20 Mac 2012

Gempar: Gadis diculik, kanak-kanak dibunuh

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak serta gadis Malaysia baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, kejadian culik dan bunuh Nurul Nadirah Abdullah baru-baru ini serta kes culik seorang gadis Malaysia berusia 14 tahun yang cuba dibawa lari ke Thailand untuk dijadikan pelacur sememangnya amat menggemparkan negara.

Katanya, kejadian yang menimpa gadis itu menunjukkan seriusnya isu jenayah culik di negara ini.

“Ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan bahawa kadar keselamatan rakyat di negara ini berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nyawa dan maruah anak-anak gadis malah sesiapa sahaja boleh melayang kerana adanya sindiket yang berleluasa.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas gadis tersebut menimbulkan suatu persepsi bahawa jenayah yang berlaku di negara ini hampir sama dengan jenayah di negara-negara yang mempunyai kumpulan ‘gangster’ dan mafia terbesar di dunia.

“Kumpulan mafia ini mampu membunuh sesiapa sahaja yang menggugat gerakan mereka termasuk melakukan aktiviti penculikan, pelacuran dan pembunuhan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM mempersoalkan mengapa kejadian itu boleh berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Apakah ini menunjukkan kegagalan penerapan nilai agama oleh kerajaan sehingga gagal mendidik generasi yang bertaqwa dan patuh kepada perintah agama?

“Mungkinkah juga ia berpunca dari lemahnya sistem keselamatan negara ini sehinggakan penjenayah dari negara asing dengan mudah meloloskan diri dan melakukan jenayah sepuas hati di negara ini serta mampu menyeludup keluar rakyat negara ini keluar negara tanpa dikesan?” soalnya.

Dengan kejadian itu, ujar beliau DPPM mendesak kerajaan agar mengetatkan kawalan di sempadan negara ini bagi mengelakkan rakyat asing masuk ke negara ini sewenang-wenangnya serta rakyat negara ini dibawa lari keluar negara.

Selain itu, ujarnya lagi kerajaan perlu mengkaji balik dasar mengambil warga asing sebagai pekerja di negara ini.

Menurutnya, dengan jumlah pekerja asing yang begini ramai di negara ini, tidak mustahil lebih banyak jenayah akan berlaku.

“Pekerja asing yang membanjiri negara juga berjaya menukar landskap sesebuah kawasan dan bandar di negara ini seolah-olah menjadi hak milik mereka sehingga menimbulkan ketakutan warga tempatan,” katanya.

Mereka juga, tambah beliau membawa masuk pengaruh budaya mereka sehingga merosakkan budaya masyarakat negara ini.

Oleh itu, kata Riduan DPPM menuntut agar kawalan keselamatan di dalam negara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pihak keselamatan perlu melakukan rondaan dan pemantauan yang kerap serta menambah bilangan pasukan keselamatan di merata tempat dalam negara ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat di negara ini berharap tidak ada lagi kes penculikan kanak-kanak dan gadis tempatan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran negara lain.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: