31 Januari 2012

Penganggur dituduh ugut bunuh bapa saudara

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapa saudaranya di Dewan Beta di sini, seminggu lalu.

Tuduhan terhadap Saaroni Abdullah, 21, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan itu, Saaroni mengugut Abdullah Said, 81, dengan berkata hendak membunuhnya sehingga menyebabkan ketakutan yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Atas Pengget Dewan Beta di sini, pada jam 5 petang, 22 Januari lalu.

Tertuduh bagaimanapun merekodkan pengakuan tidak bersalah.

Susulan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan sebutan semula pada 20 Februari depan untuk serahan dokumen kepada peguam bela tertuduh.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tauke bengkel 'garu kepala'

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN- Seorang pengusaha bengkel kereta terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk mengecat kembali 13 kereta milik pelanggan yang sedang dibaiki di premisnya di Taman Indera Sempurna, Jalan Kuantan-Pekan dekat sini apabila semua kenderaan itu disembur cat merah oleh individu tidak dikenali, malam kelmarin.

Zarin Mohd Taib, 34, berkata, dia percaya kejadian itu akibat perbuatan khianat individu tertentu walaupun dia tidak mempunyai musuh atau pernah berdendam dengan sesiapa.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku setelah empat tahun bengkelnya beroperasi.

Malah dia percaya, kejadian itu dirancang rapi oleh individu yang dengki dengannya kerana hanya kenderaan yang sedang dalam proses dan sudah dibaik pulih sahaja menjadi mangsa khianat.

“Malam sebelum kejadian, saya bersama tiga pekerja sibuk menyiapkan kereta pelanggan dan menutup bengkel kira-kira jam 4.30 pagi, 28Januari lalu.

“Kejadian hanya disedarinya keesokan harinya apabila seorang pelanggan datang ke bengkel kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil keretanya dan ternampak semua kereta di situ termasuk keretanya terkena semburan cat,” katanya ketika ditemui di bengkelnya dekat sini, semalam.

Zarin berkata, kejadian itu dimaklumkan kepadanya lalu dia segera ke bengkel dan melihat 12 kereta serta sebuah lori dalam premis itu terdapat kesan semburan cat.

Menurutnya, kejadian dilaporkan kepada polis untuk tindakan bagaimanapun selepas peristiwa itu, dia bimbang perkara yang sama akan berulang.

“Saya menjadi takut untuk meninggalkan bengkel kerana bimbang kejadian ini akan berulang dan berapa lagi kerugian terpaksa saya tanggung untuk membaiki kereta pelanggan yang mungkin dirosakkan.

“Sebuah kereta menelan kos sehingga RM1,000 untuk dicat kembali jika melibatkan seluruh bahagian,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu juga boleh menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan mungkin takut dan serik untuk membaiki kereta di situ bimbang perkara sama akan berulang.

Ketika ditanya adakah motif kejadian berpunca daripada persaingan perniagaan, Zarin tidak mahu membuat sebarang andaian sebaliknya menyerahkan kes kepada polis untuk menyiasatnya.

“Saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengesan individu terlibat namun pada masa yang sama, kami juga akan memantau bengkel ini setiap masa selepas ditutup,” katanya.

Dia juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan bengkelnya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud ketika ditemui mengesahkan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, pengadu ada membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading berhubung kejadian yang diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Hotel bajet di Batu Feringghi jadi sarang maksiat

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BATU FERINGGHI – Sebuah hotel bajet di Batu Feringghi dipercayai menjadi tumpuan golongan remaja membuat maksiat namun kegiatan berkenaan dihidu beberapa penduduk setempat dan segelintir peniaga berhampiran.

Pekerja kedai runcit, Yahya Hasan, 55, berkata, kegiatan terbabit sudah lama berlaku namun semakin rancak sejak tahun ini.

Menurutnya, terdapat sekumpulan remaja berusia belasan tahun secara berpasangan datang ke kedainya dan membeli barang.

“Apabila mendengar loghat mereka bukan orang Pulau Pinang, saya bertanya datang dari mana, dan masing-masing menjawab Kuala Lumpur dan Ipoh, saya kemudiannya bertanya datang melancong ke, dan dengan selamba mereka menjawab mereka sudah di sini dua malam dan duduk di sebuah hotel bajet.

“Mereka memang ada menyebut nama hotel berkenaan, yang saya hairankan ialah semuanya baru sahaja berusia lingkungan dalam 17 hingga 20 tahun tapi sudah pandai jauh dari ibu bapa dan melakukan perkara maksiat sebegini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke hotel berkenaan mendapati bayaran yang dikenakan begitu rendah bermula dari RM50 sehingga RM100 sahaja.

Perbuatan mereka yang ingin melakukan maksiat juga lebih mudah kerana kedudukan hotel yang terletak di bahagian belakang bangunan.

Seorang pekerja hotel yang tidak mahu dikenali berkata, mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang remaja terbabit dengan menginap di tempat mereka.

“Kami pun dapat duit, kalau kami marah-marah pasti pelanggan lari, kalau penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)) datang, kami bagi saja mereka masuk buat pemeriksaan,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian telah melaporkan hotel berkenaan menjadi sarang maksiat malam tahun baru berikutan penangkapan beberapa pasangan remaja di situ.

Ketua Operasi JAIPP Tanjong, Muadz Md Nazan berkata, pihaknya menahan 14 remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun di hotel berkenaan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu berkhalwat.

Sinar Harian

Wanita cedera ditembak

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang wanita cedera parah selepas ditembak lelaki yang bersenjatakan pistol Revolver jenis .38 dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, Che Asmah Che Awang, 50, mengalami cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan, kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, empat suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz, barang kemas dan wang tunai bernilai RM5,000.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya sedang tidur sebelum didatangi empat lelaki bertopeng.

Kejadian disedari anak mangsa Mohd Khairul Azani Mohd Lawi, 26, selepas terdengar bunyi tembakan serta pintu ditendang.

Jalaluddin berkata, sebaik Mohd Khairul keluar dari bilik, dia mendapati empat lelaki bertopeng di dalam rumah lalu mengheretnya keluar.

”Keempat-empat lelaki terbabit kemudian menggeledah di dalam bilik anak mangsa sebelum melarikan barangan berharga. Suspek melarikan empat telefon bimbit, tiga utas rantai leher, wang tunai RM5,000, tiga bentuk cincin dan sepasang subang serta sebuah kereta Honda Jazz milik anak mangsa,” katanya.

Mangsa yang mengalami cedera di perut kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) oleh suaminya Mohd Lawi Dollah, 53, sebaik penyamun terbabit melarikan diri.

Beliau berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan mengesan kereta mangsa untuk siasatan lanjut. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata api.

Sementara itu, Mohd Lawi ketika ditemui di rumahnya berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi orang mengetuk pintu dan memberi salam.

“Saya kemudian bergegas membuka pintu dan terkejut apabila melihat tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan seorang lagi menendang pintu belakang rumah. Saya kemudian diarah duduk dan salah seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol,” katanya.

Mohd Lawi berkata, beberapa minit kemudian dia diarah membuka suis lampu dan secara tiba-tiba, satu das tembakan dilepaskan ke arah isterinya.

Menurutnya, selepas empat lelaki terbabit melarikan diri, dia terus membawa isterinya yang cedera parah ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian

BMW dirempuh, RM200,000 lesap di lebuh raya

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NILAI – Seorang pemilik stesen minyak mengalami keadaan cemas apabila keretanya dirempuh kenderaan penyamun bersenjata yang melarikan RM200,000 di Kilometer 287, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Bukit Mahkota, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, yang memandu kereta jenis BMW dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), dalam perjalanan ke Bangi, apabila disamun di tepi lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mangsa sedang membawa wang hasil perniagaannya itu mahu ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi.

“Mangsa yang memandu sendi­rian dilanggar oleh sebuah kereta jenis Lexus berwarna putih, dinaiki dua lelaki di kawasan Rehat dan Rawat Nilai.

“Mangsa, bagaimanapun, tidak memberhentikan kereta, sebaliknya meneruskan perjalanan.

“Sejurus tiba di Bukit Mahkota, sekali lagi kereta mangsa dilanggar oleh kereta yang sama dan kali ini mangsa memberhentikan kenderaannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berusia awal 40-an, terus keluar dari kenderaan dan melarikan diri selepas melihat kedua-dua orang itu yang bertopeng, menuju ke arah kenderaannya dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang.

“Mereka terus mengambil wang yang dari dalam but kereta.

“Kemudian, sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki bertopeng tiba dan membawa kedua penyamun bersama wang tersebut dan meninggalkan kereta Lexus di situ,” katanya.

Yusoff berkata, semua penyamun itu dipercayai dalam lingkungan 30-an.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menyedari diekori lebih daripada dua kenderaan dalam kejadian itu,” katanya.

Sinar Harian

Penyamun minta hidang nasi selepas pecah rumah

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - "Hidang aku nasi" itulah permintaan seorang penyamun selepas memecah masuk ke dalam rumah seorang pembantu veterinar di Kampung Bukit Payung, Besut di sini, pagi kelmarin.

Bagaimanapun ketika penyamun itu sedang asyik menjamu selera, anak perempuan pemilik rumah itu sempat melarikan diri ke rumah jiran berdekatan dan menelefon bapanya bagi memaklumkan kejadian tersebut dan seterusnya membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah memecah masuk ke rumah berkenaan dan mengugut anak perempuan pemilik rumah yang ketika itu tinggal berseorangan supaya menyerahkan semua barang berharga.

"Mangsa 21 tahun yang dalam keadaan ketakutan kemudian terus menyerahkan dua utas gelang emas yang dipakainya.

"Selepas mendapat barang kemas itu suspek kemudian meminta mangsa menghidangkannya nasi, namun mangsa menyuruh suspek mengambil sendiri nasi di dapur sebelum mengambil peluang melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Menurut Manoharan, tidak lama selepas itu bapa mangsa tiba bersama beberapa anggota polis, namun suspek bersama seorang rakannya yang menunggu di dalam kereta berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kira-kira jam 8 malam hari yang sama di Jalan Pasir Akar dan hasil soal siasat, seorang lagi suspek berjaya ditahan.

"Kita berjaya menahan suspek utama yang berusia 29 tahun kira-kira sejam kemudian di Kampung Bukit Payung dan hasil penahanan kedua-dua suspek itu polis berjaya merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun dua utas gelang emas yang disamun itu telah diserahkan kepada rakan wanitanya untuk dijual.

"Kita telah menelefon keluarga wanita berkenaan memaklumkan kejadian itu sebelum wanita berusia 28 tahun itu tampil menyerahkan diri di Balai Polis Jerteh kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan hasil siasatan yang dijalankan wanita itu mengakui telah menjual gelang emas yang bernilai RM800 itu di sebuah kedai emas di Jerteh.

"Polis telah pergi ke kedai emas berkenaan pagi tadi dan menahan seorang jurujual yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan, bagaimanapun jurujual berkenaan memaklumkan barang kemas itu telah diserahkan kepada pemilik kedai dan kita akan membuat tangkapan ke atas pemilik kedai berkenaan," katanya.

Manoharan berkata, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamfetamine itu direman selama seminggu dari semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata. - Bernama

Sinar Harian

Rakyat Pakistan cuba seludup dadah dipancung

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menjalankan hukuman pancung ke atas seorang lelaki rakyat Pakistan yang ditahan kerana cuba menyeludup dadah ke negara itu, kata menteri dalam negeri, semalam.

“Suspek, Salman Khan Taj Mohammed dari Pakistan ditahan ketika cuba menyeludup sejumlah besar heroin ke negara ini,” kata menteri terbabit dalam satu kenyataan dipetik daripada agensi berita kerajaan, SPA.

Hasil siasatan mendapati dia terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah dan dijatuhkan hukuman mati mengikut undang-undang Arab Saudi.

Suspek dipancung di Damman di timur negara itu, lapor SPA menjadikan angka hukuman mati di Arab Saudi untuk tahun ini kepada lima setakat ini. - AFP

Larian paling mencabar di dunia

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH orang menyaksikan peserta menyertai larian paling mencabar di dunia di Perton kelmarin.

PERTON, England - Seramai 6,000 orang menyertai larian paling mencabar di dunia di sini kelmarin dengan peserta dikehendaki menandatangani perjanjian bahawa pihak penganjur tidak bertanggungjawab terhadap kematian mereka.

Acara mencari lelaki paling berdaya tahan itu bermula sejak 1986 dan ia memerlukan para peserta berlari menempuh pelbagai halangan antaranya meredah api, berenang dalam lumpur, mendaki, berlari sambil membawa batang kayu dan meniarap di bawah kawat berdiri. - Agensi

China bantah Jepun untuk namakan pulau terbiar

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING 31 Jan. - China semalam membantah rancangan Jepun untuk menamakan berpuluh-puluh pulau berhampiran gugusan pulau di tengah kawasan pertikaian kedua-dua negara terbabit.

Agensi berita Xinhua berkata, perancangan itu termasuk menambah 39 pulau yang tidak berpenghuni di dalam peta Jepun pada hujung Mac ini, serta beberapa "pulau kecil di sekitarnya" di Kepulauan Diaoyu, pulau yang dikenali di China.

Pulau-pulau di Laut China Timur, dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan juga dituntut oleh Taiwan, terletak di kawasan yang kaya dengan sumber perikanan, minyak dan gas. - AFP

30 Januari 2012

Angpow Putih: Pelbagai pihak Tuntut Perkasa Mohon Maaf

PERKASA kena getah bila agih sampul putih kepada warga Cina.

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Bila terbaca berita mengenai majlis Tahun Baru Cina NGO PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman yang pertama kali diadakan semalam, ternyata NGO yang baru nak tunjuk baik kepada orang Cina sudah terkena getahnya.

Apakan tidak bila PERKASA dilihat tidak berhati-hati bila mengedarkan kira-kira RM10,000 angpow menggunakan sampul putih - tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati, terutama di laman maya.

Apa saja alasan berjela-jela boleh diberikan oleh PERKASA namun jelas mereka tidak berhati-hati dan telah gagal menghormati budaya orang lain.

Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas tindakan Perkasa yang di ketuai Datuk Ibrahim Ali yang dianggap menghina masyarakat cina di negara ini dengan menggunakan sampul putih di majlis pemberian angpau baru-baru ini.
Menurut Lim, MCA juga turut bertanggungjawab kerana mengheret Perkasa untuk turut serta dimajlis tersebut.

"Kita tahu MCA terlibat kerana seorang AJK MCA bahagian Seputih, Datuk Tew Choo Meng adala orang yang bertanggungjawab membawa perkasa di majlis tersebut.

"Rasis Cina MCA, rasis melayu adalah Perkasa dan Utusan, mereka dah bersatu jadi abang adik, sokong sama sokong," jelas beliau melalui rakaman Audio sidang medianya kepada TV Selangor.

Selain itu Parti Gerakan juga meminta PERKASA memohon maaf kerana menghina masyarakat Cina dengan pemberian angpow dalam sampul putih itu.


Naib presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata pemberian angpow dalam sampul putih pada Tahun Baru Cina - sebagai festival kegembiraan - menunjukkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali tidak sensitif dan tidak ikhlas.

Putih dianggap sebagai warna yang digunakan dalam upacara kematian dalam adat resam kaum Cina.

"Sebagai ahli Parlimen dan berada dalam politik untuk bebeberapa tahun, Ibrahim masih tidak tahu kebudayaan kaum lain dan sebab itu dia terus mengeluarkan banyak kenyataan tanpa berfikir," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar cuba mempertahankan tindakan itu dengan alasan pihaknya kehabisan sampul berwarna merah dan terpaksa memberi angpow dengan menggunakan sampul warna putih.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata tindakan PERKASA itu tidak menghormati budaya dan adat resam kaum Cina.

Katanya Ibrahim harus bertindak atas kepentingan rakyat dan memahami masyarakat pelbagai budaya dan pantang larang setiap kaum dan agama.

"Tidak dapat diterima bahawa tidak tahu boleh dijadikan sebagai alasan," katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu bagi saya pihak perseorangan atau MCA yang terlibat dalam mengendalikan program tersebut sehingga berjaya mengumpul sejumlah warga Cina mestilah juga bertanggung jawab kerana gagal untuk menjadi penasihat yang baik sehingga berlaku kesilapan yang saya anggap besar dan menghina bangsanya sendiri.

Sebenarnya warga Cina dalam Pakatan Rakyat jauh lebih kehadapan berbanding dengan apa yang telah dialami oleh PERKASA. Ini terbukti telah banyak program yang kami lakukan telah berjaya dilakukan tanpa menyentuh sensitifviti kaum lain .

Israel: Penjelasan Anwar

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Anwar Ibrahim

Saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, 26hb Januari 2011. Antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Berikut adalah jawapan yang saya berikan:


“I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.”

Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

Selain itu, pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan YB Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27hb September 2011 di New York (GENERAL DEBATE OF THE 66TH SESSION OF THE UNITED NATIONS GENERAL ASSEMBLY).

Beliau menyebut:

“..Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine).”

Ternyata dari kenyataan Menteri Luar Negara, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.

Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi.

Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Pendirian Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh.

Pengurus stesen minyak disamun dekat R&R Nilai

ANGGOTA polis menjalankan siasatan ke atas kereta seorang pengurus stesen minyak yang dilanggar dalam kejadian samun berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini. Mangsa kerugian RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di KM287 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah ke Utara. - Foto BERNAMA

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN: Seorang pengurus stesen minyak kerugian wang tunai kira-kira RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di KM287, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Yusoff Awang, berkata ketika 10.20 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an memandu kereta jenis BMW untuk ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata, mangsa yang berkerja di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) membawa wang tunai hasil jualan dalam sebuah beg yang diletakkan dalam but keretanya.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta mangsa tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah Lexus.

"Mangsa yang merasa curiga dengan tindakan pemandu kereta di belakangnya, tidak memberhentikan kenderaannya. Suspek terus mengejar kenderaan mangsa dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa menyebabkan kenderaan mangsa terhenti di tepi lebuh raya.

"Selepas kenderaan mangsa berhenti, dua lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan parang keluar dari Lexus tersebut dan menghampiri mangsa.

"Pada masa yang sama, sebuah lagi kereta Honda Accord hitam yang dinaiki dua lagi lelaki menghampiri dan turut berhenti berdekatan kenderaan mangsa.
"Kumpulan berkenaan kemudiannya mengambil wang tunai di dalam but kenderaan mangsa dan melarikan diri dengan kereta Honda Accord itu dan meninggalkan Toyota Lexus di tepi lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, polis percaya Lexus terbabit adalah kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata. - BERNAMA

Terkini : Shamsubahrin: Ketua NFC paksa saya 'rasuah' polis

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail, mendakwa bahawa suami ketua wanita Umno itu memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.


NONE
Beliau membuat dakwaan itu pada polis laporan yang dibuat di Hospital Besar Klang Jumaat lalu. Perkara itu didedahkan oleh PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu."

Dalam laporan itu, Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

NFC dituduh menyalahgunakan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan dengan berbelanja ke atas aset mewah dan bukannya terhadap projek pusat ternakan lembu di Gemas, yang ditugaskan.

Ditanya jika PKR mempunyai bukti dalam bentuk SMS itu, naib presiden PKR N Surendran berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyimpan telefon yang mengandungi mesej berkenaan.

"Beberapa telefon telah dirampas dari Shamsubahrin dan semua telefon kemudiannya dikembalikan kecuali satu. Yang disimpan oleh SPRM adalah telefon yang mengandungi bukti penting ini.

Malaysiakini/-

"Ia di tangan pihak berkuasa tetapi kita mempunyai rekod, kita mempunyai salinannya," katanya.

Syaitan kalah dengan orang yang ikhlas.

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Syaitan kalah dengan orang yang ikhlas.

Iblis menjawab, demi kekuasaan Engkau, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka." (Shaad: 82-83)

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas". (Al Hijr: 39–40)

Di dalam Mikhtashar Minhaj al Qosidhin disebut satu riwayat sebuah kisah, ada satu pokok yang sering disembah oleh penduduk kampung. Maka ada seorang lelaki mengatakan,”Aku akan tebang pokok itu yang telah menyebabkan ramai manusia menjadi syirik”. Lelaki itu pun mengambil kapak dan pergi ke pokok tersebut untuk menebangnya.

Syaitan yang menyerupai manusia menunggu di pokok itu dan berkata,”Apa yang kau ingin lakukan ?" Lelaki itu menjawab,’Aku ingin tebang pokok ini. Ramai telah syirik kerana menyembah pokok ini". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini". Lalu terjadilah pergelutan dan lelaki itu berjaya mencekik syaitan yang menyerupai manusia itu. Syaitan berkata, "Aku mengaku kalah dan kau boleh tebang pokok ini.

Tetapi dengar dulu cadangan aku. Kau tidak akan dapat apa-apa faedah pun jika kau tebang pokok ini. Orang kampung akan cari pokok lain untuk mereka sembah. Jika kau setuju untuk tidak tebang pokok ini, aku akan berikan dua dinar di bawah bantal kau pada setiap pagi." Lelaki itu bersetuju dengan tawaran tersebut.

Pada keesokan harinya dia mendapati ada dua dinar dari bawah bantalnya. Kemudian pada esok harinya lagi dia tengok tidak ada dua dinar seperti yang dijanjikan. Lelaki itu merasa marah lalu mengambil kapak dan pergi untuk tebang pokok itu. Setiba di pokok itu, syaitan telah sedia menunggu. ”Apa yang kau ingin lakukan ?". Lelaki itu menjawab,’Aku nak tebang pokok ini. Hari ini tidak ada 2 dinar seperti yang kau janjikan. Kau telah tipu aku". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk tebang pokok ini".

Lalu terjadilah pergelutan dan kali ini lelaki itu kalah, syaitan telah berjaya mencekik lelaki itu" Syaitan berkata,”Tahukah kamu siapa aku?" Syaitan memberitahu dia sebenarnya adalah syaitan". Lelaki itu bertanya, mengapa hari itu aku dapat kalahkan kau tetapi kali ini aku tidak dapat kalahkan kau?" Syaitan menjawab, "Kali pertama kau datang, niat kau ikhlas semata-mata kerana Allah sehingga aku tidak berdaya mengalahkan kau. Tetapi kali ini kau datang kerana kau marah tidak dapat dua dinar dan apabila kau tidak ikhlas kerana Allah maka aku berjaya mengalahkan kau".

tazkirah/-

Mayat wanita berlumuran darah ditemui

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL - Polis menemui mayat seorang wanita yang dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di pergelangan tangan dan kaki dalam sebuah rumah di Taman Bakap Indah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata mayat Tan Fock Ping, 38, yang bekerja sebagai pelayan restoran ditemui dalam bilik utama rumah sewanya itu pada pukul 10.32 pagi.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa rakan kepada kekasih wanita itu dan memaklumkan mangsa dalam keadaan parah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata sebaik tiba, polis menemui mayat mangsa berlumuran darah dengan satu nota dalam bahasa Mandarin.

"Ketika sampai di rumah itu, polis temui mayat yang terbaring dan nota dalam bahasa Mandarin yang bermaksud marah dan sakit hati terhadap seseorang dan ia dilekatkan di dinding bilik berkenaan," katanya.

Shafien berkata mangsa dan teman lelakinya berusia 49 tahun menyewa rumah berkenaan sejak sebulan lepas dan jiran mereka selalu mendengar pasangan itu bergaduh.

Katanya menurut beberapa jiran mangsa, mereka juga ada mendengar pasangan itu bergaduh dan bunyi bising termasuk cermin tingkap pecah pada awal pagi tadi.

"Polis menahan teman lelaki wanita itu apabila dia pulang dari bekerja semasa polis sedang menjalankan pemeriksaan di rumah itu dan siasatan awal mendapati pasangan itu positif dadah,", katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan. - Bernama