02 Januari 2013

'Panduan' SPR sekat peranan pemerhati p'raya

19 Safar 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mempersoal 'panduan' yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada enam badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Semenjung Malaysia.

Ini kerana kata mereka, panduan itu dilihat lebih berupa 'sekatan' kepada NGO-NGO terbabit untuk menjalankan tugas mereka dalam membuat pemerhatian terhadap ketelusan proses pengundian.

Antara 'panduan' tersebut termasuklah:

1-Wakil NGO yang dilantik tidak dibenar memerhati proses mengira undi.

2-Tidak dibenar mengambil foto salah laku atau penipuan tanpa kebenaran.

3-Tidak boleh bercakap dengan agen parti dan kakitangan pusat undi.

4-Tidak dibenar bercakap kepada pihak media.

5-Tidak boleh mengeluarkan apa-apa maklumat kepada pihak ketiga sebelum melaporkan kepada SPR.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, panduan yang dikemukakan SPR kepada NGO pemerhati tersebut bukan sahaja menyekat malah tidak munasabah.

"Panduan yang dikemukakan SPR ini berupa sekatan. Ini tak musabah sama sekali.

"Ini tidak langsung mencerminkan kesediaan SPR untuk menjalankan pilihan raya yang adil dan telus," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Datuk Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Hishamuddin Rais.

Sebelum ini SPR mengumumkan melantik enam buah NGO iaitu Merdeka Centre, Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), Transparency International, Centre for Public Policy (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemerhati pada PRU13 nanti.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata inisiatif itu, yang pertama kali diperkenalkan SPR, bertujuan memberi peluang kepada NGO berkenaan menilai sendiri ketelusan dan peraturan SPR sepanjang pilihan raya berlangsung.

Difahamkan seramai tiga orang wakil ngo pemerhati tersebut dibenar bertugas di setiap parlimen.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemantauan akan menjadi lebih kritikal khususnya di kawasan yang disifatkan sebagai 'kerusi panas'.

Antaranya ialah kerusi yang ditandingi pimpinan tertinggi parti, kawasan peningkatan undi baru yang tinggi, kawasan yang pernah berlaku pembelian undi serta kawasan yang beza undi pada pilihan raya lalu hanya 3 peratus.

"Kawasan-kawasan ini memerlukan aspek pemantauan ditingkatkan.

"Ini kerana kawasan-kawasan ini berpotensi untuk dimanipulasi," katanya.

harakah/-

Tiada ulasan: