20 Mac 2012

Lima militan Bali ditembak

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Polis Indonesia kenal pasti kumpulan JI ketika cuba rompak sasaran

DENPASAR: Polis Indonesia menembak mati lima suspek militan di Bali tengah malam kelmarin ketika mereka mengenal pasti dan meninjau sasaran serangan, kata agensi menangani keganasan semalam.

Kumpulan itu dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI), yang didakwa bertanggungjawab dalam pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong Australia, kata pegawai.

“Suspek militan itu mengenal pasti sasaran. Mereka sudah mempunyai beberapa sasaran di beberapa lokasi di Bali. Mereka sudah meninjau tempat itu,” kata ketua polis, Ansyaad Mbai.

Serangan di Bali pada 2002 detik permulaan Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, berdepan ancaman kehadiran militan.

Polis berkata, suspek militan itu dalam persediaan melancarkan rompakan bersenjata untuk membiayai matlamat mereka, sebelum maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Kumpulan itu dikaitkan dengan satu kumpulan lain yang melakukan rompakan bank di Medan.
“Ia adalah kumpulan militan Islam, kumpulan serpihan JI yang mendirikan kem latihan di Aceh. Mereka cuba merompak kerana mahu mendapatkan wang meneruskan kegiatan mereka,” kata jurucakap polis, Saud Usman Nasution.

Kelima-lima mereka yang bersenjatakan dua raifal bercadang merompak biro mata wang asing dan kedai emas, kata polis.

“Malam kelmarin kami menumpaskan lima penjenayah yang merancang melakukan tindakan ganas dan merompak mata wang asing dan kedai emas di beberapa lokasi di Bali.

“Semua suspek mati selepas cuba melawan atau melepaskan tembakan ke arah polis,” kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar.

Media Australia memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata kemungkinan kumpulan itu merancang melancarkan serangan Khamis ini, menjelang hari Nyepi, menandakan kedatangan Tahun Baru Hindu di Bali.

Penduduk kepulauan itu secara tradisi mengadakan perarakan besar-besaran menjelang sambutan Nyepi, yang turut menarik kedatangan ramai pelancong, lapor Australian Associated Press.

Pembunuhan itu menyusul ketika bermulanya perbicaraan seorang lagi militan Islam yang dituduh membuat bom yang digunakan dalam serangan pada 2002 di kelab malam di Bali.

Umar Patek, yang ditangkap di bandar sama di mana tentera elit Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan, juga dituduh mencampurkan kimia untuk menghasilkan 13 bom untuk meletupkan lima gereja di Jakarta menjelang sambutan Krismas pada 2000 yang mengorbankan 15 orang.

Pegawai keselamatan berkata, Umar adalah seorang anggota JI.

Sementara itu, akhbar Jakarta Post melaporkan mayat lima suspek itu diterbangkan ke Jakarta semalam untuk bedah siasat. – Reuters/Agensi

Tiada ulasan: