15 Oktober 2012

Shura Saudi sedia terima ahli wanita

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - RIYADH: Sumber peringkat tinggi Majlis Syura Saudi memberitahu Asharq Al-Awsat bahawa prosedur pentadbiran dan sokongan logistik yang diperlukan untuk wanita menyertai Majlis Shura sesi seterusnya akan disiapkan tidak lama lagi. Menurut sumber, jawatankuasa berkenaan sedang membuat persiapan untuk menyerahkan laporan mengenai penerimaan wanita sebagai ahli, dan telah memperuntukkan kawasan-kawasan tertentu dalam bangunan Majlis Shura, supaya ahli-ahli wanita dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa. Sumber juga mendedahkan bahawa selain ahli Shura, tenaga kerja wanita yang akan dilantik di Majlis Shura termasuk; setiausaha, pentadbir, perhubungan awam, pembantu penyelidikan, di samping penasihat wanita. Pelaksanaan oleh Majlis Syura ini adalah selaras dengan dekri diraja yang dikeluarkan awal tahun ini oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdulaziz yang membenarkan penyertaan wanita di Majlis Syura dan majlis perbandaran, serta hak mengundi yang sama. Panggilan untuk membuka penyertaan Majlis Syura Saudi kepada wanita mengundang pelbagai reaksi sokongan dan penolakan. Penyokong dekri percaya bahawa ia akan memberi wanita Saudi suara yang lebih kuat untuk menyampaikan isu-isu berkaitan mereka tanpa sebarang halangan. Harakah Daily

Buih tidak dikenal pasti di persisiran Sungai Kapal

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - PENGERANG: Pada pagi semalam, penduduk di Sungai Kapal, Pengerang telah mendapati buih putih yang tidak dapat dikenali di kawasan penambakan Dialog Group. Lebih kurang pukul 10 pagi, Bendahari Gabungan NGO Pengerang, Chua Peng San telah membuat pemerhatian di tepi pantai Tokong Soon Chin Kong, Tanjung Sungai Kapal, dan mendapati bahan terapung itu mempunyai keluasan yang agar besar, berwarna kuning, tidak berbau, pada masa sama ketumpatan buih adalah besar, tetapi adalah berlainan daripada buih detergen. Mengikut pemerhatian, sumber buih itu adalah dari kawasan penambakan. Chua juga berkesempatan membuat persempelan terhadap buih tersebut. Setakat tengah hari, sebahagian besar buih telah terdampar ke tepi pantai Tanjung Sungai Kapal sehingga ke Tanjung Datuk, pantai sejauh satu kilometer telah dicemar. Kejadian aneh berlaku berturut-turut sejak kebelakangan ini, bermula dengan bau gas yang aneh, kematian kucing, anjing dan ikan, dan kini buih yang tidak dikenal pasti terapung di lautan, menimbulkan kemarahan dan kebimbangan penduduk Sungai Kapal. Gabungan NGO bertanya berkenaan pendapat penduduk Melayu di tempat kejadian, beliau menjawab: “jika pembangunan membawa kesan sebegini, apakah kebaikan yang penduduk dapat”. Sebahagian besar penduduk telah tidak puas hati terhadap tiadanya penjelasan berkenaan kejadian yang aneh berturut-turut itu. Gabungan NGO Pengerang menyeru supaya pihak berkuasa mengemukakan hasil penyiasatan berkenaan pencemaran yang berlaku. “Jika pihak berkuasa tidak memberi sebarang balasan, gabungan akan melalui Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa membangkitkan satu usul di bawah Perkara 18, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, meminta perbahasan tergempar berkenaan kejadian itu,” kata Peng San dalam satu kenyataan. Harakah Daily

Ketua Pemuda PAS ziarah imam Hoslan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan meluangkan masa menziarahi Imam Hoslan di kediamannya di PPR Cochrane, di sini. Nasruddin yang hadir bersama exconya, Zamri As'ad Khuzaimi turut menyampaikan sumbangan khas dari Dewan Pemuda PAS Malaysia kepada Hoslan sekeluarga. Hoslan dibebaskan khamis lalu iaitu lebih awal dari tempoh setahun hukuman penjara atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakannya membaling selipar kepada panel hakim. Beliau kini menjalani perintah parol selama sebulan dan sedang dalam pemantauan pihak berkuasa. Sewaktu ketibaan rombongan pemuda PAS, Hoslan tidak dapat menahan sebak lalu terus bersalaman dan memeluk erat Nasrudin. Beliau juag turut melahirkan rasa gembira dan terharu dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS itu. Dalam pertemuan itu imam Hoslan turut menceritakan bagaimana beliau sempat mengajarkan syahadah dan berdakwah kepada penghuni-penghuni penjara, selain sering kali mengimamkan solat jamaah bersama mereka. Beliau menganggap ujian dan cabaran yang beliau lalui sebelum ini sebagai satu hikmah dalam kehidupan beliau dan bertekad akan terus berjuang untuk Islam selepas ini. Beliau turut menyampaikan salam dan terima kasih beliau kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Turut bersama meraikan pembebasan beliau adalah AJK PAS Kawasan, Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan. Harakah Daily

Pendakwaraya kekal selepas perjanjian dengan Morsi

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KAHERAH: Pendakwaraya Mesir, Abdel Meguid Mahmud dan Presiden Mohamed Morsi bersetuju Sabtu lalu bahawa Mahmud akan kekal sebagai pendakwaraya, menamatkan krisis keengganan Mahmud untuk berhenti selepas dipecat, ujar pembantu Mahmud. Televisyen Mesir melaporkan bahawa kedua-dua pihak bertemu dan memeterai perjanjian bahawa "pendakwaraya akan kekal dalam jawatannya," kata Timbalan pendakwaraya, Adel Said, dan menyatakan "salah faham atas pencalonan Mahmud sebagai duta ke Vatican." Morsi pada Khamis lalu memecat Mahmud, dan melantik beliau sebagai duta ke Vatican, tetapi Mahmud enggan meletakkan jawatan dan berkata: "Saya kekal dalam jawatan saya. Menurut undang-undang, pihak di badan kehakiman tidak boleh dipecat oleh pihak eksekutif." Morsi cuba untuk memecat Mahmud selepas pembebasan pegawai di zaman Hosni Mubarak dalam perbicaraan minggu ini atas dakwaan serangan maut ke atas penunjuk perasaan semasa pemberontakan 2011. Keputusan mahkamah itu mencetuskan protes Jumaat lalu apabila penyokong Morsi bertempur dengan lawannya di Dataran Tahrir. Kementerian Kesihatan berkata 110 orang tercedera dalam kejadian itu. Aktivis yang memainkan peranan utama dalam protes anti-Mubarak tahun lepas mengatakan bahawa Mahmud bertanggungjawab menyediakan "bukti yang lemah" oleh pihak pendakwaan dalam kes itu dan merupakan orang setia kepada rejim lama. Mahmud Jumaat lalu berkata bahawa dia telah menerima ancaman secara langsung dan tidak langsung daripada seorang hakim kanan dan sekutu Morsi yang memberitahunya dia boleh diserang jika dia tidak berundur. Pertelingkahan antara Mahmud dan Morsi menonjolkan perpecahan yang mendalam antara presiden dan badan kehakiman, yang menuduh pemimpin Islam tersebut cuba untuk mengurangkan kuasa mereka. Mubarak dan Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dipenjara seumur hidup untuk peranan mereka dalam mengarahkan pembunuhan, tetapi aktivis marah kerana enam ketua keselamatan yang menghadapai perbicaraan dengan mereka telah dibebaskan. Morsi berikrar untuk membicarakan semula Mubarak dan pegawai-pegawai kanan beliau atas peranan mereka dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan, di tengah-tengah kritikan bahawa perbicaraan itu telah diaturkan oleh pejabat pendakwa raya Mesir. Harakah Daily

14 Oktober 2012

8 maut, 13 cedera letupan bom berdekatan Damascus

28 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


BEIRUT: Letupan bom kereta berdekatan ibu negara Syria, semalam mengakibatkan lapan terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita, demikian menurut kumpulan pemerhati di sini, hari ini. 

"Lapan orang awam termasuk seorang kanak-kanak perempuan dan dua wanita antara yang terbunuh, manakala 13 yang lain cedera parah susulan daripada letupan bom membabit sebuah kereta di Al-Nabak, iaitu jalan yang menghubungkan Damascus ke Homs," kata Pengarah Kumpulan Pemantauan Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman. 


Beliau berkata, letupan itu disasarkan kepada kumpulan penunjuk perasaan anti-rejim Syria. - AFP 

PGU5.0 Di Jabi Umpama Suasana Ambang Kemenangan 1999

28 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
http://buletinonline.net

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita6/ceramah%20kesyukuran.jpg

SETIU - Kejayaan penganjuran program berprestij Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno Kali Ke-5 (PGU5.0) di pekan Jabi pada 5 dan 6 Oktober lalu, mengundang banyak kesan positif terutamanya kepada para petugas PAS di DUN Jabi.


Pengerusi Majlis Tindakan DUN tersebut, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak yakin dapat menganjurkan program sebesar itu apabila DUN Jabi diamanahkan sebagai tuan rumah bagi PGU5.0.



"kita rasa kita tidak ada keupayaan, dengan nipisnya kewangan dalam poket kita, kita berasa kita tak mampu nak menganjurkan program sebesar ini,



"ditambah dengan keadaan geografi kawasan Setiu yang luas (bermakna) 99% (tenaga kerja) DUN Jabi terpaksa turun, namun keazaman kita, kita cuba tampilkan penganjuran PGU yang terbaik,"ujarnya.



Beliau berkata demikian dalam Majlis Ceramah Kesyukuran PGU5.0 yang diadakan di Dataran PGU, pada Jumaat 12 Oktober.



Menurutnya, kejayaan PGU5.0 adalah hasil pengorbanan para petugas yang bertungkus lumus siang dan malam, bahkan ada petugas keselamatan yang tidak balik tidur di rumah sejak 28 September lagi.



Beliau yang juga meruapakan Pengarah Persiapan PGU5.0 berkata, kesan yang paling ketara, hasil penganjuran program besar PGU itu adalah dapat menggerakkan tenaga petugas DUN Jabi.



Katanya beliau telah diberitahu oleh seorang petugas 'orang lama' DUN Jabi bahawa suasana para petugas keluar untuk membantu kerja-kerja persiapan umpama sewaktu di ambang kemenangan PAS pada pilihanraya umum tahun 1999.



"Ada seorang tua datang berjumpa..... dia berkata.... dia tengok suasana orang (para petugaas) keluar (membantu) kerja, serupa dengan (suasana) masa kita (PAS) nak menang pada tahun 1999,"katanya.



Beliau berkata, kesepakatan tenaga petugas DUN Jabi bagi menjayakan program PGU5.0 turut menerima respon dari musuh PAS, Umno, kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan bagi memastikan PGU5.0 berjaya dianjurkan.



Turut berucap dalam majlis tersebut adalah timbalan Pesuruhjaya 2 Haji Muhyiddin Abdul rashid dan ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim.

Mursi kekalkan jawatan ketua Pendakwa raya

28 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KAHERAH 14 Okt. - Presiden Mesir, Mohammed Mursi semalam bersetuju untuk mengekalkan kedudukan Abdel Meguid Mahmud sebagai Ketua Pendakwa raya negara ini selepas memecatnya Khamis lalu.

Persetujuan itu sekali gus menamatkan konflik antara mereka yang membangkitkan kemarahan ramai hakim.
Mursi sebelum ini membuat keputusan melantik Abdel Meguid sebagai duta Mesir ke Vatican dan ia ditentang Mahmud yang berkeras untuk tidak mengosongkan jawatannya.

Timbalan Pendakwa raya Mesir, Adel Said menyifatkan kejadian itu adalah disebabkan salah faham ekoran pelantikan Abdel Meguid sebagai duta Mesir di Vatican. - DPA/AFP

Anak bekas Presiden Kyrgyzstan ditahan tuduhan penipuan

28 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


LONDON 14 Okt. - Anak kepada bekas Presiden Kyrgyzstan telah ditahan di Britain atas satu tuduhan penipuan di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa di sini, semalam.

Maksim Bakiyev, 34, ditahan oleh pegawai Scotland Yard, kelmarin ekoran satu permintaan ekstradisi oleh AS.

Menurut polis, Bakiyev secara sukarela menyerah diri di sebuah balai polis di London setelah didakwa terbabit dalam satu skim haram bagi menjual minyak kepada pangkalan udara AS di Kyrgyzstan. - DPA


12 Oktober 2012

Lelaki bakar diri untuk tuntut pampasan di Albania

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
TIRANA, Albania - Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan ketika era pemerintahan komunis, Lirjak Beko membakar tubuhnya di sini pada Isnin lalu.

Beko, 47, mencurahkan minyak petrol ke arah seluar, baju dan tubuhnya sebelum dia menyalakan api.
Beberapa anggota polis dan rakannya kemudian berusaha memadamkan api pada tubuhnya dengan menggunakan sehelai selimut.

Menurut doktor, muka, kaki dan tangannya melecur dan dia berada dalam keadaan kritikal.
Beko melakukan perbuatan itu bagi menuntut pampasan daripada pemerintah selepas dia dipenjarakan pada era pemerintahan komunis.

Albania diperintah komunis dari 1940 hingga 1990.
Sebelum ini seorang lagi tahanan politik, Gjergj Ndreca turut membakar dirinya bagi menuntut pampasan itu. 

- Agensi

Jam Besar Taman Bulatan Masih Tidak Berfungsi

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
Kita ingin tahu mengapa jam besar di Taman Bulatan masih tidak
berfungsi sepenuhnya. Sedangkan kos pembinaan menara termasuk jam
besar tersebut bernilai jutaan ringgit tetapi hanya dilihat sebagai
‘gajah putih’.

Kita sebagai pembayar cukai juga ingin tahu adakah kos memperbaiki jam
tersebut terlalu tinggi sehingga menyebabkan pihak MBM (Majlis
Bandaraya Miri) tidak mampu memperbaiki jam besar tersebut.

Kepada sesiapa yang berkenaan terutama sekali pihak MBM harus
bertindak segera mengatasi masalah aduan dari orang ramai ini.

Laporan kami mengenai perkara tersebut diatas masih belum dapat
diselesaikan sehingga ke hari ini. Kami berharap pihak MBM perlu
melakukan sesuatu untuk memperbaiki jam besar tersebut secepat
mungkin.

Kami masih menerima aduan daripada orang ramai memberitahu pihak kami
bahawa jam besar adalah suatu pembaziran kepada wang pembayar cukai
Jika ia tidak berfungsi dengan baik.

Kita harap perkara ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak MCC
untuk tindakan segera.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat kita hargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Lubang 'puaka' tunggu mangsa

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


PASIR GUDANG – Rata-rata pengguna jalan raya di Jalan 11 ½ Jalan Masai Lama, di sini menggelarkan lubang seperti kawah di tengah jalan sebagai lubang 'puaka' kerana kerap mengundang kemalangan.




Seorang pengadu, Mohd Latif Mohamad, 32, berkata, jalan itu kerap digunakan pekerja industri yang menghubungkan Lebuh Raya Pasir Gudang ke kawasan perindustrian Plentong.

Menurutnya, lubang yang pada awalnya kecil semakin besar dan dalam selepas dibiarkan lebih enam bulan tanpa tindakan membaik pulih  di jalan berkenaan.
“Ramai yang menjadi mangsa angkara lubang ini kerana kedudukannya di tengah-tengah jalan sehingga banyak kenderaan yang mengalami kerosakan.
“Saya sendiri tercedera selepas motosikal yang ditunggang gagal mengelak lubang ini sehingga terlibat kemalangan, malah ada peristiwa yang hampir meragut nyawa penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohd Latif berkata, keadaan bertambah bahaya pada waktu malam kerana sepanjang laluan dari kawasan perindustrian Plentong ke Lebuh Raya Pasir Gudang itu gelap tanpa diterangi cahaya lampu jalan.
Menurutnya, dalam kebimbangan pekerja industri memikirkan keselamatan melalui jalan gelap berkenaan, masih ramai yang tersungkur ke dalam lubang itu sekiranya tidak berhati-hati.
“Ada yang menjadi mangsa pada musim hujan kerana limpahan air hujan ke permukaan lubang di tengah jalan itu membuatkan pengguna jalan raya tidak nampak keadaan itu
“Kita minta jasa baik pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera dengan menurap semula jalan berkenaan kerana kita tidak mahu ada yang terkorban akibat lubang yang semakin besar itu,” katanya.
sinar/-

Filem sekarang kurang mendidik masyarakat - Sarimah

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN 12 Okt. - Skop filem tempatan kini semakin sempit kerana penggiat industri lebih menumpukan kepada "box office" berbanding usaha mendidik masyarakat, kata Seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

Beliau berkata sesebuah filem sepatutnya dapat dijadikan teladan oleh masyarakat, seperti yang diusahakan penerbit era dahulu terutama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

"Filem yang dapat beri pengajaran kepada orang kita semakin kurang titik beratkan. Dah tiba masanya kita ubah perkara ini untuk tingkat kualiti kehidupan dan banyak belajar dari filem yang baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Bual Bicara Bersama Seniwati Datuk Sarimah Ahmad Dalam Filem Tan Sri P. Ramlee anjuran Persatuan Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Persatuan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang di sini.

Beliau menyifatkan P. Ramlee sebagai insan yang sentiasa memandang ke hadapan serta mempunyai firasat tinggi kerana ada antara jalan cerita dalam filemnya benra-benar berlaku pada zaman ini.

"Beliau insan istimewa banyak perkara yang dia cakap akan berlaku. Sumbangannya paling bermakna adalah akronim pawagam yang pada asalnya adalah panggung wayang gambar. Itu beliau sendiri yang cipta sampai sekarang kita guna," katanya. - BERNAMA


Rugi tidak berdakwah di pentas PAS - Aishah

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



KOTA BHARU: Personaliti yang berhijrah, Wan Aishah Wan Ariffin (gambar) meluahkan rasa rugi sekiranya tidak menggunakan peluang untuk berdakwah di pentas PAS bagi mendekatkan masyarakat dengan agama.

“Ada orang tanya kepada saya mengapa tidak berdakwah sahaja dan bukan terbabit dalam politik kalau betul-betul hendak menjadi pendakwah.

“Saya beritahu kalau berdakwah sahaja tanpa ada kuasa politik tentunya suruhan agama tidak dapat dilaksanakan  dengan lebih berkesan.

“Jadi tidak salah PAS menggunakan artis yang berhijrah untuk menarik minat orang ramai yang berbagai. Saya juga guna bakat dan kebolehan yang ada untuk menarik masyarakat datang mendengar ceramah," katanya pada ceramah di Dataran Safa Marwah di sini malam tadi.

Program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri itu turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi, Ketua Muslimat Kota Bharu, Rohani Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Azariza Mohd Alawi.

Sebahagian besar yang memenuhi dataran yang menjadi tempar parkir bas pelancong adalah kalangan muslimat. Esok Aishah dijangka hadir pada program tertutup hanya untuk muslimat di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Sekali sekala kedengaran sorakan anak muda yang asyik menonton perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala Malaysia antara ATM dan Lions di kedai berdekatan.

Wan Aishah yang susur galur sebelah nenek lelaki yang berasal dari Bunut Payong Kota Bharu memberitahu sejak terbabit dengan PAS, beliau terus dihalang mencari rezeki seperti dilakukan sebelum ini biar pun ada kelayakan.

“Seolah-olah mereka bertanya sekarang awak sokong pihak mana dan bukannya memberi pertimbangan kepada kelayakan yang ada pada seseorang.

“Saya percaya orang Melayu kekal tidak berubah biar pun negara sudah 55 tahun merdeka selagi masih diberi peluang Umno menerajui negara. Jadi sekarang kita perlu lakukan perubahan segera,” katanya.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang apabila kerajaan Malaysia membenarkan kapal pengangkut ketenteraan Amerika Syarikat berlabuh di Pelabuhan Klang.

Katanya, kemungkinan boleh berlaku sesuatu yang menjadi rahsia cuba disembunyikan kerajaan Malaysia ketika melihat gelombang kebangkitan rakyat sekarang.

harakahdaily/-

Bom motosikal meletup di pasar Pakistan, 9 maut

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
QUETTA 12 Okt. - Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan terbunuh manakala 22 lagi cedera apabila sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal diletupkan di wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan, semalam.

Pegawai polis tempatan, Qazi Hussain Ahmad berkata, bom tersebut dipercayai diletupkan menggunakan alat kawalan jauh berdekatan sebuah pasar di Sibi, kira-kira 180 kilometer di tenggara Quetta.

“Sembilan orang maut dan 22 lagi cedera, namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbabit," katanya. - AFP


Tahaluf Siyasi PAS Bersama Pakatan Rakyat

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

 Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut , walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.

 Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.

Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS