20 Mac 2012

Pelajar terlibat curi motosikal

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA PILAH – Hasrat empat pelajar lelaki untuk menjual komponen motosikal yang dicurinya tidak kesampaian apabila satu serbuan dilakukan anggota polis di salah sebuah rumah kosong di Perpaduan Height, di sini, baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan empat anggota polis cawangan Kuala Pilah kira-kira jam 10.30 pagi, Jumaat lalu, berjaya menjumpai dua motosikal yang mana salah satu daripadanya merupakan milik salah seorang bapa suspek sendiri.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, ketika serbuan, polis menemui salah seorang suspek yang sedang leka membuka komponen motosikal yang dipercayai dicuri dari sekitar Taman Bukit Intan, Taman Bahagia Delima dan kawasan berhampiran.

“Dengan tertangkapnya seorang suspek itu, kita berjaya menangkap tiga suspek lain yang masih bersekolah, berusia antara 14 hingga 16 tahun. Dipercayai, kegiatan itu dilakukan bermula seminggu lalu dan kita dapati, salah seorang suspek menukar ganti komponen motosikal yang dicuri kepada motosikal milik bapanya,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek menggunakan modus operandi dengan mencuri motosikal ketika pemiliknya sedang nyenyak tidur iaitu seawal jam 2 pagi.

“Walaupun motosikal itu berkunci, keempat-empat suspek mengangkat motosikal berkenaan dan membawanya ke Perpaduan Height untuk dileraikan,” katanya.

Sementara itu, Jaafar turut menggesa ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak seratus peratus mempercayai setiap tindakan yang mereka lakukan.

“Ini kerana salah seorang suspek, bapanya tinggal di Johor manakala ibunya menunaikan umrah. Suspek tinggal di sini bersama neneknya, manakala tiga suspek masing-masing tinggal bersama ibu dan bapanya. Jangan biarkan anak-anak melakukan sesuatu yang menjurus kepada jenayah, sekiranya kita dapati mereka melakukan perkara yang meragukan termasuklah tiba-tiba memiliki motosikal, maklumkan kepada kami dan kami sedia membantu untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar memberitahu, keempat-empat suspek ditahan reman selama tiga hari bermula pada hari tangkapan dibuat namun disambung reman sehingga selesai siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Buruh binaan ditemui mati

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH – Seorang buruh binaan, Andi Sudarno Imron, 52, ditemui mati dalam keadaan mengiring sambil tangan memegang bahagian perut dipercayai mengalami sakit perut sejak beberapa hari lalu di rumahnya di Taman Pisang Emas Jaya, Gadek, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Keadaan itu disedari anak angkat mangsa, Mohd Fitri Abd Kadir, 18, yang datang ke rumahnya untuk menjemputnya makan tengah hari.

Mohd Fitri berkata, ketika kejadian, dia datang ke rumah ayah angkatnya seorang diri untuk menjemputnya makan tengah hari selain menjenguk keadaannya yang mendakwa sakit perut sejak dua hari lalu.

“Saya datang hendak hantarkan makanan tengah hari kepada Wak dan menjenguk keadaan Wak kerana sudah dua hari mengadu sakit perut tetapi sebaik saya buka pintu rumah, Wak sudah terbaring di atas lantai rumah dalam keadaan kaku dan seluruh anggota badannya sejuk apabila saya menyentuhnya. Selepas itu, saya terus hubungi rakan yang rapat dengan Wak dan pihak polis,” katanya.

Menurutnya, dia akan datang menjenguk bapa angkatnya itu setiap hari selepas selesai membantu bapanya berniaga di kedai runcit berdekatan taman berkenaan.

“Pada malam sebelum kejadian ini, saya ada datang ke rumah Wak untuk melihat keadaannya selepas selesai membantu ayah berniaga di kedai runcit dan Wak mengadu sakit perut,” katanya.

Katanya, sebelum itu, dia dan rakan-rakannya sempat mengajak ayah angkatnya bersiar-siar di Pantai Tanjung Bidara untuk meraikan ulang tahun hari lahirnya. Namun, ayah angkatnya tidak me­nunjukkan sebarang perubahan cuma mengadu sakit perut dan enggan menjalani pemeriksaan di hospital.

“Setiap kali Wak mengadu sakit perut, saya dan rakan-rakan akan meminta Wak melakukan pemeriksaan di hospital, namun Wak enggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, berdasarkan maklumat daripada jiran terdekat dan rakan mangsa, dia sudah tinggal di rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Menurutnya, mangsa juga mempunyai seorang isteri yang tinggal di Kuala Lumpur bersama anak mereka dan sudah menetap di negara ini sejak lima tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah ditemui berikutan penemuan mayat mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pewaris diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Anggota polis trafik parah

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU-Seorang anggota polis trafik cedera parah apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jambatan Al Hakim Tanjung Chat, dekat sini, malam semalam.

Akibat kemalangan kira-kira jam 10.35 malam, anggota terbabit Nor Afendi Nor Abidin, 50, yang berpangkat koperal patah paha kanannya.

Nor Afendi berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, selepas bertugas di bandar Kota Bharu bersama beberapa lagi anggota trafik.

Katanya, ketika kejadian, beliau menunggang motosikal bersendirian sebaik selesai bertugas di sekitar bandar hampir lapan jam.

“Ketika dalam perjalanan tiba-tiba motosikal yang saya tunggang bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga, datang dari Tanjung Chat ke Kota Bharu.

“Akibat pertembungan itu, motosikal ditunggang saya berguling sebanyak tiga kali di tengah jalan berkenaan dan kemungkinan hentakan kuat menyebabkan paha kanan saya patah” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam.

Katanya, pada masa sama unit kereta peronda yang melalui kawasan berkenaan melihat kejadian itu kemudian membantunya menghubungi ambulans untuk menghantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Nor Afendi berkata, sebelum kejadian sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan dipercayai memotong beberapa kenderaan lain sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangnya.

“Ini adalah kejadian pertama yang dilaluinya sepanjang 15 tahun berkhidmat dan bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan terbabit dan juga melawat anggotanya.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal kerajaan dan pada masa sama bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang cuba memotong dua kenderaan lain ketika melalui kawasan berkenaan.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit yang berusia 21 tahun, ketika datang ke balai Pengkalan Chepa bersama ibunya untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Agency

Pusat internet nyaris hangus

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Sebuah pusat internet berlesen nyaris hangus terbakar apabila bahagian stor di belakang premis tersebut disambar api dalam satu kejadian di Kubang Buaya, berhampiran sebuah kolej di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari salah seorang pekerja yang baru tiba di pusat internet tersebut untuk memulakan operasi.

Pemiliknya yang enggan nama disiarkan berkata, ketika kejadian premisnya baru dibuka dan belum ada pelanggan.

Menurutnya, salah seorang pekerja menyedari kehadiran asap tebal dari bahagian stor lalu pergi untuk melihat dan ternampak api mula menyambar.

“Menyedari kejadian kebakaran ini, pekerja itu menghubungi saya sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba,” katanya.

Dia berkata, walaupun kebakaran berjaya dipadamkan, bahagian belakang premis rosak teruk akibat kebakaran itu.

“Jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bagaimanapun, beberapa set komputer, makanan, minuman dalam tin dan alat pendingin hawa yang berada dalam stor hangus,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 10.06 pagi.

Menurutnya, susulan maklumat itu, 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bukit Ubi dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan premis itu daripada hangus terbakar,” katanya.

Anuar berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Agency

Makmal dadah diserbu

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAJANG - Hanya dengan mempelajari kaedah daripada internet, sekumpulan lelaki, di sini menjadikan rumah sewa sebagai makmal mini memproses syabu.

Bagaimanapun, taktik kumpulan itu yang baru tiga minggu beroperasi terbongkar setelah diserbu anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Asisten Superintendan Hngh Ah Leong, kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Dalam dua serbuan berasingan masing-masing di Bandar Sungai Long dan Desa Damai Perdana itu, enam lelaki termasuk seorang warga asing berjaya diberkas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium, empat suspek berusia lingkungan 30-an ditahan.

Menurutnya, berdasarkan peralatan dan bahan kimia ditemui, polis yakin kediaman berkenaan dijadikan makmal mini untuk memasak syabu.

“Siasatan lanjut mendapati, makmal di kondominium itu baru tiga minggu beroperasi di mana suspek sebelum ini menjalankan operasi di blok bersebelahan, bagaimanapun kita percaya sindiket yang mempelajari cara memproses syabu dari internet ini telah beroperasi lebih setahun lalu,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut menemui cecair jenis dadah seberat 1.5 kilogram yang sedang diproses dan suspek dipercayai mengeringkannya sebelum dijual di sekitar Lembah Klang.

Bertindak atas maklumat awam, polis kemudiannya membuat serbuan kedua di sebuah kediaman dekat Desa Damai Perdana, Kajang dan berjaya menahan seorang lagi suspek warga tempatan berusia 30-an bersama 500 gram dadah jenis syabu bernilai hampir RM60,000.

Dalam serbuan kedua ini, polis turut menahan seorang tokan warga asing berusia 20-an yang dipercayai dikurung dan dijadikan tebusan kerana gagal membayar dadah jenis syabu yang diambil daripada suspek.

Lelaki itu bagaimanapun, cedera kerana terjatuh dari tingkat empat kediaman berkenaan ketika cuba untuk melarikan diri.

Mengulas kejadian itu, Nordin berkata, polis masih menyiasat dakwaan mengenai warga asing berkenaan.

“Namun polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, kita berjaya melumpuhkan sindiket ini di sekitar Kajang,” katanya.

Difahamkan, semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah dan tahanan­ daerah.

Sinar Harian

Empat mati ditembak di depan sekolah Yahudi

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AFP - BEBERAPA anggota polis memeriksa kawasan sekitar sebuah sekolah Yahudi yang menjadi lokasi empat orang maut ditembak di Toulouse semalam.

TOULOUSE, Perancis - Seorang lelaki bermotosikal melepaskan tembakan semalam di depan sebuah sekolah Yahudi di bandar ini.

Menurut pejabat pendakwa raya, dalam kejadian itu, seorang rabai Yahudi, dua anak lelakinya dan seorang lagi kanak-kanak mati.

Ia merupakan kejadian tembakan ketiga yang melibatkan serangan bermotosikal di negara ini dalam tempoh seminggu.

Pihak pendakwa raya kini mencari bukti sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pihak pengganas.

Namun, motif serangan itu setakat ini masih belum diketahui.

Sebelum ini, dua serangan maut berlaku di Toulouse yang menyebabkan tiga anggota tentera Perancis terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Menurut laporan media, anggota tentera itu berketurunan Arab.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat sekolah itu dan mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan di bangunan milik Muslim dan Yahudi.

Beberapa saksi menyatakan lelaki yang melepaskan tembakan itu merupakan pekerja di sekolah berkenaan.

Perancis mempunyai paling ramai penduduk Yahudi di barat Eropah iaitu seramai 500,000 orang.

Negara ini turut mempunyai lima juta pendu-duk Muslim yang dianggap terbesar di barat Eropah. - Agensi

Remaja maut motosikal ditunggang bergesel dengan kereta

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HUTAN MELINTANG - Niat seorang remaja mahu mengambil ibunya pulang dari tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Teluk Intan- Hutan Melintang, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, motosikal jenis Ex5 yang ditunggang mangsa, Muhamad Azrul Hassan, 19, bertembung sebuah kereta jenis Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Batu 17, Sungai Sumun menunggang bersendirian dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang.

Menurutnya, setibanya di jalan masuk ke Taman Wawasan Wira yang dipandu lelaki berumur 25 tahun itu membelok ke simpang kiri sebelum bergesel dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Geselan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut keluarga mangsa, kira-kira jam 10 pagi semalam bagi urusan pengebumian.

Selain itu, pihaknya meminta mana-mana individu melihat kejadian kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, di talian 05-6299222 untuk memberikan maklumat.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian

Nyaris maut diserang anjing

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun nyaris maut apabila diserang anjing peliharaan jiran yang terlepas dari kurungan, dalam kejadian lewat petang kelmarin.

Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, diserang ketika bermain basikal di depan rumahnya, di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, sekitar 6.45 petang.

Bapa mangsa, Muhammad Nur Akmal Abdul Latif, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta di halaman rumah, sementara isterinya, Radziah Mohd Adas, 46, mengangkut barang rumah yang baru dibeli dari kereta sebelum terdengar jeritan anaknya.

“Saya dengar jeritan anak, lalu segera mendapatkannya. Saya terkejut terlihat seekor anjing yang sangat besar sedang mencakar belakang anak saya yang terbaring di jalan. Saya jerit minta tolong, tapi, tiada sesiapa ketika itu. Saya cuba halau anjing itu namun tidak diendahkannya, sebaliknya terus menyerang anak saya sebelum saya me-ngangkat basikal ditunggangi anak sebelum itu untuk menghentak haiwan itu dan selepas itu barulah ia lepaskan anak saya dan berlari ke arah lain,” katanya ketika ditemui di KPJ Penang Specialist Hospital, di sini, semalam.

Muhammad Nur Akmal yang bekerja sebagai jurutera berkata, dia segera membawa anak bongsu dari empat be-radik itu ke hospital berikutan kecederaan serius di belakang dan punggung anaknya itu.

Menurutnya, pemilik anjing yang juga jirannya berusia lingkungan 40-an itu ada berjumpanya selepas itu dan meminta maaf insiden berlaku.

Pemilik haiwan itu katanya, turut mendakwa tidak sedar anjing peliharaannya terlepas kurungan dan keluar melalui belakang rumah, terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya, selepas kunci kurungan dikatakan rosak.

Difahamkan, ia merupakan kali pertama anjing itu terlepas dari kurungan.

Berikutan kejadian, Dhiya Qairina terpaksa ditahan di wad dan menjalani rawatan bagi mengelakkan terkena sebarang jangkitan kuman.

Laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), 11.13 malam hari yang sama.

Muhammad Nur Akmal berkata, dia kini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik anjing itu sebagai pengajaran mengelakkan perkara sama pada orang lain.

“Bukan sahaja anak saya yang trauma, tetapi, saya juga kerana asyik terbayangkan anjing besar itu hingga tidur malam pun tak lena. Anjing itu sangat agresif dan jika saya terlewat, sudah tentu perkara lebih buruk boleh berlaku,” katanya yang sudah tiga tahun menetap di taman perumahan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Ab Lah mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kertas siasa-tan telah dibuka untuk menyiasat insiden itu.

“Anggota kami ke rumah pemilik anjing itu pagi tadi (semalam), dan siasatan masih dijalankan mengenal pasti jenis anjing menyerang kanak-kanak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan haiwan hingga mendatangkan kecederaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Kereta bertembung bas

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Puluhan penumpang sebuah bas henti-henti cemas apabila bas mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, berdekatan Batu 5, di sini petang kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut itu di tempat kejadian, manakala dua penumpang bas cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini sebagai pesakit luar.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dikatakan membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke arah Seremban.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan bertembung dengan bas berkenaan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan, P.Teyaho, 45, dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson.

“Sejurus tiba di sebuah selekoh, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum berpusing. Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit selama hampir 30 minit di dalam kereta, bagaimanapun disahkan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mayat Teyaho dibawa ke HTJ, di sini untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap, bas terbabit terbabas ke bahu jalan sehingga mengakibatkan dua penumpang wanita berusia 20-an dan 50-an cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ.

“Pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa, R Sharmini, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kematian Teyaho.

“Saya sempat berjumpa dengan dia kira-kira 4.30 petang di Rahang. Waktu itu, saya tidak nampak perubahan pelik mengenai mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sinar Harian

‘Mak, ada api dalam bilik!’

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU – “Emak ada api dalam bilik,” jeritan itu mengejutkan ibu kanak-kanak berusia lima tahun, yang sedang leka mengemas pasu bunga di halaman rumah.

Kejadian yang nyaris meragut nyawa kanak-kanak itu berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam selepas bilik tidurnya terbakar.

Bahang api yang marak membakar kelambu di dalam bilik tidur Mohd Azizi Rukman, 5, menyebabkan dia terjaga dan bergegas keluar bersendirian mendapatkan ibunya, Siti Hasmah Satar, 35 yang berada di luar rumah.

Hasmah yang terkejut dengan jeritan anaknya itu, masuk ke dalam bilik berkenaan dan melihat api begitu pantas membakar kelambu dan tilam serta segala-galanya yang ada di dalam bilik serta rumahnya.

“Saya panik melihat keadaan itu dan keluar dari rumah sambil mendukung Azizi untuk menyelamatkan diri tetapi tidak sempat mengambil dokumen penting serta barang-barang lain.

“Pada masa itu saya hanya memikirkan keselamatan anak, cuma sebuah motosikal jenis Yamaha yang diletakkan di luar rumah berjaya diselamatkan orang ramai,” katanya yang ditemui di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, walaupun mereka lapan beranak terpaksa tinggal sehelai sepinggang akibat tragedi itu, tetapi dia bersyukur kerana kebakaran ini tidak meragut nyawa anak kecilnya itu.

Hasmah berkata, dia sendiri tidak dapat meneka punca kebakaran tetapi kemungkinan ia disebabkan litar pintas kerana sebelum ini beberapa kali pendawaian di rumahnya mengalami kerosakan.

“Malam tadi kami tidur tidak memasang ubat nyamuk atau lilin, lagipun pemetik api ada dengan saya kerana mahu membakar sampah di luar rumah ini, mana mungkin Azizi bermain api sedangkan dia baru sahaja terjaga daripada tidur,” katanya.

Malah ketika kejadian, Hasmah gagal menghubungi suaminya, Rukman Abdullah, 44 kerana keluar bekerja di dalam hutan mencari balak di Kemaman sejak Jumaat lalu dan terpaksa menyuruh orang kampung pergi mencarinya untuk memberitahu hal berkenaan.

Sinar Harian

Bicara bekas Pengarah Imigresen ditetap semula

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Beri ruang bekas Pengarah Imigresen lantik peguam baru

GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 30 April, 2, 3 dan 4 Mei depan untuk perbicaraan kes bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun atas tuduhan memiliki harta melebihi pendapatannya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan semula tarikh perbicaraan itu kerana tertuduh baru melantik semula peguam baru iaitu Datuk Hanif Hashim pada 27 Feb lalu, bagi menggantikan peguamnya terdahulu, Zamri Idrus.

Sitarun Nisa juga menetapkan 30 dan 31 Mei pula, hujahan bagi kedua-dua pihak.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman, 53, yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara, Kementerian Dalam Negara (KDN) didakwa memiliki wang dan hartanah bernilai RM817,355 yang meliputi akaun Amanah Saham

Bumiputera (RM334,245), akaun Lembaga Tabung Haji (RM299,016) dan akaun Maybank (RM48,094), selain hartanah bernilai RM136,000.

Ini menunjukkan terdapat lebihan harta yang sepatutnya dimiliki Abdul Rahman selepas diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan sebanyak RM152,081.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Abdul Rahman, yang pernah menjadi Pengarah Bahagian Pentadbiran, Jabatan Imigresen di Putrajaya, mempunyai empat anak dan seorang isteri yang bertugas sebagai guru.

Mahkamah mengekalkan jaminan sebanyak RM15,000 kerana sepanjang proses siasatan yang dijalankan sejak Ogos 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Anthony Kevin Morais dan Janariah Abdul Mutalib.

Sinar Harian

Tubuh dipenuhi bulu

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BACHOK- Ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat anak kandung yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain yang melalui hidup secara normal. (gambar hiasan)

Namun, bagi bagi Asliza Omar,30,keganjilan tubuh anaknya, Nurul Afida Razi,3, yang berbulu diseluruhi badan tidak pernah membuatkan dia merasa rendah diri.

Menurut Asliza,bulu yang ada pada tubuh anak bongsu dari tiga adik-beradik wujud sejak dilahirkan dan menyebabkan dia mempunyai kad kanak-kanak kurang upaya(OKU).

“Sejak lahir lagi, bulu lebat di badan Nurul, namun dia tiada masalah kesihatan melainkan agak lambat bercakap.

“Saya telah merujuk Nurul Afida ke hospital dan setiap enam bulan dia akan dibawa untuk pemeriksaan. Ujian darah telah diambil dan menunggu keputusan daripada pihak hospital,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah di Kampung Changgong,semalam.

Asliza berkata, kali pertama sampel darah Nurul Afida diambil ketika berusia dua bulan, namun setelah dua tahun menunggu keputusan,pihak hospital memaklumkan sampel darah anaknya itu hilang.

Oleh itu katanya, dia membawa Nurul Afida kembali ke hospital terbabit pada 3 Julai 2011 dan temu janji terbarunya pada 9 April nanti.

Asliza berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu boleh berlaku terhadap Nurul Afida, namun tidak kekok untuk membawa anaknya itu ke mana-mana majlis.

Dua lagi adik beradik Nurul Afida, Mohd Zulkifli Hanif,8, dan Nurul Aimi,7 normal dan tidak mengalami kesihatan.

Menceritakan keadaannya, Asliza berkata, dia tidak pernah mengalami kejadian yang pelik semasa mengandungkan Nurul Afida, namun mengakui pernah melihat lembaga semasa berada di pantai.

“Sebulan sebelum saya hamil, beberapa minit sebelum Maghrib, saya bersiar-siar di pantai dan tiba-tiba terlihat satu lembaga seperti seekor kambing yang datang dari arah laut.

“Ia berwarna hitam dan berbulu, saya tidak terkejut atau menegur makhluk itu dan menganggap ia biasa sahaja. Beberapa minggu selepas itulah baru saya hamilkan Nurul Afida,” katanya.

Bagaimanapun, Asliza berkata, keadaan Nurul Afida tidak seteruk yang dihidapi beberapa kes sama yang berlaku di dunia, sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Menurutnya, bulu yang tumbuh pada badan Nurul Afida hanya kelihatan lebat, namun tidak menjejaskan saluran pernafasan atau penglihatannya.

Azliza berkata, dia dan suaminya, Razi Mohd Nor,37 yang bekerja sebagai nelayan reda dengan ketentuan tuhan dan mengharapkan anak itu kembali normal setelah mendapat rawatan dari pihak hospital.

Dalam pada itu, ketika dihubungi,Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu (HRPZ) akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Kejadian di dunia

Untuk rekod kanak-kanak perempuan di Thailand, Supatra Sasuphan,12, berbulu di seluruh badan dipercayai mengidap Sindrom Ambras itu sejenis penyakit akibat genetik kromosom. Mengikut rekod hanya 50 individu di dunia pernah mengidapnya.

Manakala,di Mumbai, India, tiga gadis Aavita,23, Monisha,18, dan Savitri,18, berdepan kemungkinan menjadi anak dara tua akibat pertumbuhan bulu tidak terkawal akibat penyakit Hypertrichosis Universalis.

Mengikut nisbah, penyakit itu dihidap seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Agency

Kes bunuh Dirang: Handry diserah kepada Imigresen

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENAI – Polis mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, Handry Yongot, 30-an telah dibebaskan, semalam, dan diserah­kan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah.

“Handry kami bebaskan hari ini (semalam), namun kami serah kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya berikutan dia tiada dokumen pengenalan diri,” kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan sebelum ini masih ditahan reman sehingga 23 Mac ini.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, sekali lagi merayu pihak berkuasa agar tidak menghantar bekas suaminya itu pulang ke negara asalnya, Filipina.

Menurutnya, Handry tidak mempunyai saudara di negara itu kerana dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah sejak kecil.

“Saya mohon jika boleh berilah peluang dia tinggal di sini, kerana dia tidak tahu asal usulnya di Filipina. Malah, dia masih ada anak iaitu Mohd Hafis yang berusia enam tahun di sini.

“Saya bimbang, jika dia dihantar pulang ke negara asalnya akan lebih menyukarkan untuk dia bertemu dengan satu-satunya anak kandung kami yang masih hidup,” katanya.

Roselyn berkata, bekas suaminya itu pernah memohon untuk mendapatkan kerakyatan negara ini, namun malangnya permohonannya tidak diluluskan atas beberapa faktor.

“Apa yang saya tahu, dia pernah memohon, tetapi permohonannya ditolak dengan alasan maklumat ibu bapanya yang kurang jelas di mana mereka sudah meninggal dunia.

“Berikutan itu, Handry hanya diberikan dokumen sementara untuk menetap di negara ini. Bagaimanapun saya terkejut selepas dimaklumkan dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya.

Terdahulu, Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah.

Sinar Harian

Disaat Hati Tergores

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sore fajar menyingsing. di Rumah Amalia temaram. Langit terlihat memerah. Sosok laki-laki terbilang muda, sebagai kepala rumah tangga tentunya selalu berharap untuk tegar dan kuat. Ia bertutur, dirinya ingin selalu tegar dan kuat dalam menjalani hidup, namun kehilangan istri dan anak disaat berturut-turut sungguh membuat hatinya tergores luka dan perih. Air matanya menetes. dirinya hampir kehilangan kekuatan hidup.

Kisah itu diawali dengan pernikahannya yang sederhana. Kehidupan rumah tangga penuh kebahagiaan, restu kedua orang tua, sahabat kerabat dan teman-teman selalu menghiasi bahtera rumah tangganya. Sekalipun orang tuanya menawarkan untuk tinggal bersama, dengan ketulusan hati mereka berdua sepakat untuk hidup mandiri sekalipun harus tinggal dipetakan rumah yang sempit. Alhamdulillah, pernikahannya benar-benar membawa berkah bagi dirinya dan istri. Rizki mengalir begitu berlimpah. Kondisi makin membaik sehingga bisa mempunyai rumah mungil sederhana.

Allah seperti melimpahkan begitu banyak anugerah, istrinya hamil. Sekalipun dalam keadaan hamil, istri memilih untuk tetap bekerja. diusia kandungan sudah tua istri mengambil cuti. Beberapa hari mengambil cuti perutnya terasa mulas bergegas dibawa ke rumah sakit. Sesampai rumah sakit sudah mencapai bukaan kelima hingga bayinya terlahir dengan selamat tanpa harus operasi. Kebahagiaan terpancar diwajah. Kehadiran sang buah hati adalah kebahagiaan dirinya, istri dan kedua keluarga besar. Sampai satu pagi disaat dirinya hendak ke kantor terdengar suara teriakan keras istrinya.

Ia berlari menuju kamar, terlihat wajah sang istri kesakitan kesulitan bernapas. Ia berlari kencang dengan membopong tubuh istrinya dimasukkan ke dalam mobil menuju rumah sakit. Tiada henti memohon kepada Allah agar istri diselamatkan. Namun Allah punya rencana lain. Dokter menyatakan nyawa istrinya sudah tidak tertolong lagi. Air matanya meleleh membasahi pipi bersimpuh dilantai rumah sakit. hatinya menjerit. "Ya Allah, betapa berat cobaan hidup ini!"

Disaat kehilangan istri, setiap kali melihat wajah bayi mungilnya tak ingin membuat anaknya yang sudah kehilangan ibu juga kehilangan ayahnya yang terus terpuruk. Diasuh bayi itu dengan kebahagiaan. Di rumah jika ia pergi ke kantor, bayinya diasuh oleh baby sister yang sudah berpengalaman. Hari-harinya berlalu begitu cepat, luka dihati akibat kehilangan istri belumlah sembuh. Hampir setiap hari selalu menggendong bayinya yang lucu. Siang itu ia sang buah hati tertidur lelap dipangkuannya, dengan berhati-hati menaruhnya di dalam tempat tidur. Selepas sholat dzuhur bagaikan tersambar petir disiang hari.

Betapa shock dirinya bayi bungil dan lucu sudah tak bernapas lagi. Putrinya meninggal dunia sebulan setelah ibundanya. Oleh dokter disebutnya akibat SIDS, Sudden Infant Death syndrome atau Sindroma kematian bayi mendadak. Ia raih bayinya, ditimang dan dicium pipinya dengan menjerit histeris. Ya Allah, Engkau ambil istriku! Sekarang Engkau ambil juga putriku!" dipeluk erat sambil memanggil namanya, ia berharap anaknya akan bangun namun tubuh mungil itu tetap diam membisu. Disaat itulah dirinya benar-benar hancur dan terpuruk.

Allah membimbing dirinya, agar lebih mendekatkan diri kepadaNya. Sekaranh justru ada kerinduan untuk senantiasa dekat dengan Allah. Alhamdulillah melalui Rumah Amalia ia bisa berbagi dan ia menyadari lebih banyak orang yang lebih menderita daripada dirinya.

Sahabatku, aminkan doa ini agar kita diberi kekuatan & keikhlasan menerima ketetapan Allah. "Ya Allah, Engkaulah Sumber Kebahagiaan kami. Tolonglah kami, kuatkan kami dg cintaMu, menjadi sadar akan cinta kami, kehilangan kami, kedukaan kami, mengatasi perasaan marah, kecewa, luka perih dihati, agar kami rela menerima ketetapanMu yg membentuk pribadi kami menjadi lebih kuat & sabar dlm menjalani kehidupan ini"

posted by :agussyafii

Tembakan mortar akibatkan lima terbunuh

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD]

MOGADISHU 20 Mac – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh apabila beberapa tembakan mortar yang disasarkan ke kediaman Presiden tersasar dan mengenai kawasan pelarian, semalam.

Kumpulan militan al-Shabaab berkata, mereka telah melancarkan berpuluh-puluh mortar ke kediaman Presiden.

Jurucakap pasukan pengaman Kesatuan Afrika, Paddy Ankunda berkata, beberapa tembakan mortar tersasar mengenai kem pelarian yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman Presiden.

“Tiada tembakan yang mengenai kediaman Presiden,” katanya. – REUTERS