18 Ogos 2010

Pimpinan PR Perak ziarah Ust. Bakar.



8 Ramadhan 1431H.
Nga Kor Ming

IPOH : Isteri kesayangan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Bin Hussien, Allahyarhamah Ustazah Siti Rafeah telah kembali ke rahmatullah kerana sakit kanser pada pukul 2.20 petang, tanggal 17/8/2010. Allahyarhamah Ustazah berumur 56 tahun dan meninggalkan 6 orang anak. Mayat beliau disemadi di perkuburan Islam Kg Rapat Setia Tambahan, Ipoh pada waktu malam hari ini.

Setelah mendengar berita pemergian beliau, pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat, penyokong dan orang ramai berduyun-duyun datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau dan mengucapkan takziah. Antara yang hadir termasuk Bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohd Nizar Bin Jamalluddin, Pengerusi DAP Perak, Dato Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Taiping, YB Nga Kor Ming, ADUN Tronoh, Yb Sivakumar, Ketua Pemuda DAP Perak, YB Wong Kah Woh dan lain-lain.

PAS buka cawangan baru: bukti rakyat semakin menerima

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: safarizal saleh

15 Ogos 2010 (KUALA KANGSAR) - PAS Kawasan mengorak langkah dengan penubuhan penaja PAS Cawangan Taman Chandan Putri yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Haji Salahuddin Haji Ayub.

Kejayaan meneembusi kawasan separa elit ini yang menjadikan cawangan PAS yang ke - 36di dalam Kawasan Parlimen Kuala Kangsar. keahlian bagi penaja cawangan ini adalah seramai 57 orang.

Manakala ketua penaja PAS Cawangan adalah Dr Raja Ahmad Al-Hiss yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Dalam ucapan perasmian oleh Haji Salahuddin mengucapkan ucapan tahniah di atas kejayaan penubuhan cawangan ini.

Ini juga membuktikan golongan cerdik pandai sememangnya bersama dengan PAS dan PAS akan terus menjadikannya sebagai parti alternatif bangsa Melayu.

Pemuda PR Ipoh Timur mula gerakerja Pilihanraya bersama

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: safarizal saleh

16 Ogos 2010 (IPOH) - Usaha bagi menubuhkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Kawasan Parlimen Ipoh Timur telah menjadi kenyataan dan bakal dirasmikan sempena program bersama Wakil Rakyat Ipoh Timur Lim Kit Siang pada 20 Ogos ini.

Sekretariat yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Saleh bersama Ahli Jawatankuasanya yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur, Angkatan Muda PKR Cabang Ipoh Timur dan Pemuda Sosialis DAP Ipoh Timur.

Antara program yang telah disusun ialah serah sumbangan kepada warga yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Ipoh Timur dan serahan bantuan juga di Surau Taman Temara, Ipoh. Manakala pada sebelah malamnya di Dewan Chin Woo akan diadakan ceramah bertajuk 'Ke Putrajaya'

Antara tetamu yang akan bersama ialah Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Perak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri Perak yang juga Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye.

Pada sebelah malamnya panelis lain yang turut bersama ialah Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Negeri Perak Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hutan Melintang yang juga Naib Pengerusi PKR Negeri Perak S.Kesevan.

Selain daripada program-program yang bakal disusun, Sekretariat ini telah bergerak menjalankan kempen bersama daftar pemilih baru kepada seluruh warga penduduk di sekitar Kawasan Ipoh Timur ini.

Sempurnakan zakat fitrah anda tahun ini

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Saban tahun kita membayar zakat fitrah. Alhamdulillah, tidak ada yang terkecuali untuk membayarnya walaupun mereka dalam kalangan orang miskin. Pengalaman saya sebagai amil zakat beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada yang enggan membayar kecuali yang terlupa atas kesibukan bekerja, lalu mereka membayarnya juga selepas solat hari raya.

Tahukah anda mengapa umat Islam berlumba-lumba membayar zakat fitrah walaupun mereka miskin? Adakah kerana kadar zakat fitrah terlalu rendah dan mampu untuk membayarnya? Adakah kerana ketiadaan membayar zakat fitrah itu akan menyebabkan puasanya tergantung? Adakah kerana ramai orang membayarnya lalu mereka perlu ikut orang ramai? Atau adakah kerana promosi tentang kewajipannya sering dibuat?

Empat kemungkinan itu sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran umat Islam untuk membayarnya. Tetapi faktor nilai atau kadar rendah bukanlah alasan yang kuat. Buktinya, kadar yang tinggi diperkenalkan pada tahun lalu masih tidak menjejaskan jumlah pembayarnya.

Begitu juga faktor ikut orang ramai, kerana masing-masing sudah tahu kewajipannya. Malah lazimnya orang ramai ingat akan zakat fitrah kerana sudah sinonim dengan puasa Ramadan.

Namun saya percaya, ramai yang terpanggil untuk membayar zakat fitrah ini kerana pengaruh promosi yang berterusan di mana-mana media massa.

Apatah lagi dalam promo yang disiarkan itu menjelaskan kewajipannya dan kesan bagi yang tidak menunaikannya. Semua itu telah menimbulkan kesedaran kepada orang ramai untuk segera menunaikannya.

Memang benar, peranan iklan dalam menyedarkan masyarakat amat tinggi. Sebab itu apa-apa yang hendak dilakukan dengan jayanya perlukan iklan yang kerap dan menarik. Malah dikatakan jika seseorang itu mendengar atau melihat sesuatu itu berulang kali sebanyak 40 kali, perkara itu akan terlekat pada hati seseorang itu.

Syabas diucapkan kepada pusat zakat negeri-negeri kerana anda telah berjaya memainkan peranan itu dengan sebaiknya.

Kadar bayaran zakat fitrah

Menyentuh soal kadar zakat yang agak tinggi mulai tahun lalu, mungkin agak mengejutkan umat Islam. Tetapi tidak ada yang mahu membantahnya kerana menyedari bahawa zakat fitrah adalah ibadah yang wajib.

Di negeri Selangor sebelum ini zakatnya bernilai RM5.70 tetapi terus melonjak ke RM7.00. Kadar ini meningkat mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh rakyat Selangor waktu ini. Begitu juga yang berlaku pada negeri-negeri lain.

Persoalannya mengapa kadarnya mengikut nilai harga beras? Sebenarnya, zakat fitrah pada asal hukumnya ialah mengeluarkan segantang makanan asasi masyarakat setempat. Maknanya kalau di negara Arab yang makanan asasinya kurma, maka segantang kurma perlu dikeluarkan sebagai zakat fitrah.

Bagi rakyat negara ini, makanan asasi kita ialah beras maka perlu dibayarkan segantang beras itu sebagai zakat fitrah.

Walau bagaimanapun jenis gantang yang diambil kira ialah gantang baghdadi yang bentuk dan saiznya kecil sedikit daripada gantang Malaysia. Kalau beras diisi dalam gantang Malaysia dan ditimbang, beratnya ialah 3.6 kg. Tetapi kalau beras yang sama diisi dalam gantang baghdadi beratnya hanyalah 2.7 kg, ertinya kecil sedikit.

Berdasarkan itu, rakyat Selangor yang makan beras dengan kadar harga di sini perlu didarabkan dengan 2.7kg dan kadar harganya itulah yang dibayarkan sebagai zakat fitrah.

Majlis Agama Islam Selangor dengan mengambil kira jenis beras yang kebanyakan rakyat Selangor memakannya iaitu beras yang bernilai RM2.60 sekilo ditentukan kadar zakat fitrah pada tahun ialah RM7.00.

Cara mengiranya begini, 2.60 X 2.7 = 7.02. Maka digenapkan kadar itu menjadi RM7.00. Kadar purata ini dikira munasabah bagi rakyat Selangor yang berpendapatan sederhana.

Cuma di kesempatan ini saya ingin bertanya kepada semua rakyat Malaysia, berapa ramai yang menyedari cara kiraan ini. Mengikut kajian saya, ramai yang tidak tahu. Dan mereka boleh membayar mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak mengapa, yang penting kita perlu membayar mengikut kadar yang tepat.

Tetapi tahukah anda bahawa kita seharusnya perlu membayar zakat fitrah mengikut kadar beras yang kita makan setiap hari. Sekali lagi soalan ini apabila ditanyakan kepada mereka, katanya, “kami tidak tahu”.

Ya, betul kita membayar zakat fitrah mengikut kadar harga beras di negeri tersebut, tetapi jenis beras yang kita makan tentu tidak sama harganya. Sedangkan kadar yang ditetapkan oleh majlis itu hanya berdasarkan lazimnya rakyat awam di Selangor makan. Apa halnya dengan orang kaya yang harga berasnya lebih daripada RM3.00?

Jadi, sempurna atau tidak zakat fitrah kita yang dibayar RM7.00 sedangkan kita makan beras yang bernilai RM2.80, RM3.00 atau lebih? Mari kita kira kadar sebenar, 2.80 X 2.7 = 7.56, 3.00 X 2.7 = 8.10, kalau itulah yang sepatutnya kita perlu bayar maka kita sebenarnya telah terhutang sebanyak 56 sen atau RM1.10.

Bayangkan berapa banyak umat Islam yang tidak sempurna zakatnya.

Saya tidak katakan zakat mereka tidak sah, tetapi tidak sempurna kerana masih terhutang. Semoga Allah ampun dosa yang lalu dengan taubat kita pada hari ini. Tetapi untuk tahun ini saya mengajak umat Islam secara jujur mengira kadar zakat sendiri.

Oleh sebab itu anda perlu terus membayar kepada amil zakat pada kadar yang ditetapkan, tetapi baki daripada kadar itu bolehlah diberikan kepada asnaf yang lain secara sendiri.

Terdapat lapan asnaf yang boleh menerima zakat fitrah iaitu; fakir, miskin, amil yang mengurus soal zakat, muallaf, orang yang berhutang (dalam proses membayarnya), orang bermusafir, hamba yang dalam proses tebusan, dan yang berjuang fi sabilillah. Jadi, mana-mana dalam kalangan lapan jenis orang ini bolehlah diberikan kadar yang baki itu.

Semoga zakat fitrah anda semua pada tahun ini sempurna dan diberi ganjaran keberkatan. Nantinya, Idulfitri yang disambut akan lebih bermakna.

Pornthip tiba diselubungi kerahsiaan, kawalan ketat

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim dan Lee Way Loon

Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang dibawa oleh kerajaan Selangor bagi memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock, tiba di negara ini dengan kawalan ketat pihak keselamatan yang dibekalkan oleh kerajaan negeri dan cuba dirahsiakan.

Dr Pornthip tiba pada jam 12.30 tengah hari tadi. Pada April lalu, beliau membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir bagi meneruskan untuk memberi keterangan. Ia berikutan ‘nasihat’ daripada majikannya, Kementerian Undang-undang Thailand supaya membatalkan kehadirannya kerana terdapat ‘tekanan politik’ daripada kerajaan Malaysia.

Beliau dijangka memberi keterangan apabila inkues bersambung esok.

Pakar patologi Thailand itu juga pernah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa beliau juga dinafikan melawat Kelantan awal tahun ini bagi menyiasat pembunuhan di selatan Thailand.

Pada Oktober tahun lalu, Dr Pornthip berkata berdasarkan pemantauannya pada bedah siasat pertama, beliau dapati ada 80 peratus kemungkinanTeoh mati akibat dibunuh.

Pendedahannya yang kontroversial itu menyaksikan pihak berkuasa bersetuju mengadakan beha siasat kedua yang dijalankan pada November tahun lalu.

Pornthip, bersama Dr Peter Vanezis, seorang ahli patologi British yang diupah olh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak sebagai pemerhati pada behah siasat itu.

Dr Vanezis dan pakar patologi kerajaan Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua, masing-masing telah memberi keterangan mereka pada inkues. Hanya Dr Pornthip yang belum berbuat demikian.

Dr Shahidan menolak berlaku penjerutan sebagai punca kematian manakala Dr Vanezis berkata Teoh sedar ketika jatuh tetapi tidak menyatakan sama ada ia perbuatan bunuh diri.

Berikutan pendedahan pada inkues minggu lalu, bahawa terdapat nota yang didakwa ditulis oleh Teoh yang dijumpai kira-kira dua bulan selepas kematiannya, keterangan Dr Pornthip dilihat begitu penting bagi menentukan kematiannya.

Surat yang didakwa sebagai nota terakhir menjelaskan tindakannya membunuh diri yang ditulis oleh Teoh itu telah disebarkan oleh media arus perdana tetapi keluarganya menolak ia sebagai tulen.

Malaysiakini/-

Mazlan Aliman fail saman RM20 juta

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

TEMERLOH, 17 Ogos: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman memfailkan saman malu terhadap empat pihak bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta atas apa yang disifatkannya sebagai penahanan salah pada insiden di Felda Lembah Klau, Mac lalu.

Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh, semalam dengan menamakan empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pegawai polis, Mohd Azran Rahmat dan Kerajaan Malaysia.

Dalam sidang media selepas penyerahan writ saman tersebut, Mazlan berkata tindakan diambil setelah beliau dan keluarganya menerima kesan diaibkan di khalayak umum dan dilayan seolah-olah beliau seorang penjenayah.

“Atas peristiwa yang berlaku saya dan keluarga saya termasuk anak-anak saya merasa malu apabila di sekolah anak saya ditanya rakan-rakannya sebab-sebab beliau ditahan di lokap. Saya rakyat Malaysia dan merupakan anak peneroka juga mengapa saya dilayan macam penjenayah,” soalnya.

Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ada asas berlaku penahanan yang salah dilakukan pihak terbabit ke atas Mazlan yang boleh dicabar di mahkamah.

“Ada terdapat percanggahan fakta bagi tujuan mengelirukan terhadap penggunaan seksyen 441 iaitu penahanan dilakukan atas kesalahan pencerobohan jenayah yang dikenakan ke atas Mazlan, maka kita ada asas yang cukup kuat untuk mencabarnya di mahkamah,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim, Pengerusi Hal Ehwal Peneroka Kebangsaan, Suhaimi Said dan Pengerusi Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid menyokong penuh tindakan saman yang dilakukan Mazlan.

“Atas apa yang berlaku kita melihat bagaimana pihak pengurusan Felda telah melakukan tindakan kurang ajar dan melampaui bidang kuasa masing-masing sehingga menyekat hak dan kebebasan rakyat. Oleh yang demikian itu, kami menyokong penuh tindakan yang dilakukan oleh Mazlan,” kata mereka.

Harakahdaily/-

MIDA diselubungi rasuah selepas dikorporat?

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

BANGI, 17 Ogos: Beberapa pegawai kanan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di Jalan Duta mendakwa wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan pada badan berkanun itu.

Mereka yang enggan identiti masing-masing diketahui umum mendakwa, Datuk Jalilah Baba selaku Ketua Pengarah MIDA mengetahui tentang beberapa kegiatan tersebut.

Dakwa mereka lagi, salah laku itu termasuk membabitkan Friends Advertising Sdn Bhd (FASB) yang dilantik sebagai agensi perhubungan awam bagi mempromosi MIDA dan Malaysia pada dunia.

Dari suatu dokumen sulit bertarikh 17 Jun 2009, didapati MIDA bukan sahaja melantik FASB secara rundingan terus (direct nego).

Malah, didapati agensi tersebut turut diberikan tender langsung untuk kerja-kerja penerbitan, pencetakan, penyediaan panel pameran seperti banting, season greeting cards serta beberapa risalah korporat yang sebahagiannya di luar spesifikasi tender.

"Semua itu di luar spesifikasi tender, semua itu dilakukan selepas Ketua Pengarah sendiri mempengaruhi Jawatankuasa Teknikal dan Harga supaya batal semua proses sebut harga untuk dia lantik syarikat itu,” ujar salah seorang pegawai terbabit yang juga mengaku terbait dalam proses pemilihan tender tersebut.

Sebagai contoh, beliau berkata, pelantikan perunding projek Media Plan 2010 dengan 'Rebranding of MIDA & Malaysia' meleburkan RM15 ribu sebulan pada syarikat perunding tersebut.

Dari satu notis bertarikh 28 Disember tahun lalu, ketua pengarah didakwa meluluskan proposal Media Plan 2010 bernilai RM5.5 juta pada firma terbabit tanpa melalui proses tender atau sebut harga secara terbuka.

Sedangkan, katanya, mengikut prosedur perolehan kewangan yang diguna pakai oleh kerajaan/MIDA, sekiranya seseorang ketua pengarah mahu meluluskan projek tanpa proses tender, seseorang itu hanya dihadkan kuasa meluluskan tender bernilai tidak lebih RM50 ribu.

Tidak cukup dengan itu, mereka mendakwa bahawa FASB turut mengambil kesempatan atas keistimewaan yang diberikan MIDA dengan menokok tambah harga satu-satu projek berbanding pasaran biasa.

"Pembelian kos design iklan dicaj dengan kos RM15 ribu oleh Friends Advertising berbanding harga pasaran semasa iaitu dalam RM1,200 hingga RM2,500.

"Arahan ketua pengarah supaya pembelian video klips TV1, TV2 dan TV3 dibuat oleh Friends dengan caj tambahan 17.6 peratus dikenakan dari harga pasaran oleh Friends; berbanding sekiranya ia dibeli secara terus melalui Bahagian Media & Komunikasi MIDA.

"Konsep mock-up rekaan iklan pelaburan bernilai lebih kurang RM200 ribu dibuat tanpa melalui proses sebut harga," ujarnya sambil mendakwa beberapa pendedahan Harakahdaily sebelum ini adalah rahsia umum yang diketahui oleh kebanyakan kakitangan am MIDA semata-mata.

Pada 9 Julai lalu, Harakahdaily melaporkan bahawa Jalilah sendiri mengaku bahawa syor pengkorperatan MIDA menjadi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) masih dalam proses penelitian undang-undang berwajib.

Namun, beliau engggan menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung langkah pengkorperatan yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed pada 28 Mei lalu.

Difahamkan, pasukan Jamilah sedang menyiapkan propsal penggubalan Akta Kemajuan Perindustrian Persekutuan, 1965 (pindaan 2000) supaya badan berkanun itu boleh benar-benar bebas sebagai badan korporat, tidak lagi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) seperti sebelum ini.

Langkah perkorperatan itu, dilaporkan mendorong pasukan Jalilah hanya akan mengekalkan 300 orang dari 800 pekerja keseluruhannya hatta membimbangkan kakitangan bawahan MIDA sekarang.

Langkah perkorperatan yang dilaporkan turut mendapat sokongan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka akan menjadi topik penting pada sidang Dewan Rakyat November ini.

"(Persidangan) Parlimen depan mungkin panas kerana segelintir Ahli Parlimen pembangkang telah dapat apa yang kami tahu," ujar salah seorang pegawai kanan terbabit kepada Harakahdaily.

Harakahdaily/-

Apabila kaum tani dan Felda di'gula-gulakan'

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Tok Pepijat

Perjuangan Kaum Tani dan Penjajah berulang kembali. Cumanya kini dalam versi moden. Melihat kepada sejarah hubungan tanah,tuan punya tanah tiada berpisah. Kerananya bermula kemelut dan konflik.

Perjuangan Red Indian melawan pendatang kulit putih, pendatang Yahudi dengan Arab Palestin dan penjenayah kulit putih dengan pribumi Australia. Semuanya tentang bab tanah. Penindas dan yang kena tindas.

Bumi kita juga tidak terkecuali. Perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, Rosli Dhobie, Rentap, Mat Kilau dan Dato Maharaja Lela semuanya tentang tanah, cukai tanah, tanah pusaka.

Tok Janggut kena gantung dan diarak keliling Kota Baru oleh penjajah Inggeris kerana tanah. Begitu juga Haji Abdul Rahman Limbong kena buang negeri hingga matipun kerana tanah. Sama juga nasib pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain. Selain faktor ugama penentangan mereka terhadap penjajah, isu tanah juga adalah antara faktor utamanya.

Cumanya pemimpin Umno sahaja yang dikurniakan tanah kerana jadi barua penjajah Inggeris.

Kita melihat perjuangan anak-anak peneroka serta ibubapa mereka selaku peneroka mempunyai persamaan perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong dan lainnya dari segi penuntutan hak hasil tanah mereka.

Jika dahulu,penjajah Inggeris menggunakan istana untuk melabelkan pejuang sebagai penderhaka dan pengkhianat, kini Umno dan FELDA(tentunya Umno menerajuinya)menggunakan wirid yang sama untuk melabel anak-anak Generasi Kedua sebagai,"kacang lupakan kulit"," tidak tahu berterima kasih" dan "pengacau dan penghasut".

Kini, Mazlan Aliman dan anak buahnya umpama Tok Janggut dan barisan pejuang keadilan dan kemerdekaan manakala UMNO meliputi Najib,Maslan, Yusof Nor umpama penjajah Inggeris yang selamanya "menjajah pemikiran" peneroka FELDA.

Kini gelombang kebangkitan Generasi Kedua FELDA yang terdiri dari anak-anak peneroka bermula. Sejak kemenangan peneroka di FELDA Kemahang Kelantan menegakkan keadilan walaupun belasan tahun menunggu penuh kesabaran menyemarakkan lagi semangat menegakkan keadilan.

Perjuangan Mazlan dan ANAK bakal menempuh ujian yang besar. Jika Suhaimi Saad dan Mohammd Sabu pernah dihantar ke Kem Kemunting demi membela warga peneroka walaupun mereka berdua bukan anak peneroka, tentunya Mazlan juga barangkali lebih hebat lagi diuji dan diancam.

Teruskan perjuangan mu wahai Mazlan agar namamu tercatat dengan tinta emas sebaris dengan pejuang kemerdekaan yang sebenar seperti Tok Janggut,Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong dan seangkatan dengannya di seluruh negara.

Kepada PMNajib, harga maruah peneroka FELDA bukannya senilai RM370 setahun. Lebih kurang RM1 sehari.Hinanya warga peneroka kalau begitu cuba "dirasuah"kan oleh Najib untuk duit raya.

Harakahdaily/-

Buang bayi: Antara musim mengawan dan menetas

7 Ramadhan 1431 H
episodeperjuangan.blogspot

Iklim sosial negara kita kian teruk dan parah . Nilai maruah dan harga diri telah turun semurah sekeping kad prepaid .

Jika seketika dulu dunia dikejutkan oleh tindakan Natalie Dylan dari San Diego USA [ 22 tahun ] melelong daranya dan dibida oleh seorang lelaki Britain dengan harga 2.5 juta pound [ RM 13 juta ] , kemudian Miss Spring [ 17 tahun ] melelong daranya turun pada bidaan serendah RM 1 juta dan Alina Persia [ 18 tahun ] pula menerima bidaan 10 Ribu euro apabila beliau turut melelong daranya .

Tetapi anak - anak gadis Malaysia ada yang melelong daranya dengan mee goreng sepinggan dan kad prepaid sekeping . Demikianlah harga maruah yang semakin susut malah hancur dan binasa .

Apabila maruah dan harga diri boleh dilelong dan digadai semurah itu , apalagi nilai yang ada pada manusia seperti itu untuk dipertahankan . Mereka akhirnya menjadi hamba nafsu yang tidak lagi mengenal syurga dan neraka atau dosa dan pahala .

Hidup mereka hanya diabadikan kepada perut dan apa yang berada dibawah perut . Rosak nilai , hancur maruah dan binasa tamadun .

Akhir - akhir ini , negara kita semakin menggerunkan . Sungguh menakutkan apabila statistik jenayah rogol , zina dan buang bayi ini semakin berleluasa seperti tidak menunjukkan tempoh tamatnya. Bermula dengan pergaulan bebas , pil ectasy , dadah , arak , pusat pelacuran , filem porno ,

laman lucah dan sebagainya sehinggalah sekatan ke atas majlis agama , sekolah agama rakyat [ SAR ] , mengurangkan sukatan pengajian Islam di pusat pengajian tinggi , mengambil tindakan ke atas khatib yang tidak bertauliah telah menyuburkan mungkar dan maksiat yang sedang berleluasa ini .

Saya memerhatikan sejak kebelakangan ini untuk tempoh beberapa tahun seperti menunjukkan satu trend bahawa bulan Julai , August dan Sept adalah bulan yang cukup banyak kes buang bayi dilaporkan dan ditemui .

Jika bulan julai , august dan september ini bulan menetas ertinya bulan december sebelumnya adalah musim mengawan . Dalam bahasa mudah , jika bulan julai , august dan september ini adalah bulan buang bayi ertinya bulan december sebelumnya adalah bulan berzina . [ sebab tidak mungkin berzina bulan ini , bulan depan buang bayi ]

Bulan December adalah bulan terakhir bagi setiap tahun menurut kalendar masihi . Biasanya di negara kita akan menyambut kedatangan tahun baru detik 12.00 am 1 january dan sambutan itu akan rayakan dengan pesta - pestaan , konsert hiburan , tari menari sedari awal malam sehingga ke awal pagi esoknya .

Tentunya pula pesta - pesta itu akan diserikan lagi dengan arak , pil ectasy , pil kuda dan pelbagai bahan khayal untuk membekalkan tenaga kepada melakukan maksiat semaksima mungkin .

Pengalaman saya meronda bersama dengan skuad Dewan Pemuda PAS Pusat dan negeri - negeri jelas menunjukkan bahawa malam sambutan tahun baru inilah menjadi musim mengawan beramai - ramai atau besar - besaran pasangan - pasangan yang tidak mengenal lagi batas dosa dan pahala .

Sebahagian besar mereka adalah remaja atau anak - anak yang mengawan semahunya memuaskan nafsu liar mereka . Akhirnya 7 atau 8 atau 9 bulan kemudian tibalah masa menetas .

Kini kita boleh saksikan bagaimana pesta menetas pula di dada - dada akhbar yang saya yakin akan berkurang sedikit selepas september nanti .

SANDAKAN [ 3 Julai 2010 ] Mayat seorang bayi perempuan ditemui di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim . Sandakan Sabah .

JOHOR BHARU [ 12 Julai 2010 ] Mayat bayi lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg plastik di kawasan semak ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu . Johor Bharu .

JOHOR BHARU [ 22 Julai 2010 ] seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg berhampiran hentian bas dekat Hospital Sultan Ismail sebelum ditemui seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi jalan pesiaran Mutiara Emas yang mengesyaki sesuatu apabila melihat sebuah beg bergerak - gerak .

KUALA LUMPUR [ 24 Julai 2010] Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri KelantanBandar Baru Sentul. Mayat yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu .

NIBONG TEBAL [ 31 Julai 2010 ] Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di taman Cegar Simpang Ampat .

KUALA LUMPUR [ 6 August 2010 ] seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate.

GEORGE TOWN [ 9 August 2010 ] Janin bayi lelaki dipercayai digugurkan ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara Jalan Makloom.

TAMPIN [ 10August 2010 ] Tidak sampai 4 jam selepas dilahirkan , seorang bayi perempuan terpaksa menahan sejuk lapar sambil menangis akibat ditinggalkan dihadapan sebuah rumah di Air Kuning Selatan dekat Gemencheh .

TANAH MERAH [ 12 August 2010 ] Bayi perempuan masih bertali pusat dipercayai dibuang sejak seminggu lalu ditemui seorang murid di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di bandar Bukit Bunga .

MELAKA [ 12 August 2010 ] Bayi baru dilahirkan dan masih hidup ditemui dalam tong sampah berdekatan pondok kawalan sebuah kilang plastik di Ayer keroh . Bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dimasukkan dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

KELANTAN , MELAKA DAN KUALA LUMPUR [13 August 2010 ] 3 kes lagi pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di kelantan , Melaka dan Kuala Lumpur .

PETALING JAYA [ 15 August 2010 ]- Meskipun kerajaan telah mengumumkan akan bertindak tegas terhadap pesalah kes buang bayi, ia masih gagal memberi kesedaran malah perbuatan itu berlaku lagi. Kali ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah beg sandang yang tersangkut di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara di sini hari ini.

Insyaallah Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan satu Sidang Meja Bulat di Anjung Rahmat Gombak pada 22 hb August 2010 [ jam 2 pm hingga 5.30 pm ] bagi membincangkan isu Jenayah rogol , zina dan buang bayi serta jalan penyelesaiannya . Sidang meja bulat ini akan turut mengundang parti - parti politik , ngo - ngo dan tokoh - tokoh tertentu .

Harakahdaily/-

Jangan putar belit isu PM Pakatan

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN, 17 Ogos: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) membidas dakwaan sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu jawatan Perdana Menteri sebagai politik murahan mereka.

Beliau menyelar mereka yang sengaja memutarbelitkan isu itu bagi menimbulkan polemik setelah melihat kekuatan yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, secara peribadi dan juga DAP akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seandainya PR berjaya menapak ke Putrajaya dan membentuk sebuah kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Anwar ialah seorang yang mempunyai kaliber dan banyak pengalaman. Kredibiiti yang ada padanya melayakkan beliau untuk berada di kerusi tersebut.

“Beliau juga salah seorang pemimpin yang mendapat sokongan penuh dari segenap lapisan masyarakat dalam negara ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, media tidak seharusnya mengaitkan beliau dalam isu jawatan Perdana Menteri itu bagi mengelakkan berlakunya salah faham di kalangan kepimpinan yang ada.

Secara peribadi beliau juga menyatakan tidak berhasrat atau pun mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Jawatan yang disandang sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sudah cukup baginya untuk memperjuangkan nasib rakyat yang tidak terbela.

Harakahdaily/-

Umno Bukit Bendera ugut lompat parti

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Susan Loone

Anggota Umno Bukit Bendera mengugut akan melompat parti sebagai bantahan terhadap parti itu yang didakwa mengabaikan masalah akar umbi.

Ketua Umno Kg Mutiara Rose Akhmar Ahmed (kanan) berkata kira-kira 360 ahli berkemungkinan keluar parti sekiranya pucuk pimpinan negeri terus membisu berhubung isu berkaitan mesyuarat agung tahunan bahagian pada 8 Ogos.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan parti masa yang akan disertainya selepas ini.

Katanya kumpulan itu telah menghantar surat rasmi kepada majlis tertinggi Umno dan perhubungan Umno negeri apda 11 Ogos, selepas membuat laporan polis terhadap bahagian berkenaan tiga hari lepas, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Surat itu, yang salinannya diberikan kepada media, ditujukan kepada Presiden Umno Datuk Sei Najib Razak dan pengerusi Umno negeri Datuk Zahid Hamidi.

"Kami mahu orang ramai tahu, terutamanya perdana menteri, tentang sikap tak ambil peduli pucuk pimpinan, terutamanya di Pulau Pinang," kata Rose Akhmar ketika dihubungi Malaysiakini.

"Mereka tunjukkan sikap tidak peduli tentang tekanan terhadap akar umbi sekiranya mereka terus tidak pedulikan isu ini, saya bimbang terdapat ahli akan melompat sebagai tanda bantahan," tambahnya.

Malaysiakini/-

Isteri Pesuruhjaya PAS Perak meninggal dunia.

7 Ramadhan 1431H.

Isteri kepada Pesuruhjaya PAS Perak , Ust. Abu Bakar Husein telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2.20 petang tadi, demikian seperti yang di maklumkan kepada saya melalui pesanan ringkas oleh Setiausaha PAS Perak, Ust. Misbahul Munir Hj. Masduki.

Jenazah akan disembahyangkan di Mesjid Raja Nazrin, Rapat jaya Tambahan , Gopeng, Ipoh selepas solat Isya malam ini.

Jenazah Ustazah Hajjah Rafeah bt Ramli yang menderita sakit sekian lama kini masih berada di Hospital Ipoh.

Almarhumah terlantar di Hospital Besar Ipoh dalam keadaan tenat dan kritikal sejak dua minggu lepas .

Saya menwakili seluruh Ahli Badan perhubungan PAS Perak dan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat negeri Perak dengan ini mengucapkan takziah kepada Ust. Abu Bakar Hussain. Semuga Alah sentiasa memberi ketabahan dan kesabaran kepada beliau dan seluruh isi keluarga dalam menempuh ujian ini.

Dengan itu saya juga menyeru kepada seluruh PAS Kawasan untuk mengambil peluang bagi mengadakan Tahlil kepada Almarhumah sebelum waktu berbuka pada hari ini di Mesjid, Surau dan Markaz di seluruh negeri Perak.

Al Fatihah...

11 AJK Pemuda Umno Alor Star letak jawatan

7 Ramadhan 1431 H

Sebelas ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Alor Setar telah meletak jawatan berkuatkuasa 7 Ogos lepas dengan alasan tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian kerana meminggirkan
peranan pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008.

Mereka terdiri penolong setiausaha, Mohd Azreen Azizan, selain Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Elias Haron, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira bin Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Ros Mahadi Hashim, Che Nat Said dan Mohd Shaharudin Manaf.

"Kami tidak mahu mengkhianati parti dan atas sebab ini kami merasakan tidak lagi boleh melaksanakan tanggungjawab dan sewajarnya kami meletak jawatan bagi membolehkan AJK baru dilantik," kata Mohd Azreen kepada pemberita.

Beliau menafikan kenyataan Ketua Bahagian Umno Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mendakwa tidak mengetahui punca sebenar peletakan jawatan mereka.

Katanya mereka telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah, tetapi perkara yang dibangkitkan tidak pernah selesai.

Mohd Azreen berkata mereka telah menghantar surat peletakan jawatan kepada ibu pejabat Umno pada 10 Ogos lepas dan salinan kepada kepada Umno negeri.

Katanya mereka akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malaysiakini/-

PAS: Mengapa tiada tindakan ke atas Tajuddin?

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Bekas pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan akibat kerugian didakwa sebanyak RM8 bilion yang dialami syarikat GLC itu, dakwa PAS.

Naib presidennya Salahuddin Ayub (kanan) berkata terdapat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Tajuddin, yang mendakwa terdapat salahlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sehingga kes terhadap Tajuddin tidak diambil tindakan sewajarnya.

Salahuddin juga berkata terdapat dokumen lain yang merupakan sepucuk surat oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pada waktu itu Datuk Ramli Yusuff yang menyarankan kepada perdana menteri, bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

Surat bertarikh 26 Mac 2007 itu diserahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri pada ketika itu dan turut dihantar kepada semua anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah (JKMR).

Beliau yang merupakan salah seorang anggota jawatankuasa tersebut berkata, dokumen tersebut dihantar oleh seorang peguam yang mewakili MAS.

Katanya, MAS sebelum ini telah membuat dua laporan polis, bertarikh 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005, ke atas Tajudin dan beberapa orang pegawai kanan dalam syarikat penerbangan negara itu.

'Anak guam cemas'

Laporan tersebut melibatkan operasi MAS di sebuah lapangan terbang di Jerman dan turut membabitkan pemberian kontrak kepada salah sebuah anak syarikat MAS.

Bagaimanapun, tiada tindakan dikenakan ke atas Tajudin, hasil daripada laporan tersebut, kata Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Ini menyebabkan MAS bertindak membuat satu lagi laporan kepada SPRM ke atas bekas pengerusinya itu, dan juga terhadap JSJK serta Jabatan Peguam Negara, tambahnya.

Aduan itu dibuat, antaranya dengan dakwaan bahawa maklumat mengenai aduan sebelumnya telah diketahui oleh JSJK, kata Salahuddin.

"Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tapi SPRM dedahkan kepada JSJK menyebabkan anak guam kami (MAS) rasa cemas sebab aduan didedahkan kepada pihak berkepentingan," kata Salahuddin ketika membacakan satu surat daripada peguam MAS bertarikh 2 Ogos lalu.

Surat yang dialamatkan kepada pemangku ketua penolong kanan pesuruhjaya SPRM juga menyebut, tindakan SPRM mendedahkan maklumat siasatan kepada JSJK itu bercanggah dengan peruntukan bawah seksyen 29(4) dan seksyen 65(2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM kena jawab kenapa dia dedahkan laporan tersebut," kata Salahuddin lagi dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara.

"Sama hebat" dengan PKFZ

Tajuddin juga tidak mungkin bertindak seorang diri dalam kes ini, dakwanya ketika ditanya sama ada Tajuddin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau sehingga kini tidak dikenakan sebarang tindakan.

Kesemua salinan dokumen tersebut diedarkan kepada wartawan yang hadir di sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.

Salahuddin berkata, beliau akan menghubungi pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM yang dianggotainya supaya mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kes tersebut.

Katanya, beliau juga menimbangkan sama ada perlu membuat satu lagi laporan kepada SPRM ataupun kepada JSJK.

Beliau juga menuntut perdana menteri supaya mengambil tindakan tegas dalam skandal ini yang disifatkannya "sama hebat" dengan isu PKFZ.

Katanya lagi, ini memandangkan kedua-dua SPRM dan Pejabat Peguam Negara berada di bawah tadbir Jabatan Perdana Menteri.

Malaysiakini/-

MAS rugi pra-cukai RM532.29j bagi suku kedua

7 Ramadhan 1431 H

Harga bahan api yang turun naik mendorong Malaysia Airlines (MAS) untuk mencatatkan kerugian pra-cukai RM532.591 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2010 berbanding dengan keuntungan pracukai RM896.146 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun perolehannya meningkat 26 peratus kepada RM3.2 bilion berbanding dengan RM2.5 bilion manakala keuntungan operasi meningkat 33 peratus.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2010, syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian pra-cukai RM212.340 juta berbanding dengan keuntungan pracukai RM189.904 juta.

Perolehan itu meningkat kepada RM6.5 bilion daripada RM5.3 bilion sebelum itu.

"Kami telah melaksanakan perkara yang betul dan ini dicerminkan di dalam prestasi operasi yang bertambah baik bagi suku kedua yang secara tradisinya suku kami paling lemah. Kami telah mengambil langkah tambahan untuk menutup kenaikan harga bahan api itu," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Datuk Azmil Zahruddin semasa mengumumkan keputusan kewangan suku kedua itu hari ini.

Katanya turun naik harga bahan api terus kekal menjadi cabaran industri itu.

Kenaikan mendadak 44 peratus perbelanjaan bahan api berikutan harga bahan api dan penggunaan yang tinggi berikutan kapasiti tambahan meningkatkan bil itu kepada RM1.1 bilion, yang meningkat RM338 juta berbanding dengan suku kedua 2009.

Berikutan turun naik bahan api, syarikat penerbangan itu mengalami kerugian nilai aset dan liabiliti yang diletakkan kepada harga pasaran semasa (MTM) RM217 juta pada suku kedua tahun ini, yang menjadikan kerugian bersih MAS RM535 juta.

Tengku Azmil berkata berlaku trend kenaikan berterusan harga bahan api seperti pada suku kedua, di mana purata harga bahan api jet ialah US$89.7 setong berbanding dengan US$66.7 setong pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Kerugian bahan api MTM adalah kerugian atas kertas dan kuantum yang dizahirkan akan bergantung kepada harga sebenar apabila setiap satu kontrak matang.

"Oleh kerana turun naik harga bahan api, keuntungan atau kerugian MTM pada suku akan datang akan bergantung kepada harga bahan api sebenar pada hari akaun ditutup," katanya.

Sehingga 30 Jun, 2010, MAS telah melindung nilai 60 peratus daripada keperluan bahan apinya pada harga US$100 setong West Texas Intermediate (WTI), sejenis bahan api berkualiti tinggi bagi baki 2010 dan 40 peratus pada harga US$100/bbl bagi 2011.

Di segi operasi, Tengku Azmil berkata tempahan awal bagi separuh kedua adalah kukuh.

"Langkah itu mencerminkan pertumbuhan yang kukuh di rantau Asia Pasifik. Bagi suku kedua bilangan penumpang kami meningkat 14.7 peratus.

"Kami mencatatkan faktor tempat duduk yang lebih tinggi daripada krisis praekonomi. Sedang trend menaik itu berterusan sehingga akhir tahun, kami akan terus memberi fokus pada peningkatan hasil serta mendapatkan pelanggan premium.

"Kami telah merancang program jualan agresif untuk meningkatkan jualan korporat," katanya.

Terdapat banyak peluang untuk meningkatkan hasil apabila MAS mulai menerima pesawat baharu. Syarikat penerbangan itu telah menempah sehingga 55 B737-800 dan 25 A330-300.Sejumlah tiga B737-800 akan diterima pada 2010, iaitu masing-masing satu pada Oktober, November dan Disember.

Tengku Azmil berkata: "Kami juga telah menyelesaikan perbincangan dengan Airbus dan akan akan menerima enam A380. Yang pertama akan diserahkan pada April 2012."

Anak syarikat kargo MAS, MASkargo, terus menunjukkan prestasi kukuh dengan tiga sukuan berturut-turut yang meguntungkan.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), fret berkembang 29.8 peratus pada Jun dan trend menaik itu dijangka berterusan, katanya.

Katanya pembiayaan pesawat syarikat penerbangan itu juga berada di atas landasan.

Berikutan penilaian lebih 50 cadangan pembiayaan daripada pembagai penyedia pinjaman, MAS telah menerima empat penyedia pinjaman bagi pembiayaan 14 pesawat B737-800nya yang akan diserahkan antara 2010 dan 2012.

Syarikat itu juga kini sedang dalam perbincangan akhir dengan beberapa pemberi pinjaman berpotensi bagi pembiayaan pesawat A330 yang akan diserahkan dari 2011 hingga 2012.

Bagi tahun tahun kewangan sepenuhnya berakhir 31 Disember, 2010, kumpulan itu menyasarkan keuntungan operasi antara RM100 juta dan RM325 juta, katanya.

Malaysiakini/-