01 April 2013

Sabotaj: Bekas Pengerusi SPR dedah pengalaman

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini mendakwa usahanya mahu menggunakan dakwat di jari pengundi pada pilihan raya umum lalu cuba dihalang pihak tertentu dalam kerajaan.

Ketika mendedahkan perkara itu pada wacana perdana di sini setahun lalu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memberitahu SPR sudah menghabiskan banyak wang membeli dakwat di luar negara.

Bagaimanapun dakwa beliau di saat akhir dicipta khabar angin kononnya pembangkang cuba mensabotaj penggunaan dakwat.

Dan hari ini strategi serupa cuba diulang dengan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat kononnya terbabit dengan komplot mengganggu proses pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, strategi lama yang pernah digunakan Umno dan BN diulang semula sekarang dengan melemparkan tomahan kepada Pakatan.


“Sedangkan berdasar kepada maklumat yang kami dapat dua minggu lepas beberapa NGO Umno mengadakan perjumpaan di sini difahamkan ada kaitan sabotaj perjalanan pilihan raya.

“Malah perjumpaan itu diadakan di seluruh negara bagi memastikan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan Putrajaya habis-habisan menjadi realiti,” katanya di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan mendakwa pihaknya mengesan beberapa rancangan jahat parti politik tertentu bagi mengganggu PRU 13 termasuk mencetus ketegangan dengan pegawai SPR.

Menurutnya, pihak terbabit juga dikatakan akan menimbulkan kekecohan mengenai penggunaan dakwat kekal dan mengeksploitasi pengundi tua di kampung.

Sebelum ini Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff mendedahkan ada pihak keluar masuk kampung memperalat penduduk mengenai penggunaan dakwat kekal.

Wan Nik berkata, usaha mensabotaj pengundi menggunakan dakwat hanya mampu dilakukan pihak yang ada kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.

“Tidak masuk akal Pakatan yang tidak ada kuasa boleh melakukan perbuatan itu. Sedangkan apa diperjuangkan Pakatan melalui Bersih bagi mewujudkan pilihan raya yang adil.

“Kami mengikut segala lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Nampak sangatlah mereka kelam kabut sekarang. Perancangan dan agenda mereka sudah diketahui ramai,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap badan-badan pemantau pilihan raya dan pemerhati bebas memastikan komplot jahat tersebut dapat dibongkar.

“Kami juga sentiasa memberi kerjasama kepada SPR dan pihak berkuasa lain bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan adil dan saksama,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: