18 Oktober 2011

RM10 bilion diperlukan untuk pulihkan Thailand

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BEBERAPA penduduk berjalan meredah banjir di pinggir Bangkok semalam.

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 100 bilion Baht (kira-kira RM10 bilion) diperlukan untuk memulihkan Thailand yang dilanda banjir paling buruk dalam beberapa dekad, kata Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Beliau berkata, bajet itu adalah bagi memulihkan sektor ekonomi, industri dan pertanian negara tersebut selain membantu mangsa banjir.

"Kerajaan akan mengkaji polisinya bagi merangsang ekonomi setelah ditimpa bencana banjir," katanya selepas menerima sumbangan dan peralatan bantuan banjir di Pusat Kawalan Operasi Bantuan Banjir di Don Mueng di sini.

Sebahagian daripada bajet yang diperlukan boleh diperoleh daripada sumber lain seperti pinjaman, kata Yingluck sambil menambah jumlahnya belum ditentukan.

Perdana Menteri berkata kerajaan dan Bank Thailand masih mengira bajet sebenar yang diperlukan bagi memulihkan negara.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand kekal dibanjiri, dengan sejumlah 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di kawasan utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat mulai 25 Julai lepas.

Lebih 900 kilang yang mempunyai 200,000 pekerja terjejas akibat dilanda banjir yang turut meragut 300 nyawa. - Bernama

Kanak-kanak perempuan 10 tahun diculik sudah bebas

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BOGOTA: Seorang kanak-kanak wanita berusia 10 tahun yang dikurung kira-kira tiga minggu akhirnya dibebaskan, kata Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menerusi Twitternya selepas kejadian penculikan itu menggemparkan negara berkenaan.

"Marilah kita sambut hari pembebasan Nohora Valentina," katanya.
Kanak-kanak itu, Nohora Valentina Munoz, dikatakan dalam perjalanan ke sekolah bersama ibunya pada 29 September lalu apabila diculih oleh seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali.

Ibu kanak-kanak itu dibebaskan selepas kejadian itu. Kanak-kanak berkenaan adalah anak perempuan kepada Datuk Bandar Arauca, Jorge Munoz. - AFP

17 Oktober 2011

Dua mayat warga asing reput dan berulat ditemui di Gerik

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

GERIK: Dua mayat dipercayai warganegara asing ditemui dalam keadaan reput dan berulat di bawah Jambatan Kupang, Jalan Gerik-Kupang kira-kira jam 1 petang tadi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dipercayai rakan mereka ditemui masih hidup dalam keadaan tidak bermaya berhampiran dua mayat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manaf Bahari ketika dihubungi mengesahkan penemuan dua mayat itu dan mengesyaki ia berunsurkan jenayah.

Katanya, dua mayat itu dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala seorang lagi lelaki yang ditemui masih hidup dirawat di hospital sama.

TM sudah kenakan cukai 6% sejak Mac

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Para pengguna telefon, khususnya pelanggan-pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang mendapatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini, mungkin tidak menyedari cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus sudahpun dikenakan ke atas mereka sejak bulan Mac lalu.

Meskipun terdapat kenyataan daripada pihak TM yang mengatakan pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti, kenyataan tersebut ternyata meleset.

Seorang pelanggan TMB, Rizal Ibrahim, 37, dari Damansara Damai, Selangor, menjelaskan, kenyataan itu boleh dibuktikan menerusi bil yang diterima pada bulan Mac lalu khususnya bagi bil bulan Februari 2011.

Menurut beliau, perkara itu disedari setelah beliau meneliti bil TMB yang diterimanya pada bulan Mac lalu yang didaftarkan atas nama isterinya, Rosyati Omar bagi mendapatkan perkhidmatan telefon dan multimedia daripada syarikat itu.

Katanya, beliau amat terkejut apabila menyedari perkara itu kerana sebelum itu para pelanggan hanya dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 peratus sahaja. (Gambar atas)

"Ini menunjukkan cukai tersebut telah dinaikkan dalam diam. Untuk menyembunyikan cukai sebanyak 6 peratus itu pula, ia tak ditulis di bahagian depan bil seperti sebelumnya, tetapi di bahagian belakang bil, manakala di bahagian hadapan hanya ditulis dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily. (Gambar bawah)

Harakahdaily pada 11 Oktober lalu melaporkan, pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Berdasarkan laporan sebuah blog really.tigaline.com, perkara itu disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu. Ini bermakna hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.

12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri, di sini, pada hari itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Rizal berkata, beliau amat kesal dengan tindakan pihak TMB kerana menaikkan cukai tersebut tanpa dimaklumkan secara rasmi kepada para pelanggannya terlebih dahulu.

"Selain itu, tindakan tersebut telah dilakukan lebih awal dari yang dinyatakan itu sehingga menyebabkan para pelanggan keliru dan tertipu dengan realiti sebenar," katanya yang juga seorang peniaga.

harakahdaily/-

Himpunan anti murtad: PAS beri sokongan bersyarat...

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PAS Selangor akan hanya menyokong konvensyen Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober ini jika penganjurannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

“Sebarang usaha untuk melaga-lagakan antara penganut-peganut pelbagai agama dengan tidak terdapat sebarang bukti kesalahan yang diputuskan di mahkmah perlu dijauhi.

“Tindakan seperti ini hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain,” katanya.

Abdul Rani yang juga ADUN Meru berkata PAS pada dasarnya menyokong usaha memanatpkan akidah umat Islam kerana ia satu-satunya cara membina kekuatan Islam.

Bagaimanapun, pihak penganjur sepatutnya memfokus kepada ancaman sebenar Islam seperti “perkauman, sekularisme dan materialisme” dan membincangkan penyelesaian berhubung ancaman itu.

“Adalah diharap pihak penganjur tidak akan terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan di antara agama di negeri Selangor ini.

“Tindakan sedemikian adalah satu agenda politik dan bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sekumpulan NGO Islam akan menganjurkan sebuah majlis yang dinamakan Himpunan Sejuta pada Sabtu ini dengan tema “Selamatkan Akidah Umat “.

Menurut laman web kumpulan itu, antara objektif himpunan itu adalah “mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.”

Pada 3 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan di premis gereja Methodist di Damansara Utama berikutan terdapat maklumat usaha memurtadkan umat Islam akan dilakukan.

Premis gereja itu digunakan oleh sebuah NGO, Harapan Komuniti bagi majlis makan malam yang turut dihadiri oleh beberapa umat Islam.

Setakat ini, 25 NGO telah mengikrarkan sokongan terhadap Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan di Stadium Shah Alam, termasuk PAS.

malaysiakini/-

Warga Singapura Dirompak Di JB, Akhbar Singapura Pertikai Jaminan Keselamatan Polis Johor

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Belum terjamin... warga S'pura dirompak di JB

MESKIPUN ada jaminan daripada Ketua Polis Johor bahawa negeri itu selamat bagi warga Singapura dan penjenayah tidak menyasari warga republik ini, seorang wanita Singapura telah menjadi mangsa rompak, ironinya pada hari yang sama jaminan itu dibuat.

Gambar: CERMIN DIPECAH: Perompak memecahkan tingkap kereta Cik Farah sebelum melarikan begnya berisi wang $2,300. Keretanya ditinggalkan di sebuah bengkel kereta di JB. -- Foto FARAH

Cik Farah (bukan nama sebenar), 55 tahun, kehilangan wang $2,300, kad pengenalan dan beberapa kad kredit apabila tingkap depan keretanya dipecah.

Beg jenama Braun Buffel berwarna coklat yang diletakkan di atas tempat duduk di situ, dibawa lari.

Semasa kejadian pada sekitar 5.45 petang Jumaat lalu, kereta Toyota Camry yang dipandunya sedang berhenti, sementara menunggu lampu trafik di sebuah simpang yang sibuk dekat Hotel Thistle Johor Bahru.

Beliau sedang dalam perjalanan ke pasar Larkin seorang diri untuk membeli barang bagi perniagaan runcitnya - rutin beliau dua kali seminggu sejak setahun lalu.

'Semuanya berlaku sekelip mata. Bunyi kuat apabila tingkap dipecahkan membuat saya terkejut.

'Saya sangka kereta saya dilanggar tapi bila saya nampak tangan capai beg saya, saya sedar saya dirompak,' kata Cik Farah semalam.

Menurut ibu empat anak itu kejadian berlaku terlalu cepat dan beliau tidak sempat mengecam muka kedua-dua lelaki itu, yang kemudian melarikan diri menaiki motosikal.

Namun beberapa saksi memberitahu beliau kededua lelaki tersebut berbadan kurus dan berbangsa Melayu.

Pembonceng motosikal itu, yang dilihat tidak memakai topi keledar, telah turun daripada motosikal sebelum memecahkan tingkap kereta Cik Farah, merampas begnya dan naik semula motosikal lalu memecut.

'Saya menekan hon lama dan sekuat-kuatnya tetapi tidak sebuah pun kereta di depan yang perasan saya dirompak.

'Kalau salah seorang pemandu di depan saya buka pintu kereta, perompak tersebut tak boleh lari,' kata Cik Farah, meluahkan rasa kesal atas sikap sesetengah pemandu yang tidak ambil kisah.

Katanya, beliau trauma seketika dan menangis memikirkan kejadian itu.

Pagi Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Haji Shariff, mendedahkan tanggapan bahawa Johor sebuah negeri dengan kadar jenayah yang tinggi adalah salah.

Katanya, daripada 14.1 juta warga Singapura yang melawat Johor tahun lalu, hanya 0.002 peratus atau 320 orang menjadi mangsa jenayah di situ.

Cik Farah berkata semasa beliau membuat laporan di balai polis Johor Bahru Central pada petang itu, beliau bertemu seorang warga Singapura yang menceritakan pengalaman serupa, namun berlaku sehari sebelumnya.

'Saya nasihatkan warga Singapura yang ke Seberang Tambak agar jangan letak beg di atas tempat duduk, mahupun di paha.

'Biar duit kita hilang, jangan kita pula cedera terkena serpihan kaca,' kata Cik Farah yang masih akan ke Johor tetapi tidak lagi seorang diri. -bhs

Mesir haramkan diskriminasi

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah negara itu melarang diskriminasi berasaskan kaum, jantina atau agama melalui peraturan baru yang diumumkan, kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan selepas pergaduhan kaum antara penunjuk perasaan terdiri daripada penganut agama Kristian dan tentera Mesir yang menyebabkan 25 orang terbunuh, Ahad lalu, iaitu keganasan paling buruk sejak penggulingan bekas presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.

Di bawah peraturan baru itu, tindakan berupa diskriminasi terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan jantina, kaum, bahasa atau agama akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Individu yang didapati bersalah melakukan diskriminasi terhadap orang lain boleh dipenjara tiga bulan atau didenda sebanyak 100,000 pound Mesir (RM52,350).

Sebelum ini, penunjuk perasaan dan ahli politik mendakwa tentera Mesir bertindak ganas semasa kekacauan minggu lalu itu, sama seperti polis yang berkhidmat di bawah pemerintahan Mubarak.

sinar harian/-

Air zamzam, air terbaik di dunia

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KAHERAH: Tidak kiralah sehaus mana pun kita, sekiranya dapat secawan air zamzam, ia pasti dapat menghilangkan dahaga dan memberi tenaga.

Setelah melakukan banyak kajian mengenai sifat kimia dan fizikal dalam air zamzam, Dr Hamdi Saif dari Universiti Iskandariah membuat kesimpulan, air zamzam adalah air yang terbaik di dunia.

Dia menemui yang air itu mempunyai keseimbangan sempurna dalam elektrolit dan mineral surih yang penting untuk kesihatan tubuh badan.

Di samping itu, air itu adalah semula jadi, bersih dan tulen, dan bebas daripada semua mikroorganisme patogenik.

Kata Dr Hamdi, “Air zamzam sangat bagus digunakan untuk membantu mengubat penyakit buah pinggang, jantung dan pelbagai penyakit kronik yang lain.”

Air zamzam telah dianalisis di makmal di dunia Arab dan Eropah dan dibandingkan dengan air botol biasa daripada negara lain.

Mendedahkan hasil analisis itu, Dr Hamdi berkata, “Tidak seperti air lain, air zamzam mengandungi jumlah kalsium, magnesium dan florida yang cukup. Ia adalah sifat unik yang dapat menyegarkan jemaah yang kepenatan.”

“Kami dapati air zamzam selamat diminum dan tiada tarikh luput. Air ini 100 peratus tulen, tidak mengandungi klorin atau bahan kimia lain,” katanya -SG

Hudud sebagai pendekatan tangani gejala sosial

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Okt: Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merujuk kepada hasrat kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan sistem berteraskan hudud adalah suatu langkah yang baik.

“Pihak kami mewakili suara pelajar mahasiswa Islam di Kelantan menyambut baik hasrat tersebut,” kata Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad.

Jelasnya, hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam.

Katanya, perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan yang harus diterima oleh umat Islam negeri ini.

“Pihak kami yakin hudud boleh dilaksanakan di Kelantan atas sebab majoriti masyarakat di negeri ini adalah beragama Islam dan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukuman Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 hanya tinggal untuk digerakkan sahaja dengan kelulusan kerajaan pusat,” ujarnya.

Beliau mengetuai penyerahan memorandum PPIK yang menyokong hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kepada Menteri Besar Kelantan yang diwakili Dr Fadzli Hassan, Exco Kerajaan Kelantan, semalam.

Namun demikian, katanya pendidikan serta penerangan mengenai hudud harus dibuat secara kosisten kepada masyarakat terutama kepada yang bukan Islam, agar masyarakat dapat menerima perlaksanaan ini dengan berteraskan ilmiah, bukan sekadar sokongan politik semata-mata.

PPIK, tegasnya mengecam tindakan pihak yang mempolitikkan isu hudud demi kepentingan politik mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menggambarkan hukuman itu zalim dan tidak adil yang turut dimomokkan kepada orang bukan Islam.

Jelasnya, sedangkan perlaksanaan hudud hanya melibatkan orang Islam dan yang bukan Islam boleh diberikan alternatif lain.

Ini, katanya sebagaimana kisah pasangan orang Yahudi yang telah berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda merujuk kepada kitab mereka iaitu Taurat dan didapati dalam itu juga menyatakan hukuman bagi penzina adalah rejam.

“Ini adalah kenyataan atau gambaran perlaksanaan hudud kepada bukan Islam dan pihak kami amat kesal dengan orang Islam yang lebih mementingkan kedudukan politiknya dengan memburuk-burukan agamanya sendiri.

“Pihak kami juga yakin bahawa perlaksanaan hudud ini menjadi satu pendekatan baru dalam menangani kes-kes dan gejala sosial yang berlaku di Kelantan,” katanya.

Ini, ujarnya lagi boleh dijadikan kajian (eksperimen) bagi membuktikan sejauh mana kesan perlaksaan hukuman itu yang akan dirujuk oleh negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat negara.

“Akhir sekali pihak kami menegaskan bahawa Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan keIslaman dan pendidikan serta mewakili suara pelajar mahasiswa di Kelantan yang tidak mempunyai pertalian dengan mana-mana parti politik, mendesak agar pihak kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agama membenarkan hudud ini dilaksanakan di Negeri Kelantan,” katanya.

harakahdaily/-

Ratusan peserta berenang 1.8km

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

RATUSAN perenang berenang sejauh 1.8 kilometer di Pelabuhan Victoria, Hong Kong semalam.

HONG KONG - Ratusan perenang semalam mengambil bahagian dalam pertandingan berenang sejauh 1.8 kilometer (km) selepas ia dihentikan selama 33 tahun kerana bimbang tahap pencemaran air di salah sebuah pelabuhan yang tercantik di dunia di disini.

Laut tenang dan langit yang mendung, para perenang memulakan renangan dari Lei Yue Mun, Kowlooon sehingga Quarry Bay.

Beratus-ratus penonton bersorak apabila perenang tiba di garisan penamat.

"Saya telah mendengar segala-galanya mengenai perlumbaan merentasi pelabuhan. Ia sangat indah kerana memberi peluang terakhir kepada peserta untuk menikmatinya," kata seorang perenang, David Wong, 22, selepas menamatkan pertandingan.

Pertandingan merentasi pelabuhan pertama kali diadakan pada tahun 1906 apabila Hong Kong masih di bawah jajahan Britain.

Ia kemudian dihentikan selepas satu pertandingan pada tahun 1978 kerana bimbang dengan tahap pencemaran air laut. - Agensi

25,000 buku 'kemewahan' Rosmah diedarkan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebanyak 25,000 naskhah buku berkaitan dakwaan pemborosan isteri perdana menteri Rosmah Mansor akan diedarkan kepada orang ramai, terutamanya di kawasan pedalaman Melayu, kata penerbitnya NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Buku nipis 16 halaman bertajuk Penjelasan Isu Cincin: Imelda Rosmah Boros itu dilancarkan di Pejabat PKR di Rembau semalam.

Pengerusi NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat itu Badrul Hisham Shaharin berkata, buku itu menjelaskan urutan peristiwa berkaitan cincin RM24.45 juta yang memuatkan jawapan terhadap dakwaan beliau cuba memburukkan imej Rosmah.

Badrul Hisham juga menyenaraikan beberapa soalan yang didakwanya hanya Rosmah dan Jabatan Kastam Diraja dapat menjawabnya.

"Saya juga melampirkan bukti baru terhadap dakwaan saya berkenaan cincin tersebut dalam buki ini," Badrul Hisham yang juga bekas pengerusi Majlis Pimpinan Pusat PKR.

malaysiakini/-

Apa muslihat sorok Laporan Ketua Audit Negara?- Anwar

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 Okt: Selepas masuk minggu kedua Belanjawan 2012 dibentangkan pada 7 Oktober lalu, Dewan Rakyat masih belum dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, terdapat usaha untuk menyorokkan kandungan laporan berkenaan supaya ia tidak dibahaskan.

“Bila Dewan mahu menyerahkan? Apakah ini muslihat untuk menyorok dan menangguhkan supaya kandungannya tak dapat dibahaskan?,” soal Anwar di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru itu beliau mahu Speaker Dewan Rakyat memberi jaminan bagi memastikan Laporan Ketua Audit Negara diserah dan dibentangkan secepat mungkin.

Ini kerana menurut Peraturan Mesyuarat 20 (1), Dewan Rakyat, Speaker dan ahli mesyuarat mesti dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara, sedangkan perbahasan Belanjawan 2012 telah memasuki minggu kedua.

“Speaker perlu memastikan perjalanan mesyuarat. Laporan Ketua Audit Negara mesti disediakan,” tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Speaker II Dewan Rakyat, Tan Sri Ronald Kiandee turut mengakui Dewan Rakyat masih tidak menerima Laporan Ketua Audit Negara untuk dibentangkan meski pun telah dua minggu perbahasan Belanjawan 2012 berlangung.

“Saya pun senasib dengan Yang Berhormat sekalian, masih belum terima Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Hal ehwal Parlimen adalah dibawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz yang dimaklumkan kini sedang berada di luar negara.

Sementara itu, difahamkan Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan kerana dibimbangi memberi persepsi berbeza terhadap pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai rekod cemerlang.

keadilandaily/-

Kereta masuk sungai 2 warga asing maut

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing maut dan seorang rakan warga tempatan cedera apabila kereta yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Bunus di sini awal hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.45 pagi apabila kereta jenis Honda berwarna putih yang dinaiki Jason Price Krull, 28, yang datang dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Munsyi Abdullah dipercayai terbabas.

"Mangsa berasal dari Kanada manakala kewarganegaan seorang lagi tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri pada mayat atau dijumpai dalam kereta berkenaan.

"Polis sukar mengenal pasti seorang lagi mangsa itu yang turut meninggal di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati kereta terbabit adalah milik warga tempatan yang cedera dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh dipandu oleh warga asing berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa berumur lingkungan awal 20-an dipercayai pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara dan mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat,” tambahnya.

Bernama

Diabetes ancam golongan muda

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kalangan pegawai perubatan yang menghadiri simposium setengah hari semalam.
BANDAR SERI BEGAWAN,

Gaya hidup yang kurang aktif dan pemakanan tidak seimbang adalah antara penyebab utama peningkatan kejadian penyakit diabetes di kalangan orang ramai.

Malah penyakit itu menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah penghidap penyakit diabetes di kalangan golongan muda semakin bertambah.

Jumlah penghidap penyakit diabetes dikhuatiri akan terus meningkat jika orang ramai tidak mengambil langkah mengubah gaya hidup mereka supaya lebih aktif dengan melakukan senaman, memakan makanan kurang lemak dan gula serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Perubatan, Konsultan Kardiologi, Nobel Heart Center, Mt Alvernia Centre, Dr Soon Chao Yong ketika menyampaikan ceramah bertajuk Diabetes and The Heart dalam Simposium Kesihatan 2011 di Hotel The Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau menjelaskan perubahan gaya hidup pada masa kini yang mana generasi muda kurang mengamalkan kegiatan aktif dan perubahan dari segi saiz makanan yang dimakan menjadi antara penyebab meningkatnya diabetes.

Dr Soon menjelaskan mengenai masalah dan cara mengurangkan kadar penyakit diabetes.P
Beliau mengakui masalah diabetes tidak hanya terhad kepada negara-negara yang maju tetapi negara membangun termasuk rantau Asia turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah penghidap penyakit diabetes.

Menurutnya, diabetes adalah penyakit yang disebabkan jumlah penduduk yang semakin menua, pemakanan tidak sihat, masalah obesiti dan gaya hidup kurang aktif.
Diabetes yang dikaitkan dengan pembangunan dijangka akan terus meningkat disebabkan pembangunan pesat di negara-negara membangun.

Menyentuh mengenai masalah diabetes pada pesakit jantung, Dr Soon berkata mereka yang mempunyai penyakit jantung dan diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami serangan atau kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung.

Beliau mengongsi bahawa kaedah terbaik mengurangkan berlakunya diabetes adalah menerusi pengurangan faktor risiko iaitu mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, memastikan berat badan di tahap seimbang serta mengamalkan pemakanan seimbang.

Di samping itu, kempen kesedaran yang terus dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit diabetes dan cara terbaik mencegahnya adalah antara usaha yang harus diketengahkan kerana mencegahnya adalah mudah.

Simposium kesihatan itu dihadiri 150 pegawai perubatan dan pegawai profesional kesihatan bersekutu kerajaan dan swasta. Tiga tokoh menyampaikan ceramah mereka termasuk Dr Soon, Konsultan Pusat Neurologi,

Neuroscience, Stroke and Rehabilitation (NSRC), Dr Christian Jacobi bertajuk Brain Attack-How to Manage? dan Pakar Psikologi Klinikal, Bahagian Psikologi Komuniti, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dayang Syahmun Metassan bertajuk Resilience in Patients (Daya Pemulihan Pesakit).

Permata Online

Kelantan pinda enakmen emas

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini.

“Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin.

Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali.

"Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat.

Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas.

Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya.

“Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus.

“Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat,” katanya.

Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti.

Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai.

harakahdaily/-