10 Februari 2012

321 bandar di Indonesia berisiko bencana

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA 10 Feb. - Sejumlah 321 daerah atau bandar di Indonesia mempunyai risiko tinggi terkena bencana sama ada bencana alam, wabak penyakit dan konflik sosial.

Manakala 173 daerah atau bandar mempunyai risiko yang sederhana.

Fakta ini terkandung dalam peta risiko nasional yang disiapkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, yang menyenaraikan 13 jenis bencana yang berlaku di republik itu.

Jenis-jenis bencana itu ialah gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, puting beliung, kemarau, banjir, tanah runtuh, gelombang ombak besar, kebakaran tanah dan hutan, wabak penyakit, kegagalan teknologi, kebakaran bangunan dan kawasan penempatan serta konflik sosial.

BNPB dalam paparan di laman webnya hari ini menyebut bahawa peta risiko nasional itu meliputi kesemua 33 negeri (provinsi) di Indonesia, untuk 13 jenis bencana itu.

Ia bagaimanapun tidak menyebut nama-nama daerah dan bandar yang dinyatakan berisiko tinggi terkena bencana itu.

Badan itu telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus memberi perhatian kepada soal pengurusan bencana bagi mengelakkan kesan-kesan buruk yang boleh menimbulkan kerosakan dan kerugian besar. - BERNAMA

Tauke stesen minyak disamun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SPRING HILL – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Bandar Spring Hill, dekat sini memulakan perniagaannya dengan situasi mengejutkan apabila disamun empat lelaki, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, pemilik yang dikenali sebagai Teoh Seng Lee, baru kira-kira 10 minit membuka stesen minyak berkenaan dan langsung tidak mempunyai wang di kaunter.

“Sebelum kejadian, empat lelaki datang ke stesen minyak saya menaiki sebuah kereta. Seorang daripada mereka berdiri di luar kereta, manakala dua lagi berada dalam kereta,” katanya.

“Sementara, seorang lagi masuk ke dalam kedai di stesen minyak dan berpura-pura mahu membeli air minuman,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke kaunter untuk membayar minuman sebelum tiba-tiba menunjukkan parang.

“Sebaik saja nampak parang itu, saya cuba melawan tetapi tidak berdaya menyebabkan saya cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Mawar, Lukut, semalam.

Seng Lee berkata, akibat terlalu takut, dia kemudian terpaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,000 yang berada dalam poket seluar kepada penjenayah terbabit.

Menurutnya, seorang pekerja yang sedang berada di pam minyak berkenaan turut disamun penjenayah terbabit dan dianggarkan kerugian hampir RM300.

“Walaupun mengalami kerugian, namun saya bernasib baik kerana anak perempuan saya yang berada bersama saya sebelum dihantar ke sekolah tidak dicederakan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Seng Lee membuat laporan di Balai Polis Lukut, dekat sini sebelum menerima rawatan di hospital.

Sinar Harian

Gempa bumi kuat gegar wilayah Fiji

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi bermagnitud 6.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah kepulauan Fiji pada pukul 9.48 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, gegaran berpusat 22 kilometer dari utara Laucala, Fiji dan 7,028 kilometer dari tenggara Semporna, Sabah.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mencetuskan ancaman tsunami. - BERNAMA

Trak sarat bom meletup

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ANGGOTA keselamatan memeriksa kawasan letupan yang berlaku di Wilayah Pattani, Selatan Thailand, semalam.

YALA: Seorang pesara guru terbunuh, manakala 13 penduduk kampung cedera apabila sebuah trak dipenuhi bom meletup semalam di selatan bergolak majoriti Islam Thailand, terbaru dalam satu gelombang keganasan pemisah di rantau bersempadan Malaysia.

Polis menyalahkan pemisah etnik Melayu atas pengeboman di hadapan sebuah pejabat kesihatan awam di Pattani, satu daripada tiga wilayah dilingkari kekacauan pemisah sejak lapan tahun lalu.

Bom itu disembunyikan dalam trak pikap dan merosakkan 10 kenderaan lain, kata polis.
Daripada 13 yang cedera, tiga mangsa parah. Dalam satu serangan berasingan di wilayah Narathiwat yang berhampiran, dua anggota tentera cedera apabila sebuah bom tepi jalan meletup ketika satu rondaan rutin.

Peningkatan keganasan muncul di tengah perasaan berang di kalangan penduduk Islam tempatan apabila renjer tentera di Pattani menembak mati empat penduduk kampung yang disyaki pemberontak 29 Januari lalu.

Lebih 5,000 penduduk dibunuh sejak pemberontakan samar-samar, berdekad lamanya muncul semula Januari 2004 di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat majoriti penduduk Islam.

Rantau itu yang sebahagiannya kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dirampas Thailand pada 1909, dilingkari hampir pengeboman setiap hari dan kejadian tembakan sejak itu dan tentera membuat perkembangan dalam mematahkan pergolakan itu. – Reuters

Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara meletus

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara, meletus pada pukul 8.20 pagi tadi, menurut laporan Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia.

Letusan itu diikuti bunyi gemuruh dengan abu letusan berwarna kelabu tebal serta kepulan asap yang menjulang 2,000 meter dari Kawah Tompaluan kelihatan tertiup angin ke arah Tenggara.

Masyarakat sekitar telah dinasihatkan tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam kawasan radius 2.5 km dari Kawah Tompaluan.

Mereka juga diminta terus berwaspada dan sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan jika aktiviti Gunung Lokon, terus meningkat.

Gunung Lokon, setinggi 1,580 meter itu terletak dekat bandar Tomohon, kira-kira 20 km ke barat daya bandar Manado, iaitu ibu negeri Sulawesi Utara. -- BERNAMA

Waran tangkap bekas Presiden Maldives dikeluarkan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MALE 10 Feb. – Mahkamah Maldives semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas Presiden Mohamed Nasheed ketika tentera ditempatkan untuk mengawal keselamatan selepas tercetusnya protes ganas di negara ini.

Menurut polis, mereka telah memperolehi waran tangkap itu daripada mahkamah tetapi masih belum membuat tangkapan.

“Kami boleh menahannya bila-bila masa, tetapi kami juga perlu berhati-hati dan taktikal sebelum bertindak,” kata jurucakap polis, Abdul Mannan Yusuf. – AFP

80 Maut Dalam Keganasan Di Syria

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIRUT: Lebih 80 orang terkorban dalam keganasan di Syria pada Jumaat di mana sebahagian besarnya terbunuh dalam serangan yang dilancarkan pihak berkuasa rejim negara itu di tengah-tengah bandar raya Homs.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, berkata seramai 83 terbunuh dengan 63 orang maut ketika sedang menyelamatkan diri.

Seramai 53 mangsa terkorban di bandar Homs, yang di serang tanpa henti tentera rejim berkenaan sejak enam hari lalu.

Keganasan terus meruncing di negara itu sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad bermula kira-kira 11 bulan yang lalu.

Menurut laporan kumpulan hak asasi manusia, lebih 6,000 orang maut sejak revolusi di Syria meletus pada pertengahan Mac tahun lalu.

mstar/-

Gadis serigala risau jadi andartu

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MUMBAI: Tiga wanita adik-beradik bimbang ‘Sindrom Serigala Jadian’ yang dialami bakal menyebabkan mereka sukar mencari suami.

Berdepan masalah penumbuhan bulu tidak terkawal, Savita, 23; Monisha, 18; dan Savitri, 16, mungkin menjadi anak dara tua gara-gara Hypertrichosis Universalis.

Mengikut nisbah, penyakit itu hanya dialami seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Menurut Savita, dalam keadaan begitu, perkahwinan adalah mustahil untuk mereka.

“Siapa yang mahu menjadi suami kepada seseorang yang mukanya dipenuhi bulu?” katanya.

Di kawasan perkampungan kecil di Sangli, wanita bujang tidak mempunyai banyak pilihan.

Hidup dalam serba miskin, keluarga terbabit ternyata tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM21,500 untuk setiap seorang daripada mereka bagi menjalani rawatan laser membuang bulu berkenaan.

Ketika ini, adik-beradik malang itu hanya menggunakan krim membuang bulu untuk mengurangkan sedikit masalah berkenaan.

Bagaimanapun, kata Savita, ia hanya bertahan seketika apabila bulu di muka mereka kembali tumbuh dengan cepat.

“Dulu ketika bersekolah, pelajar di sana selalu mengejek saya dengan pelbagai gelaran dan enggan berkawan dengan kami,” katanya.

Ibu mereka, Anita Sambhaji Raut, 40, berkata dia mempunyai enam anak, tetapi hanya tiga mengalami sindrom berkenaan.

Kata Anita, penyakit itu menurun daripada suaminya yang dikahwini secara paksa ketika dia baru berusia 12 tahun.

“Saya hanya menyedari suami saya itu mempunyai muka dan badan berbulu pada hari kami dikahwinkan.

“Keadaan itu sangat menakutkan saya,” katanya.

Akibat penyakit itu, kata Anita, dia sentiasa berdepan dengan cercaan masyarakat setempat.

“Apabila saya membawa Savita keluar, orang kampung akan memanggil kami binatang atau ahli sihir,” katanya.

Sementara itu, Monisha berkata, dia tetap berharap ada lelaki sudi menjadikannya sebagai isteri.

“Jika ada yang sesuai, saya akan terima, tetapi jika tidak, saya terpaksa terus berusaha menyambung hidup,” katanya. - TS

Edar risalah status halal produk

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Seorang penduduk, Abdul Rahman Awang, 59, mendakwa menerima beberapa risalah berkenaan status halal sesuatu produk yang diedarkan di sebuah pasar raya.

Menurutnya, barangan dinyatakan sememangnya produk makanan yang menjadi pilihan pengguna terutama dalam kalangan orang Islam.

“Produk tersebut sudah kita makan sejak dahulu lagi dan bila timbul isu ia tidak halal, saya berasa sangsi untuk menggunakannya.” katanya.

Sementara itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengalu-alukan aduan pengguna berhubung pelbagai masalah berkenaan hak mereka.

Pengarah KPDNKK, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, pihaknya kini mahu kesedaran pengguna bagi menjamin mutu produk dipasarkan.

Menurutnya, sukar untuk pihak KPDNKK membuat pemantauan berhubung status sesuatu produk jika tidak diadukan kepadanya pihak atasan.

“Jika ada sebarang masalah, pengguna boleh mengadu kepada KPDNKK dan pihak kami akan membuat pemantauan sewajarnya.

“Berhubung status halal diperkatakan penduduk, pihak kami dengan kerjasama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) harus melakukan pemeriksaan dan pemantauan terlebih dahulu sebelum mengesahkan status halal produk tersebut.

“Oleh itu, setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang aduan secara terperinci oleh pengguna, bagaimanapun ia akan disiasat terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan perkara ini akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dengan berkuatkuasanya Akta Perihal Dagangan 2011 ini, maka tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang telah membekalkan atau menawar makanan yang memperdaya atau mengelirukan orang ramai dengan menyatakan ia halal.

“Justeru itu, kami harap pengguna akan bekerjasama dengan KPDNKK untuk membanteras sebarang masalah berhubungan hak pengguna ini,” katanya.

Sinar Harian

Asid borik sejukkan loji nuklear

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEGAWAI memantau keadaan reaktor No.4 di Fukushima Daini, kelmarin.
TOKYO: Syarikat pengendali loji nuklear, Tokyo Electric Power (Tepco) terpaksa menggunakan asid borik di loji jana kuasa nuklear yang lumpuh di Fukushima semalam untuk menghalang rangkaian tindak balas yang boleh mengakibatkan keadaan di situ menjadi kritikal semula selepas suhu meningkat di dalam salah sebuah reaktor sejak minggu lalu.

Suhu di reaktor Nombor 2 adalah 68.5 darjah Celsius hingga jam 4 petang Selasa, satu penurunan daripada 72.2 darjah jam 5 pagi, kata Osamu Yokokura, jurucakap kemudahan itu.

Suhu reaktor perlu berada di bawah 93 darjah Celsius untuk diklasifikasikan sebagai penutupan sejuk, atau keadaan selamat, yang menurut Tepco dicapai Disember tahun lalu.

Jurutera nuklear menyoal sama ada penutupan sejuk dapat dilaksanakan di Fukushima kerana ia adalah satu proses yang digunakan apabila reaktor ditutup untuk penyelenggaraan biasa atau tujuan lain. Di Fukushima, tiga teras bahan api uranium reaktor terbabit mencair menyebabkan penyebaran radiasi.

“Masih terlalu awal menyatakan loji itu selamat Disember lalu. Mereka mengisytiharkan penutupan sejuk walaupun tiada siapa pasti mengenai di mana lokasi bahan api mencair,” kata Ketua Institut Penyelidikan Tenaga Atom di Universiti Kinki di barat Jepun, Tetsuo Ito.

“Satu insiden sama mungkin berulang semula,” katanya merujuk kepada peningkatan suhu reaktor.

Sejak 1 Februari lalu, suhu di bahagian bawah reaktor No. 2 meningkat lebih 20 darjah Celsius, menurut data syarikat.
Tepco berkata, ia meningkatkan kadar air penyejukan yang disuntik ke dalam unit itu kepada 13.5 meter padu sejam berbanding 10.5 meter padu sejam jam 4.24 pagi Selasa.

“Tepco berada di dalam dilema kerana ketika ia menyuntik lebih banyak air, maka lebih banyak air radioaktif akan terkumpul dalam ruangan bawah tanah bangunan loji terbabit,” kata Ito

Bencana itu menyebabkan sistem penyejukan gagal, menyebabkan pencairan bahan api reaktor, mengeluarkan radiasi dan memaksa pemindahan kira-kira 160,000 penduduk. – Agensi

Pemuda Pas demo protes kekejaman Syria

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemuda Pas akan mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Kedutaan Syria, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat, petang ini bagi membantah pendekatan keras pimpinan Presiden Bashar al-Assad terhadap rakyat negaranya.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, sayap pemuda Pas itu tidak akan berdiam diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam, yang tidak bersenjata, diseksa, dipenjara dan dibunuh.

"Dewan Pemuda PAS mengajak seluruh pemimpin dan ahli Umno serta NGO di bawahnya seperti Perkasa dan Pekida untuk turut serta bersama Pas serta NGO-NGO Islam yang lain dalam himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria pimpinan Bashar, yang telah menyeksa dan membunuh ribuan rakyat mereka, hari ini di hadapan Kedutaan Syria," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini, Riduan menambah, isu kezaliman tentera Syria ke atas rakyatnya sendiri merupakan isu sejagat dan wajib atas umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan.

"Malah, mendiamkan diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam di sana diseksa, dipenjara dan dibunuh merupakan suatu dosa besar di sisi Islam," kata beliau lagi.

Tambah beliau, Dewan Pemuda Pas juga melihat kezaliman tentera kerajaan Basyar sudah sampai ke kemuncaknya.

Katanya, umat Islam tidak tertahan melihat ribuan umat Islam yang tidak bersenjata dibunuh dengan ditembak atau dibom sesuka hati.

"Dalam hal ini, pemimpin Umno yang memegang kuasa di negara ini tidak wajar hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa bantahan.

"Sekiranya benar pemimpin Umno memperjuangkan aqidah ummat, kezaliman Basyar tidak harus hanya dipandang sebelah mata atau ‘menutup mata’ dengan berpura-pura tidak mengetahui isu sebenar," katanya sambil menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razal harus bangkit bersuara di peringkat antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan.

"Perdana Menteri juga seharusnya berbincang dengan negara-negara (Pertubuhan Persidangan Islam) OIC agar melakukan tindakan tertentu demi menyelamatkan umat Islam di Syria daripada terus menjadi mangsa pembunuhan," katanya lagi.

Sinar Harian

Selangor bantu baik pulih bumbung dipukul ribut

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kerajaan Negeri Selangor akan membantu penduduk pangsapuri-pangsapuri Bukit Subang membaikpulih bumbung kediaman mereka yang rosak akibat ribut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar A. Samad berkata, kerja tersebut akan dilaksanakan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan atau Ceria.

Katanya, di bawah skim perkongsian kos Ceria, kerajaan negeri akan menanggung 80 peratus kos baikpulih dan penduduk 20 peratus bagi rumah kos rendah.

“Sementara untuk rumah kos sederhana, kerajaan negeri akan menanggung 60 peratus dan penduduk 40 peratus, bahagian penduduk pula boleh dibayar secara ansuran,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, anggaran awal kos baikpulih iaitu sebanyak RM480,000 telah disiapkan oleh Pejabat Daerah Petaling.

Katanya lagi, kos dan skop kerja terperinci pula akan disiapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar kontraktor-kontraktor untuk kerja baik pulih tersebut dapat dilantik.


“Tetapi buat masa ini MBSA sedang melakukan pemeriksaan untuk menentukan sama ada pangsapuri yang terlibat selamat untuk didiami,” ujarnya yang juga Adun Cempaka.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh MBSA dan Bomba untuk memastikan pangsapuri-pangsapuri itu selamat.

“Adalah diharapkan penduduk di tingkat 1 hingga 4 dapat berpindah balik ke kediaman mereka dan tidak perlu lagi tinggal di dalam dewan,” ujarnya.

Sementara itu, jelasnya MBSA akan mendapatkan rumah sewa sementara untuk penduduk di tingkat 5 sehingga kerja membaikpulih siap.

Pada kejadian kira-kira jam 3.30 petang Selasa lepas, ribut menerbangkan bumbung 120 unit rumah di Pangsapuri Teratai, Seksyen 16, Bukit Subang.


Sembilan unit rumah di blok satu dan dua mengalami rosak teruk ketika kejadian manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Harakah Daily

Suspek tikam pembantu kedai ke mahkamah

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Suspek utama dalam kejadian tikaman maut membabitkan seorang pembantu kedai di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik di sini, 1 Februari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Tertuduh, Albert a/k Majang, 23, yang berasal dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak, berdepan pertudu-han di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah membunuh Wan Manisah Wan Mansor, 27, pada 1 Februari lalu kira-kira jam lapan malam, di tingkat bawah kedai UB Textile Sdn Bhd di Pusat Niaga Paya Keladi.

Dengan itu, dia telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, boleh diwkenakan hukuman diseksa dengan bunuh.

Tertuduh yang bertubuh ‘genit’ dan berpakaian lokap berwarna ungu bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan sebaik pertudu-han dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwaan, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebut semula.

Sinar Harian sebelum ini ada menyiarkan mengenai kejadian seorang pembantu kedai maut setelah ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai tekstil, 1 Februari lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dengan terdapat enam tikaman pada kiri badan mangsa iaitu tiga di lengan dan tiga di bahagian belakang, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 2.05 pagi, keesokannya.

Sinar Harian

Terkejut kereta tiba-tiba terbakar

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Bunyi pelik di bahagian hadapan rumah, mengejut seorang wanita apabila kereta yang di parkir di bahagian terbabit tiba-tiba terbakar, kelmarin.

Kejadian kebakaran kira-kira jam 12.15 malam di Taman Lintang Makmur, di sini, memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan bahagian syiling garaj.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, mangsa berusia 37 tahun ketika itu berada di dalam rumah dan terdengar bunyi pelik di bahagian hada­pan rumahnya.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari mengenai kebakaran itu, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah marak.

“Sewaktu kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja dan wanita itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat sahaja kereta musnah di depan mata.

“Selain kereta, bahagian hadapan rumah mangsa turut disambar api tetapi sempat diselamatkan oleh pihak bomba daripada terus merebak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azman berkata, jiran-jiran di sebelah rumah juga tidak dapat membantu dan hanya berusaha menyimbah air bagi mengelak api merebak ke kawasan rumah mereka.

Katanya, punca kejadian masih belum diketahui dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kenderaan mangsa yang mengalami kemusnahan kira-kira 70 peratus dan anggaran kerugian mencecah ribuan ringgit termasuk kerosakan pada bahagian hadapan rumah.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Hanya kerana ingin mendapatkan bekalan rokok, seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng sekolah bagi melunaskan hajatnya itu di samping mengambil upah menggali telaga untuk tujuan terbabit.

Pelajar berkenaan ketagih rokok dan kini menghisap lima batang rokok hampir setiap hari untuk melepaskan ketagihannya.

Dia yang enggan mendedahkan identitinya itu berkata, dia mula kenal dengan rokok selepas diperkenalkan rakan-rakannya yang juga hanya mencuba untuk suka-suka.

“Saya berasal dari keluarga yang susah dan dibesarkan dalam keluarga yang ramai. Pergi sekolah pun hanya cukup makan, namun kerana ketagihan kepada rokok saya sanggup bekerja bagi mendapatkan bekalannya,” katanya ketika ditemui dalam operasi ponteng bersepadu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun sedar dengan kemiskinan keluarganya, namun dia terpaksa bekerja bagi mendapatkan bekalan rokok terbabit.

“Saya juga ponteng sekolah kerana mengikut rakan dan hanya ingin berseronok dan melupakan kesusahan.

"Apa pun saya masih berharap dapat berubah dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan dan membantu keluarga kerana saya tidak mahu lagi hidup dibelenggu kemiskinan,” katanya.

Sinar Harian