30 Januari 2012

Pengurus stesen minyak disamun dekat R&R Nilai

ANGGOTA polis menjalankan siasatan ke atas kereta seorang pengurus stesen minyak yang dilanggar dalam kejadian samun berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini. Mangsa kerugian RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di KM287 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah ke Utara. - Foto BERNAMA

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN: Seorang pengurus stesen minyak kerugian wang tunai kira-kira RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di KM287, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Yusoff Awang, berkata ketika 10.20 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an memandu kereta jenis BMW untuk ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata, mangsa yang berkerja di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) membawa wang tunai hasil jualan dalam sebuah beg yang diletakkan dalam but keretanya.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta mangsa tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah Lexus.

"Mangsa yang merasa curiga dengan tindakan pemandu kereta di belakangnya, tidak memberhentikan kenderaannya. Suspek terus mengejar kenderaan mangsa dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa menyebabkan kenderaan mangsa terhenti di tepi lebuh raya.

"Selepas kenderaan mangsa berhenti, dua lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan parang keluar dari Lexus tersebut dan menghampiri mangsa.

"Pada masa yang sama, sebuah lagi kereta Honda Accord hitam yang dinaiki dua lagi lelaki menghampiri dan turut berhenti berdekatan kenderaan mangsa.
"Kumpulan berkenaan kemudiannya mengambil wang tunai di dalam but kenderaan mangsa dan melarikan diri dengan kereta Honda Accord itu dan meninggalkan Toyota Lexus di tepi lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, polis percaya Lexus terbabit adalah kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata. - BERNAMA

Tiada ulasan: