18 Ogos 2010

Pemuda PR Ipoh Timur mula gerakerja Pilihanraya bersama

7 Ramadhan 1431 H
Oleh: safarizal saleh

16 Ogos 2010 (IPOH) - Usaha bagi menubuhkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Kawasan Parlimen Ipoh Timur telah menjadi kenyataan dan bakal dirasmikan sempena program bersama Wakil Rakyat Ipoh Timur Lim Kit Siang pada 20 Ogos ini.

Sekretariat yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Saleh bersama Ahli Jawatankuasanya yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur, Angkatan Muda PKR Cabang Ipoh Timur dan Pemuda Sosialis DAP Ipoh Timur.

Antara program yang telah disusun ialah serah sumbangan kepada warga yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Ipoh Timur dan serahan bantuan juga di Surau Taman Temara, Ipoh. Manakala pada sebelah malamnya di Dewan Chin Woo akan diadakan ceramah bertajuk 'Ke Putrajaya'

Antara tetamu yang akan bersama ialah Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Perak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri Perak yang juga Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye.

Pada sebelah malamnya panelis lain yang turut bersama ialah Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Negeri Perak Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hutan Melintang yang juga Naib Pengerusi PKR Negeri Perak S.Kesevan.

Selain daripada program-program yang bakal disusun, Sekretariat ini telah bergerak menjalankan kempen bersama daftar pemilih baru kepada seluruh warga penduduk di sekitar Kawasan Ipoh Timur ini.

Tiada ulasan: