16 Jun 2008

Sebuah parti komponen akan keluar BN - Ku Li

KUALA TERENGGANU, 15 Jun -Meneruskan siri kempennya di Pantai Timur, Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Buletin online memetik bekas Menteri Kewangan itu berkata dalam jelajah kempennya selepas mengunjungi Terengganu sejak kelmarin, bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.

"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-cawangan Umno Pahang di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sabaruddin Chik.

Sementara itu, dalam program anjuran NGO di Kuala Terengganu, beliau telah menyatakan kesedihannya kerana kesilapan kerajaan telah menyebabkan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura baru-baru ini.

Kelemahan persiapan kerajaan menghadapi perbicaraan mahkamah antarabangsa telah menyebabkan Pulau yang sah dari segi sejarah itu berpindah milik kepada Singapura.
Mwngulas isu berkaitan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan sebuah parti Barisan Nasional (BN) dijangka keluar daripada BN tidaklama lagi.

Sambil menyifatkan berita tersebut hanya khabar angin, beliau berkata, ramalan-ramalan seumpama itu biasanya sering kedengaran di kalangan parti pembangkang dan bukannya di dalam BN sendiri.

“Saya tidak fikir ada (parti komponen) yang akan keluar, sebab semua parti komponen BN sebelum ini telah pun menyatakan kesetiaan masing-masing kepada BN dan saya anggap berita ini hanyalah satu khabar angin,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh semalam yang mendakwa sebuah parti komponen BN akan meninggalkan BN sebelum hujung bulan ini.

Tiada ulasan: