01 April 2013

12 kerusi Parlimen sasaran baru Pakatan.

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
SHAH ALAM - Di sebalik kemungkinan pembubaran Parlimen tidak akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, peluang bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk menguasai 12 lagi kerusi Parlimen "kelihatan cerah."
Perikatan itu mahu menggunakan ruang yang ada menjelang pembubaran Parlimen untuk mengukuhkan kedudukan pihaknya menjelang tarikh PRU13.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Kit Siang berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk memperoleh kejayaan di 12 kawasan Parlimen untuk menang selesa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Dua belas kerusi marginal, yang secara realistik Pakatan boleh menang termasuklah Arau di Perlis; Alor Setar di Kedah; Kuala Nerus di Terengganu; Larut, Kuala Kangsar, Kampar dan Lumut di Perak, Bentong, Raub dan Jerantut di Pahang, Sabak Bernam dan Pandan di Selangor, Rembau di Negeri Sembilan dan Bukit Katil di Melaka," kata pemimpin veteran ini.

Kerusi-kerusi lain termasuklah Dungun di Terengganu; Jerlun di Kedah; Padang Rengas, Tambun, Parit, Tapah, Pasir Salak dan Bagan Datoh di Perak; Temerloh di Pahang; Sepang di Selangor dan Jempol di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah kali ini, ada mengatakan PR boleh menang sehingga 33 kerusi Parlimen, tambahan kepada 82 yang diperoleh lima tahun lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Kit Siang menjelaskan, "sejak tiga hari lalu, saya telah menggariskan tiga objektif pertarungan Gelang Patah, sebahagian daripada objektif besar membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya."
Kata beliau, objekif ketiga yang digariskannya semalam menyentuh sasaran memenangi 33 daripada 83 kerusi Parlimen yang terletak di Johor, Sabah dan Sarawak iaitu negeri yang dikategorikan sebagai simpanan tetap Barisan Nasional (BN).
"Jika Pakatan berjaya mempertahankan 80 kerusi Parlimen yang dimenangi di negeri-negeri bukan simpanan tetap (BN) di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu (awal 2009) dan jika Pakatan boleh menang tambahan 33 kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, maka Pakatan boleh melepasi nombor ajaib 112 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan pusat," kata beliau.
Bagaimanapun, tambah beliau, PR hanya boleh memperoleh majoriti yang baik dan selesa jika menguasai 125 kerusi iaitu masing-masing 45 oleh PKR, Pas (40) dan DAP (40).
"Untuk mencapai sasaran 125 kerusi atau majoriti 28 kerusi, Pakatan perlu menang 12 kerusi lagi dari negeri-negeri bukan simpanan tetap BN," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Tiada ulasan: