28 Jun 2010

Judi: Himpunan 3 Julai diteruskan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusan kerajaan membantah judi sebagai keputusan Jemaah Menteri, bukan keputusan melibatkan Majlis Tertinggi Umno semata-mata.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ bersyukur dan menyambut baik keputusan berkenaan namun ianya mesti diumumkan secara jelas kepada rakyat bahawa ianya merupakan keputusan kerajaan Barisan Nasional.

"Kita menerima keputusan ini dengan menyatakan bahawa ia tetap perlu dilontarkan atau diumumkan daripada keputusan jemaah menteri, bukan daripada keputusan satu parti politik (Barisan Nasional) sahaja" katanya pada sidang media di Rumah Pena, di ibu negara hari ini.

Azmi juga menegaskan, GMJ tidak akan dimansuhkan begitu sahaja walaupun kerajaan menarik balik pemberian lesen judi, sebaliknya akan meneruskan kempen membantah judi secara berpanjangan.

Ini kerana, ujarnya keputusan menarik balik lesen judi itu hanyalah keputusan kecil sahaja sedangkan industri membabitkan perjudian sedang berkembang pesat di negara ini.

"GMJ akan berterusan secara berpanjangan kerana keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya sebahagian daripada isu judi dan industri judi yang sangat besar dan ini tidak bermakna tamat GMJ ini.

“GMJ akan diperkukuhkan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri dan kita akan lanjutkan kempen dengan lebih agresif supaya hasrat dan matlamat kita tercapai," katanya lagi.

Dalam pada itu, GMJ akan tidak akan membatalkan perhimpunan pada 3 Julai ini, cuma ianya tidak disertakan dengan perarakan bagi menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Azmi memberitahu, perhimpunan akan tetap diadakan di Masjid Negara dimulakan dengan solat Zuhur dan solat hajat dan disusuli dengan ucapan daripada wakil-wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah judi.

Perhimpunan itu dinamakan Himpunan Tak Nak Judi sebagai tanda bantahan rakyat pelbagai kaum terhadap segala jenis judi.

"Kita telah buat keputusan hari ini bahawa perhimpunan 3 Julai ini akan diteruskan kerana berpandangan negara harus diselamatkan daripada judi.

"Kita tidak akan berarak tapi akan berhimpun di pekarangan Masjid Negara selepas solat Zuhur dan solat hajat agar negara kita terselamat daripada musibah akibat judi. Pimpinan parti politik dan wakil NGO akan berucap dan kita sasarkan 10 ribu rakyat untuk hadir," katanya.

Menurutnya juga, semua parti politik termasuk Umno sendiri dialu-alukan untuk menyertai himpunan itu.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Wanita PR Membantah Judi (Sendi), Salbiah Abdul Wahab melahirkan rasa lega dengan keputusan itu kerana ianya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada wanita-wanita yang mempunyai suami kaki judi.

"Kami bagi pihak wanita sedikit lega dengan keputusan ini kerana bagi mereka yang mempunyai suami yang kuat berjudi, sekurang-kurangnya aktiviti perjudian dapat dikurangkan atau dihentikan apabila tiada lesen judi dikeluarkan. Jika tidak wanita dan anak-amak terpaksa menanggung kesan akibat suami dan ayah yang menghabiskan wang untuk berjudi," katanya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat.

Turut bersama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi GMJ, Rahimi Abdul Rahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, bendahari, Nahar Md Nor daripada Jemaah Islam Malaysia (Jim) dan wakil-wakil NGO yang lain.

Harakahdaily/-

PKR S'gor dirombak, Azmin ganti Khalid

Naib Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam hari ini.

Menurut Wan Azizah, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugaskan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini dimohon oleh Tan Sri Khalid sendiri bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," katanya.

Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Kekosongan yang ditinggalkannya Azmin di negeri itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, umum Wan Azizah lagi.

Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR.

Anwar nafi cubaan MP guling Khalid

Khalid tidak hadir dalam kesemua sesi pemukiman dua hari sejak semalam di sebuah hotel di Shah Alam.

Selain ditemani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketiga-tiga Azmin, Khalid dan Zaid hadir bersama dalam sidang media petang ini.

Bercakap soal yang sama, Anwar juga memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian.

"Ia sedang dimuktamadkan," katanya yang enggan menyatakan terlebih dahulu negeri atau pimpinan terbabit.

Selain itu, Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

"Perkara itu tak berbangkit sama sekali. Kita sebulat suara dokong penuh. (Beri) Pandangan itu biasalah.

"Kita tengok Tan Sri Khalid pun tak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno," katanya. Malaysiakini/-

Bersedekah Harta yg terbaik

http://akhisalman.blogspot.com/

Sedekah adalah satu keperluan bagi setiap muslim kerna ia menjadi benteng drpada api neraka. Sabda Nabi s.a.w: "Jauhilah kamu daripada api neraka walaupun dengan bersedekah dgn belahan buah tamar."

Sedekah yg dianjurkan oleh Islam adalah seseorang muslim itu memilih hartanya yang terbaik dan paling disukai utk disedekahkan. Firman Allah s.w.t: "Kamu tidak dapat mencapai kebaikan sehingga menginfakkan harta yg kamu kasihi."(92: Ali Imran).

Abu Talhah r.a seorang golongan yg kaya dan mempunyai banyak ladang2 kurma. Harta yg paling disayanginya adalah ladang bairaha. Ianya mengadap masjid Nabi. Rasulullah biasa masuk ke bairuha dan minum airnya yg amat sedap. Apabila turun ayat ini (ayat diatas) Abu Talhah pergi berjumpa rasulullah s.a.w dan berkata: " Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah taala telah menurunkan kepadamu ayat: (ayat diatas) dan harta yg paling aku sayangi adalah bayruha dan ianya aku sedekahkan kerna Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan ganjarannya disisi Allah. Maka engkau salurkanlah tanah ini mengikut pandanganmu. Rasulullah s.a.w bersabda: "hebat2; itu adalah harta yg membawa keuntungan . Aku dah dengar ape yg engkau perkatakan. Aku berpandangan bahawa tanah ini disedekahkan sanak saudaramu. Abu Talhah berkata "Aku akan buat hai Rasulullah" Lalu dia membahagi2kan tanah tersebut kepada saudara2nya.

Allah melarang kita daripada bersedekah dgn harta yg tak elok. Firman Allah: "Dan janganlah kamu memilih harta yang buruk untk kamu sedekahkan sedangkan harta tersebut kamu tak ambil jika diberikan kepadamu melainkan dgn kamu memejamkan matamu."(267:Al-Baqarah)

Oleh itu marilah kita memperbanyakkan sedekah harta yg elok di awal bulan zulhijjah ini yg mana palanya lebih besar daripada berjihad di bulan yg lain.

rujukan: Akhlaqul Muslim (mujtama) oleh DR Wahbah Zuhaili.

Hukum Qada solat sunat

http://akhisalman.blogspot.com

Mazhab Hanafi dan Maliki:

Apabila terlepas solat sunat samada mutlak (yg tidak dikaitkan dgn sebab dan waktu) atau muqayyad (dikaitkan dengan sebab @ waktu) maka tiada diqada’ kecuali solat sunat subuh….ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan Maliki..berdasarkan satu peristiwa yang telah diceritakan oleh Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w telah solat asar kemudian baginda masuk kedalam rumahku dan solat dua rakaat..maka aku bertanya : Wahai Rasulullah adakah engkau telah melakukan solat yang tidak pernah engkau lakukan sebelum ini? Maka sabda Nabi s.a.w : Aku sibok menguruskan harta yg datang sehingga tak sempat melakukan solat rawatib lepas zuhur yg biasa aku buat. Maka aku pun buatnya sekarang. Maka aku (ummu salamah) bertanya “Hai Rasulullah adkah aku perlu mengqada solat rawatib yg telah aku tinggal? Nabi s.a.w menjawab “Tidak”(Hr Ahmad)

Hadis ini merupakan dalil bahawa qada’( untuk solat sunat ) tidak wajib bagi kita umat nabi Muhammad…dan ia hanya khusus untuk Nabi sahaja…maka kita tidak termasuk dalam pengkhususan ini.Berdasarkan hadis ini juga….dikiaskan bahawa solat sunat subuh juga asalnya tidak wajib qada’ melainkan kami(mazhab Hanafi dan Maliki) membolehkannya qada’ jika ianya terlepas bersama solat fardhu kerana Nabi s.a.w “melakukannya bersama solat fardhu di malam ta3ris(musafir singgah di hujung malam utk berehat) .(Hr Muslim)

Mazhab Syafie: .

Imam Nawawi dari mazhab Syafie telah berkata: Jika telepas solat sunat yang muaqqat ( berwaktu ) seperti solat hari raya dan solat dhuha…maka sunat qada’ berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang terlupa solat atau tertidur maka kaffarahnya adalah melakukan solat itu apabila dia ingat.” Ini kerana nabi s.a.w telah qada’ dua rakaat solat sunat subuh ketika Nabi tertidur di wadi dan terlepas solat subuh sehingga naik matahari. Dan baginda qada’solat sunat selepas zohor selepas solat asar kerana ia merupakan solat sunat muaqqatah(berwaktu)…maka di qada’ seperti solat fardhu. Ini samada semasa musafir atau tidak seprtimana yang telah dijelaskan oleh Ibnul Muqri.Ini adalah pendapat yang lebih kuat dalam masalah ini bagi mazhab Syafie.Disana terdapat dua lagi pendapat yang kurang kuat iaitu :1. Solat – solat sunat yang berwaktu tidak diqada’ sebagaimana solat –solat sunat yang tidak berwaktu. 2. Diqada’kan solat sunat yang tidak mengiringi solat-solat lain seperti solat dhuha…dan sekiranya ia mengiringi solat lain maka tidak diqada’ ,contohnya:solat rawatib.

Mazhab Hambali:

Imam Ahmad telah berkata: Tidak sampai hadis kepada kami bahawa Nabi s.a.w telah qada’ solat sunat kecuali dua rakaat solat sunat subuh dan dua rakaat solat sunat selepas zohor yang Nabi kerjakan selepas asar. Al-qadhi dan sebahagian ulama’ mazhab hambali telah berkata : Tidak diqada’kan solat sunat kecuali dua rakaat solat sunat subuh dan dua rakaat solat sunat selepas zohor.

27 Jun 2010

PAS tidak gentar ribuan orang agama sertai Umno

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Malaysiakini/.-

KUMPULAN 40 DIBERI TEMPOH BERPANTANG 40 HARI

WFAUZDIN NS

MAKA, 40 orang (bukan 40 penyamun) budak-budak mengaji agama itu pun memilih untuk bersama dengan gerombolan sekutu Apco Yahudi Laknatullah. Mereka menggelar kumpulan mereka `40 Ulamak' tetapi tidak seekor pun dari mereka yang kita kenal atau popular selaku pendakwah seperti Us Harun Din, Ismail Kamus, Tuan Ibrahim Tuan Man dan paling tidak pun seperti Us Shahril Long mahupun Ustaz Azhar Idrus.

Mungkin terlalu jauh untuk kita bandingkan dengan Ulamak-Ulamak terkenal yang kita sebutkan tadi. Tetapi, jauh juga untuk dibandingkan dengan orang seperti Hj Nakhaei Ahmad, Firdaus Ismail (bekas Imam Besar Masjid Negara) ataupun Mashitah Ibrahim yang terlebih dahulu mencium hangit dan tengitnya parti sekular yang bersekutu dengan Apco itu. Sekiranya Allah membalikkan hati Us Dr Mohd Asri untuk bersama kumpulan 40 ekor itu, mungkin itulah seorang yang boleh kita kenal dan dianggap popular. Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini Us Dr Mohd Asri masih dilindungi Allah. Mudah-mudahan kekal begitu.

Sempena dengan kemasukan kumpulan 40 ekor itu ke dalam gerombolan sekutu Apco, maka diistiharkan tiada lesen judi sukan akan dikeluarkan. Itu mungkin pra syarat pertama kumpulan 40. Orang kata sekadar mengambil hati kalau pun tidak untuk memperbodohkan kumpulan 40 ekor itu. Kita jangan terperanjat jika di dalam Pilihanraya Umum akan datang nanti, kumpulan 40 ekor ini adalah bakal calon-calon sekutu Apco untuk menunjukkan bahawa sekutu Apco juga berminat dengan Islam.

Apa alasan kumpulan 40 (sebelum ini dikatakan 100 ekor) untuk bersama-sama `berjihad' dengan sekutu Apco? Alasannya sebiji sama dengan alasan beberapa orang yang berkelulusan agama yang lebih awal diperbodohkan seperti Nakhaei, Firdaus dan Mashitah dan terbaru Jamil Khir. Kesemua mereka ingin men`syahadah'kan parti sekular itu untuk kembali kepada Al-Quran. Hasilnya? Bertambah baikkah atau bertambah teruk? Disaat dua tiga ekor yang ternama itu berada di dalam, pemimpin mereka bercita-cita untuk meluluskan lesen judi sukan. Lesen judi yang lain telah lama ada malah pusat judi terbesar kekal tersergam indah di puncak gunung. Apa yang dua tiga ekor ternama di dalam bidang agama ini mampu buat? Jika yang sudah ternama seperti ini tidak mampu buat apa-apa melainkan cukup bulan makan gaji, adakah kumpulan 40 ekor budak ini boleh buat?

Kita tidak mahu bersangka buruk terhadap kumpulan 40 ekor ini. Kita beri masa kepada kumpulan 40 ini tempoh `berpantang' 40 hari juga. Selepas itu, dalam tempoh 100 hari kita mahu lihat apa perubahan yang berlaku di dalam parti sekular yang mereka sokong itu. Jika di dalam tempoh tersebut mereka gagal untuk menjadi lebih cerdik dari kebanyakan yang jahil di dalam parti yang baru mereka sertai itu, kita nasihatkan kepada mereka kembalilah semula ke pondok atau pengajian agama seandainya mereka masih segan untuk berjuang bersama kita.

Satu perkara yang sering disebut, jika mahu mencuci najis di dalam tong, jangan masuk ke dalam tong najis berkenaan kerana kelak tubuh kita dipenuhi najis. /mandor.blogspot.com

Judi Dan Arak Tetap Haram Walaupun Sejuta Ulama Menyertai UMNO

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com


Sepertimana yang pernah saya persoalkan sebelum ini, adakah benar mereka ini ulama sepertimana yang digariskan oleh Islam? Atau sekadar dilabelkan sebagai ulama? Atau buat-buat ulama? Terpulang untuk memilih mana satukah jawapannya.

Apa nak hairan, di bumi Mesir ini pun “ramai ulama-ulama UMNO”. Di Jordan pun ramai jugak kan? Apa nak dihairankan? Saya rasa pelik, kenapa mereka yang memperjuangkan UMNO di Mesir dan Jordan ini tidak kedengaran ke”ulama”kan mereka apabila di Malaysia?

Setiap tahun, pasti ada mereka yang mengikuti pengajian Islam di Timur Tengah, akan pulang ke Malaysia, dan membawa ideologi UMNO. Tetapi ke manakah mereka di dalam UMNO? Terpulanglah, itu ideologi masing-masing..

Tapi, suka untuk saya memberi nasihat di sini, “jangan salahgunakan istilah ulama”. Kalau istilah ulama disalahgunakan, tak hairanlah kalau sejuta “ulama” akan buat maksiat. Dulu, ada yang mengatakan Ustaz Pirdaus dan Ustazah Masyitah itu sebagai ulama.

Tetapi taring mereka sudah tidak kelihatan hari ini untuk membela UMNO, lebih-lebih lagi isu judi. Saya juga tidak hairan kalau terdapat lebih daripada sejuta “ulama” akan masuk UMNO sekiranya istilah “ulama” itu disalahgunakan.

Saya agak terkilan dengan UMNO apabila isu judi ini semakin membarah. Selain itu banyak lagi isu-isu yang jelas bertentangan dengan Islam. Maka, saya sebagai mahasiswa Islam tidak akan berdiam diri dengan perkara ini.

Saya juga terfikir, kalaulah UMNO itu perjuangkan Islam, alangkah bagusnya.. Tetapi itu sekadar harapan. Sebelum ini mereka menyingkirkan ulama, hari ini mereka berdalilkan “ulama” untuk meraih sokongan. Saya tidak sabar menanti hujah 40 orang ulama ini untuk mengulas isu judi, arak, hudud dan sebagainya.

Satu perkara lagi ingin disebutkan, UMNO berpegang dengan menolak hudud dan menghalalkan judi, kalau sejuta orang ulama menyertai UMNO sekalipun, perjuangan UMNO ini tetap salah dan bercanggah dengan Islam.

Judi tetap haram walaupun sejuta ulama menyertai UMNO.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

Mahasiswa al Azhar Bersedia Hadapi 100 Ulama Yang Menyokong Kezaliman

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Lukisan suasana Masjid al Azhar, pusat menimba ilmu

Sepertimana yang telah diberitakan, seramai 100 orang yang dikatakan sebagai ulama akan menyertai UMNO. Baru diberitakan sebentar tadi, seramai 40 orang telah pun menyertainya. Dan isu yang ingin saya bangkitkan di sini bukanlah “kepartian”, tetapi isu Agama Islam dan kezaliman.

Sepertimana yang telah kita ketahui sebelum ini, beberapa unsur percanggahan dengan Agama Islam telah jelas dan terang dilakukan oleh parti tersebut. Bahkan unsur kezaliman juga telah banyak berlaku dan jelas di hadapan mata kita.

Antara bentuk percanggahan dengan Islam ialah perjuangan sekularisme, liberalisme, nasionalisme dan sebagainya. Manakala unsur yang berbentuk kezaliman ialah menolak pelaksanaan hudud, judi, arak, mempermainkan hukum Allah, kehilangan duit negara berbillion-billion ringgit dan sebagainya. Tidak perlu diulas panjang di sini.

Bertambah pelik apabila 40 orang yang dikatakan sebagai ulama telah menyertai parti ini. Bahkan dijangka lagi 60 orang yang dikatakan sebagai ulama akan menyertainya juga.

Maka, sebagai makluman untuk 40 orang yang telah menyertai ini, kami di Mesir, khususnya pengajian Islam di al Azhar sudah bersedia untuk berhadapan dengan ulama-ulama yang menyokong kezaliman ini.

Dan nasihat daripada saya, anda akan menanggung dosa-dosa kezaliman tersebut, dan anda “berpotensi” untuk bergelar ulama bisu. Kalau betul anda menyertainya untuk menyebarkan dakwah Islam, bermakna anda sudah tersilap pilih jalan untuk menyebarkannya.

Saya ingin bertanya, “kenapa baru sekarang terhegeh-hegeh nak mendaftar untuk menjadi ahli?” Kenapa anda tidak perjuangkannya sejak di tempat pengajian anda lagi? Adakah anda menyangka perjuangan untuk menegakkan kezaliman dan percanggahan dengan Islam ini sebagai perjuangan yang suci?

Adakah anda mengamalkan pegangan “taqiyyah” yang diamalkan oleh syi’ah? Adakah anda berani berhadapan dengan azab Allah kepada mereka yang menyokong kezaliman? Adakah anda ingin merealisasikan konsep “terjun dalam lubang najis, untuk bersihkan najis?”. Akhirnya anda akan lemas dengan najis tersebut.

Adakah anda tidak tahu, selama ini perjuangan parti tersebut sudah bercanggah dengan Islam? Adakah anda tidak tahu, sebelum ini parti tersebut pernah menghina sunnah Nabi yang anda perjuangkan? Adakah anda tidak tahu, parti tersebut menolak pelaksanaan hukum Allah?

Atau anda sengaja buat-buat tidak tahu, atau ada udang di sebalik batu? Saya selaku Mahasiswa Universiti al Azhar menantikan ulasan dan hujah anda untuk membolehkan perkara yang haram, dan mengeluarkan dalil untuk bercanggah dengan Islam.

Sekadar inilah nasihat yang mampu saya berikan untuk golongan ini. Ingat, anda perlu kenal musuh sebenar, dan membezakan di antara usul dan furu'. Anda juga perlu tahu kebenaran yang sebenar, dan kebenaran yang palsu.

Kalau anda berselisih pandangan, jangan sampai memilih perkara yang batil. Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, bezakan antara hitam dan putih dahulu sebelum anda bezakan antara biru dan hijau.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

DAP pertikai exco Perak kerap mesyuarat di KL

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zamry Kadir diminta memberikan rasionalnya mengapa mesyuarat exco kerajaan negeri kerap kali diadakan di hotel bertaraf lima binatang di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang juga setiausaha DAP Perak berkata kali terakhir mesyuarat kerajaan negeri diadakan di Kuala Lumpur ialah pada Rabu lalu.

Katanya, ketika rakyat Perak menghadapi kekangan kewangan dan defisit kerajaan negeri mencecah RM70 juta pada tahun ini, kerajaan negeri pula boros berbelanja.

“Sedangkan bangunan Perak di Ipoh telah siap dengan segala kemudahan. Tindakan Zamry adalah satu pemborosan wang rakyat dengan puluhan ribu elaun, sewa hotel dan kos penginapan serta kos pengangkutan yang terpaksa dibiayai rakyat kerana mesyuarat exco di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Taiping, semalam.

Nga berkata, adalah tidak masuk akal untuk sering-kali mengadakan mesyuarat exco Perak diadakan di Kuala Lumpur, mahupun di tempat-tempat peranginan lain sedangkan hutang negara yang mencecah jumlah RM377 billion semakin membimbangkan.

Perak negeri ke-3 termiskin

“Tambahan lagi, negara kita sedang menghadapi risiko menjadi muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala,” katanya.

Merujuk perangkaan Jabatan Perdana Menteri, Nga berkata 40 peratus daripada keluarga rakyat di negara ini, iaitu 2.4 juta keluarga di seluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan.

“Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5 peratus dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. Di bawah pemerintahan BN, Perak juga merosot menjadi negeri ke-3 termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Terengganu,” katanya.

Nga juga membidas kerajaan yang menasihatkan rakyat berjimat-cermat dan membayangkan kemungkinan subsidi barangan asas ditarik balik atau dikurangkan tetapi pada masa yang sama boros berbelanja.

“Contohnya, kerajaan belanja RM6,700 juta untuk membeli kapal peronda TLDM walaupun Malaysia adalah anggota treati antarabangsa anti perang dan berada di luar zon perang,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kewangan yang lemah dan tindakan boros kian serius dan menyeru rakyat berubah untuk menyelamatkan negara daripada menjadi muflis menjelang tahun 2019.

Malaysiakini/-

26 Jun 2010

JI dan Militan : Penutup Tempayan Budu Kerajaan

HASANHUSAINI

Awal Millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat menjadi mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.

Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh ibubapa yang melatah dengan isu tersebut.

Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias itu. Saya yang masih berada dipondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari 'pondok militan' ke Sekolah Kementerian.

Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyak mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.

Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas Parti Pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi empuk memanda Perdana Menteri.

KISAH HARI INI

Awal 2009, seorang ahli MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, Kapal Selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpian kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.

Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca : menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi, Zionist, Israel serta Amerika.

Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!

Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.

Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Serangan dan penangkapan itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10 jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan, kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!

Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapa Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke atas Jemaah Islam dan Militan di Malaysia. Tangkapan dibuat dan beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan Militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia samada kerana mendapat nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetangah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin Jet, kapal selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defesit negara, kezaliman Polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan isu JI dan Militan.

Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa Militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah

- Bersedia untuk berjuang.
- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.
- Aktif dalam perjuangan.

Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?

Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal Millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah Agama, Pelajar Agama, Persatuan Agama, Guru Agama dan Institusi Agama dan Institusi Ulama'.

Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau Militan di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan Mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus juga perlu behati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi, Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda semua mungkin sasaran Israel!!

Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
www.hasanhusaini.com

MIMPI ANWAR MENAKUTKAN EZAM SESUMPAH

Oleh: WFAUZDIN NS

AKHBAR Sinar semalam menyiarkan kenyataan Senatak Ezam sesumpah yang mengulas tentang rombakan yang bakal dilakukan terhadap pimpinan di dalam PKR. Ezam sesumpah menyatakan rombakan itu adalah helah DS Anwar untuk mengalih perhatian rakyat dari kes liwat yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang dan juga terhadap isu lompat parti di kalangan Wakil Rakyat dari PKR.

Nampaknya Senatak Ezam tidak mudah untuk melupakan nama DS Anwar. Apa jua kaitan dengan parti di dalam PKR mahupun di dalam PR, bagi Ezam sesumpah kesemuanya adalah helah DS Anwar. Isu injin klip video Linggam, Altantuya, kehilangan injin pesawat, kapal salam, Apco, judi bola dan berbagai lagi yang DS Anwar berjaya dedahkan kesemuanya helah DS Anwar.

Ezam tidak pernah mahu menjawab hujah bekas bosnya itu kerana kita tahu Ezam sesumpah bukan seperti Ezam yang kita kenal dulu. Ezam sesumpah kini telah dimakan sumpahnya sendiri. Dendam kesumat terhadap DS Anwar tidak akan padam selagi beliau tidak padam.

Bukan Ezam tidak tahu kredibiliti kesemua Wakil Rakyat dari PKR yang melompat itu. Dia tahu benar, kesemua mereka tidak akan menjadi katak sepertinya jika tiada apa-apa. Bukankah Ezam sesumpah pernah berkata, "mana ada orang yang masuk Umno itu ikhlas?". Sebab itu, Ezam sesumpah semenjak tidor sebantal dengan Umno, beliau sering bermimpi perkara-perkara yang menakutkannya terutamanya bayangan DS Anwar. Sewaktu beliau meninggalkan perjuangan menuntut reform, beliau menyangka pengikutnya seperti beliau yang amat lemah bila berhadapan dengan umpan keduniaan. Berapa orang yang mengikut Ezam waktu itu?

Tidak hairanlah sekarang, di mana jua Ezam sesumpah menyalak kita akan lihat kehadiran yang mendengar cerita karutnya hanyalah beberapa kerat orang sahaja. Jumlahnya jauh jika dibandingkan sewaktu beliau berjuang bersama rakyat dahulu. Ezam sesumpah menyedari betapa hinanya beliau di sisi rakyat sekarang, tetapi beliau tidak kisah kerana beliau dipandang mulia oleh Najib sehinggakan mendapat Senatak. Tetapi belum tentu beliau disukai oleh penyokong-penyokong Umno yang lain. Kita bakal melihat Ezam sesumpah akan bertarung pula sesama puak-puak mereka.

Kita berharap Ezam sesumpah akan menemui apa yang dicarinya di dalam Umno. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. /wfauzdin.blogspot.com

PM: K'jaan tidak akan keluar lesen judi sukan

Gelombang tentangan dan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan yang berhasrat mengeluarkan lesen judi sukan akhirnya mendapat reaksi dari Kerajaan yang mengumumkan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.

Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

"Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial," tambahnya.

Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan "kita ambil kira semua pandangan ini".

"Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

"Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut," tegas perdana menteri.

Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.

Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini,/Sumber asal:malaysiakini

Judi bawa kecelakaan - sami

12 Rejab 1431 H
Oleh: Hafiz Irwan

PASIR PUTEH, 24 Jun: Sami yang juga selaku ketua agama Buddha Wat Phutaksin, Semerak, dekat sini yang dikenali dengan Thannun (gambar) mengakui amalan judi tidak dibolehkan di dalam ajaran agama berkenaan.

Thannun berkata, mengikut ajaran Buddha amalan judi boleh mendatangkan kecelakaan selain hukuman serta balasan tuhan akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan amalan tersebut.

“Hukuman atau balasan sebab dan akibat judi, di dalam agama Buddha kita panggil hukum karma. Hukuman itu akan dikenakan sama ada ketika di atas dunia ini lagi mahupun di hari esok (selepas mati).

“Sebenarnya kita di dalam Buddhapun punyai kepercayaan tentang adanya syurga dan neraka. Sesiapa beramalan baik akan masuk syurga dan jahat akan masuk neraka.

“Di dalam satu kitab Buddha ada menyebut bahawa terdapat beberapa pintu kecelakaan bagi orang yang melakukan sesuatu perkara yang tidak baik, salah satunya ialah judi,” katanya semasa ditemui di wat tersebut awal pagi ini.

Menurutnya lagi, di dalam kepercayaan Buddha juga judi boleh menyebabkan taraf kehidupan seseorang itu menjadi rendah dan hina malah tidak dihormati terutamanya di kalangan pemimpin.

“Macam raja, menteri apabila dikait dengan judi taraf mereka jatuh kerana dia akan dipandang rendah, rakyat tidak hormat, inilah maksud mendatangkan kecelakaan itu,” katanya.

Harakahdaily/-

Raudhatus Sakinah bantu remaja bermasalah

12 Rejab 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 24 Jun: Berita seorang pelajar meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort di sini mengejutkan semua pihak.

Lebih malang lagi gadis itu menjadi mangsa pergaulan bebas, perbuatan zina sehingga mengandung luar nikah yang berakhir dengan kematian akibat pengguguran.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, gejala seperti itu berlaku kerana kurangnya pendidikan dan penghayatan agama.

Selain itu lemah jatidiri, pengaruh kawan dan persekitaran serta kurang mendapat kasih sayang dalam keluarga.

”Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di Raudhatus Sakinah, sebuah pusat bimbingan dan perlindungan remaja puteri kami mendapati empat faktor terbabit menyebabkan remaja terjerumus ke kancah gejala sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Pasir Mas meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort.

Sebelum itu pada bulan Julai tahun lepas seorang pelajar sebuah universiti juga dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.

Dr Hafidzah berkata, Wanita JIM merasa sungguh kesal dan dukacita di atas kejadian yang berlaku itu.

Katanya, sampai bilakah situasi itu akan terus dibiarkan berlaku.

”Kami berharap semua pihak boleh memainkan peranan secara lebih berkesan untuk menghentikan penyakit sosial sehingga boleh menghancurkan keutuhan masyarakat dan negara.

”Apalah ertinya pembangunan fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan spiritual,” katanya.

Menurutnya juga Raudhatus Sakinah turut menyumbang kepada masyarakat melalui perkhidmatan pencegahan dan perawatan terhadap masalah gejala sosial.

Kata beliau dari aspek pencegahan pihaknya mengendalikan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja.

Manakala dari sudut perawatan Raudhatus Sakinah membimbing remaja yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu katanya, remaja perempuan yang bermasalah boleh menghubungi pusat berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di talian 013 9964077.

Harakahdaily/-

Judi bola: DAP cabar Rais namakan pertubuhan Cina

12 Rejab 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Jun: DAP mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menyatakan pertubuhan Cina yang didakwa memohon kerajaan meluluskan judi bola sebelum ini.Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Rais itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Rais dalam sebuah akhbar hari ini bahawa kerajaan perlu menghalalkan judi kepada orang bukan Islam sebagai menghormati hak mereka.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya.

Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

“Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” ujarnya.

Katanya, Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.

Harakahdaily/-