01 April 2013

Kesalahan ibu bapa didik anak

20 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


tahfiz

Setiap ibu bapa mahukan zuriat yang dapat berbakti kepada mereka pada hari tua kelak
SOALAN:
Setiap ibu bapa mahukan zuriat yang dapat berbakti kepada mereka pada hari tua kelak. Namun, semakin banyak didikan yang diberi semakin mereka jauh daripada gelaran ‘anak soleh’. Bagaimanakah perkara tersebut boleh terjadi? Di manakah silapnya?

Jawapan:
Anak adalah kurniaan ALLAH SWT yang tiada nilai tandingnya. Betapa beruntung pula ibu bapa yang dikurniakan zuriat sebagai penyambung dan kekuatan sesebuah rumah tangga.

Anak yang cemerlang tidak hanya terjadi begitu saja. Ini bergantung sejauh mana kesedaran dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak. Terdapat kisah dalam al-Quran mengenai Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub dan Nabi Zakaria yang tidak putus berdoa agar dikurniakan anak yang taat kepada ALLAH SWT.

Demikianlah ibu bapa juga perlu berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah dan memohon agar tidak diuji dengan anak derhaka seperti yang dialami Nabi Nuh AS. Hakikatnya, anak juga menjadi ujian kepada setiap ibu bapa. Dan merekalah yang berkewajipan untuk mendidik anak agar tidak terjerumus ke lembah kesesatan dunia dan kemelaratan akhirat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar." (Surah At-Taghabun: 15)

Ada segelintir ibu bapa yang gagal membentuk anak menjadi generasi yang unggul. Orang yang malang dan gagal dalam ujian ialah mereka yang mempunyai anak, tetapi tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.
Kesilapan bagaimanakah dilakukan ibu bapa dalam membentuk anak hingga dikatakan gagal dalam ujian ALLAH ini?

Antara kesilapan dalam mendidik anak adalah seperti berikut:
1. Kurang mengambil perhatian dan menitikberatkan mengenai berdoa kepada ALLAH SWT. Oleh itu, ibu bapa digalakkan berdoa agar dikurniakan zuriat yang baik pada saat kehamilan. Antara amalan doa ketika mengandung adalah memohon rahmat, zuriat yang baik, mengerjakan solat dan mendoakan ibu bapa apabila tiada di dunia kelak. Setelah anak dilahirkan, ibu bapa perlu terus lebih banyak berdoa seiring dengan anak yang semakin membesar.

2. Anak tidak dibesarkan dengan belaian kasih sayang. Suasana rumah yang tidak aman dan penuh ancaman, hanya akan membantutkan proses pembelajaran kerana emosi mereka yang tidak stabil. Diriwayatkan Aisyah RA: "Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan dan Al-Husain bin Ali RA. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai 10 anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik di hadapan anak. Sedarilah bahawa, anak akan senang meniru perbuatan orang yang lebih rapat dengannya, khususnya ibu bapa mereka. Apabila diperhatikan, anak yang sering bercakap kasar dan menipu lahir daripada keluarga yang mempunyai tingkah laku yang sama. Selain daripada itu, ibu bapa turut membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke rumah sama ada dari kalangan sahabat sendiri ataupun anak. Wujudnya anasir yang tidak baik di dalam rumah akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak yang sedang meningkat dewasa.
Seeloknya, mereka perlu didedahkan dengan model yang cemerlang seperti golongan ulama, orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Mereka juga perlu digalakkan untuk solat berjemaah, mengikuti kuliah agama dan aktiviti yang bersesuaian dengan nilai murni Islam.

4. Mendidik anak dengan memberi ancaman dan menakut-nakutkan (tarhib) berbanding penghargaan, pujian dan hadiah (targhib).

5. Tidak tegas dalam mendidik anak. Ibu bapa perlu tegur dan hukum anak apabila menunjukkan tingkah laku negatif seperti malas atau enggan melaksanakan perintah ALLAH SWT. Ketegasan juga perlu selari antara ibu dan bapa supaya anak tidak keliru untuk membentuk tingkah laku yang betul.
Selain mendidik dengan belaian kasih sayang, ibu bapa juga perlu memberi amaran dan teguran apabila mereka melakukan kesalahan dalam tingkah laku. Ibu bapa perlu menggantung rotan di rumah sebagai amaran kerana merotan mereka dengan tujuan mendidik (bukan untuk menyakiti) sebagai satu sunnah.

6. Menjadualkan kegiatan harian anak tanpa menurut kemahuan dan kemampuan mereka. Ibu bapa juga terlalu memfokuskan sesuatu aktiviti tanpa mengambil kira perasaan dan bakat yang mereka miliki. Bagi yang mempunyai bakat melukis, mungkin akan memberontak apabila ibu bapanya memaksa memasuki kelas seni mempertahankan diri. Kesilapan lebih besar berlaku apabila ibu bapa tidak memberi pendidikan yang seimbang antara jasmani, rohani, emosi dan mental. Ini kerana ibu bapa hanya mementingkan kemajuan mental hingga melahirkan anak yang cerdas tetapi mempunyai akhlak yang buruk.

7. Memaki hamun dan menegur anak dengan mengeluarkan kata-kata kesat terutama ketika sedang marah. Kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendoakan keburukan si anak setiap kali mereka melakukan perkara yang menyalahi norma. Perbuatan mendoakan kejelikan anak perlu dielakkan kerana dikhuatiri doa itu akan dimakbulkan ALLAH.

8. Tidak menghidupkan keluarga yang sakinah, mawadah dan rahmah. Apabila diperhatikan, walaupun kehidupan sesebuah keluarga itu terasnya adalah Islam, tetapi gaya hidup yang dilalui persis orang bukan Islam. Inilah hasilnya apabila hidup yang tidak bertunjangkan Islam, tidak berteraskan al-Quran dan tidak berpaksikan hadis. Pastinya hari-hari yang dilalui mereka akan berterusan tanpa mengamalkan norma dan nilai Islam yang digariskan.
Ibu bapa yang sebegini akan melahirkan anak yang tidak islamik dan akan menimbulkan pelbagai konflik keluarga yang akhirnya akan merosakkan masa hadapan anak itu sendiri. Kurang menghidupkan sunnah di dalam rumah seperti memberi salam, makan bersama, solat berjemaah dan seumpamanya, hanya membuatkan anak semakin jauh daripada ibu bapa. Pertengkaran juga akan berlaku antara suami isteri dalam sebuah rumah tangga yang tidak dirahmati. Keadaan menjadi lebih keruh lagi apabila pergaduhan berlaku di hadapan anak-anak. Hasilnya, akan menyebabkan anak berasa tertekan dan membenci kedua ibu bapanya.

9. Tidak mengambil berat kepentingan rumah tangga yang memerlukan suasana kondusif, bersih, kemas dan teratur. Suasana rumah tangga yang berselerak dan kotor akibat ibu bapa yang malas dan pengotor hanya akan melahirkan anak yang pemalas dan selekeh. Rumah tangga yang tidak kondusif juga akan menutup ruang untuk anak mengembangkan potensi dan bakat sedia ada.
10. Kurang mengawasi aktiviti anak sama ada di dalam ataupun di luar rumah. Misalnya, ibu bapa kurang mengawasi rancangan yang ditonton sama ada melalui pawagam, televisyen, video ataupun internet, menjadikan peluang untuk mereka terdedah kepada budaya kuning atau liar menjadi lebih besar.

Ini kerana, rancangan daripada pelbagai media ini banyak menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan memakai pakaian yang tidak menepati syarak. Kesilapan akan berterusan apabila ibu bapa menyerahkan tugas mendidik anak kepada pembantu rumah yang tidak membesarkan mereka dengan nilai-nilai Islam (jika dia tidak beragama Islam). Oleh itu, ibu bapa harus memastikan anak benar-benar terdidik dengan didikan Islam kerana hal inilah yang akan menentukan hala tuju kehidupan mereka kelak.

Sinar/-

Tiada ulasan: