27 Januari 2012

Keberkatan dan kelebihan hari Jumaat

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Pengenalan

Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan.

Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

Penghulu Segala Hari

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat.

Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1) Allah ciptakan Adam ,
2) Allah turunkan Nabi Adam ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam,
4) Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram.
5) Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Kelebihan Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Malaikat Turun ke Bumi

Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

Kesimpulan

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)

Bekas superintenden dipenjara setahun

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat superintendan dijatuhi hukuman penjara setahun, selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, semalam, atas dua pertuduhan menggunakan dan membuat suatu akuan palsu, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu terhadap Azmi Osman, 57, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kera­guan munasabah dalam kes tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Azmi didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah oleh D Jethalal (no pasport Singapura S1568449B) bertarikh 12 Ogos 2005 yang diketahui palsu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 200 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun sama. Jika sabit kesalahan, Azmi boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun berserta denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat satu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Oktober 2005 berserta senarai harta alih dan harta tidak alih bertarikh 29 September 2005, yang diketahui palsu kepada pendakwa raya di Bandar Baru Uda, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 19 (1) Akta Pen­cegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Mohamad Haldar menetapkan hukuman enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan setahun penjara bagi pertuduhan kedua.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Saifuddin Hashim Musaini memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan serius.

Sinar Harian

Keldai dadah ditahan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket dadah antarabangsa, selepas menahan enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan yang bertindak sebagai ejen rekrut dan keldai dadah dalam beberapa ser­buan, baru-baru ini.

Dadah yang dirampas adalah jenis kokain seberat 1.2 kilogram (kg), heroin seberat 40.2kg dan syabu seberat 971 gram, yang semuanya dianggarkan bernilai RM1.53 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama pada 20 Januari lalu, polis menahan masing-masing dua lelaki warga Nigeria dan wanita warga tempatan, berumur 26 hingga 40 tahun, di kawasan KL Sentral.

Katanya, ketika itu, suspek menaiki sebuah kenderaan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Polis menemui 30 bungkusan plastik berisi kokain yang disembunyikan dalam ruangan khas bahagian roda, tapak dan batang penarik plastik pada kedua-dua beg troli yang diletakkan dalam bonet kereta.

“Siasatan mendapati seorang wanita yang diberkas itu merupakan ejen rekrut yang menjadikan wanita tempatan sebagai keldai dadah. Kita sedang mengenal pasti mangsa lain yang sudah direkrut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, dua hari kemudian, polis memberkas tiga lelaki warga Pakistan dan merampas 33 paket plastik berisi heroin yang disembunyikan dalam kotak berisi set cawan kaca.

“Kita percaya suspek sudah lama aktif dalam aktiviti penye­ludupan dadah,” katanya.

Noor Rashid berkata, keesokannya, seorang lelaki warga Guinea diberkas di KLIA kerana disyaki menelan dadah untuk diseludup ke dalam negara.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Pameran ibadah haji

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Muzium Britain buat julung-julung kalinya menganjurkan pameran ibadah haji yang diberi nama Hajj: Journey At The Heart Of Islam sebagai satu pendedahan istimewa terutamanya buat golongan bukan Islam mengenai perjalanan ibadah yang dilakukan setiap tahun itu.

Kumpulan kurator muzium berkenaan berharap, pameran yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 April itu akan dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam.

"Menerusi pameran ini, pengunjung sedikit sebanyak dapat mempelajari sesuatu mengenai haji dan bagaimana ia dilakukan," kata kurator pameran tersebut, Qaisra Khan.

Jelasnya, pameran itu turut menyampaikan mesej keamanan dalam Islam berikutan tanggapan dunia luar terhadap Asia Barat yang sebelum ini dicemari dengan keganasan dan pergolakan.

Menerusi pameran tersebut, pengunjung akan disajikan dengan langkah-langkah persiapan haji termasuk melangsaikan hutang yang tertunggak dan memohon maaf daripada semua pihak sebelum berangkat ke kota suci Mekah serta menyediakan wasiat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Malah, pengunjung berpeluang mengenali Kaabah yang menjadi kiblat bagi semua umat Islam di dunia dan Masjid Nabawi.

Pameran terbabit juga memaparkan perjalanan para jemaah untuk menunaikan haji antaranya dari Kufa, Kaherah dan Damsyik.

Semua umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal diwajibkan untuk mengerjakan ibadah haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Satu statistik yang turut dipamerkan, bilangan para jemaah yang mengerjakan ibadah naik mendadak sejak 80 tahun lalu daripada hanya 20,000 jemaah pada 1932 kepada hampir tiga juta jemaah menunaikan ibadah haji pada tahun lalu. - REUTERS

Gangguan Syaitan Ketika Solat

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Nabi bersabda, “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Oleh itu, apabila kamu terasa ingin menguap, maka hendaklah berusaha menahannya.” (HR At-Tirmizi).

Nabi s.a.w bersabdaAbu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah SAW bersabda, "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi.

Dan jika iqamat dikumandangkan, ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya: "Ingatlah apa yang tadinya kamu tidak ingat!", sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat dia solat". (HR Bukhari)

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, "Jika salah seorang dari kamu solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai dia tidak tahu berapa rakaat yang dia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kamu mengalami hal itu, hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi)." (HR Bukhari dan Muslim)

TAZKIRAH/-

Pilihan raya tentukan nasib Dinasti Gandhi

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rahul Gandhi (kiri) dan Mayawati.
Dakwaan rasuah, salah guna kuasa jejaskan imej Rahul

NEW DELHI: Lima negeri di India akan mengadakan pilihan raya Sabtu ini, sekali gus bakal menguji reputasi parti pemerintah selain penilaian terhadap kewibawaan pemimpin mudanya Rahul Gandhi.

Gandhi, putera dinasti politik Nehru-Gandhi yang mendominasi India bagi kebanyakan tempoh pasca kemerdekaan, mengambil peranan utama ketika berkempen dalam pilihan raya.

Jika Rahul yang masih bujang itu mampu memperbaiki persembahan buruk parti Kongres dalam pilihan raya UP pada 2007, beliau boleh mengharapkan satu suntikan baru politik negara ini.. - Uday Bhaskar, Penganalisis politik
Beliau merentasi negeri paling penting pilihan raya yang juga tempat kawasan parlimennya, Uttar Pradesh (UP) selain negeri jiran, Uttarakhand dan timur laut Punjab.

Di setiap negeri, pemimpin berusia 41 tahun itu diwar-warkan bakal menjadi Perdana Menteri, melakukan yang terbaik untuk menjual parti Kongres selepas reputasinya dirosakkan di peringkat nasional dengan tuduhan rasuah dan salah pengurusan.

Penganalisis politik, Uday Bhaskar berkata, jika pewaris masih yang bujang itu mampu memperbaiki persembahan buruk partinya dalam pilihan raya UP pada 2007, beliau boleh mengharapkan satu suntikan baru politik negara ini.

“Rahul Gandhi sedang diuji, namun jika beliau berupaya menghayun UP, beliau akan disorak,” kata pengarah Yayasan Maritim Nasional, kumpulan pemikir berpusat di sini.
Namun, parti Kongres, yang seiring dengan pergerakan kemerdekaan negara itu, kini terpaksa menyaksikan dominasinya di seluruh negara semakin terhakis manakala parti peringkat wilayah semakin menunjukkan kekuatan.

Satu daripadanya, Parti Bahujan Samaj, parti golongan kasta rendah pimpinan Ketua Menteri Mayawati, memberi gambaran itu pada 2007, apabila beliau berkuasa di UP dengan mengeksploitasi penyokong di kalangan penduduk kasta Dalit, kasta paling rendah.

“Dalam semua pilihan raya masa lalu kami, UP memberi gambaran pengaruh besar dalam pembentukan kerajaan. Ia sentiasa memberi lebih banyak keseronokan berbanding mana-mana negeri lain,” kata KC Sivaramakrishnan, pengerusi kumpulan pemikir Pusat Dasar Penyelidikan.

Namun kejayaan undian negeri bukan bermula di UP, di mana pengundian pelbagai peringkat bermula 8 Februari, namun jauh di jajahan timur laut dipinggir yang terletak antara Bangladesh, Myanmar dan China.

Pengundi di negeri miskin, kadang kala bergolak dan dipenuhi tentera di Manipur akan keluar mengundi Sabtu ini, dengan Kongres hampir pasti melanjutkan pemerintahannya selepas menang semua pilihan raya di sana sejak 1984. – AFP

Liga Arab putuskan rujuk krisis Syria ke PBB

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 27 Jan. – Liga Arab akhirnya membuat keputusan untuk membawa krisis politik Syria yang telah berlarutan selama 10 bulan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keputusan itu dibuat ketika aktivis menyatakan tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas pusat penunjuk perasaan berhampiran ibu negara Damsyik.

Ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi berkata, beliau dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassim Al-Thani akan ke New York Sabtu ini untuk mendapatkan sokongan mengenai rancangan mereka di Syria.

Mereka kemudian akan mengadakan rundingan dengan Majlis Keselamatan PBB Isnin ini untuk mendapatkan pengesahan berhubung keputusan Liga Arab yang mahukan Presiden Bashar al-Assad menyerahkan kuasa kepada pemangkunya. – AFP

Doktor beli buah pinggang dijel

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TOKYO: Seorang doktor dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah mengupah kumpulan penjahat sebanyak RM300,000 untuk memperoleh satu buah pinggang bagi dirinya.

Buah pinggang itu diambil daripada seorang lelaki yang dilapor berhutang kepada sebuah kumpulan penjenayah.

Toshinobu Horiuchi, 56, membayar lapan juta yen (RM300,000) untuk mendapatkan organ itu yang diperlukannya selepas buah pinggangnya tidak berfungsi lagi.

Hakim, Atsuo Wakazono yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun itu berkata, membeli buah pinggang menjejaskan dengan serius prinsip keadilan dalam pemindahan organ. - AFP

Berpantang maut sebelum ajal

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Dua remaja lelaki berusia 20an nyaris maut apabila kereta jenis Nissan 120 Y yang dinaiki mereka merempuh tiang lampu di jalan utama ke Simpang Empat Taman Kenari kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Menurut mangsa, dia dalam perjalanan dari arah Hospital Lama menuju ke Taman Kenari.

Apabila tiba di tempat kejadian sebuah kereta dari Taman Kenari menuju ke Pekan Kulim menuruni bukit dalam keadaan laju.

Mangsa cuba mengelak dari dirempuh oleh kenderaan terlibat lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh tiang lampu sehingga patah.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk manakala rakan mangsa yang berada di kerusi penumpang tersepit di tempat duduk.

Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang ramai dengan bantuan anggota Ikatan Relwan Rakyat (Rela) yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Mangsa tersepit mengalami kecederaan patah kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan.

Dari siasatan awal dijalankan mendapati kereta digunakan mangsa dimiliki oleh seorang wanita beralamat di Kelantan.

Ketua polis Trafik Kulim, ASP Ismail Ayub berkata, terdapat beberapa jalan di sekitar Kulim harus di selenggarakan kerana ia terlalu curam dan membahayakan pengguna jalan raya.

Menurutnya, Simpang Empat Taman Kenari merupakan salah satu kawasan kemalangan dan meminta orang ramai supaya memperlahankan kenderaan ketika tiba di kawasan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan berada dalam keadaan stabil manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta yang dipandu mangsa telah di bawa ke balai polis Trafik kulim untuk siasatan lanjut.

“Saya berharap penunggang motosikal dan pemandu kereta supaya memperlahankan kenderaan mereka apabila menaiki atau menuruni jalan di sekitar Kawasan Taman Kenari. Ini adalah kerana jalan itu tidak lurus.

“Apabila ini berlaku kenderaan dari arah bertentangan tidak dapat mengelak kenderaan yang datang dari arah depan dalam keadaan laju,” katanya.

Sinar Harian

25 kedai dekat Penang Sentral terbakar

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Sebanyak 25 buah kedai berhampiran terminal bas Penang Sentral di sini hangus dalam satu kebakaran lewat malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.39 malam.

"Ketika pihak bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian awal pagi ini.

Seramai 74 anggota bomba dari Perai, Perda dan Butterworth menggunakan lima jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.

Mereka dibantu 157 anggota bomba sukarela yang menggunakan 19 jentera bomba.

Azmi berkata pihaknya mengambil masa 25 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

"Api marak dengan cepat kerana struktur kedai-kedai berkenaan dibina daripada papan. Tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Azmi berkata punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.

Antara kedai yang terlibat dalam kejadian itu ialah kedai menjual jeruk, kaunter tiket bas ekspres, kedai makanan dan kedai runcit. - Bernama

Sinar Harian

Kes curi kenderaan terbongkar

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PADANG BESAR – Gara-gara enggan membayar minyak petrol yang diisi membawa kepada satu pembongkaran kecurian motosikal yang didakwa dilakukan seorang lelaki Melayu berumur 24 tahun di Wang Kelian.

Lelaki terbabit yang bekerja di sebuah kedai makan ditahan polis di Batu 18 Jalan Kaki Bukit, Wang Kelian, kira-kira jam 4 petang, pada 21 Januari lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Besar, Rafae Hassan berkata, motosikal terbabit jenis Modenas Kriss berwarna merah dipercayai dicuri setelah menerima laporan daripada seorang pemilik kedai kerana suspek terbabit enggan membayar harga minyak yang diisi.

“Mulanya suspek membawa motosikal itu untuk mengisi minyak di sebuah kedai di Wang Kelian dan setelah itu suspek didakwa enggan membayar wang tersebut.

“Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis oleh pemilik dan setelah dijalankan pemeriksaan dipercayai motosikal terbabit adalah motosikal curi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Padang Besar, semalam.

Dalam perkembangan sama, Rafae berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang remaja lelaki berbangsa Melayu berumur 19 tahun berikutan kes curi sebuah kereta yang dilaporkan hilang pada 10 Mei 2010 di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menurutnya, kereta jenis Waja itu yang berwarna perak dipercayai cuba diseludup ke Thailand atas tujuan tertentu.

“Nombor plat kereta terbabit tidak ditukar dan masih boleh digunakan. Perubahan hanya terdapat pada bahagian tayarnya.

“Semasa risikan kita lihat pemandu terbabit mencurigakan dan anggota kita telah mengekori suspek sehingga ke rumahnya. Pemeriksaan mendapati, kereta terbabit adalah kereta curi,” katanya.

Rafae berkata, suspek dan kereta terbabit dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut dan dipercayai kereta itu digunakan sebagai kereta ‘Piang’ di mana digunakan sebagai pengangkutan untuk jual beli minyak di Thailand.

Menurutnya, laporan menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah.

“Lelaki yang terlibat dengan curi motosikal ada dua rekod lampau iaitu 379 A mencuri kenderaan dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu melupuskan barang-barang curi, manakala remaja terbabit tidak ada rekod lampau.

Kedua-dua suspek dituduh mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Sinar Harian

3 lelaki, ibu tunggal ditahan

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Tiga remaja lelaki berusia 16, 17 dan 19 ditahan orang awam ketika sedang melakukan perbuatan sumbang bersama seorang ibu tunggal berusia 22 di tahun di padang permainan di Taman Desa Impiana, kira-kira jam 3.15 pagi semalam.

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, dia ternampak suspek terlibat menunggang tiga motosikal berasingan dan mengekori mereka dari Taman Alma Jaya sehingga ke Taman Selasih.

“Perlakuan mereka mencurigakan apabila berlegar di sekitar kawasan perumahan. Mereka kemudiannya melarikan diri apabila ternampak Unit Peronda MPV Polis yang sedang membuat rondaan.

“Kira-kira jam 2 pagi, mereka berhenti di kedai makan. Apabila selesai makan, mereka berlegar sekali lagi di kawasan Taman Selasih sebelum berhenti di padang permainan di Taman Desa Impiana.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat pemantauan dari jauh dan mendapati dua remaja lelaki bersama seorang remaja perempuan masuk dalam lubang papan luncur di taman permainan itu manakala seorang lagi berada di luar.
“Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Dari pemeriksaan dijalankan, polis mendapati mereka tinggal di sekitar kawasan Kulim dan Permatang Pauh. Polis turut menemui senjata buku lima buatan sendiri dalam beg galas yang dibawa salah seorang remaja yang ditahan.
Selain itu, terdapat kesan lebam di leher sebelah kanan ibu tunggal berkenaan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, semua remaja lelaki terlibat tidak bersekolah manakala ibu tunggal yang ditahan bekerja di kantin kilang di Perai.

“PADK sudah mengambil keterangan semua suspek dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan, setiap suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM500 setiap seorang dan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh ditetapkan. Sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya.

Sinar Harian

Pendapatan pemandu teksi merosot

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENDANG – Beberapa pemandu teksi di bawah Persatuan Teksi daerah Pendang mengeluh apabila pendapatan mereka semakin merosot teruk kerana kebanyakan penduduk tempatan tidak lagi menggunakan perkhidmatan itu.

Tinjauan Sinar Harian perhentian teksi di pekan Pendang mendapati pemandu teksi terpaksa menunggu lama dalam satu-satu masa untuk mendapatkan pelanggan sehinggakan ada yang tertidur di perhentian terbabit.

Pengerusi Persatuan Teksi daerah Pendang, Shafian Ahmad berkata, pendapatan mereka semakin merosot pada masa ini kerana sukar untuk mendapatkan penumpang terutamanya pada hari bekerja sehingga ada pemandu teksi yang pulang tanpa memperoleh pendapatan.

“Pendapatan pemandu teksi di daerah ini banyak bergantung kepada warga asing iaitu Bangladesh, Myanmar, Kemboja dan banyak lagi yang sering menyewa perkhidmatan teksi itu ke Sungai Petani dan Pulau Pinang.

“Kami hanya bergantung kepada warga asing kerana penduduk tempatan lebih suka menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak ke lokasi tertentu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di hentian teksi di pekan Pendang.

Shafian berkata, disebabkan kemerosotan itu hanya 10 pemandu teksi yang masih aktif beroperasi manakala 25 pemandu lain dalam persatuan itu kurang aktif dan ada sebilangan pemandu teksi yang sudah berhenti.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Ramli Jap berkata, faktor kemerosotan itu juga adalah berpunca daripada bas henti-henti yang menamatkan beroperasi di beberapa laluan menyebabkan penumpang tidak dapat datang ke Pendang dan secara tidak langsung turut menjejaskan perkhidmatan teksi di situ.

“Perkhidmatan bas Cityliner sudah berhenti operasi dari Pendang ke Alor Setar melalui Kota Sarang Semut kira-kira awal Disember lalu turut menjejaskan perkhidmatan teksi.

“Perkhidmatan teksi dan bas henti-henti saling berkait rapat dengan membawa penumpang ke Pendang namun secara tidak langsung mereka (penumpang) menggunakan perkhidmatan teksi,” katanya.

Selain itu, Ramli turut berkata, rata-rata pemandu teksi turut mengeluh mengenai kenaikan insurans teksi mereka yang sangat tinggi iaitu RM900 berbanding dahulu RM600 kerana membebankan mereka dengan sumber pendapatan yang diperoleh setiap hari.

Sinar Harian

Paku bertaburan di jalan raya Jakarta

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEORANG anggota sukarelawan menunjukkan paku-paku yang ditemui di sebatang jalan raya yang melekat pada peralatan magnetnya
di Jakarta pada 19 januari lalu.

JAKARTA, Indonesia - Taktik kotor sebahagian mekanik motosikal dan penukar tayar di sini yang menabur paku di atas jalan raya untuk mencari pelanggan menyebabkan orang ramai hilang sabar.

"Kalau si penjahat ini dapat saya tangkap, saya akan pastikan seluruh tubuhnya ditusuk paku," kata seorang pemilik teksi motosikal, Talib.

"Biar mereka telan paku-paku itu," kata seorang rakannya yang berusia 50 tahun, Sulaiman Daud.

Seorang jurucakap polis di sini, Rikwanto memberitahu, perbuatan sabotaj itu sudah berlaku selama bertahun-tahun.

"Mereka dicaj dua kali ganda lebih tinggi daripada harga biasa," tambah Rikwanto.

Menurutnya lagi, mekanik dan penukar tayar terbabit memperoleh pendapatan harian sekitar AS$22 (RM66.90), amat lumayan di Indonesia kerana hampir separuh daripada 240 juta rakyatnya bergaji kurang AS$2 (RM6) sehari.

Seorang pemilik bengkel, Darmito, 57, memulakan perniagaan menukar tayar di tepi sebatang jalan raya di sini dua bulan lalu untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan.

Namun, katanya, dia tidak tahu tentang sindiket atau pihak yang melakukan kegiatan tersebut.

Pada bulan lalu, polis menangkap lapan orang yang disyaki melakukan jenayah berkenaan. - AFP

Panduan Solat Jenazah


3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Roslan Mohd

Seringkali kita lihat di sekeliling kita satu persatu orang pergi meninggalkan keluarga dan sahabat handai, itu dinamakan sudah ajal. Apabila seseorang itu mati, maka menjadi tanggungjawab sesetengah daripada manusia di sekelilingnya untuk menguruskan jenazahnya kerana menguruskan jenazah hukumnya fardhu kifayah yakni jika ada satu golongan sudah melaksanakannya, maka semua golongan di sesuatu tempat itu terlepas dari dosa besar.

Walaupun hukumnya fardhu kifayah, apa yang dapat aku lihat masih ramai yang tidak mengetahui bagaimana untuk melakukan solat jenazah. Sebaik-baik mayat yang disolatkan adalah diimamkan oleh anaknya sendiri. Jadi cuba korang tepuk dada dan tanya diri sendiri, apakah aku mengerti melakukan solat jenazah jika orang tuaku meninggal kelak? Tidak malukah jika membiarkan penghormatan terakhir (solat) dilakukan oleh orang lain dari keluarga sendiri?

Kaifiat Perlakuan Solat Jenazah :
Solat Jenazah merupakan salah satu bentuk doa dari manusia yang hidup kepada si mati agar dikurangkan bebanan atau menambahkan lagi martabat si mati di sisi Allah, bukanlah sebagai "cara" untuk menghapuskan segala dosa si mati...Itu semua Hak Allah. Melaksanakan solat Jenazah secara asasnya hukumnya fardhu kifayah. Namun begitu adalah wajib untuk setiap individu belajar dan memahami serta menguasai cara perlaksanaan solat Jenazah.

Adalah digalakkan kepada kita untuk mendirikan solat jenazah sekurang-kurangnya tiga (3) saf / baris walaupun baris itu pendek. Pernyataan ini dibuat berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang disolatkan oleh tiga baris kaum muslimin, maka telah diwajibkan ke atas jenazah itu masuk syurga." (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud).

SYARAT SAH SOLAT JENAZAH
1) Wajib menutup aurat
2) Suci daripada hadas kecil dan besar serta daripada najis.
3) Menghadap kiblat.

Persediaan solat jenazah:
  • Mayat mestilah diletakkan melintang ke arah kiblat.
  • Mayat lelaki kepalanya sebelah kiri imam dan imam berdiri di sebelah kepada atau dada mayat.
  • Mayat perempuan kepalanya sebelah kanan imam dan imam berdiri di pinggangnya.
  • Bagi solat ghaib, imam dan makmum mengadap qiblat tanda ada jenazah di depan.
Disarankan saf untuk solat jenazah dijadikan sebanyak 3 baris dan makmum yang menyolatkan mayat dituntut melebihi 40 orang. Dalam solat jenazah, tiada rukuk dan sujud, jadi makmum harus berdiri rapat antara satu sama lain dengan makmum yang di hadapan.

Cara solat jenazah:
1. Berdiri dengan betul dan melafazkan niat solat jenazah seperti berikut:


2. Mengangkat takbir pertama (اَ للهُ اَكْبَرُ) berserta dengan niat di dalam hati dan diteruskan dengan membaca surah Al-Fatihah.

3. Mengangkat takbir kedua (اَ للهُ اَكْبَرُ) kemudian membaca selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w seperti berikut.


4. Mengangkat takbir ketiga (اَ للهُ اَكْبَرُ) kemudian membaca doa seperti berikut.


5. Mengangkat takbir keempat iaitu takbir terakhir
(اَ للهُ اَكْبَرُ) kemudian membaca doa berikut.


6. Memberi salam ke kanan dan ke kiri.

Selesai beri salam, korang bolelah membaca surah Al-Ikhlas (3 kali), surah Al-Falaq (1 kali), surah An-Nas (1 kali), surah Al-Fatihah (1 kali), surah Al-Baqarah ayat 1-5 (1 kali), ayat Qursi (1 kali) dan baca doa yang sesuai.
————————-
Di atas adalah panduan lengkap bagi yang ingin berlajar bersungguh-sungguh tentang solat jenazah dan jika korang dalam kategori susah untuk mengingati dan menghafal panduan di atas, bolehlah lihat panduan ringkas yang turut aku sediakan di bawah. Yang penting kita mesti tahu bagaimana untuk melaksanakan solat jenazah.

1. Niat dalam hati sambil melafazkan takbir (اَ للهُ اَكْبَرُ) seperti berikut:
Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
Kemudian baca surah Al-Fatihah.
2. Setelah takbir kedua, baca selawat ke atas Nabi.
Allahumma salli ala Muhammad wa ala ali Muhammad.
3. Setelah takbir ketiga, baca doa berikut.
Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)
Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat.
4. Setelah takbir keempat, beri salam ke kiri dan ke kanan.

Nota: Artikel ini dinukilkan setelah merujuk kepada Ustaz Nor Amin, Ustaz Azhar Idrus, http://syahirul.com dan Ustaz Ismail Kamus (Buku Indahnya Hidup Bersyariat, 2009, Telaga Biru Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.)