12 September 2012

Perbicaraan kes NFC ditunda lagi

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dijadualkan pada 18 September ini bakal ditunda lagi.

Rafizi menjelaskan pihaknya telah menerima surat dari peguam bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, Shafie Abdullah yang meminta kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.

"Peguam saya telah menerima surat dari pihak Sharizat meminta kes tersebut ditunda kepada satu tarikh yang lain dan tarikh baru itu belum saya perolehi.

"Namun apa yang saya rasakan penundaan kes tersebut dilakukan adalah mempunyai hubungkait dengan apa yang telah berlaku pada Shahrizat ketika beliau disoal oleh barisan peguam kita di makhamah tempoh hari," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kuala Pilah di Seremban semalam.

Shahrizat ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh ketika perbicaraan sebelum ini berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007 yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.

Menurut Rafizi, jawapan Shahrizat itu mungkin mendapat kecaman dalaman Umno yang menunjukkan kepincangan kredibiliti beliau sebagai menteri sebelum ini serta Ketua Wanita Umno.

"Imej Umno telah rosak kerana jawapan yang diberikan olehnya di mahkamah, malah rakyat sudah hilang keyakinan terhadapan kes tersebut serta peranan Umno dalam membantu rakyat.

"Mungkin atas sebab itulah barisan pimpinan Umno mengambil tindakan mengecam beliau yang langsung tidak menunjukkan ketokohan beliau sebagai orang penting dalam Umno," ucapnya di hadapan kira-kira 500 penyokong PKR.

Shahrizat sebelum ini telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek kontroversi NFC.

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera sebelum ini menetapkan 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif, Ranjit Singh.

Bagaimanapun peguam mewakili Shahrizat didakwa telah menghantar surat agar ianya ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: