IPOH, 19 Mac (Hrkh) - "Seluruh rakyat Perak sedang memerhatikan gaya dan cara kerajaan campuran yang diterajui DAP, PKR dan PAS sejauh mana ketiga-tiga parti mampu membentuk sebuah kerajaan berjiwa rakyat".
Demikian ditegaskan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah sejurus mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Kerajaan Campuran Negeri Perak akan menjadi model kepada negeri-negeri lain khususnya yang ditadbir oleh BA dan DAP, kerana itu kepimpinan Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar bersama barisan Exconya perlu menunjukkan contoh terbaik dan memimpin negeri berlandaskan cita-cita dan hasrat kerajaan rakyat.
"Rakyat umumnya sedang menantikan sebuah kerajaan yang adil, mesra rakyat, menentang penyelewengan dan rasuah serta mengutamakan kepentingan rakyat terutama mereka yang kurang berkemampuan.
"Sekiranya ini dapat dilakukan oleh barisan kepimpianan kerajaan campuran di negeri ini, rakyat pastinya merasa gembira dan akan memberikan sokongan sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang," jelasnya
Menurutnya, kejayaan kerajaan campuran mentadbir negeri yang cekap dan baik adalah aset utama yang boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain di kawasan Pantai Barat Sememenanjung Malaysia khususnya yang ditadbir oleh BA dan DAP.
Dewan Pemuda PAS Pusat katanya, menyokong penuh kepimpinan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak dan berharap kerajaan campuran yang mentadbir negeri ini benar-benar melaksanakan pemerintahan yang adil, tidak mengamalkan diskriminasi, memerangi rasuah serta mesra rakyat.
"Saya percaya Ir Haji Mohammad Nizar mempunyai kebolehan untuk memimpin negeri ini kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas sewaktu berkhidmat dengan kerajaan dan juga swasta, di samping itu beliau mempunyai kebolehan menguasai bahasa Cina serta mampu pula memberi tazkirah, boleh menjadi imam dan mengajar agama, inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.
Beliau amat percaya jika kerajaan campuran di negeri Perak ini mampu bertahan lama dengan persefahaman serta kerjasama yang utuh dari ketiga-tiga oparti, Kerajaan Campuran Negeri Perak akan menjadi model kepada Kerajaan Negeri yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan