01 April 2013

Pakatan tawar motosikal lebih murah

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Pakatan Rakyat memperluaskan rancangannya untuk mengurangkan harga kenderaan apabila mengambil alih pentadbiran negara – dengan meliputi harga motosikal.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata, rancangan itu dibuat memandangkan terdapat golongan yang hanya mampu untuk bergantung kepada motosikal untuk pengangkutan.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Rafizi mendakwa ia disebabkan oleh sistem cukai oleh kerajaan BN yang mengenakan lebih banyak cukai kepada golongan bawahan berbanding kelas atas.

Rafizi menjelaskan, duti eksais antara 20 hingga 30 peratus yang dikenakakan ke atas motosikal – mengikut saiz enjin – memberi tekanakan kepada golongan berpendapatan rendah.

Ia turut meningkatkan harga motosikal tersebut dan memaksa pembeli mengambil pinjaman daripada penjual dengan kadar faedah yang tinggi, memandangkang bank tidak menyediakan khidmat pembiayaan untuk pembelian seperti itu.

Selari dengan rancangan untuk menurunkan harga kereta itu, Rafizi berkata Pakatan bercadang untuk mengurangkan kadar eksais motosikal sebanyak 20 peratus mengikut fasa, dan cukai itu akan dimansuhkan selepas lima tahun.

Pengurangan pendapatan kerajaan itu akan ditampung dengan lelongan terus ke atas permit import kenderaan, katanya.

malaysiakini/-

Pesawat mendarat di ladang anggur

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

PARIS - Sebuah pesawat ringan mendarat di sebuah ladang anggur dekat Sainte-Radegonde, selatan Perancis kelmarin.

Pesawat tersebut mendarat selepas ia mengalami masalah teknikal dan minyak.
Juruterbang pesawat berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mempunyai pilihan lain kecuali membuat pendaratan di ladang itu.

Ketika kejadian, pesawat itu dinaiki dua orang termasuk juruterbang berkenaan.
Seorang penumpang pesawat itu yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beberapa anggota bomba turut berada di lokasi kejadian.

Pesawat berkenaan berlepas dari landasan terbang Sarlat sebelum pendaratan cemas tersebut dibuat.
Ladang anggur turut mengalami kerosakan apabila selluas 12.14 hektar tanaman musnah akibat pendaratan cemas itu.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan disoal siasat oleh pihak berkuasa penerbangan ekoran kejadian tersebut. - Agensi

Patah dua-dua kaki

Foto20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Miri: Seorang wanita warga Indonesia patah kedua-dua belah kakinya apabila terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan dalam usaha melarikan diri selepas mendapat tahu dia menjadi mangsa sindiket pelacuran didalangi ejen mencari pekerjaan di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi di Jalan Sri Dagang itu, mangsa nekad melarikan diri menggunakan kain selimut yang diikat pada tingkap di tingkat dua bangunan tiga tingkat itu sebelum sambungan ikatan itu terputus menyebabkannya terjatuh.
Dia yang mengerang kesakitan kemudian dibantu orang awam dan dikejarkan ke Hospital Miri.

Menurut mangsa dikenali sebagai Nadia, 23, dari Pulau Jawa, Indonesia, dia tiba di Miri seminggu lalu dengan dijanjikan pekerjaan sebagai penyanyi di sebuah pusat hiburan melalui satu agensi mencari pekerja di sini.
PASUKAN perubatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.

Bagaimanapun, katanya, semua itu hanya janji kosong apabila dia diarah majikannya bekerja sebagai tukang urut selain dipercayai cuba dijadikan pelacur menyebabkannya nekad melarikan diri.

metro/-

Sabotaj: Bekas Pengerusi SPR dedah pengalaman

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini mendakwa usahanya mahu menggunakan dakwat di jari pengundi pada pilihan raya umum lalu cuba dihalang pihak tertentu dalam kerajaan.

Ketika mendedahkan perkara itu pada wacana perdana di sini setahun lalu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memberitahu SPR sudah menghabiskan banyak wang membeli dakwat di luar negara.

Bagaimanapun dakwa beliau di saat akhir dicipta khabar angin kononnya pembangkang cuba mensabotaj penggunaan dakwat.

Dan hari ini strategi serupa cuba diulang dengan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat kononnya terbabit dengan komplot mengganggu proses pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, strategi lama yang pernah digunakan Umno dan BN diulang semula sekarang dengan melemparkan tomahan kepada Pakatan.


“Sedangkan berdasar kepada maklumat yang kami dapat dua minggu lepas beberapa NGO Umno mengadakan perjumpaan di sini difahamkan ada kaitan sabotaj perjalanan pilihan raya.

“Malah perjumpaan itu diadakan di seluruh negara bagi memastikan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan Putrajaya habis-habisan menjadi realiti,” katanya di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan mendakwa pihaknya mengesan beberapa rancangan jahat parti politik tertentu bagi mengganggu PRU 13 termasuk mencetus ketegangan dengan pegawai SPR.

Menurutnya, pihak terbabit juga dikatakan akan menimbulkan kekecohan mengenai penggunaan dakwat kekal dan mengeksploitasi pengundi tua di kampung.

Sebelum ini Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff mendedahkan ada pihak keluar masuk kampung memperalat penduduk mengenai penggunaan dakwat kekal.

Wan Nik berkata, usaha mensabotaj pengundi menggunakan dakwat hanya mampu dilakukan pihak yang ada kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.

“Tidak masuk akal Pakatan yang tidak ada kuasa boleh melakukan perbuatan itu. Sedangkan apa diperjuangkan Pakatan melalui Bersih bagi mewujudkan pilihan raya yang adil.

“Kami mengikut segala lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Nampak sangatlah mereka kelam kabut sekarang. Perancangan dan agenda mereka sudah diketahui ramai,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap badan-badan pemantau pilihan raya dan pemerhati bebas memastikan komplot jahat tersebut dapat dibongkar.

“Kami juga sentiasa memberi kerjasama kepada SPR dan pihak berkuasa lain bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan adil dan saksama,” katanya.

Harakahdaily/-

Kelantan: Laporan NST, TV3 tiada butiran tepat

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bismillah, saya membaca laporan muka hadapan New Sunday Times semalam yang memaparkan di muka hadapan laporan mengenai masalah sosial di Kelantan dengan tajuk Kelantan After Dark. 

Ia disambung pula dengan paparan Buletin Utama TV3 malam semalam dan juga kenyataan seorang pemimpin utama Umno Kelantan yang mengatakan bahawa ini adalah bukti Kelantan tidak sempurna.

Respon saya ialah saya tidak pernah menyatakan bahawa Kelantan sempurna. Namun, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk mengekang aktiviti tidak bermoral di negeri ini. 

Kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka. 

Jika ia wujud, ertinya kewujudannya tanpa lesen dan secara haram. Sesuatu yang wujud secara haram bukan bukti ia direstui, adakah apabila meningkatnya gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara contohnya bermakna ia direstui oleh kerajaan pusat?

Sesuatu yang wujud secara haram perlu dibanteras, bukannya diberikan lesen, ini pendirian kami. Kami tidak sama dengan sesetengah pihak yang ingin memberikan lesen kepada kegiatan yang wujud secara haram. 

Lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 contohnya, ada sesetengah pemimpin Umno Kelantan berhujah ia wajar diberikan lesen agar tidak beroperasi secara haram.

Sewajarnya semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram ini, perlu membuat aduan. Sayangnya, ada yang saban masa mencabar undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. 

Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 pada 15 Julai tahun lepas contohnya, diserikan dengan persembahan artis wanita secara terbuka yang jelas melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Saya perhatikan laporan NST tiada butiran jelas dan tepat. Ia sekadar laporan umum dengan melindungi fakta-fakta dan individu yang terlibat, begitu juga dengan paparan TV3 yang sangat kabur dan diragui. Saya kira, lebih baik untuk disebut dengan jelas fakta-fakta kes agar ia memudahkan pihak penguatkuasa untuk bertindak.

Di Kelantan, kami perkenalkan undang-undang dalam bidang kuasa kami. Namun, bolehkah kami menghalang 100% gejala sosial sedangkan di peringkat pusat sendiri senarionya lebih berat?

Sama-samalah kita berusaha. Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalamai nasib yang sama!

Harakahdaily/-

Gambar yang tiada dalam RTM dan TV3...Mahasiswa himpun depan rumah PM

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



UMNO dan Najib bertambah pening kepala...Hebohkan kepada dunia kononnya anak-anak muda bersama dan pilih UMNO/BN tetapi realitinya adalah sebaliknya.

Lihat rakaman gambar diatas....Mahasiswi bangkit dan mau melakukan perubahan dengan berdemo depan kediaman rasmi Najib Razak di Sri Perdana Putrajaya semalam.

Dengan membawa sepanduk dan kain rentang tertera tulis ayat ' TOLAK UMNO/BN" sudah pasti UMNO kini berasa cuak gementar, panik dan gelabah untuk menghadapi PRU 13 yang sudah mata dekat tarikhnya kini.

Bila mahasiswi dengan berani bangkit tolak UMNO memberi erti UMNO akan sakit dan rebah.

Para pemimpin UMNO terutamanya Mursyidul Amnya Mahathir dan Najib Razak tanya pada diri sendiri mengapa mahasiswi  yang dikategorikan sebagai anak muda yang cerdik pandai, berilmu dan bermaklumat tolak UMNO/BN secara total dan mutlak.

PRU 13 ialah PRU anak-anak muda.

Harakahdaily/-

Nurul Izzah tunjuk bukti makluman pada SPR

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyelar kenyatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang mendakwa PKR tidak pernah memaklumkan kepada suruhanjaya itu sebelum memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan senarai lebih 4,600 pemilih yang didakwa meragukan.

Bercakap dalam sidang medianya hari ini, Nurul Izzah mengemukakan surat daripada Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Baria yang membuktikan bahawa suruhanjaya itu "mengambil maklum dan sedang meneliti" aduan berkenaan.

NONESurat tersebut dihantar pada 6 Mac lalu dan terima oleh peguam Nurul Izzah keesokan harinya, kata naib presiden PKR itu.

Beliau seterusnya memfailkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Nurul Izzah untuk membatalkan sebanyak 4,637 pengundi pada 26 Mac.

"Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas.

"Saya mesti kata, perkara ini tidak boleh diterima bahawa pengerusi SPR mengeluarkan kenyataan yang lain sedang ada pengakuan (terima) daripada Datuk Kamaruddin Baria," katanya.

Abdul Aziz dalam satu wawancara disiarkan akhbar Mingguan Malaysia semalam antara lainnya menyebut, tiada sebarang daftar pemilih atau surat pernah dihantar oleh Nurul Izzah kepada SPR.

"Saya telah semak, tiada sebarang daftar pemilih atau surat dihantar kepada SPR," kata Abdul Aziz dalam wawancara itu.

Nurul Izzah dalam dokumen permohonan semakan kehakiman itu menyebut, perkara itu melibatkan Rang Daftar Pemilih Induk (RDPI) dan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku kedua 2012 untuk pengundi di kawasannya.

Senarai nama berkenaan didakwanya didaftarkan dengan alamat tidak lengkap atau kawasan yang tidak wujud.

Selain itu, beliau juga mahu membatalkan 133 nama yang tidak lagi bermastautin di Lembah Pantai dan tiga nama yang telah meninggal dunia yang terkandung dalam RDPI.

Malaysiakini/-

Warga emas maut dilanggar ketika lintas jalan bersama isteri

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUANTAN - Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Waja di Km 330 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat Kampung Jeruas, Raub semalam.
Mangsa, Yusof Buruk, 81, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Jeruas, Raub manakala isterinya, 75, cedera di kepala kini dirawat di Hospital Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsudin Wan Osman berkata dalam nahas 6.45 petang itu kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Benta, Lipis.
"Dipercayai di tempat kejadian, pemandu (lelaki) kereta berkenaan, 49, telah membunyikan hon dan cuba membrek kenderaannya namun gagal sebelum melanggar pasangan suami isteri warga emas terbabit yang sedang melintas jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Jeruas Sega, Raub itu dipercayai melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta terbabit.
Wan Shamsudin berkata semasa kejadian cuaca baik namun keadaan gelap berikutan tiada lampu jalan di situ dan jalan lurus bergarisan kembar. - Bernama

Selamat tinggal kepada Apple iPhone?

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Seorang eksekutif syarikat menunjukkan model keluaran terbaru Apple, iPhone 5

$entry.content.caption.value
LONDON - Telefon pintar anda mungkin tidak dapat lagi menandingi kuasa telefon pintar akan datang yang lebih hebat dan menakjubkan. 

Tiga syarikat gergasi teknologi ketika ini sedang menyiapkan diri bagi memperkenalkan teknologi lebih canggih di masa hadapan.

Apple (AAPL), Google (GOOG) dan Samsung ketika ini sedang merangka kerjasama bagi mencipta jaringan yang lebih hebat di pasaran.

“Ini hanya permulaan yang hebat bagi teknologi baru. Akhirnya teknologi pintar mampu menjadi pakaian kita apabila ia memasuki pasaran,” kata penganalisis, Gartner.

Menurut ABI Research, teknologi canggih ini bakal meledak di pasaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan 485,000 peranti tersedia yang boleh digunakan pelanggan menjelang tahun 2018.

Teknologi Google selepas ini mampu dikawal menggunakan arahan suara dan ia dijangka memasuki pasaran tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Kami sedang berusaha keras bagi menyediakan produk terbaru ini,” kata Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Samsung, Lee Young Hee awal bulan ini.

Bagaimanapun, Samsung terpaksa bergantung pada sistem operasi Android Google.

Smartwatch Apple, dikenali sebagai iWatch juga bakal memasuki pasaran lebih awal dari jangkaan pengguna.

Ia mungkin berada di pasaran tahun ini atau awal Oktober semasa musim panas.

iWatch mempunyai fungsi sama seperti telefon pintar lain tetapi mempunyai ciri-ciri tambahan istimewa yang lain.

Ia akan menggunakan teknologi skrin sentuh dan boleh diaktifkan menggunakan kod suara pengguna.

Sinar/-

PRU13: Ahli MPAN 308 sokong Pakatan Rakyat

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KEPALA BATAS: Seramai 400,000 ahli Pertubuhan Kebajikan Menyatupadukan Anak Negara Malaysia (MPAN 308) seluruh negara mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Majlis pengisytiharaan itu dibuat sendiri oleh Pengasas MPAN 308, Rashidi Ismail atau dikenali dengan 'Paduka Ayahda' dalam satu majlis ringkas di pekarangan kediamannya di Kampung Permatang Manggis, di sini kelmarin.

Program yang dihadiri oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Johari Kasim dan kepimpinan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam (gambar atas) menambahkan lagi keyakinan di kalangan ahli MPAN 308 bahawa Pakatan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik, bertanggung jawab dan amanah berbanding Umno BN.

Baginya, tragedi dipukul oleh 20 petugas Umno Kepala Batas di hadapan sebuah pasar raya baru-baru ini membuatkan mereka 'berpatah arang' untuk bersama Umno BN lagi.

"Dengan ini saya menggesa semua ahli MPAN 308 yang ada malam ini dan seluruh negara supaya berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana Umno tidak lagi releven kerana mengamalkan gengsterisme. Umno buat negara ni macam tiada undang-undang," katanya menceritakan detik-detik beliau dipukul di hadapan isteri dan anaknya ketika sedang memasukkan barangan ke dalam kereta.


Beliau juga terkilan kerana tiada seorang pemimpin Umno Bahagian Kepala Batas datang menziarahi atau bertanya khabar ekoran kejadian itu kecuali Johari bersama rakan-rakannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepadanya yang begitu prihatin," tegasnya.

Sementara itu, Johari dalam ucapan ringkasnya menyifatkan sokongan yang diberikan itu merupakan tamparan hebat kepada Umno yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang parah.

Justeru, ujarnya biarlah Umno bangga dengan budaya samseng kerana rakyat sudah tahu menilai yang mana baik untuk dijadikan parti pilihan semasa membuang undi nanti.

"Jauhilah parti yang mengembangkan budaya samseng untuk bersama-sama bertekad memenangkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menakluk Putrajaya bagi menjadi Kerajaan Pakatan Rakyat yang sah," terangnya

harakahdaily/-

Najib, Duit BRIM kami dah Habis

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Masa dapat duit BRIM hari tuh.. kan main lagi orang Mesia nih terutama orang Melayu... penuh sakan kat pasar raya. Golongan muda berkepit sana sini dengan handphone pintar mereka. Golongan berumur padat kat restoran segera KFC, MCdonal, dan bla bla bla lagi lah. Golongan pelajar selerak kat kedai buku, malah ada yang tukar ngan eksesori laptop, games.. bla bla bla. 


Tokey kedai senyum manjang... Maidin, Giant juga penuh. Nak cari parking pun susah. Masa ini aku nampak kelibat Saleh Petai dari ulu Jenahak, Ali Pisang dari Kaki Bukit Jong, Man Ranggi dari Baroh Gondang tercangak cangak masuk pasar raya.. Dalam hati ini cukup pilu bila kenangkan mengapa dah lebih lima puluh tahun BN perintah Malaysia suasana Rakyat kampong di perbodohkan saperti ini?.

Masa aku mengelamun dalam memikirkan tentang mereka ini.. tetiba datang sebuah kereta Mecedes 240series keluar suami isteri dan anak anak mereka dari kereta tersebut dengan baju batik mereka serta isteri dan anak perempuan mereka itu berambut coklat seolah negara ini hak mereka punya... Lantas beberapa Pak Cik Guard yang berada disitu menghalau budak budak motor supaya diubahkan tempat lain sebab Dato nak parking kereta nya. Untuk mengambil hati sempat juga lah hulurkan tangan pada rakyat bersalam lepas itu hilang dikawasan shooping barangan berjenama.

Lantas aku berjalan lagi dikawasan lorong menjual barangan keperluan dapur.. serta barangan basah.. mak oii.. sayur Kangkung paling kurang dua hinggit satu ikat... ikan kembong sedang satu ekor dua hinggit.. itu pun belum masuk barang lain lagi. Tetiba aku nampak anak Man Ranggi dari Baroh Godang nak beli sardin, sebab Maknya janji nak buat Karipap sarding untuk bawa bekal ke sekolah. Tetiba Man Ranggi beritahu isterinya, " Tak payah beli sarding lah..., kita balik pancing ikan paya belakang rumah, bawa bekal lauk ikan keli pegi sekolah.. cukup lah.. duit yang ada lebih sikit lagi tuh.. rasanya nak tukar tayar motorsikal dan beli rantai motorsikal baru.


Perangai Buruk Shafie Apdal Didedahkan!

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Inikah hukum karma yang diterimanya atau memang sengaja dilakukannya??

Itulah yang terjadi ke atas Naib Presiden Umno, Mohd Shafie Apdal yang disifatkan sebagai liat membayar hutang sehingga memalukan Umno kerana gagal mematuhi Konsep 'Janji Ditepati' yang dipelopori presidennya sendiri! Seorang peniaga Bumiputera, Karim Ahmad, mendedahkan bahawa Shafie Apdal telah pun berhutang dengan syarikatnya, Hazrim Sukanika pada 1994 sejumlah RM12,600 ketika diminta membekalkan alat binaan dan alat pejabat kepada Pejabat Umno bahagian Semporna.

"Sehingga ke hari ini setelah beberapa kali saya minta, Shafie hanya membayar RM200. Cukup memalukan dan menghina peniaga bumiputera seperti saya," ujar Karim yang kesal kerana Umno masih mengekalkan pemimpin yang tidak berhati perut seperti Shafie.

Menurut Karim, hutang berkenaan telah diakui sah dan disaksikan oleh Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Hj Sabaani yang ketika itu bertugas sebagai Penyelia KEMAS Daerah Semporna.

Walaupun Karim telah memberikan notis tujuh hari bermula 4 Februari 2013 kepada Shafie untuk menjelaskan hutang berkenaan, namun sehingga ke hari ini dia tidak mendapat sebarang respon dan akan menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang.

Kini jumlah hutang Shafie ialah RM31,248 setelah mengambil kira kadar kerugian 8% setahun selama 19 tahun.

"Sehubungan itu, saya menyeru agar rakyat Semporna menilai semula sokongan mereka terhadap Shafie kerana tidak bertanggungjawab dan sentiasa menindas peniaga dan mereka yang bersimpati dengan perjuangan Umno selama ini," ujar Karim yang kesal kerana menerima nasib yang sama dengan puluhan peniaga lain.

Manakala dalam satu lagi kes melibatkan kementeriannya, pada 20 Julai 2011, 20 kontraktor Kelas F mencela sikap buruk Shafie yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah gagal menyelesaikan isu tuntutan kontrak kerja mereka yang belum dibayar; walaupun kerja telah disiapkan sejak lebih setahun lalu.

Jurucakap kontraktor berkenaan, Kunsul Nahul mengesahkan pihaknya sudah terlalu lama menunggu janji Shafie untuk menyelesaikan isu tuntutan 20 kontraktor bumiputera yang teraniaya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) apabila Pejabat Daerah Lahad Datu memberitahu tidak mempunyai cukup wang untuk membayar GWO (Pesanan Kerja Am) yang telah dikeluarkan kepada mereka.

“Kerja kita telah buat dan telah disahkan siap, tetapi sampai hari ini janji Shafie untuk selesaikan isu ini belum tertunai. Bukan salah kami. Kami terima GWO dan buat kerja ikut spesifikasi. Bila mahu tuntut, Pejabat Daerah kata duit habis,” ujar Kunsul yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana peruntukan khas RM1.5 juta yang dikeluarkan oleh KKLW kepada Pejabat Daerah Lahad Datu telah disalahgunakan untuk tujuan lain sehingga mereka gagal membayar kontrak kerja yang telah kami siapkan.

Tegas Kunsul, walaupun tuntutan projek kecil beliau tidak banyak, antara RM20,000 sehingga RM50,000, tetapi adalah jumlah yang cukup besar bagi kontraktor Kelas F seperti beliau dan rakannya yang bukan sahaja terpaksa membeli batu kelikir, membayar pekerja dan sewa jentera malah menanggung keluarga.

Projek Selenggara Jalan Kampung Sapagaya, Lahad Datu yang diperolehinya melalui KKLW/PD/PJK/S/LDU/SIM/358P/03-09 dan dikeluarkan GWO bernombor A 172499 pada 19 Mac 2009, kata Kunsul telahpun disiapkan dua minggu kemudian. -sabahkini


Khairul Fahmi jawab serangan media BN

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Tweet saya pada tarikh 26 Mac 2013 : “Kalau Nabi Muhammad saw masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan......jahanam UMNO” telah menarik perhatian banyak pihak termasuk media cetak dan elektronik. Saya didakwa telah menghina Junjungan Nabi SAW.

Budaya fitnah politik sehingga menyabitkan skandal seks pemimpin merupakan perbuatan golongan munafik. Perkara ini telah berlaku sejak dahulu lagi. Isteri Baginda yang suci pernah difitnah berzina menyebabkan Baginda sekeluarga telah menanggung kesusahan dan aib sehingga Allah membersihkannya semula.

Membaca cerita golongan munafik agama zaman Baginda yang tidak mengenal erti suci dan maruah diri hatta terhadap Nabi yang maksum inilah yang mendorong saya meyakini bahawa budaya politik porno adalah kerja musuh agama bukan hanya musuh dalam politik.

Tiada bezanya perangai munafik dahulu dan kini. Senjata mereka adalah sama. Fitnah yang MELAMPAU.

Saya menegaskan bahawa saya tidak  menghina Junjungan Nabi SAW. Tweet saya telah ditafsirkan secara salah terutamanya oleh akhbar UTUSAN MALAYSIA. Apa yang menjadi fokus sebenarnya dalam tweet saya adalah UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.

Tekanan yang mereka hadapi bilamana ramai rakyat telah benci dan menolak mereka. Mereka merasakan kesukaran untuk mengekalkan kuasa yang sedang mereka punyai sekarang ini. PRU ke 13 sesuatu yang menakutkan mereka. Justeru mereka akan sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa yang ada.

UMNO dan Barisan Nasional telah banyak melakukan perkara yang hina demi kelangsungan politik mereka. Hina, fitnah, mengaibkan, rasuah, zalim, politik samseng dan banyak lagi telah menjadi amalan. Pelbagai pihak termasuk kawan apatah lagi musuh politik mereka telah menjadi mangsa.

Saya ingin menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional bersedia melakukan apa jua termasuk yang tidak terjangkau oleh akal pemikiran kita. Video seks dan cerita skandal pimpinan pakatan rakyat merupakan modal terkini yang mereka usahakan. Ini satu tindakan yang HINA dan JIJIK. Jauh bertentangan dengan nilai-nilai ISLAM dan moral yang murni.

Maka dengan ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghina Nabi SAW, tetapi yang hina sebenarnya adalah UMNO dan Barisan Nasional.

Tulisan saya jelas, penuh ingatan dengan harapan  agar rakyat Malaysia menjauhi politik fitnah porno yang menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional membunuh musuh politik mereka.

Saya amat jelas menginsafi kesucian Nabi dan jengkel terhadap terhadap perangai golongan MUNAFIK yang hidup bersama Baginda. Ancaman dan azab keras daripada Allah (hukum HUDUD) jelas tidak menghalang mereka untuk terus MEMFITNAH.

harakahdaily/-

Bantuan persekolahan RM100, dapat hanya RM50

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013 di bawah Bajet 2013 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak September lalu.

Media melaporkan, Kementerian Pelajaran telah mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh Negara secara berperingkat bermula 15 Januari 2013.

Anak kami belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning, Jalan Anggerik Aranda 31/8, Kota Kemuning, juga telah menerima bantuan RM100. Tetapi pihak sekolah telah memaksa semua murid menderma RM50.00 kepada tabung PIBG.

Oleh yang demikian anak kami membawa pulang RM50.00 sahaja. Kami kurang pasti wajarkah pihak sekolah berbuat begitu? Baru ini sekolah juga minta semua murid menderma RM5.00 seorang untuk membeli pasu bunga.

Kami memohon agar tuan dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.



Yang Berharap,
IbuBapa Malang

Tiga maut dalam serangan pasukan keselamatan di Iraq

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

BAGHDAD – Dalam pergolakan menjelang pilihan raya di Iraq, banyak serangan bom ditujukan kepada pasukan keselamatan di sekitar ibu negara dan utara negara itu dengan yang terbaharu, kes serangan pengebom berani mati yang membunuh tiga nyawa semalam.

Menurut seorang pegawai perubatan, pengebom berani mati itu telah meletupkan sebuah kereta di pusat pemeriksaan tentera di Abu Ghraib, sebelah barat ibu negara tersebut. Dalam kejadian itu, seorang telah terkorban manakala tujuh yang lain termasuk tiga anggota tentera cedera. 

Kejadian yang sama juga berlaku di pinggir utara Baghdad berhampiran dengan kem tentera apabila kereta yang dilekatkan dengan bahan letupan telah diledakkan lalu mengorbankan pemandunya.

Sementara itu, lima kes tembakan dan pengeboman berlaku di Kirkuk dan Mosul dengan seorang terbunuh manakala enam yang lain cedera. Semua yang cedera itu merupakan anggota polis dan tentera. 

Serangan sedemikian sering berlaku terutamanya menjelang pilihan raya yang dijadualkan pada 20 April nanti di 12 daripada 18 wilayah Iraq. - AFP