03 Januari 2013

Selepas 40 tahun, akhirnya nenek dapat IC baru

20 Safar 1433H. [MOD] -
 
Penantian seorang nenek sejak lebih 40 tahun untuk memiliki kad pengenalan baru berakhir, apabila Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah Mohammad Pauzi Abdullah turun padang menyerahkan sendiri dokumen itu kepadanya semalam.
  
Bashah Abdullah, 82, ketika ditemui di rumahnya di kampung Pengkalan Bujang, Bedong, dekat sini, berkata beliau begitu gembira kerana hasratnya untuk memiliki kad pengenalan baharu akhirnya termakbul.
  
"Nenek memang rasa seronok sangat, sudah lama nenek tunggu untuk dapat kad pengenalan, bila dapat Alhamdulillah. Terima kasih juga kepada mereka yang banyak bantu nenek sampai perkara ini selesai.
  
"Bila ada kad pengenalan ini, senang nak pi (pergi) mana-mana pun tidak risau. Nak mengundi tahun ini pun boleh, kalau dipanjangkan usia," katanya yang mengadakan kenduri kesyukuran semalam.
  
Difahamkan, warga emas yang memiliki dua anak, lima cucu dan lapan cicit itu memohon untuk menukar kad pengenalan lamanya sekitar tahun 1970-an, namun terdapat masalah teknikal menyebabkan permohonannya lewat diproses.

Ketika mengulas perkara itu, Mohammad Pauzi berkata selepas menerima maklumat mengenai kesulitan yang dialami Bashah, pihaknya menjalankan siasatan dan tindakan segera dilakukan bagi membolehkan warga emas itu mendapat MyKad.

"Permohonannya kita proses pada Ahad lalu dan terus dihantar ke Putrajaya pada hari sama dan dari ini, kita turun padang untuk menyerahkannya sebagai hadiah tahun baru.
  
"Sebenarnya, kelewatan ini berpunca daripada masalah teknikal disebabkan proses permohonan kad pengenalan pada tahun 90-an, dibuat secara manual, justeru bila dimaklumkan mengenai masalah ini, kita menyemak kembali permohonan lama dan memproses semula," katanya.
  
Mohammad Pauzi turut menyarankan agar anggota masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kes serupa supaya tampil untuk bekerjasama dengan JPN.

"Jika ada anggota masyarakat yang diketahui tidak mempunyai kad pengenalan, ketua masyarakat, jiran atau ahli keluarga diharap dapat membawa mereka ke pejabat JPN berhampiran, bersama-sama dokumen-dokumen sokongan. Kita akan siasat dan bantu mereka mendapatkan MyKad," katanya.

- Bernama

Orang Miskin Dilarang Sakit, Tiada Ubat Percuma Lagi Di Hospital Kerajaan

20 Safar 1433H. [MOD] -


Kerajaan henti bekal ubat percuma, rakyat tanggung kos sendiri

PETALING JAYA 2 Jan: Orang ramai tidak lagi berpeluang mendapat ubat percuma dari hospital atau klinik kerajaan sebaliknya perlu menanggung sendiri kos menerusi swasta ekoran dasar baru yang bakal dilaksana Kementerian Kesihatan tidak lama lagi.

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri berkata, maklumat diterimanya menyatakan Kerajaan Persekutuan menangggung RM1.2 bilion untuk membiayai ubat-ubatan pesakit dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.

Oleh sebab itu, kementerian dikatakan terpaksa menghentikan pengedaran ubat-ubatan secara percuma.

“Antara ubat paling banyak diberi kepada pesakit ialah paracetamol (ubat demam) dan ubat penahan sakit, piriton (selsema) dengan kos 10 sen setiap biji. Kementerian membelanja lebih RM1.2 bilion dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.

“Maka satu sistem baru akan diperkenal dalam masa terdekat. Kementerian Kesihatan tidak lagi membekalkan ubat kepada pesakit, tetapi perlu membelinya sendiri di farmasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Yahya berkata, sistem itu jauh berbeza pada masa kini apabila kementerian menanggung segala kos rawatan, konsultasi dan perubatan.

“Kami mendesak dasar baru itu dibatal serta-merta kerana ia jelas membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah selain kos sara hidup setiap hari kian melonjak.

“Kita juga desak dasar sedia ada dikekalkan kerana kami yakin jika kewangan negara diurus dengan tata kelola baik termasuk membasmi rasuah, rawatan kesihatan percuma boleh diberi kepada seluruh rakyat sebagaimana dinikmati di beberapa negara Eropah,” katanya.

Mengikut data Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), ketika ini, 72 peratus daripada 12 juta pekerja Malaysia bergaji RM700 hingga RM1,500 sebulan dengan purata mereka mempunyai tiga orang anak. Dasar baru ini pasti akan membebankan rakyat.

Turut hadir dalam sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Aminuddin Harun dan Setiausaha Kewangan (MTUC), Alias Awang. -KD


500,000 terputus bekalan air

20 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghadapi krisis bekalan air yang dijangka berlarutan selama seminggu sehingga Selasa depan.

Gangguan bekalan air yang melibatkan pengguna di daerah Gombak dan sebahagian kawasan di Kuala Lumpur itu berpunca daripada kegagalan sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.
Rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti mencecah 220 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti asal reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat mulai hari ini dan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari memandangkan kawasan yang terlibat dengan krisis air kali ini agak besar.

"Setelah kerja memperbaiki pam yang rosak selesai hari ini (semalam), kita jangka tempoh baik pulih penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat akan mengambil masa.

"Ini memandangkan kekurangan bekalan rezab bekalan air sedia ada telah hampir pada paras kosong dengan permintaan harian di ibu kota, Selangor dan Putrajaya sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak 4,436 JLH," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan mendakwa kelewatan kerajaan Selangor membangunkan sistem pengepaman tambahan baharu di rumah pam Wangsa Maju menjadi antara punca gangguan bekalan air di kawasan itu.

Menurutnya, sistem pengepaman sedia ada terpaksa diuruskan di peringkat melebihi tahap keupayaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

"Pihak Syabas telah mengemukakan cadangan membina sistem itu kepada kerajaan pada tahun 2009 dan pelan pembangunan projek serta pinjaman itu telah diluluskan pada Mac tahun lalu.

"Namun sehingga kini, kita difahamkan projek tersebut masih lagi di peringkat rundingan reka bentuk oleh kerajaan Selangor dan dijangkakan projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan pada kadar segera," katanya.

Ruslan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor perlu dilaksanakan dengan segera bagi menyelesaikan krisis bekalan air di negara ini dalam jangka masa panjang.

"Sistem pengepaman tambahan sekarang ini hanya bersifat penyelesaian jangka pendek," ujarnya.

kosmo/-

WWW1: TV3 akui tak buat pengesahan twitter Nizar

20 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dalam perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap TV3, Pengarang Urusan Kumpulan Editor Media Prima Berhad, Datuk Mohd Ashraf Abdullah mengakui bahawa TV3 tidak membuat sebarang usaha untuk pengesahan daripada sumber asalnya.

Ketika diajukan soalan oleh Peguam mewakili Nizar, Mohd Fitri Asmuni, defendan (Ashraf) bersetuju ianya perlu dibuat sedemikian mengikut etika dan amalan media.

Ashraf yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam bidang tersebut turut bersetuju isu yang dilaporkan oleh TV3 menerusi Buletin Utama 30 Mei tahun lalu berkenaan Twitter plaintif (Mohammad Nizar) adalah isu besar dan serius.

Ini kerana ianya melibatkan Plaintif sebagai tokoh politik dan Istitusi Di Raja iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Defenden turut bersetuju bahawa dalam kes-kes yang dianggap serius sebegini, sekiranya defendan-defendan gagal mendapatkan pengesahan sebelum sesuatu berita itu diterbitkan, ianya akan menjejaskan salah satu pihak.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Mantan Menteri Besar Perak mendakwa, TV3 telah memutar belitkan kenyataannya di laman sosial tersebut yang langsung tidak menyebut Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1.

Jelas beliau, TV3 perlu menyemak tentang kesahihan berita tersebut sebelum disiarkan kepada umum.

Katanya, ianya mungkin bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik, ahli parlimen dan ketua pembangkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Jelas beliau, penyiaran berita yang diputarbelitkan itu berniat jahat untuk memberi gambaran negatif terhadapnya berkaitan dengan istitusi Di Raja.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sebelum ini membuat keputusan untuk menyaman media tersebut sebanyak RM50 juta selepas memfitnah beliau mengatakan Nizar menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1 berharga RM520 ribu.

Perbicaraan tersebut berlangsung semalam di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur ditangguhkan dan akan bersambung Jumaat ini.
Turut hadir memberi sokongan ialah Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Madhi Hasan dan Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Safarizal Saleh

harakah/-

Rani: Umno takut kebenaran

20 Safar 1433H. [MOD] -

Dr Abdul Rani Osman
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman
 
SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan tindakan kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) tidak membenarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersiaran langsung menerusi RTM dan TV3 kerana takut kepada kebenaran.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, siaran langsung sejam itu membolehkan Abdul Hadi beri penjelasan lanjut.

"Kita tidak mahu rakaman, takut dipotong (disunting). Barisan Nasional (BN) kata siaran langsung Abdul Hadi berbahaya dan menteri tidak benar penjelasan dibuat secara langsung.

"Di negara luar, mereka akan tunjuk (siaran) secara langsung, tapi di sini, tidak berani," katanya ketika diminta mengulas pendirian Pas Selangor mengenai isu Amanat Haji Hadi.

Sebelum ini, Abdul Hadi menyatakan kesediaannya menjawab soalan dikemukakan sepanjang sesi penjelasan isu Amanat Haji Hadi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dalam kenyataannya berkata, pihaknya tiada masalah memberi ruang berkenaan, tetapi ia perlu dibuat secara rakaman dan bergantung kepada pertimbangan RTM sama ada sesuai dijadikan bahan berita atau tidak.

Abdul Rani yang juga Adun Meru mendakwa, BN tiada isu baru untuk dimainkan sehingga terdesak membangkitkan isu lama yang semakin dilupakan itu.

Ditanya sebab Pas menolak menggunakan media lain sebagai alternatif untuk beri penjelasan itu, Abdul Rani menegaskan, ia kerana dua stesen televisyen itu didakwa antara media memulakan isu itu.

"Kita tak guna media alternatif lain sebab media pro-BN yang cabar kita lebih baik kita guna media mereka kerana isu teritu dibangkitkan mereka" katanya.

harakah/-

02 Januari 2013

[BERGAMBAR] Badi Mengamuk Terengganu Lagi, Bumbung Astaka Runtuh!

19 Safar 1433H. [MOD] -


Kemaman - Tirai 'runtuh' Tahun 2012 ditutup dengan insiden runtuhnya bumbung pentas Astaka di Taman Bandar Chukai, dekat sini, seolah-olah mengesahkan lagi gelaran Terengganu Darul runtuh! Kejadian yang berlaku pada 30 Disember itu, bagai satu 'rentetan badi' yang 'merasuk' negeri ini sejak dirampas Umno-BN dari PAS pada tahun 2004.

Selepas malapetaka runtuhnya bumbung Dewan Syaidina Abu Bakar, Sekolah Menenengah Wakaf Tapai bernilai RM2 juta pada 12 April, 2008, sudah 15 bangunan atau binaan yang runtuh dan rosak di negeri ini.

Yang terakhir sebelum bumbung Astaka Chukai adalah bangunan dalam pembinaan di Padang Astaka Besut yang runtuh pada 21 Jun 2012! Tinjauan sekitar kejadian bumbung Astaka Chukai yang runtuh, mendapati sengkuap (awning) di pentas astaka berkenaan 'menyembah bumi' dipercayai strukturnya yang lemah serta reput.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat menggesa agar siasatan perlu dibuat secara telus bagi memastikan punca sebenar sebahagian bumbung astaka itu runtuh.

Ini kerana, katanya kejadian runtuh, roboh dan tumbang banyak berlaku di negeri ini seolah-olah membenarkan jolokan gelaran ‘Terengganu Darul Runtuh’ yang memalukan.

“Saya minta minta berautoriti siasat kes (runtuh) ini dengan telus sebab banyak sangat kejadian yang runtuh-runtuh berlaku di Terengganu. Orang gelar ‘Terengganu Darul Runtuh’ dan ini memalukan kita.

“Nasib masih menyebelahi rakyat kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku akibat runtuhan itu.

Bumbung stadium runtuh, bumbung masjid runtuh, dewan sekolah runtuh dan banyak lagi sejak tahun 2009,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Taman Perumahan Fikri, Chukai, Kemaman.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada siri lawatannya di Dun Air Putih dan Dun Chukai, 31 Disember lalu.

Beliau menyifatkan ratusan ribu hingga jutaan ringgit wang rakyat ‘hangus’ angkara ketidakcekapan pengurusan mentadbir negeri ini.

Buletinonline dimaklumkan, seorang Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Mohd Rofful Hamzah, 46, terkejut sebaik tiba di padang astaka kira-kira jam 3 petang melihat sebahagian bumbung astaka runtuh.

“Nasib baik sewaktu kejadian pekerja yang melakukan kerja di pentas dan padang astaka ini sedang berehat,” ujarnya.

Beliau dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan lampu di khemah yang dibina di padang tersebut sejak beberapa hari sebelum kejadian sempena program sambutan Ambang Tahun Baru 2013 anjurkan Pejabat Daerah Kemaman.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPk), Mustafar Khalid mendakwa, awning yang dipasang di struktur asal bumbung pentas itu dipercayai runtuh ekoran strukturnya reput.

Kata beliau, awning pada struktur bumbung pentas berkenaan dibina pada 2006 dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut punca runtuhan itu terjadi.

“Dua tahun berturut-turut kita memohon kepada Jabatan Landskap Negara untuk menaik taraf Taman Bandar Chukai termasuk menaik taraf pentas astaka, laluan pejalan kaki, pondok wakaf dan landskap tetapi permohonan itu tidak diluluskan.

“Jadi jika permohonan tidak diluluskan juga tahun depan, kita akan usahakan untuk membina baru pentas astaka ini yang mana pentas asal yang sudah lama akan dirobohkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau membayangkan, pembinaan pentas baru yang bereka bentuk baru itu dijangka akan menelan belanja sebanyak RM400,000.

Taman Bandar Chukai termasuk pentas terbabit dirasmikan pada Ogos 1994 oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bagi pelbagai aktiviti peringkat daerah setiap tahun.

Selain itu, katanya, bangunan-bangunan milik MPk yang lain terutama yang lama dan rosak juga akan diperiksa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.-Buletin Online



Mesej penting: Tolong sebarkan...

19 Safar 1433H. [MOD] -



SAMPAIKAN mesej ini pada keluarga dan sahabat handai!

Jangan biarkan Be End dan Umno terus menakut-nakutkan rakyat kononnya Melayu akan kehilangan keistimewaan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran negara ini selepas pilihan raya umum ke-13 nanti...

INGAT UMNO INGAT PENIPU !!

Kahkahkah...
Umno dah payah nak cari makan lepas neh...

LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa

19 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menghentikan ‘serangan keganasanan cukai’ terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebaliknya menyiasat mereka yang telah membuat ‘sumbangan’ haram kepada BN atau memiliki kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini bagi membuktikan LHDN adil, tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

Begitupun, katanya DAP mengalu-alukan usaha LHDN untuk meningkatkan hasil cukai melalui keuntungan produktiviti dan memantapkan pematuhan cukai.

“Ini tidak sepatutnya mengakibatkan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk siasatan untuk kes cukai yang melebihi 6 tahun yang lampau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Demi kepentingan undang-undang, katanya sebarang peningkatan dalam pengutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.

LHDN telah berjaya meningkatkan pengutipan hasil cukai pendapatan korporat daripada RM36.3 bilion pada tahun 2010 kepada RM46.9 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 29% serta peningkatan hasil cukai pendapatan individu daripada RM17.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM20.2 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 13.5%. Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5% kepada RM54.1 bilion pada tahun 2012 manakala cukai pendapatan individu dijangka meningkat 11.1% kepada RM22.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.

Namun demikian, kata beliau komitmen baru oleh LHDN ini tidak harus menjadi alasan untuk memburu orang dengan sewenang-wenangnya.

Ini, ujarnya termasuk mengejar cukai lama yang melebihi 6 tahun serta penggunaan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menakuti PKS untuk ‘melangsaikan’ tuntutan tertunggak.

Tambahnya, PKS yang merupakan tunjang belakang ekonomi kita, juga menghadapi cabaran-cabaran domestik seperti pematuhan kepada Akta Saingan Adil 2010 dan persediaan untuk pelaksanaan gaji minima tahun ini.

Lim berkata, daripada menggunakan taktik keras dan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap PKS dan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk membuli NGO seperti Suaram, LHDN sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersifat adil dengan menyiasat ‘sumbangan’ RM40 juta kepada Umno melalui Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mereka yang terlibat dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ serta kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin BN seperti Ketua Menteri Sarawak.

Katanya lagi, DAP menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pemindaan kepada Akta Pembatasan 1953 supaya agensi-agensi kerajaan seperti LHDN tidak diberi carte blanche untuk menyiasat tuntutan cukai tanpa statut pembatasan.

DAP, ujar beliau mencadangkan bahawa 6 tahun yang kini digunakan sebagai status pembatasan untuk syarikat-syarikat swasta yang ingin medapatkan tuntutan di bawah Akta Pembatasan 1953 juga diterima pakai oleh LHDN.

“DAP juga menyeru agar kerajaan mempertimbangkan ‘pengampunan’ bagi cukai-cukai melebihi 6 tahun yang tidak dibayar untuk membantu PKS melalui keadaan ekonomi semasa yang susah ini,” katanya yang juga Ketua menteri Pulau Pinang.

malaysiakini/-

Rosmah didesak jawab dakwaan Deepak beli barang kemas

NONE19 Safar 1433H. [MOD] -

 
PKR menuntut Datin Seri Rosmah Mansor menjawab dakwaan peniaga permaidani, Deepak Jaikishin bahawa dia telah membayar RM13 juta untuk membelinya barang kemas.

Deepak (kanan) dikatakan telah mendakwa bahawa pembelian 19 keping barang kemas tersebut dari dua firma di Hong Kong adalah sebahagian daripada sogokan untuk melicinkan satu urusniaga tanah.

Desakan itu dibuat oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau mengemukakan dokumen yang diperolehi parti itu melalui pengantara dari Deepak.

Dari semakan awal, Rafizi berkata beliau percaya ianya adalah tulen.

"RM13 juta dalam 3 bulan. Ini adalah tuduhan serius," kata Rafizi, sambil menegaskan bahawa dokumen dan dakwaan Deepak patut disiasat oleh pihak berkuasa.

Bendahari PKR, William Leong, yang turut hadir, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

Ketika dihubungi, seorang pembantu kepada Rosmah berkata beliau akan menyiasat dakwaan tersebut.

malaysiakini/-

Lagi Taliban Afghanistan dibebaskan

19 Safar 1433H. [MOD] -

Taliban Afghanistan dibebaskan
Pegawai atasan Afghanistan yakin usaha damai akan berhasil dengan pembebasan pejuang Taliban.
ISLAMABAD - Pakistan membebaskan lagi empat tahanan pejuang Taliban Afghanistan, termasuk bekas menteri keadilan yang memberi petanda kerajaan itu menyokong usaha melaksanakan perbincangan damai bersama tentera bersenjata.

Pegawai kerajaan Afghanistan yang mengesahkan pembebasan mereka berkata, Pakistan tidak putus-putus menggesa Islamabad melepaskan pejuang mereka yang didakwa mampu mengetengahkan usaha damai sebelum kesemua tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dipanggil balik menjelang tahun 2014.

Setakat ini, Pakistan yang sekian lama dituduh menyokong kumpulan bersenjata Taliban dan rangkaian Haqqani, melaksanakan pembebasan tahanan mereka sejak minggu lalu.

Sementara itu, pegawai perunding atasan Afghanistan berkata, lapan pejuang Taliban negaranya dibebaskan dan bakal dilantik sebagai perunding usaha tamatkan peperangan berlarutan sejak 11 tahun lalu. - Al-Jazeera

'Panduan' SPR sekat peranan pemerhati p'raya

19 Safar 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mempersoal 'panduan' yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada enam badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Semenjung Malaysia.

Ini kerana kata mereka, panduan itu dilihat lebih berupa 'sekatan' kepada NGO-NGO terbabit untuk menjalankan tugas mereka dalam membuat pemerhatian terhadap ketelusan proses pengundian.

Antara 'panduan' tersebut termasuklah:

1-Wakil NGO yang dilantik tidak dibenar memerhati proses mengira undi.

2-Tidak dibenar mengambil foto salah laku atau penipuan tanpa kebenaran.

3-Tidak boleh bercakap dengan agen parti dan kakitangan pusat undi.

4-Tidak dibenar bercakap kepada pihak media.

5-Tidak boleh mengeluarkan apa-apa maklumat kepada pihak ketiga sebelum melaporkan kepada SPR.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, panduan yang dikemukakan SPR kepada NGO pemerhati tersebut bukan sahaja menyekat malah tidak munasabah.

"Panduan yang dikemukakan SPR ini berupa sekatan. Ini tak musabah sama sekali.

"Ini tidak langsung mencerminkan kesediaan SPR untuk menjalankan pilihan raya yang adil dan telus," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Datuk Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Hishamuddin Rais.

Sebelum ini SPR mengumumkan melantik enam buah NGO iaitu Merdeka Centre, Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), Transparency International, Centre for Public Policy (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemerhati pada PRU13 nanti.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata inisiatif itu, yang pertama kali diperkenalkan SPR, bertujuan memberi peluang kepada NGO berkenaan menilai sendiri ketelusan dan peraturan SPR sepanjang pilihan raya berlangsung.

Difahamkan seramai tiga orang wakil ngo pemerhati tersebut dibenar bertugas di setiap parlimen.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemantauan akan menjadi lebih kritikal khususnya di kawasan yang disifatkan sebagai 'kerusi panas'.

Antaranya ialah kerusi yang ditandingi pimpinan tertinggi parti, kawasan peningkatan undi baru yang tinggi, kawasan yang pernah berlaku pembelian undi serta kawasan yang beza undi pada pilihan raya lalu hanya 3 peratus.

"Kawasan-kawasan ini memerlukan aspek pemantauan ditingkatkan.

"Ini kerana kawasan-kawasan ini berpotensi untuk dimanipulasi," katanya.

harakah/-

2013: Nik Aziz harap rakyat runtuh kezaliman

19 Safar 1433H. [MOD] -

Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Tahun 2013 yang bermula hari ini menjadi angka amat penting kepada rakyat di negara ini kerana bukan sahaja menyambut tahun baru bahkan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan rakyat menggunakan hak untuk memilih dengan sebaik-baiknya.

Menurutnya, jangan membuat pilihan yang akan menyebabkan penyesalan di akhirat dan yakinlah setiap anggota badan termasuk tangan individu mengundi akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

“Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya meminta semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan.

“Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia Insya-Allah,”  katanya menerusi Facebooknya semalam.

Selain itu,  Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas memberitahu harapan setiap harinya adalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia.

“Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana,” katanya.

Dalam pada itu, sempena tahun baru juga beliau mendoakan semoga semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh ALLAH SWT dan dimasukkan dalam golongan hamba-hamba yang beriman.

sinar/-

‘Pakai tudung nampak comel’

19 Safar 1433H. [MOD] -

KASIH AYAH...Lee menyuap keropok kepada anaknya yang memasuki tahun satu  di SK Kampung Tengah, semalam.
KASIH AYAH...Lee menyuap keropok kepada anaknya yang memasuki tahun satu di SK Kampung Tengah, semalam. 
 
KUALA TERENGGANU: “Saya tertarik untuk memakai tudung apabila melihat rakan yang bertudung kelihatan cantik, sopan serta tidak perlu mendandan rambut yang pasti mengambil masa lama,” kata Lee Jing Hwa, 7, yang mencuri tumpuan apabila memakai tudung ketika mendaftar sebagai pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Manir, di sini, semalam.

Jing Hwa, satu-satunya pelajar berketurunan Cina di sekolah itu, hadir ke sekolah dengan berbaju kurung dan kelihatan tidak kekok memakai tudung seperti pelajar perempuan Islam.

Bapanya, Lee Chee Peng, 50, berkata, anak perempuannya itu mula memakai tudung sejak berusia lima tahun ketika belajar di Tadika Kemas berhampiran rumahnya di Taman Sri Manir.

Menurutnya, walaupun ada tadika Cina dekat rumahnya, dia memilih menghantar anaknya itu ke Tadika Kemas bagi membolehkannya bergaul dengan kanak-kanak Melayu.

“Saya mahu dia mengalami persekitaran berbeza dan bercampur dengan rakan dari bangsa lain memandangkan negara kita berbilang kaum.

“Guru di tadika tidak memaksanya memakai tudung, malah membenarkan dia memakai gaun, tetapi dia lebih suka pakai baju kurung dan bertudung kerana baginya nampak lebih comel,” katanya yang tidak kisah dengan penampilan anak kelima daripada enam beradik itu.

Menurutnya, semua anaknya belajar di sekolah kebangsaan supaya mereka menguasai bahasa kebangsaan menerusi pergaulan dengan rakan Melayu.

“Bagi mempelajari bahasa Cina, saya menghantar mereka ke kelas tambahan.

“Sebelum ini, ramai rakan termasuk keluarga mempertikaikan keputusan saya menghantar anak ke sekolah kebangsaan, tetapi akhirnya mereka faham dan kagum kerana semua anak saya termasuk Jing Hwa dapat bercakap bahasa Melayu dan Cina dengan baik,” katanya.

metro/-

Pemandu keliru sistem baharu lampu isyarat

19 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Penggunaan sistem baharu pada lampu isyarat di Jalan Bunga Raya, Taman Muda, Ampang di sini didakwa telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan.
Difahamkan ia telah menimbulkan kesulitan kepada ribuan penduduk di Taman Muda, Taman Kencana, Taman Seraya, Taman Putra, Lembah Maju, Pandan Indah dan Pandan Mewah yang menggunakan laluan tersebut.

Seorang penduduk, Robert Teh, 48, mendakwa, mereka tidak pernah mengalami sebarang masalah lalu lintas sebelum ini dan ia hanya berlaku selepas lampu isyarat yang baharu itu mula beroperasi sejak 26 Disember lalu.

"Sebelum ini, lampu isyarat akan bertukar hijau bagi membolehkan kenderaan membelok ke kiri, jalan terus atau membuat pusingan U.

"Bagaimanapun, sistem baharu itu hanya membenarkan kenderaan berjalan terus atau membuat pusingan U sehingga menyebabkan lalu lintas tidak lancar," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

kosmo/-

Iklan 'Sayangi BN' dikesan dalam koc komuter

19 Safar 1433H. [MOD] -


Selepas kontroversi pemasangan bendera BN dan iklan yang mensasarkan masyarakat Selangor di stesen perhentian dan gerabak KTM Komuter, kini muncul pula iklan "Sayangi BN" di dalam sistem pengangkutan awam tersebut. 
NONE
Tinjauan Malaysiakinipada hari Isnin lalu mendapati, paparan video iklan sepanjang kira-kira tiga minit itu menonjolkan visual pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama kelompok masyarakat.

Iklan berkenaan turut menonjolkan logo BN dan slogan "Dikau menjamin harapan", "Yakini BN - Sayangi Selangor" dan "Sekian lama aman sejahtera". 

NONE
Satu sumber di KTMB menyebut, iklan tersebut hanya dipasang di dalam unit set komuter yang baru dari jenis SCS (Six-Car-Set) di sekitar Lembah Klang.

Sumber di KTMB yang tidak ingin namanya dinyatakan itu berkata, iklan tersebut mula dipasang di dalam koc berkenaan pada 29 Disember lalu.

Tarikh berkenaan merupakan hari pertama Karnival Sayangi Selangor anjuran BN negeri, yang berakhir pada hari Isnin lalu. 

NONE
Sumber berkenaan bagaimanapun tidak dapat menjelaskan tempoh tayangan iklan dalam koc komuter berkenaan, dan sama ada ia merupakan iklan berbayar.

April tahun lalu, KTMB menafikanmengeluarkan sebarang arahan berhubung pemasangan bendera BN di beberapa stesen komuter di Selangor.

Beberapa bulan selepas itu, iklan "Sayangi Selangor" pula muncul di badan gerabak dan di stesen KTM Komuter, tanpa memaparkan logo BN.

NONE
Kempen berkenaan antaranya lainnya menonjolkan Najib dengan slogan "Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup" dan "Kami mendengar dan memahami keperluan anda tentang pendidikan". 

Pengerusi KTMB, yang juga penyelaras BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed ketika diminta menjelaskan isu berkenaan pada Julai tahun lalu sekadar berkata ia merupakan iklan berbayar. 

Malaysiakini sedang menunggu maklum balas presiden KTMB Datuk Elias Kadir, yang bertegas supaya soalan dikemukakan kepadanya melalui emel, untuk memberi penjelasan mengenai kempen terbaru BN di dalam koc komuter tersebut.

Sumber : malaysiakini/-