Seminggu sebelum upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing diadakan, Presiden China, Hu Jintao telah mengadakan sidang media dengan wartawan media asing dari 25 buah negara di Beijing. Beliau telah menjawab soalan wartawan mengenai Sukan Olimpik Beijing dan pembangunan sosioekonomi China.
"Sukan Olimpik Beijing bukan kepunyaan rakyat China sahaja, malah kepunyaan rakyat seluruh dunia. Saya mewakili kerajaan dan rakyat China mengalu-alukan kawan-kawan dari seluruh dunia ke Beijing untuk beraksi dan menonton pertandingan Sukan Olimpik, juga wartawan dari pelbagai negara yang akan membuat liputan acara Sukan Olimpik Beijing."
Presiden Hu dengan ikhlas menyatakan bahawa peluang China, negara yang mempunyai bilangan penduduk 1/5 daripada jumlah penduduk di dunia ini, menganjurkan Sukan Olimpik merupakan kepercayaan dunia terhadap China. Ini juga merupakan sumbangan China kepada dunia. Sejak tujuh tahun yang lalu, kerajaan dan rakyat China telah melaksanakan kerja persiapan dalam pelbagai bidang dengan bersungguh-sungguh untuk mengendalikan Sukan Olimpik yang bertaraf tinggi supaya janji China kepada masyarakat antarabangsa dapat dipenuhi.
Usaha Beijing tersebut telah disanjung tinggi oleh pelbagai pihak. Namun, masih terdapat beberapa buah negara yang mahu menghubungkan masalah politik dengan Sukan Olimpik Beijing. Ketika menjawab soalan wartawan dari India tentang masalah ini, Hu Jintao berkata:
"Kami menganggap bahawa mempolitikkan Sukan Olimpik bukan sahaja tidak berfaedah bagi menyelesaikan masalah, malah mengetepikan semangat Olimpik, dan hasrat rakyat sedunia. Akhirnya hal ini juga akan merosakkan pembangunan Sukan Olimpik.
"Kami menganggap bahawa mempolitikkan Sukan Olimpik bukan sahaja tidak berfaedah bagi menyelesaikan masalah, malah mengetepikan semangat Olimpik, dan hasrat rakyat sedunia. Akhirnya hal ini juga akan merosakkan pembangunan Sukan Olimpik.
Sukan Olimpik merupakan arena bagi atlet dari pelbagai negara untuk mendapatkan penghormatan dan menjadikan impian mereka kenyataan. Rakyat dari pelbagai negara akan meningkatkan hubungan dan perasaan saling memahami melalui Sukan Olimpik. Hasrat kami hanya satu sahaja, iaitu menjayakan Sukan Olimpik Beijing supaya rakyat sedunia menikmati suasana kemeriahan dan mengembangkan semangat Olimpik bersama-sama."
Isu tentang pengaruh Sukan Olimpik terhadap ekonomi China juga menjadi tumpuan media. Pihak media menganggap bahawa Sukan Olimpik telah mendatangkan peluang yang baik kepada pembangunan ekonomi China. Namun, sejak awal tahun ini, ekonomi China telah menghadapi cabaran yang disebabkan beberapa hal yang diluar kawalan, misalnya, bencana salji dan cuaca yang terlalu sejuk melanda kawasan selatan China pada awal tahun ini dan bencana gempa bumi yang dahsyat yang berlaku di Sichuan.
Walau bagaimanapun, Keluaran Dalam Negara Kasar China pada setengah tahun pertama tahun ini tetap bertambah pada kadar lebih 10%. Namun, berdepan keadaan ekonomi antarabangsa sekarang, cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh ekonomi China turut bertambah.
Ketika menjawab soalan wartawan Reuters tentang kaedah China mengatasi cabaran dari dalam dan luar negara selepas Sukan Olimpik, Hu Jintao berkata: "China akan melaksanakan konsep pembangunan secara saintifik, memastikan pembangunan ekonomi mantap dan mengawal kenaikan harga yang terlalu cepat. Kami akan terus meluaskan pembaharuan sistem ekonomi dan juga sistem politik."
Akhirnya, Hu Jintao menyampaikan harapan yang baik kepada semua atlet Sukan Olimpik. Beliau berkata: "Kami sebagai tuan rumah, berharap semoga atlet dari mana-mana juga negara menunjukkan persembahan yang baik dalam pertandingan nanti. Saya juga berharap atlet China dan altlet negara asing saling mempelajari dan bersama-sama membuat sumbangan dalam usaha mengembangkan Sukan Olimpik."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan