20 Mac 2012

Anggota polis trafik parah

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU-Seorang anggota polis trafik cedera parah apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jambatan Al Hakim Tanjung Chat, dekat sini, malam semalam.

Akibat kemalangan kira-kira jam 10.35 malam, anggota terbabit Nor Afendi Nor Abidin, 50, yang berpangkat koperal patah paha kanannya.

Nor Afendi berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, selepas bertugas di bandar Kota Bharu bersama beberapa lagi anggota trafik.

Katanya, ketika kejadian, beliau menunggang motosikal bersendirian sebaik selesai bertugas di sekitar bandar hampir lapan jam.

“Ketika dalam perjalanan tiba-tiba motosikal yang saya tunggang bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga, datang dari Tanjung Chat ke Kota Bharu.

“Akibat pertembungan itu, motosikal ditunggang saya berguling sebanyak tiga kali di tengah jalan berkenaan dan kemungkinan hentakan kuat menyebabkan paha kanan saya patah” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam.

Katanya, pada masa sama unit kereta peronda yang melalui kawasan berkenaan melihat kejadian itu kemudian membantunya menghubungi ambulans untuk menghantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Nor Afendi berkata, sebelum kejadian sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan dipercayai memotong beberapa kenderaan lain sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangnya.

“Ini adalah kejadian pertama yang dilaluinya sepanjang 15 tahun berkhidmat dan bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan terbabit dan juga melawat anggotanya.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal kerajaan dan pada masa sama bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang cuba memotong dua kenderaan lain ketika melalui kawasan berkenaan.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit yang berusia 21 tahun, ketika datang ke balai Pengkalan Chepa bersama ibunya untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Agency

Tiada ulasan: