12 September 2012

'P'raya DUN S'gor tidak serentak dengan PRU13'

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

NONE
Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.

Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau
Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.

Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi.

Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.

"Bagi Kedah, kita belum mendapat maklum balas daripada menteri besar," katanya.

Malaysiakini/-

Rakyat Mesir protes filem hina Nabi Muhammad

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Penunjuk perasaan Mesir, memanjat dinding kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah Selasa lalu, menuju ke halaman kedutaan dan menurunkan bendera Amerika Syarikat, menggantikan ia dengan bendera hitam dengan inskripsi Islam untuk membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad.

Ratusan penunjuk perasaan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di tengah bandar Kaherah, berhimpun di luar kedutaan dan melaung-laung membantah filem tersebut, yang menurut laporan diterbitkan Amerika Syarikat.

"Katakan, jangan takut: Duta mereka mesti beredar," laung penunjuk perasaan.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan kemudian memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera dari tiang di halamannya dan membawa bendera tersebut kepada penunjuk perasaan di luar kedutaan.

Penunjuk perasaan mengoyakkan bendera tersebut selepas gagal dalam cubaan awal untuk membakarnya.

Penunjuk perasaan di atas dinding kedutaan kemudiannya menaikkan bendera hitam yang tertulis dua kalimah syahadah: "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah."

Di Washington, jurucakap Jabatan Negera, Victoria Nuland berkata AS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir untuk memulihkan ketenteraman.

Hampir semua kakitangan telah meninggalkan kedutaan sebelum ia diceroboh, lapor seorang pegawai AS.

Hanya beberapa kakitangan masih berada di dalam kedutaan, kerana pihak keselamatan kedutaan telah menghantar pulang kakitangan ke rumah mereka lebih awal selepas mendapat maklumat tentang protes yang bakal berlangsung.

Keadaan masih tidak stabil, lapor pegawai yang enggan namanya didedahkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu.

Seorang pegawai di kedutaan AS di Kaherah berkata Duta AS tiada di kedutaan pada hari tersebut.

Media Mesir mengatakan filem itu diterbitkan di Amerika Syarikat oleh kumpulan anti-Islam.

Filem tersebut, yang kini terdapat di YouTube, menggambarkan Muhammad sebagai penipu, menunjukkan Muhammad melakukan hubungan seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai.

Protes meletus selepas media Mesir membuat liputan berkenaan filem itu untuk beberapa hari, dengan ulama-ulama turut muncul di kaca televisyen untuk membantah filem tersebut.

harakahdaily/-

Tupai terbang jadi perhatian

25 Syawal 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Kehadiran sejenis haiwan menyerupai tupai menjadikan kediaman Mohd Hafiez Zafri, 18, dikunjungi penduduk kampung, untuk melihat spesies yang tidak diketahui nama sebenarnya itu.

Berikutan itu mereka memanggilnya tupai terbang kerana fizikalnya menyerupai tupai.

Mohd Abdul Hafiez berkata, keunikan haiwan yang belum pernah ditemuinya, membuatkan ada dalam kalangan pengunjung yang berminat dan sedia membelinya.

Menurutnya, setakat ini dia belum membuat keputusan menjual haiwan berkenaan, kerana sedar sukar untuknya menemui binatang tersebut.

Katanya, dia menemui tupai terbang itu ketika ke rumah kawannya di Lubok Jong dua hari lalu.

"Haiwan itu terbang dan hinggap di dinding rumah kawan, apabila melihat fizikalnya agak luar biasa, saya menangkapnya dan membawa pulang

“Setelah saya meneliti fizikalnya, haiwan ini mempunyai bahagian seperti kepak yang membolehkannya terbang, sekali pandang kelihatan seperti tikus,” katanya.

Mohd Hafiez berkata ,sejak membelanya dua hari lalu, haiwan tersebut makan semua jenis makanan seperti pisang dan sayur.

Menurutnya, bagi mengelak haiwan tersebut terlepas, dia mengurungnya dalam sangkar daripada besi.

sinar harian/-

Langat 2: S’gor ada kuasa, MB beri peringatan awal

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengeluarkan peringatan kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai pembinaan loji rawatan air Langat 2 bahawa projek tersebut masih tidak mendapat kelulusan Selangor.

Oleh itu, pemaju, kontraktor, perunding dan sesiapa yang mengambil bahagian di dalam projek tersebut diingatkan supaya tidak menyalahkan kerajaan negeri apabila perlaksanaan projek itu tergugat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri masih mempunyai kuasa berhubung perlaksanaan projek tersebut walaupun Kerajaan Pusat mahu meneruskannya.

Kuasa Kerajaan Negeri antaranya meliputi kelulusan merancang dan memasuki tapak projek.

“Kita ingin mengingatkan kepada pemaju, kontraktor mahupun Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab sepertimana yang dijamin Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara.

“Kerajaan Negeri juga ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri akan menjaga tanggungjawab ini,” jelasnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco semalam.

Peringatan itu dibuat susulan penyiaran iklan tender Langat 2 di laman web Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) semalam.

Tender tersebut dikeluarkan walaupun projek tersebut masih tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan undang-undang bagi menjelaskan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai projek ini.

“Mereka perlu sedar dan jelas tentang tanggungjawab dan tanggungan mereka akan beberapa perkara apabila berurusan atau berhadapan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata sesiapa yang menyertai projek tersebut harus berdepan dengan risiko akibat dari percanggahan pendirian Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Andaikata mereka masih ingin menyertai tender, kemudian menang ‘bidding’ namun perlaksanaan tertunggak, jangan datang saman (Kerajaan Negeri).

“Kerana kita sudah memberi penjelasan dan peringatan berkenaan perkara ini,” tegas beliau ketika ditemui.

Kerajaan Negeri sebelum ini tidak bersetuju dengan pembinaan Langat 2, dan mahu ia dirunding bersama dengan rancangan penstrukturan semula industri air Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

harakahdaily/-

Sultan Johor Murka, Kementerian Pertahanan Hilang Wibawa

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 12 SEPT : Kementerian Pertahanan semakin hilang wibawa berikutan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail menggenai bekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata teguran Sultan Johor itu adalah serius dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak harus lepas tangan dan mesti bertanggungjawab sepenuhnya.

“Apa dah jadi dengan Kementerian Pertahanan di negara ini? Sepatutnya ia menjadi sebuah kementerian yang berwibawa kerana di bawahnya menentukan keselamatan negara.

“Kemurkaan Sultan Johor dikatakan kerana harganya mahal tetapi kelengkapan dibekalkan tidak bermutu. Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang dianugerahkan Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual pihak pembekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris berkata, pembangkang selama ini kerap membuat teguran tetapi sering dibakulsampahkan.

Tambahnya, tabiat buruk kerajaan diterajui Umno-BN itu bukan perkara baru malah sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran negara.

“Jika kita imbas kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana kementerian ini boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer. Ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu membuat tuntutan perjalanan RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku itu memang pelik tetapi ada benarnya.

Sebelum ini, negara pernah kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Jika enjin sebesar itu boleh hilang dijual ke luar negara maka sudah tentu wang yang lebih kecil lebih senang hilang,” ujarnya.

Media baru-baru ini melaporkan kemurkaan Sultan Johor atas apa yang berlaku dan bertitah Kementerian Pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

“Dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, suka saya ingatkan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Tidak dinafikan ramai bekas Jeneral dan pegawai tentera yang bersara menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal peralatan ketenteraan.

“Namun suka saya ingatkan, janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga berlipat kali ganda,” titahnya.

Baginda yang juga Kolonel Komandan pasukan elit Rejimen Gerak Khas bertitah demikian semasa majlis ulang tahun ke-47 pasukan itu di Kem Iskandar, Mersing, Johor.

selangorku/-

Jemaah Haji Boleh Periksa Status Perjalanan Barang Secara Online

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Berhad bagi penghantaran barang dari Makkah dan Madinah boleh memeriksa status terkini perjalanan barang mereka secara online.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata sistem jejak dan kesan Malaysia itu, pertama kali digunakan dan ia akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"Jemaah haji akan diberi nombor rujukan dan mereka boleh memeriksa lokasi terkini penghantaran barang mereka menerusi laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat perkhidmatan bagasi haji Pos Malaysia di sini Rabu.

Beliau berkata tiada had bagi jumlah penghantaran barang tetapi setiap barang perlu mematuhi berat maksimum yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 30 kilogram.

Caj penghantaran barang jemaah haji ke Semenanjung Malaysia ialah RM14 sekilogram dan RM19 ke Sabah dan Sarawak.

Air zam zam pula dikenakan caj RM115 bagi botol seberat 10 liter ke Semenanjung dan RM135 ke Sabah dan Sarawak.

Mohd Shukrie berkata jemaah haji boleh membuat pembayaran secara tunai di kaunter Pos Malaysia di Makkah dan Madinah atau pembayaran ketika menerima barang di tanah air selain bayaran melalui potongan akaun Tabung Haji.

"Semua barang dijamin akan dihantar ke destinasi masing-masing dalam tempoh 3-14 hari bekerja selepas tarikh ketibaan barang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

"Jemaah haji boleh menginsuranskan barang sehingga nilai maksimum perlindungan RM4,500 bagi setiap konsainan pada kadar premium seminimum 6 Riyal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pos Malaysia menggerakkan seramai 30 petugasnya di Makkah dan Madinah bagi menguruskan proses kiriman barang jemaah haji pada musim ini.

Pos Malaysia juga dijangka akan mengendali kira-kira 200 tan barang jemaah haji termasuk bagasi, bungkusan dan air zam zam musim ini berbanding 150 tan tahun lepas, katanya.

Maklumat lanjut mengenai pengendalian barang jemaah boleh didapati di talian PosLine 1-300-300-300 atau menerusi e-mel di PosLaju.- BERNAMA

Calon PRU13: Pas Pahang serah kepada Presiden parti

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Walau siapa calon yang diputuskan oleh kepimpinan Pas, sokongan padu akan diberikan oleh jentera parti peringat negeri bagi memastikan kemenangan di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, senarai nama calon bagi negeri itu sudah dihantar tetapi keputusan sebenar belum diumumkan.

Menurutnya, dalam setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) terdapat satu atau dua nama termasuk calon wanita dihantar tetapi terserah kepada pihak kepimpinan untuk memutuskannya.

“Memang banyak nama yang dihantar termasuk calon wanita tetapi kita tidak dapat memberi jaminan siapa akan dipilih.

“Kita memberi sokongan kepada semua calon yang dipilih oleh presiden dan akan membuat kerja tanpa rasa bimbang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian Online dan Sinar Harian semalam mengenai 95 peratus nama calon sudah diperkenankan Majlis Syura Pas.

Sementara itu, mengulas mengenai calon muka baru, Tuan Ibrahim berkata, di Pahang tiada masalah tentang pemilihan calon sama ada baru atau yang lama.

“Boleh dikatakan sebanyak 40 peratus calon di Pahang adalah muka baru dan kita tidak berdepan sebarang masalah mengenai pemilihan calon.

“Masalah calon tidak menjadi rebutan dan sebagai jentera kita akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pas,” katanya.

Tunang lari ikut janda

25 Syawal 1433H. [MOD] -

HILANG...Zainab menunjukkan gambar Harun dan tunangnya.

KANGAR: Seorang ibu langsung tidak menyangka bahawa kata-kata anak bongsunya agar tidak mengedarkan kad perkahwinan dengan pasangannya, Nur Mazera Mansor, 22, sebenarnya membawa makna dia ingin melarikan diri.

Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan, Harun Aris, 24, yang membantu perniagaan keluarganya dikatakan menghilangkan diri bersama seorang wanita berstatus janda berusia 40-an yang baru dikenalinya sejak sebulan lalu.

Ibunya, Zainab Arop, 59, berkata biarpun Harun bersikap agak pelik sebelum menghilangkan diri, dia dan suaminya tidak menyangka tindakan anak mereka itu.

metro/-

38 janji bina sekolah dicapati Umno BN

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Janji di tepati BN... kahkahkah Najib cakap kalau beri mandat PRU13 nanti baru sekolah ini akan di siapkan.. ha ha ha

BN telah memperjudikan masa depan negeri apabila 38 buah sekolah tidak dapat disiapkan di Sabah pada RMK-9.

Rakyat Sabah harus sedar dan melakukan perubahan demi masa depan generasi akan datang.

Takungan 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

25 Syawal 1433H. [MOD] -

RUANG dalam takungan kuno berusia 3,000 tahun yang ditemui di Baitulmuqaddis.

BAITULMUQADDIS - Beberapa pakar arkeologi menemui sebuah takungan air kuno di sini yang digunakan oleh jemaah semasa ke kota suci bangsa Yahudi, Temple Mount atau dikenali sebagai Haram Ash-Sharif oleh orang Islam.

Akhbar MailOnline melaporkan bahawa takungan yang dinamakan cistern itu boleh menyimpan sebanyak 250 kubik meter air.

Tempat simpanan air itu dipercayai dibina pada era Tempat Ibadat Pertama sekitar 3,000 tahun dahulu.

Menurut kitab Bangsa Yahudi, Tempat Ibadat Pertama dibina oleh Nabi Sulaiman pada kurun ke-10 sebelum masihi (S.M.) sebelum dimusnahkan 400 tahun kemudian.

"Penemuan ini menjelaskan bahawa sumber air pada era Tempat Ibadat Pertama bukan sahaja bergantung kepada mata air tempatan tetapi juga takungan awam," kata ketua ahli arkeologi Pihak Berkuasa Alam Semulajadi dan Taman Israel, Tvika Tsuk.

Menurutnya, tapak Tempat Ibadat Pertama yang dibina oleh Nabi Sulaiman kini berada di bawah Dome of the Rock atau Masjid Kubah Emas di sini. - Agensi

Pelajar Ini Dinafikan Hak Untuk Ambil UPSR, Muhyiddin Perlu Bertanggungjawab

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Rawang - Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.

Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

"Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.

Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.

Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.

"Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.

"Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR," tegasnya.

Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.

Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut. -kosmo

Perbicaraan kes NFC ditunda lagi

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dijadualkan pada 18 September ini bakal ditunda lagi.

Rafizi menjelaskan pihaknya telah menerima surat dari peguam bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, Shafie Abdullah yang meminta kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.

"Peguam saya telah menerima surat dari pihak Sharizat meminta kes tersebut ditunda kepada satu tarikh yang lain dan tarikh baru itu belum saya perolehi.

"Namun apa yang saya rasakan penundaan kes tersebut dilakukan adalah mempunyai hubungkait dengan apa yang telah berlaku pada Shahrizat ketika beliau disoal oleh barisan peguam kita di makhamah tempoh hari," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kuala Pilah di Seremban semalam.

Shahrizat ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh ketika perbicaraan sebelum ini berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007 yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.

Menurut Rafizi, jawapan Shahrizat itu mungkin mendapat kecaman dalaman Umno yang menunjukkan kepincangan kredibiliti beliau sebagai menteri sebelum ini serta Ketua Wanita Umno.

"Imej Umno telah rosak kerana jawapan yang diberikan olehnya di mahkamah, malah rakyat sudah hilang keyakinan terhadapan kes tersebut serta peranan Umno dalam membantu rakyat.

"Mungkin atas sebab itulah barisan pimpinan Umno mengambil tindakan mengecam beliau yang langsung tidak menunjukkan ketokohan beliau sebagai orang penting dalam Umno," ucapnya di hadapan kira-kira 500 penyokong PKR.

Shahrizat sebelum ini telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek kontroversi NFC.

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera sebelum ini menetapkan 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif, Ranjit Singh.

Bagaimanapun peguam mewakili Shahrizat didakwa telah menghantar surat agar ianya ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah.

HARAKAHDAILY/-

Pemuda PAS Johor desak siasat kematian Chandran

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Johor mendesak pihak kerajaan membuat siasatan terhadap punca kematian Chandran a/l Perumal berdasarkan beberapa keraguan yang telah berlaku.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat (gambar) membuat gesaan itu sebagai respons terhadap kematian Chandran semasa dalam lokap polis Dang Wangi pada 10 September lalu dan mayatnya telah sampai ke Simpang Renggam, Johor pada jam 9 malam 11 September.

Katanya, punca kematian seperti yang tercatat dalam daftar kematian adalah darah tinggi (hypertension heart disease) tetapi pihak Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad menyatakan punca kematian adalah sakit jantung.

“Terdapat percanggahan punca kematian Chandran,” ujar Suhaizan dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya keluarga simati tidak berpuashati dengan kematian ahli keluarga mereka kerana isteri simati telah memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis bahawa suami beliau mengidapi penyakit darah tinggi dan perlukan mengambil ubat setiap hari.

Pihak polis menyatakan bahawa semua urusan dalam lokap di bawah pengawasannya. Malangnya Chandran didapati meninggal dunia dalam lokap polis.

Adik simati Gunalan a/k Perumal mewakili pihak keluarga telah membuat satu laporan polis pada 11 September 2012, lebih kurang jam 11 malam di Balai Polis Simpang Renggam, Johor.


Terdapat juga percanggahan waktu kematian Cahandran di mana keluarga dimaklumkan kematian beliau pada jam 10 malam sedangkan dalam daftar kematian dicatatkan kematiannya pada jam 11.55 malam, 10 September 2012.

Persoalannya, kata Suhaizan mengapa pihak polis telah memaklumkan kematiannya sedangkan mengikut daftar kematian, Chandran belum meninggal dunia pada waktu tersebut.

Beliau berkata, menurut adik simati Gunalan a/l Perumal terdapat luka di dahi dan rusuk Chandran dan keluarga tidak mengetahui dengan jelas punca luka-luka tersebut berlaku.

Menurutnya, Chandran yang merupakan seorang pemandu lori meninggalkan seorang balu dan enam orang anak-anak yang masih kecil.

“Keluarganya telah kehilangan mata pencarian dan memerlukan bantuan kewangan. Rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita membantu keluarganya,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Lagi laporan hina pemimpin PR

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA NERANG - Pemuda Pas Padang Terap membuat satu laporan polis berhubung sekeping gambar yang disebarkan di Internet, mempamerkan aksi dua pemuda sedang melalukan perbuatan tidak senonoh pada gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicetak pada kain rentang.

Laporan polis itu dibuat Ah;i Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Pusat, Azman Shafawi Abdul Rani di Balai Polis Kuala Nerang, pagi semalam.

Mohd Nasir berkata, laporan polis itu dibuat ekoran tindakan melampau yang juga suatu penghinaan terhadap pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya kesal terhadap insiden yang berlaku, perlakuan tidak senonoh pada gambar pemimpin adalah satu perbuatan yang keji,” katanya.

Menurutnya, perbuatan tidak bermoral itu bukan ajaran Islam dan pihak berkuasa perlu bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya harap polis akan bertindak secara profesional dengan tidak membuat siasatan secara terpilih untuk kes-kes tertentu sahaja,” katanya.

Azman Shafawi berkata, walaupun berlainan ideologi politik adalah biadab dan kurang ajar.

“Kami menuntut pihak polis mengotakan janji bahawa polis akan bertindak sekiranya ada laporan. Sebelum ini polis menyatakan tindakan diambil terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terdapat laporan,” katanya.

sinar harian/-

Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran.

Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan.

Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut.

"Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi berita Saba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan.

Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP