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Mao Sui Zi Jian" ini digunakan untuk mempersendakan seseorang yang sanggup mencadangkan dirinya sendiri untuk melaksanakan sesuatu tugas secara sukarela.CRI/-

Pihak Berkuasa Arab Saudi Bersiap Sedia Di Kawasan Melontar

MEKAH, 27 Nov :- Pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi telah bersiap sedia menerima jutaan tetamu Allah pada Jumaat di Jambatan Jamrat untuk mengawal orang ramai dan menempatkan anggota kecemasan di setiap pintu masuk dan keluar di jambatan lima tingkat itu untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan kes-kes kecemasan, demikian menurut laporan Akhbar Arab News hari Jumaat.

Akhbar itu memetik Komander Pertahanan Awam di Jamrat Brig Zuhair Sibiyah sebagai berkata kemudahan laluan lima tingkat di Jamrat mampu mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh kehadiran ramai jemaah.

Jambatan Jamrat boleh digunakan lebih daripada 300,000 jemaah haji dalam satu-satu masa dalam tempoh sejam untuk menunaikan ibadah melontar.

Jambatan itu turut menempatkan pusat kesihatan dan kecemasan untuk merawat jemaah haji yang mungkin menghadapi masalah kesihatan dan turut mempunyai platform pendaratan helikopter.

Jambatan itu direka sedemikian rupa bagi mengelakkan jemaah haji berhimpun di dalam satu tempat melontar dan setiap daripada tingkat jambatan itu mempunyai laluan keluar ke Mina.

Jemaah haji yang masuk melalui Jalan Raja Fahd akan ke tingkat pertama manakala mereka yang masuk dari Jalan Al-Jawhara akan melontar di tingkat bawah.

Jemaah haji yang datang dari Jabal Kabish akan masuk ke tingkat tiga jambatan itu manakala mereka yang datang dari Mekah masuk ke tingkat satu.

"Semua jemaah haji akan melalui laluan mudah dan selamat ke setiap tingkat jambatan itu untuk mereka melakukan ibadah melontar, balik ke Mina atau ke Mekah," katanya.

Beliau menjangkakan jemaah haji yang ramai datang dari Muzdalifah di tingkat bawah dan tingkat satu jambatan itu dan Jabatan Perlindungan Awam dan Pertahanan Awam akan mengukur tahap gas berbahaya dan tahap pencemaran udara di kawasan Jamrat.

Katanya lebih 1,300 anggota pertahanan awam dan tentera ditempatkan di kawasan Jamrat, selain kemudahan kamera CCTV yang dipasang di pelbagai sudut kawasan itu bagi memastikan sebarang kes kecemasan dapat diatasi segera.

-- BERNAMA

AGM MCA Tetap Diadakan Pada 4-5 Disember Depan - Ketua Penerangan MCA

PETALING JAYA: Ketua Penerangan dan Komunikasi MCA, Senator Heng Seai Kie berkata, Perhimpunan Agung (AGM) parti itu tetap akan berlangsung pada 4-5 Disember ini sebagaimana yang dijadualkan.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan AGM itu akan ditangguhkan.

Senator Heng berkata demikian melalui satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu dibuat untuk meleraikan kekelirukan yang timbul akibat spekulasi yang mengatakan AGM itu mungkin akan dilangsungkan pada satu tarikh yang baru ekoran keputusan untuk mengadakan pemilihan parti lebih awal.

Persetujuan untuk diadakan pemilihan pucuk pimpinan parti lebih awal telah sokong oleh kesemua pihak yang berpecah akibat krisis kepimpinan parti itu baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang hendak diadakan Sabtu ini oleh kumpulan yang menyokong Naib Presiden, Liow Tiong Lai telah dibatalkan.

“AGM akan berlangsung seperti yang dijadualkan kerana selain presiden parti, adalah salah disisi perlembagaan MCA untuk mana-mana ahli menangguhkan AGM,” tambah Heng.

Beliau juga kesal dengan tindakan sesetengah ahli parti yang menyebarkan berita kononnya AGM telah ditunda.

Menurut Heng, dakwaan itu adalah palsu dan meletakkan MCA dalam keadaan bahaya kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) mungkin akan membatalkan pendaftaran parti itu kerana tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin menekankan di sini, notis untuk mengadakan AGM telah pun dikeluarkan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Sebarang dakwaan yang mengatakan AGM telah ditukarkan pada tarikh lain adalah percubaan untuk mengelirukan delegasi pusat. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan huru-hara di dalam parti.

“Demi untuk mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli parti, saya merayu kepada semua ahli pusat untuk tidak mengendahkan khabar angin ini dan hadir pada AGM MCA 4 hingga 5 Disember ini," katanya. Mstar/-

Perutusan Hari Raya Qurban PJ PAS Perak.

Assalamualaikum wbt

Saya mewakili saf kepimpinan PAS Perak, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk negeri Perak Darul Ridzuan. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT.

Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim A.S. Kisah Nabi Ibrahim A.S baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah ALLAH SWT menyembelih anak kesayangannya. Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada
tiga;

Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada ALLAH SWT, Kedua, ‘Millah’ Nabi Ibrahim A.S ialah ALLAH SWT akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati ALLAH SWT, Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan. ALLAH SWT tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata
ditujukan kepada-Nya.

Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Semoga kita semua diberi kerahmatan dari ALLAH SWT, dalam mengharungi cabaran dan dugaan ketika hidup diatas muka bumi ini, gunakan lah kesempatan yang ada untuk kita berkorban untuk ALLAH SWT.

Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar