01 April 2013

Warga emas maut dilanggar ketika lintas jalan bersama isteri

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUANTAN - Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Waja di Km 330 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat Kampung Jeruas, Raub semalam.
Mangsa, Yusof Buruk, 81, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Jeruas, Raub manakala isterinya, 75, cedera di kepala kini dirawat di Hospital Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsudin Wan Osman berkata dalam nahas 6.45 petang itu kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Benta, Lipis.
"Dipercayai di tempat kejadian, pemandu (lelaki) kereta berkenaan, 49, telah membunyikan hon dan cuba membrek kenderaannya namun gagal sebelum melanggar pasangan suami isteri warga emas terbabit yang sedang melintas jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Jeruas Sega, Raub itu dipercayai melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta terbabit.
Wan Shamsudin berkata semasa kejadian cuaca baik namun keadaan gelap berikutan tiada lampu jalan di situ dan jalan lurus bergarisan kembar. - Bernama

Tiada ulasan: