30 Januari 2012

Maut selepas pulang dari kerja

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Skudai Kiri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa, Charles G Patin, 34, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Singapura sebelum gagal mengawal motosikalnya, lalu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.

Difahamkan, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Kominisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa yang berasal dari Sabah itu gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

“Motosikal yang ditunggang mangsa itu hilang kawalan dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat rempuhan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke HSA untuk tindakan selanjutnya dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pihak polis atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ruslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian agar tidak mengganggu siasatan pihak polis.

Sinar Harian

Tiada ulasan: