12 September 2012

Langat 2: S’gor ada kuasa, MB beri peringatan awal

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengeluarkan peringatan kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai pembinaan loji rawatan air Langat 2 bahawa projek tersebut masih tidak mendapat kelulusan Selangor.

Oleh itu, pemaju, kontraktor, perunding dan sesiapa yang mengambil bahagian di dalam projek tersebut diingatkan supaya tidak menyalahkan kerajaan negeri apabila perlaksanaan projek itu tergugat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri masih mempunyai kuasa berhubung perlaksanaan projek tersebut walaupun Kerajaan Pusat mahu meneruskannya.

Kuasa Kerajaan Negeri antaranya meliputi kelulusan merancang dan memasuki tapak projek.

“Kita ingin mengingatkan kepada pemaju, kontraktor mahupun Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab sepertimana yang dijamin Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara.

“Kerajaan Negeri juga ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri akan menjaga tanggungjawab ini,” jelasnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco semalam.

Peringatan itu dibuat susulan penyiaran iklan tender Langat 2 di laman web Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) semalam.

Tender tersebut dikeluarkan walaupun projek tersebut masih tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan undang-undang bagi menjelaskan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai projek ini.

“Mereka perlu sedar dan jelas tentang tanggungjawab dan tanggungan mereka akan beberapa perkara apabila berurusan atau berhadapan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata sesiapa yang menyertai projek tersebut harus berdepan dengan risiko akibat dari percanggahan pendirian Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Andaikata mereka masih ingin menyertai tender, kemudian menang ‘bidding’ namun perlaksanaan tertunggak, jangan datang saman (Kerajaan Negeri).

“Kerana kita sudah memberi penjelasan dan peringatan berkenaan perkara ini,” tegas beliau ketika ditemui.

Kerajaan Negeri sebelum ini tidak bersetuju dengan pembinaan Langat 2, dan mahu ia dirunding bersama dengan rancangan penstrukturan semula industri air Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: