10 Februari 2008

Tok Guru :Politik Daya Tarikan Kelantan

KOTA BHARU 9 Feb. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, corak pemerintahan Pas yang berbeza daripada Kerajaan Pusat merupakan salah satu faktor tarikan pelancong asing dan tempatan ke negeri itu.Katanya, perbezaan itu menambahkan keunikan Kelantan selain kelainan cara hidup yang dikaitkan dengan pelbagai bentuk kesenian tradisional dan makanan di samping keramahan penduduknya.




Sehubungan itu , beliau percaya melalui promosi Tahun Melawat Kelantan 2008 dengan pakej-pakej baru yang diperkenalkan, sasaran untuk menerima 5.7 juta akan tercapai.Beliau berkata, sejumlah 5 juta pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Kelantan sepanjang tahun lepas dengan jumlah perbelanjaan mereka mencecah RM1.6 bilion."Saya yakin sasaran tahun ini dapat dicapai berdasarkan kepada perkembangan masyarakat dunia yang ingin melihat apa yang sedang berlaku di Kelantan terutama sistem pemerintahan yang berasaskan Islam," katanya.Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan kempen Tahun Melawat Kelantan 2008 di sini malam tadi.

Sempena pelancaran itu, lebih 40 kumpulan kebudayaan dan kesenian rakyat pelbagai kaum menyertai perarakan mengelilingi bandar ini bagi memeriahkan sambutan.Nik Abul Aziz berkata, bagi mencapai matlamat itu pihak Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan akan mempergiatkan promosi ke beberapa negara Timur Tengah, Belanda dan negara jiran.

Menurutnya sepanjang kempen itu Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan akan menganjurkan pelbagai program bulanan termasuk peringkat antarabangsa terutama pertandingan Go-Kart, pesta wau antarabangsa dan pesta makanan ASEAN.

Menurut beliau lagi, pondok-pondok pengajian agama yang dibina oleh ulama-ulama masa silam bagi mengukuhkan kerohanian rakyat, boleh dikunjungi.''Ratusan kuih muih tradisional, makanan laut dan sifat ramah mesra rakyat, Kelantan dapat memikat hati pelancong menerusi pameran dan persembahan kesenian," ujarnya.

Beliau berkata, kehalusan seni rakyat Kelantan dalam menghasilkan barangan kraftangan yang terkenal seperti batik, kain songket, barangan perak dan pelbagai bentuk wau juga merupakan satu daya penarik. (Sumber : Bernama)

Tiada ulasan: