01 April 2013

Rakyat Sibuti terus ketinggalan, perlu pembelaan

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

(Penduduk menunjukkan “Diesel Oil Generator” yang digunakan untuk menjana elektrik untuk kegunaan di waktu malam sahaja)


MIRI: Setelah mencapai kemerdekaan melalui penubuhan negara Malaysia, Sarawak yang akan menyambut ke 50 tahun hari kemerdekaan pada 16 September masih lagi jauh ketinggalan dari segi infrastruk dan kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar.

Masih terdapat ramai penduduk di Sarawak tidak merasai kemudahan asas untuk hidup dengan selesa.  Di Bekenu, kawasan parlimen Sibuti, masih banyak rumah panjang yang tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalanraya yang baik.

Sebagai contoh, penghuni di Rh Alaxander Agap di Sepupok masih bergantung dengan air hujan sebagai sumber air untuk kegunaan harian, dan masih menggunakan janakuasa diesel untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Keadaan ini amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa berjimat dan hanya menggunakan elektrik di waktu malam kerana harga diesel sangat mahal.

(Jawing (berseluar merah) bersama penduduk kampong menunjukkan kolam tadahan air hujan yang digunakan untuk kegunaan seharian.)

Menurut Jawing yang mengadu masalah tersebut berkata, sepanjang 50 tahun ini pemimpin BN yang memerintah Sarawak hanya pandai berjanji saja.

"50 tahun kerajaan BN sudah berkali-kali berjanji mahu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, tetapi sampai sekarang janji hanya tinggal janji, sedangkan jarak kampung mereka ke jalan utama tidak jauh, hanya 1.5 kilometer sahaja,” kata Jawing.

Tambah Jawing, di waktu hari perayaan Gawai, air tadahan tidak mencukupi.

Penduduk kampung yang lain juga menambah, keadaan akan bertambah susah terutama waktu musim kemarau, dimana tadahan air hujan kekeringan dan mereka perlu mendapatkan air dari sumber yang jauh dalam keadaan kesukaran.

Majoriti penduduk di ‘Rancangan Sepupok’ juga tidak mendapat jalan tar berturap.

Sehingga sekarang mereka masih menggunakan jalan batu kerikil untuk keluar dan masuk ke kediaman mereka. Keadaan ini sangat mengganggu pergerakan  mereka terutamanya waktu musim hujan,  jalan tanah menjadi licin dan kenderaan mereka sukar dikawal.

Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ada berlaku kecemasan, dimana kesukaran untuk penduduk untuk keluar mendapat bantuan dari luar.

Penduduk di Rh Alaxander berharap kerajaan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah kemudahan asas di kampung mereka khasnya dan di tempat-tempat lain dalam kawasan Sibuti dan negeri Sarawak amnya.

Mereka percaya kerajaan negeri Sarawak sebenarnya mampu menyelesaikan masalah rakyat jika tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan sumber hasil negeri memandangkan negeri Sarawak adalah negeri yang terkaya di Malaysia.

Kita mengesa pihak yang berkaitan dapat mengatasi masalah tersebut dengan segera dari terus berlarutan kerana kemudahan asas rakyat adalah keutamaan yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak yang memerintah sekarang.

Kerjasama dengan pihak yang berkaitan sangat dihargai, kata mereka.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: