30 Januari 2012

Puting Beliung Di Indonesia Korbankan 14 Nyawa

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Kejadian puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Pulau Jawa sejak Rabu, telah mengorbankan 14 nyawa akibat ditimpa pokok yang tumbang.

Puting beliung yang melanda semua negeri di kedua-dua pulau itu, turut mencederakan 60 yang lain dan merosakkan 2,364 rumah, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Daripada jumlah yang terkorban, masing-masing tiga di Tabanan dan Purbalingga, dua di Kediri dan Banyumas serta seorang di Jakarta Selatan, Wonosobo, Ciamis dan Pasuruan.

Kerosakan rumah yang paling teruk ialah di Kepulauan Seribu, Banyumas, Banjarnegara dan Situbondo.

Kejadian puting beliung itu yang dipengaruhi siklon tropika Iggy di selatan Nusa Tenggara dan Bali, kini sudah semakin lemah dan menjauhi wilayah Indonesia, kata badan itu.

MSTAR/-

Maut selepas pulang dari kerja

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Skudai Kiri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa, Charles G Patin, 34, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Singapura sebelum gagal mengawal motosikalnya, lalu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.

Difahamkan, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Kominisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa yang berasal dari Sabah itu gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

“Motosikal yang ditunggang mangsa itu hilang kawalan dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat rempuhan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke HSA untuk tindakan selanjutnya dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pihak polis atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ruslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian agar tidak mengganggu siasatan pihak polis.

Sinar Harian

Samseng jalan raya kena cekup

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja lelaki 18 tahun ditahan Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) dari Balai Polis Kulim kerana menunggang motosikal dalam keadaan laju dan melulu di jalan kilang lama bersama beberapa penunggang motosikal lain kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Sebelum ditahan, suspek sempat membuat aksi merbahaya dan beberapa penunggang motosikal lain melakukan aksi superman diatas motosikal masing-masing.

Terkejut dengan kehadiran polis, suspek dan tiga penunggang motosikal lain cuba melarikan diri tetapi dua dari mereka berjaya ditahan di hadapan Stadium Mini Keladi.

Dari pemeriksaan dijalankan terhadap suspek mendapati, dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain cukai jalan motosikalnya tamat tempoh pada 2008.

Motosikal Honda 70 yang ditunggangnya juga diubah suai. Suspek dan motosikalnya dibawa ke Balai Trafik Kulim.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, polis mengeluarkan pelbagai saman terhadap suspek terlibat antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada insurans dan tiada cermin sisi.

“Sehingga kini kemalangan maut dilaporkan yang berlaku sering melibatkan penunggang motosikal dan golongan remaja. Menunggang motosikal dengan laju atau melulu boleh mengakibatkan kemalangan dan kecederaan parah.

“Saya menasihatkan ibu bapa jangan sewenangnya membenarkan anak mereka menunggang motosikal. Sekiranya ditahan, polis akan mengeluarkan saman terhadap penunggang dan pemilik motosikal terlibat,” katanya.

Sinar Harian

Sindiket pengemis buta

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

“Derma encik”. Itulah kata-kata pengemis cacat penglihatan sambil menghulurkan tisu ataupun kalendar untuk ditukarkan dengan wang.

Menjadikan restoran sebagai tempat meminta sedekah, pastinya pelanggan yang sedang menikmati hidangan yang enak- enak tidak sampai hati melihat golongan ini meminta-minta, lalu mereka menghulurkan derma.

Bagaimanapun, niat ikhlas pemberi sumbangan ini membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Itulah yang terjadi kepada golongan cacat penglihatan yang ditindas oleh golongan yang sempurna dan hanya mementingkan keuntungan.

Namun, sindiket yang menggunakan golongan cacat penglihatan ini masih belum disahihkan kerana kebanyakan yang ditemui mengakui mereka melakukannya dengan kerelaan hati, membantu golongan cacat penglihatan ini meneruskan kelangsungan hidup.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar menyelami nasib si pengemis buta yang dipercayai didalangi sindiket untuk mendapatkan keuntungan ataupun mereka ini mahukan wang dengan cara yang mudah.

Mengemis, menjual tambah pendapatan

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang cacat penglihatan dibawa oleh seorang lelaki ataupun perempuan sambil menjual barangan mereka seperti kalendar dan tisu di kawasan tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pasar malam dan sebagainya.

Salah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia dan isterinya terpaksa menjual kalendar untuk menyara dua anaknya yang masih kecil.

Ali yang cacat penglihatan dibantu seorang wanita yang diperkenalkan sebagai isterinya berasal dari Indonesia. Mereka tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk keluar menjual barangan mereka.

“Kami tidak bekerja dan menjual kalendar ini untuk menyara kehidu-pan seharian dan setiap hari kami hanya memperoleh tidak lebih daripada RM100.

“Kalendar ini kami tempah khas untuk dijadikan barang jualan kepada orang ramai dan mendapat simpati daripada orang ramai untuk membeli dan menderma,” katanya.

Ali yang berusia 40-an dan isterinya berusia 30-an itu pergi selepas ditanya pelbagai soalan dan meneruskan aktiviti mereka meminta derma di salah sebuah restoran.

Boleh dikenakan tindakan

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Roslan Baba berkata, aktiviti mengemis yang menggunakan orang buta ada dilaporkan tetapi ianya merangkumi keseluruhan pengemis yang dikenalpasti.

Menurutnya, ini juga dipercayai didorong oleh sindiket yang menggunakan orang buta bagi mendapatkan wang dengan cara yang lebih mudah.

“Kaedah mendapatkan simpati orang ramai dan dibantu oleh pengiring yang sempurna sifat membantu mereka ini mendapatkan wang yang lebih.

“Antara kaedah yang digunakan bukan sahaja mengemis dengan tangan kosong tetapi ditukarkan dengan menjual tisu, kerepek, kalender ataupun ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.

Roslan berkata, sekiranya ditangkap, mereka bersama pengiring juga menerima nasib yang sama kerana pengiring seolah-olah bersubahat dengan mendapatkan wang.

Menurutnya, mereka ini dikategorikan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan orang yang terlibat supaya tidak meneruskan aktiviti mengemis mereka.

“Berdasarkan laporan yang diterima mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti mereka.

“Mereka akan ditemani seorang wanita atau lelaki celik yang membantu mereka bagi memastikan tidak ditipu orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, walaupun alasan mereka hanya menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.

Menurutnya, kegiatan ini disifatkan sebagai satu manipulasi sindiket terancang yang berniat memeras kudrat OKU yang sama sebahagian besarnya adalah orang tempatan.

“Dipercayai perolehan pendapatan daripada mengemis dibahagikan diantara OKU dan orang yang menemaninya.

"Ada yang mendakwa, mereka ini memperolehi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan dan ada kemungkinan juga, sindiket pengemis buta ini mendapat persetujuan daripada pengemis sendiri yang juga mahukan wang dengan cara dengan lebih mudah dengan menggunakan kekurangan yang ada pada mereka,” katanya.

Roslan berkata, tindakan OKU yang meminta belas orang ramai merupakan tindakan pengemis dan ianya menyalahi Akta Orang-Orang Papa 1977.

Menurutnya, turut tidak menafikan keadah mengemis menggunakan orang buta ini dipercayai diselubungi sindiket tetapi pihaknya masih belum dapat membuktikan dakwaan tesebut.

Bagi mengatasi masalah dan kegiatan mengemis ini, JKM akan mengadakan kempen ‘Berhenti Memberi, Kami Prihatin’ pada 31 Januari ini peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, jika sebelum ini operasi membersihkan pengemis sentiasa dilaksanakan tetapi kali ini memberi tumpuan kepada pemberi. Roslan berkata, pihaknya sering mengadakan operasi melalui tiga kaedah iaitu operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat, operasi berjadual dan operasi berdasarkan aduan.

Beliau berkata, jumlah pengemis yang diselamatkan sehingga bulan Oktober 2011, lelaki 915 orang dan perempuan 359, jumlahnya, 1274.

Bilangan operasi pengemis dan kutu rayau, operasi bersepadu, 57 orang , operasi berjadual, 417orang, aduan orang ramai, 275 orang, rujukan agensi dan persatuan, 60 orang dan lain-lain 102 orang.

MAD sedia membantu

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tidak menolak dakwaan terdapat pengemis buta yang mengemis menggunakan pengiring untuk menambah pendapatan mereka ataupun untuk menyara keluarga.

Mereka ini ada diantaranya digunakan individu tertentu untuk mendapat simpati supaya orang ramai terus memberi sumbangan.

Pelbagai kaedah yang digunakan seperti menjual tisu, kalendar dan menjual kerepek sebagai kaedah mereka untuk mengemis. Ini seolah-olah mereka menjalankan perniagaan bergerak bagi mengelakkan daripada mereka dikategorikan sebagai pengemis.

Pemangku Pengarah Eksekutif MAB, Datuk S Ganesan berkata, pihaknya sebelum ini tidak menerima laporan mengenai orang buta yang dijadikan pengemis untuk satu sindiket tetapi tidak menolak dakwaan ada pengemis yang terdiri daripada orang buta.

Menurutnya, beberapa tahun lalu, pihaknya ada menerima laporan mengenai orang cacat penglihatan ini dijadikan pengemis di Perak dan ditempatkan di beberapa kawasan.

“Kita ada terima laporan tetapi tidak dapat membongkar mengenai isu ini dan pemantauan berterusan kita laksanakan kerana tidak mahu golongan ini ditindas oleh mereka yang hanya memikirkan keuntungan dengan mudah.

“Sehingga kini, MAB sering terlibat dalam operasi dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan mengemis menggunakan orang cacat penglihatan kerana tidak mahu mereka ini dipandang rendah,” katanya ketika ditemui di pejabat MAB.

Sinar Harian

DAP: PM perlu jelaskan kontrak 'istimewa' lebuh raya

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAP mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat berhubung projek lebuh raya Banting-Taiping bernilai RM7.07 bilion yang dianugerahkan kepada Kumpulan Europlus Bhd (Europlus).

pakatan pokok sena ceramah 140112 lim guan engSetiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Najib perlu juga menjelaskan kepada rakyat berhubung “tawaran istimewa” yang diberikan kepada Europlus, termasuk pemberian konsesi selama 60 tahun dan RM2.24 bilion dalam bentuk pinjaman mudah.

Katanya, pembinaan lebuhraya sepanjang 316km itu adalah permulaan kepada satu lagi skandal yang akan menyebabkan penderitaan rakyat lebih perit.

“DAP berasa curiga kenapa Kerajaan Persekutuan belum lagi membuat pengumuman mengenai konsesi lebuhraya yang jelas melanggar prinsip asas ketelusan dan kebertanggungjawab awam,” kata Lim dalam satu kenyataan akhbar.

Menurutnya rakyat perlu tahu dengan jelas tentang projek yang dianugerahkan kepada Europlus itu, termasuk pemberian subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun dan geran sebanyak RM980 juta untuk pengambilan tanah.

Katanya Europlus mengumumkan telah menerima surat kelulusan untuk membina lebuhraya 316km daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, sebelum kerajaan menandatangani perjanjian dengan Europlus, Perdana Menteri perlu memastikan tujuh persoalan berikut dijawab:

1.Adakah tender terbuka dijalankan untuk perjanjian ini, dan jika tidak, kenapa? Jika ya, siapa lagi yang menyertai dan kenapa mereka tidak dipilih?

2. Kenapa Europlus dipilih, sedangkan mereka tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam bina-kendali-pindah (BOT) sektor lebuh raya, dan pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan?

3. Bagaimanakah kerajaan boleh memberi tempoh konsesi selama 60 tahun, iaitu yang terpanjang dalam sejarah Malaysia (dan kedua paling lama selepas perjanjian pembekalan air selama 100 tahun kepada Singapura yang telah dimeterai pada tahun 1960-an)?

4. Apakah rasional untuk penganugerahan pinjaman mudah sebanyak RM2.24 bilion dari tahun 2013 pada kadar faedah 4 peratus serta subsidi faedah 3 peratus untuk pinjaman komersial selama 22 tahun? Kedua-dua subsidi ini berjumlah RM4 bilion jika prinsipal pinjaman adalah RM6 bilion.

5. Kenapa perlu kerajaan membayar RM980 untuk pengambilan tanah sedangkan ini projek swasta?

6. Kenapa kos lebuh raya 316km ini yang berjumlah RM7.07 bilion atau RM22.3 juta setiap km adalah dua kali ganda kos pembinaan lebuhraya yang sama di India dengan kos RM10 juta setiap km?

7. Jika konsesi tol terbaru ini adalah alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak, kenapa berhenti di Taiping? Kenapa konsesi Europlus tidak dilanjutkan kepada Pulau Pinang yang mengalami kesesakan yang lebih teruk? Ini tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang dan juga Kedah.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata konsesi 60 tahun yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdana Menteri itu bermakna beberapa generasi rakyat Malaysia akan terpaksa membayar tol dari generasi beliau hingga ke cucu-cicitnya.

“Ini langsung tidak boleh diterima kerana tempoh konsesi yang begitu lama ini hanya menguntungkan segelintir kroni syarikat pengendali tol yang akan mengaut keuntungan Maha Firaun manakala yang ruginya 28 juta rakyat Malaysia,” katanya lagi.

MALAYSIAKINI/-

4 aktivis pembangkang Bangladesh ditembak

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DHAKA 30 Jan. - Empat aktivis pembangkang terbunuh dan hampir 200 lagi cedera apabila beberapa anggota polis melepaskan tembakan pada perhimpunan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) di tenggara Dhaka, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Chandpur, Amir Zafar, kejadian itu berlaku di pekan Chandpur dan Laksmipur selepas BNP mengadakan satu tunjuk perasaan bagi menuntut kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan berhubung pertikaian mengenai pembaharuan pilihan raya.

“Penunjuk perasaan itu membaling batu ke arah polis dan polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Chandpur, Zakir Ahmed berkata, pertempuran itu meletus selepas kira-kira 7,000 penunjuk perasaan BNP cuba berkumpul di sebuah padang sekolah tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

“Kami mula-mula melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka tetapi mereka bertindak ganas,” kata Zakir dengan menambah kata, sekurang-kurangnya 100 orang termasuk 30 anggota polis cedera.

Di Laksmipur, seorang dilaporkan mati apabila pasukan polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah lebih 4,000 penunjuk perasaan selepas mereka sukar dikawal dan menyerang pasukan polis dengan senjata, jelas Ketua Polis tempatan, Golam Sarwar.

“Dua orang cedera parah dalam pertempuran itu dan seorang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital serta seorang lagi berada dalam keadaan kritikal dikejarkan ke sebuah klinik di Dhaka,” ujarnya. - AFP

Subsidi gula: Rakyat diperbodohkan, kata Pua

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAP membidas kerajaan pimpinan BN kerana cuba memperbodohkan orang ramai dengan membuat dakwaan bahawa subsidi gula dinaikkan kerana harga dunia yang meningkat sedangkan hakikatnya harga gula di seluruh dunia turun sejak enam bulan yang lalu.

dap scholarship fund pc 130607 tony pua"Oleh yang demikian, dengan mengekalkan harga gula pada RM2.30, kerajaan sebenarnya telah memberi subsidi yang kurang, dan bukannya subsidi tambahan, seperti yang dengan bangganya didakwa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob.

"Apakah lsmail Sabri cuba untuk menipu rakyat dengan mendakwa kononnya Malaysia telah meningkat lagi subsidi gula kerana harga bahan itu di seluruh dunia telah meningkat walaupun hakikatnya adalah sebaliknya?" kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kiri) dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan akhbar Jumaat lalu, di mana menteri berkenaan mendakwa bahawa kerajaan menanggung subsidi yang kian meningkat iaitu daripada 20 sen kepada 54 sen sekilogram gula bagi mengekalkan harga pada RM2.30.

Dalam laporan akhbar The Star itu, Ismail Sabri memuji kerajaan kerana mampu mengekalkan harga gula walaupun pada hakikatnya bahawa "harga gula global terus melambung".

Dalam menyangkal dakwaan itu, Pua berkata apa yang sangat menarik ialah harga gula global dalam tempoh enam bulan yang lalu sejak kenaikan harga terakhir pada bulan Mei 2011 sebenarnya telah turun dengan ketara dan tidak melambung.

MALAYSIAKINI/-

Ketika Ajal Menjemput, Sudah Siapkah Kita?

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Malam dingin udara terasa menusuk. Air mata menetes, mengalir begitu saja. Mengingat kematian bisa hadir kapan saja. Bahkan bila Allah menakdirkan detik ini kita meninggal dunia, maka detik inipun kita meninggal dan kita tidak dapat menolaknya. Kita tidak bisa berbuat apapun, sekalipun kita berlari keujung dunia, kematian tetap menjemput kita. Rumah tiba-tiba penuh dengan tangisan. Anak-anak kita menangis. Pasangan hidup kita menangis. Orang tua kita menangis. Teman kantor, kerabat, tetangga, mereka semua menangis. Kita hanya bisa membisu, jasad kita dimandikan, dikafani, kemudian disholatkan. Selesai sholat, tubuh kita dimasukkan keranda. Diangkat dan digotong keliang lahat. Diringi isak tangis orang-orang yang kita kasihi.

Tubuh kita diturunkan diliang lahat seukuran tubuh kita. Dimiringkan ke arah kiblat. Ditutup dengan papan. Tinggallah diri kita dalam kegelapan, sendirian dan kesepian. Tiada seorangpun yang mau menemani diri kita. Bahkan orang paling mencintai kita sekalipun pergi meninggalkan kita. Hanyalah amal kebaikan kita selama hidup didunia yang menemani kita. Amal kebaikan itulah yang menjadi bekal kita. "Apabila nafas seseorang telah mendesak sampai dikerongkongan dan dikatakan kepadaNya. 'Siapakah yang dapat menyembuhkanmu?' dan dia yakin bahwa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dengan dunia telah tiba dan tautan betis kiri dan betis kanan. kepada Tuhanmu-lah pada hari itu kamu dihalau."(QS. al-Qiyamaah : 26-30).

Ketika ajal menjemput, sudah siapkah kita?

Wassalam,
Muhamad Agus Syafii

Hairan padi kering, tidak berisi

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PINANG TUNGGAL - Lebih 80 pesawah sekitar daerah Lembah Raja dan Ekor Kucing di sini mengalami kerugian ribuan ringgit apabila padi yang sedia untuk dituai bertukar menjadi kering dan tidak berisi.

Penyakit misteri tanaman yang menghantui pesawah kawasan itu dikesan bermula seminggu lalu selepas perubahan cuaca dari panas terik ke hujan yang menyebabkan padi yang sedang masak didapati hilang secara tiba-tiba.

Tetapi menghairankan, pokok padi itu hidup subur dan tidak pula mati.

Pesawah, Abu Bakar Shaari, 58, berkata, dari keseluruhan 1,500 hektar sawah padi di kawasan itu lebih separuh darinya diserang penyakit misteri itu.

“Ini bukan penyakit bena perang kerana selama ini persekitaran kawasan sawah padi di sini sentiasa dikawal selia dari semua segi dan tidak pernah diabaikan.

“Penggunaan racun serangga mencukupi, kaedah penjagaan berdasarkan tunjuk ajar dari Jabatan Pertanian serta pengalaman lama sebagai pesawah menjadikan kawasan ini tidak pernah diserang penyakit tanaman,” katanya.

Rakannya, Saad Saaban, 69, berkata, serangan penyakit seakan-akan buruk tangkai itu merupakan kali pertama dialaminya serta berlainan sekali dengan penyakit bena perang.

“Sekarang umur padi saya telah mencecah 90 hari dan bakal dituai tidak sampai dua minggu lagi tetapi semuanya musnah sekelip mata menyebabkan saya hilang punca pendapatan.

“Akibat serangan itu, padi yang hampir menguning bertukar menjadi kelabu,” katanya.

Bagi Abdul Wahab Yaakob, 49, sebaik menyedari padinya diserang penyakit misteri itu dia telah berusaha menyembur racun termasuk yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian, tetapi semuanya tak membuahkan hasil.

“Jika sehektar pendapatannya boleh mencecah RM3,000 bayangkan betapa ruginya keseluruhan petani di sini selepas lebih separuh dari 1,500 hektar sawah padi di sini rosak.

“Tak tahulah bagaimana untuk menjelaskan semua hutang serta meneruskan kehidupan kerana serangan ini berlaku ketika padi sedia untuk dituai,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Zainol Wahab, 57, berkata, sebelum ini serangan siput gondang emas, tikus dan kulat serta bena perang yang pernah dialami sejak mengerjakan sawah lebih kurang 35 tahun lalu tidak seteruk serangan penyakit misteri yang kali pertama menyerang itu.

“Lebih tiga suku kawasan sawah padi yang saya usahakan di sini musnah dalam serangan itu,” katanya.

Bagi Roslan Saad, 48, berkata, dia telah menghabiskan banyak duit untuk membeli racun kerana beranggapan ia terjadi akibat serangan serangga.

“Selepas melihat padi seluas tiga hektar yang penuh berisi dari kekuningan kepada warna kelabu seminggu lalu saya mengambil langkah menyembur racun dengan harapan ia akan terkawal.

“Tapi ia tak berbekas menyebabkan semua padi milik saya musnah yang sekelip mata hingga menjadikan saya kehilangan punca utama menyara keluarga,” katanya.

Sinar Harian

Anak buat maksiat pukul ibu

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja perempuan 21 tahun yang tinggal bersama ibunya di sebuah taman perumahan di sini, sanggup menjadikan rumah mereka seperti rumah tumpangan dengan membawa rakan perempuannya berusia 23 tahun bersama teman lelaki masing-masing untuk menempiaskan nafsu.

Perlakuan sumbang dilakukan mereka diketahui penduduk setempat sebelum membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK).

Enam pegawai penguat kuasa PADK membuat membuat pemantauan dan mengepung rumah berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

Pengadu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, seorang remaja perempuan yang ditahan sering memukul ibunya dan perbuatan itu mengakibatkan ibunya itu takut untuk membuat laporan polis atau PADK.

“Pasangan ini sudah lama melakukan perlakuan maksiat di rumah mereka dengan membawa balik teman lelaki masing-masing. Perkara ini berlaku sejak enam bulan lalu. Ibu suspek tidak berani menegur anak perempuannya, kerana takut dipukul dan diherdik sekiranya berbuat demikian,” katanya.

Ketika serbuan dibuat, PADK terpaksa menunggu kira-kira 10 minit sebelum pintu rumah dibuka. Setelah memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa PADK, tiga dari enam penguat kuasa terlibat meminta kebenaran masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan.

Jurucakap PADK berkata, ketika pemeriksaan dibuat, mereka menemui dua lelaki dan tiga perempuan termasuk ibu kepada seorang remaja terlibat.

Dari siasatan awal dijalankan mendapati, pasangan yang berada dalam rumah itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan akan disiasat di bawah seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Kedah 1988.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"PADK akan mengarahkan semua terlibat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh dan masa ditetapkan. Sekiranya ingkar, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap diri mereka,” katanya.

Sinar Harian

Darah jenis O paling banyak diterima

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Lebih 50 penderma darah hampa apabila hasrat untuk mendermakan darah tidak tercapai selepas dinasihat untuk tidak berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Namun, lebih 100 darah jenis O dapat dikumpulkan daripada 130 penderma pelbagai jenis dan jumlah itu dijangka bertambah pada hari ini.

Program yang mendapat kerjasama Pusat Darah Negara dan Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) itu adalah program tahunan setiap kali Karangkraf menganjurkan aktiviti.

Bagi, penderma tegar, Kamarusni Kamarudin, 39, berkata, beliau sudah lima kali menderma darah dan ia sudah menjadi kebiasaannya apabila mengetahui program seumpama ini diadakan.

“Kesedaran ini timbul sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu, arwah nenek saya sangat memerlukan darah tetapi tidak cukup bekalan darah.

“Memikirkan kesukaran itu, tanpa memikir panjang dan mempunyai kelapangan serta kesihatan dalam keadaan baik, saya pasti tidak lepaskan peluang untuk menderma,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Berbeza dengan Mohd Safwan Hassim, 20, ini adalah pertama kali beliau merasai pengalaman menderma darah.

“Sebelum ini memang saya takut untuk menderma. Tapi bila sudah ramai menderma dan tahu ia baik untuk kesihatan, saya dan kawan-kawan sedia untuk menyumbang.

“Saya bertambah seronok apabila diberikan buku merah berwarna kecil. Ia seakan memberi semangat untuk saya untuk terus menderma,” katanya.

Selain buku catatan menderma, pengunjung juga turut diberikan sijil penghargaan, kek cawan sumbangan Hotel Seri Pacific, produk sumbangan Nestle, baucar Mc Donalds dan barangan Karangkraf.

Sinar Harian

Tumpang dan samun taktik baru penjenayah

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

CHUKAI – Tumpang dan samun. Itu taktik terbaru penjenayah yang menumpang kenderaan seorang pemuda sebelum mengeluarkan pisau memeras ugut mangsa dalam kejadian di Kampung Pengkalan Pandan, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, 24, yang bekerja buruh kontrak menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya sebelum didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali meminta tolong menghantarnya balik ke rumah.

Ketika kejadian mangsa yang beralamat di Jalan Dato’ baru pulang dari minum air di sebuah kedai di Bandar Chukai tidak mengesyaki perkara buruk dan membenarkan suspek membonceng motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditungganginya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, sesudah 10 minit kemudian ketika sampai di lokasi yang mahu dihantar iaitu di Kampung Pengkalan Pandan dan berhampiran Masjid Baru Pengkalan Pandan, suspek tidak mahu turun dari motosikal sebaliknya mahu mangsa menghantarnya berdekatan sebuah lorong yang gelap.

Menurutnya, merasakan ada sesuatu yang tidak kena mangsa enggan berbuat demikian lalu suspek bertindak turun dari motosikal dan mengambil begnya yang diletakkan dalam raga motosikal sebelum suspek secara tiba-tiba mematikan enjin motosikal mangsa.

“Sebaik mematikan enjin, suspek mengacukan pisau pada leher mangsa sebelum meminta mangsa memberikannya wang.

“Namun, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek segera melarikan diri menuju ke kawasan masjid. Mangsa tidak dikejar sebaliknya suspek melarikan motosikal mangsa,” katanya.

Katanya, sejurus kemudian kira-kira jam 3.58 pagi suspek membuat laporan polis di Balai Polis Chukai dan polis kini memburu suspek.

Berikutan itu, Abdullah Sani menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tidak menumpangkan orang yang tidak dikenali terutama pada waktu malam kerana tidak mustahil suspek akan terus memperdaya mangsa lain dengan cara serupa.

Sinar Harian

Penagih tegar joli sembilan hari

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU – Seorang penagih tegar sempat ‘berjoli’ sembilan hari dengan duit bernilai lebih kurang RM38,000 hasil pecah masuk sebuah rumah di Kampung Felda Bukit Bading, Ajil sebelum dia ditahan jam 11.30 malam, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, suspek berjaya memecah masuk ke rumah mangsa dan melarikan barang kemas masing-masing tiga urat gelang tangan dan empat bentuk cincin serta tunai.

“Kejadian berlaku pada 16 Januari lalu yang disedari pemilik rumah, Abdul Wahab Taib, 68, kira-kira 9 malam setelah pulang daripada menunaikan solat Isyak bersama isteri di masjid kampung berkenaan.

“Pasangan ini terkejut apabila memasuki rumah dan mendapati barang berselerak setelah mendapati tingkap bilik tidur terdapat kesan diumpil dan terbuka, lalu membuat laporan di Balai Polis Ajil,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini semalam.

Menurutnya, atas maklumat awam yang diterima, pada 25 Januari lalu, sepasukan anggota Balai Polis Ajil berjaya menahan suspek berumur 32 tahun yang beralamat di Kampung Felda Bukit Bading di tepi jalan di kampung berkenaan.

“Hasil siasatan, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mengaku terlibat dalam kes ini dan barang kes iaitu gelang tangan emas sudah dijual kepada pembeli emas di Bandar Kuala Berang.

“Barang kes berjaya dirampas di kedai berkenaan, manakala pembeli turut ditahan untuk memberi keterangan lanjut kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Rosli berkata, barang kes yang dirampas berbentuk dua urat gelang tangan emas yang sudah dileburkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Percutian terakhir keluarga

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Kegembiraan sebuah keluarga untuk bercuti bertukar duka apabila ia adalah percutian terakhir mereka sekeluarga setelah bapa tersayang meninggal dunia di sini, semalam.

Md Isa Eren, 53, yang juga bapa kepada tujuh anak meninggalkan dunia di hotel penginapan mereka di Wakaf Che Yeh, pagi semalam.

Isterinya, Liza Jamaluddin, 43, berkata, mereka sekeluarga dari Batang Kali, Selangor dan dalam rangka membawa anak-anak bercuti ke beberapa lokasi di negara ini.

“Kami baru tiba di Kelantan Jumaat lalu, sebaik pulang bercuti di Langkawi.

“Arwah begitu bersungguh-sungguh untuk membawa anak-anak, terutama yang bongsu, Mohd Adli Shah, 4, bercuti, kerana bimbang tidak sempat menunaikan impian tersebut apabila perlu masuk wad beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, semalam.

Liza berkata, sebaik tiba di negeri ini malam Jumaat lalu, mereka hanya sempat bersama sehari iaitu keesokan harinya untuk bersiar-siar sebelum suami mengadu kepenatan dan tidak berdaya membawa anak bersiar.

Katanya, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Batang Kali hari ini, namun tidak menyangka kepulangan kali ini dalam keadaan yang amat menyedihkan kerana suami tidak bernyawa lagi.

Menurutnya yang turut mengakui arwah menderita masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis sejak 10 tahun lalu.

“Selesai menunaikan solat subuh, suami memaklumkan ingin membuang air dan beberapa ketika kemudian arwah menghembuskan nafaskan terakhir di sini saya dan empat anak yang turut bersama dalam percutian ini,” katanya yang mengakui Md Isa meninggalkan mereka sekeluarga sejam sebelum berangkat ke Batang Kali.

Md Isa yang meninggalkan tujuh anak berusia 22 hingga tujuh tahun, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Choh, Rawang.

Agency

19 ditahan ketika judi Balangkas

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Keasyikan 19 orang termasuk tiga wanita berjudi di sebuah rumah di Bagan Lipas Laut, Bagan Datoh, dekat sini terhenti apabila mereka di serbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Hilir Perak sempena Ops Limau, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Mohammad Zaki Harun berkata, kesemua mereka yang berumur dari 29 hingga 58 tahun itu tergamam sebaik rumah berkenaan diserbu masuk sekumpulan 11 anggota polis yang diketuai oleh Inspektor Saiful Bahari kira-kira jam 1.45 pagi semalam.

Katanya, pemantauan serta intipan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di rumah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, mendapati 19 orang termasuk tiga daripadanya wanita sedang asyik bermain judi jenis Balangkas.

Beliau berkata, pihaknya menahan kesemua yang disyaki itu dan merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk cip, mangkuk tembikar, buah dadu dan keratan tikar getah.

“Pihak kami turut merampas wang tunai RM66,596.00 dari meja perjudian dan juga daripada suspek yang ditahan itu.

“Kesemua suspek kini ditahan di IPD Hilir Perak untuk siasatan dan katanya pihaknya akan menyiasat kes ini di bawah seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala pemilik rumah berkenaan pula turut akan di siasat di bawah seksyen 4(1)(b) akta yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Zaki berkata, Polis Teluk Intan berjaya menahan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di Taman Anggerik, dekat sini.

Menurutnya, kesemua suspek melarikan 50 buah telefon bimbit baru pelbagai jenama, sejumlah memori kad, sejumlah pek kad permulaan Celcom dan wang syiling lebih kurang RM100.

Katanya, sebelum kejadian pemilik kedai berkenaan menutup perniagaannya seperti biasa jam 7 petang kelmarin namun pemilik kedai berkenaan terkejut mendapati kedainya di pecah masuk dan keadaan kedainya berselerak apabila membuka kedainya jam 7 pagi semalam untuk memulakan perniagaannya seperti biasa.

“Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan, Inspektor Yuswadi Yusuf menyerbu sebuah rumah di Jalan Changkat Jong, dekat sini dan menahan enam lelaki dan merampas wang syiling RM100, sembilan buah telefon bimbit daripada 50 buah yang dilaporkan dicuri, satu pendrive dan tiga pengecas bateri telefon bimbit.

“Empat daripada mereka di tahan reman selama empat hari manakala dua yang lain di reman selama dua hari untuk siasatan namun seorang lagi berjaya menghilangkan diri dan sedang di buru pihak kami dan kes di siasat di bawah Sekyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Zaki juga menasihatkan orang ramai yang di datangi mana-mana pihak yang ingin menjual telefon bimbit dengan keadaan mencurigakan supaya segera memaklumkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian