DAR ES SALAAM - Angka kematian akibat sebuah bangunan yang runtuh di sini telah meningkat kepada 25 orang semalam.
Menurut beberapa pegawai, harapan untuk mencari mangsa yang selamat semakin pudar selepas tiga hari kejadian tersebut berlaku.
"Enam mayat ditemui antara malam kelmarin dan tengah hari ini.
"Ia menjadikan jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 25 orang," kata seorang pegawai polis, Saidi Mecky Sadicky.
Sebelum ini jumlah kematian yang disahkan hanya 19 orang.
Sejumlah orang masih lagi hilang di sekitar lokasi bangunan itu runtuh.
Ratusan pekerja berusaha untuk mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.
Bangunan itu dibina berdekatan dengan sebuah masjid di kawasan Kisutu.
Menurut Sadicky, kira-kira 60 hingga 70 orang dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika bangunan itu runtuh pada Jumaat lepas.
Firma-firma pembinaan China diberitahu oleh para pegawai kedutaan
negara berkenaan supaya meminjamkan peralatan untuk membantu usaha-usaha
menyelamat mangsa.
Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete melawat ke tempat kejadian pada
Jumaat dan Sabtu lalu dan menghantar mesej ucapan takziah kepada
keluarga mangsa menerusi Twitter.
Bangunan kediaman itu merupakan projek antara Perbadanan Perumahan Negara milik pemerintah dengan syarikat Pembinaan Ladha.
Sadicky berkata, punca kejadian masih disiasat.
Pihak polis kini menyiasat enam orang melibatkan pemilik bangunan itu
dan para pegawai syarikat pembinaan berkenaan serta Majlis Bandar Raya
Dar es Salaam. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan