18 Ogos 2010

Masjid Besar Lhasa TibetⅡ

7 Ramadhan 1431 H



Seiring dengan pertambahan jumlah penduduk Islam di Lhasa dan perkembangan industri pelancongan di Tibet, masjid yang lama itu tidak dapat menampung keperluan begitu ramai orang Islam. Oleh sebab itu, sebuah masjid yang baru dan lebih besar telah dibina di lokasi yang sama pada tahun 2001.

Masjid yang dimaksudkan ialah Masjid Besar Lhasa yang dapat kita lihat sekarang.Ya Gu, Imam besar Masjid Besar Lhasa. Beliau dilahirkan dan dibesarkan sebagai orang Islam di Tibet. Beliau fasih bertutur dalam bahasa Arab, Tibet dan Mandarin. Imam Ya Gu amat mesra ketika bertemu dengan para pengunjung ke masjid ini.

Beliau memberitahu wartawan bahawa kini jumlah penduduk orang Islam tempatan telah mencapai kira-kira 5,000 orang, manakala orang Islam dari luar ke Tibet untuk berurus niaga, bekerja dan belajar sudah melebihi 100 ribu orang.

Menurut beliau, adat resam kehidupan mereka hampir sama dengan etnik Tibet, cuma wanitanya memakai tudung, manakala lelakinya jarang memakai hiasan seperti gelang tangan yang diperbuat daripada kayu yang dibentuk bulat seperti bentuk mutiara.

Katanya, orang Islam di Tibet begitu kuat berpegang pada agama kerana pada pendapat mereka, kepercayaan mereka lebih suci daripada salji putih di puncak gunung dan lebih hangat daripada cahaya suria di dataran tinggi.

"Linka" bermaksud taman dalam bahasa Tibet. Oleh itu, "Khache Linka" menunjukkan kawasan ini didiami oleh penduduk yang beragama Islam.

"Khache Linka" terletak di barat Istana Potala. Selain perumahan, tanah perkuburan, terdapat juga dua buah masjid dalam kawasan tersebut.

Menurut cerita, pada abad ke-17 Masihi, seorang Imam dari Kashmir berhijrah ke Tibet dan memohon agar Dalai Lama Kelima menghadiahkan sebuah tempat sebagai kediamannya. Menurut perintah Dalai Lama Kelima, cara untuk menentukan kawasan kediamannya ialah dengan memanah.

Sehubungan dengan itu, kawasan tersebut lama kelamaan menjadi "Khache Linka" seperti yang dapat disaksikan sekarang ini.

Terdapat dua masjid di sebelah timur dan barat dalam kawasan ini. Manakala, taman perkuburan Islam dibina di bahagian selatannya.

CRI/-

Tiada ulasan: