29 November 2009

Lebih 1,000 hadiri taklimat Liow


Lebih 1,000 menghadiri sesi taklimat oleh naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Lee San Choon, Wisma MCA di Jalan Ampang Pagi ini.

Tema taklimat tersebut adalah '1128, satu permulaan baru'.

Kerusi yang disediakan tidak mencukupi dan kerusi tambahan terpaksa dibawa masuk ke dalam dewan tersebut untuk menampung jumlah hadirin.

Tetapi tidak diketahui berapa ramai perwakilan yang hadir kerana sesi taklimat itu bukan perhimpunan agung, maka para hadirin tidak perlu mendaftar.

Selain pemimpin yang menyokong Liow dan serta tiga pemimpin yang meminta EGM diadakan, turut kelihatan ialah beberapa pemimpin lain termasuk naib presiden, Tan Kok Hong yang dilihat mengambil bersikap 'atas pagar' dalam krisis MCA, serta bekas setiausaha agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Malah, Ong turut menyediakan ucapan bertulis dalam bahasa Cina yang bertemakan "MCA melangkah ke hadapan'.

Kandungannya sepeti manifesto pemilihan. Sebelum ini tercetus spekulasi beliau akan bertanding jawatan tinggi parti dalam pemilihan baru yang akan diadakan nanti, dan perhimpunan hari ini menjadi gelanggang yang paling sesuai untuk beliau melancarkan "kempennya".

Perhimpunan itu juga meluluskan satu deklarasi menggesa pucuk pimpinan parti supaya mengadakan pemilihan baru parti dalam tempoh 60 hari.


Liow berkata beliau terharu apabila kira-kira 1,600 "perwakilan" menghadiri sesi taklimat tersebut, tetapi pengiraan secara bebas mendapati jumlahnya hampir 1,100 orang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ramai antara mereka adalah perwakilan.

Orang pertama berucap ialah bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka CHuan, yang memberi ucapan panjang lebar bertajuk"MCA melangkah ke hadapan".

Manakala dua penyokong kuat Liow - Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun pula mengecam Ong kerana memecat mereka dari majlis presiden, untuk menutup mulut mereka yang menentangnya.


Sehubungan itu, mereka menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi menghadkan kuasa presiden.

"Kita perlu meminta Artikel 46 perlembagaan parti supaya majlis presiden mesti dianggotai empat naib presiden yang dipilih dan dua lagi yang dilantik.

"Ini bagi mengelak berulangnya pucuk pimpinan (bertindak sendiri) dengan mengetepikan dua sayap parti dan menjadi diktator 'yang tidak bersayap'," kata Chew.

Wee pula berkata pindaan itu juga bagi memastikan penyandang jawatan awam - terutama menteri dan timbalan menteri - menjadi anggota majlis presiden.

"Rakan-rakan seperjuangan, bangunlah dan jangan biarkan presiden berbuat sesuka hati," kata Wee kepada para hadirin,


Liow yang terakhir berucap, menyifatkan MCA seperti kapal yang tidak berkemudi sejak dilanda krisis kepimpinan dan hanya boleh diselamatkan melalui pemilihan parti yang baru.

"MCA telah hilang haluan seperti kapal yang tidak berkemudi. Bolehkah kita biarkan parti berterusan seperti ini? Kita mesti bawa MCA balik ke pangkal jalan," katanya.

Beliau meletakkan kesalahan itu terhadap keenganan presiden MCA, Tee Keat, mengosongkan jawatannya selepas kalah dalam undi tidak percaya terhadapnya bulan lalu, walaupun sebelumnya berjanji untuk berbuat demikian walaupun kalah dengan satu undi.

Sesi taklimat tersebut berjalan selama hampir dua jam. Malaysiakini/-

Tiada ulasan: