20 Mac 2012

Pusat internet nyaris hangus

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Sebuah pusat internet berlesen nyaris hangus terbakar apabila bahagian stor di belakang premis tersebut disambar api dalam satu kejadian di Kubang Buaya, berhampiran sebuah kolej di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari salah seorang pekerja yang baru tiba di pusat internet tersebut untuk memulakan operasi.

Pemiliknya yang enggan nama disiarkan berkata, ketika kejadian premisnya baru dibuka dan belum ada pelanggan.

Menurutnya, salah seorang pekerja menyedari kehadiran asap tebal dari bahagian stor lalu pergi untuk melihat dan ternampak api mula menyambar.

“Menyedari kejadian kebakaran ini, pekerja itu menghubungi saya sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba,” katanya.

Dia berkata, walaupun kebakaran berjaya dipadamkan, bahagian belakang premis rosak teruk akibat kebakaran itu.

“Jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bagaimanapun, beberapa set komputer, makanan, minuman dalam tin dan alat pendingin hawa yang berada dalam stor hangus,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 10.06 pagi.

Menurutnya, susulan maklumat itu, 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bukit Ubi dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan premis itu daripada hangus terbakar,” katanya.

Anuar berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Agency

Tiada ulasan: