10 Oktober 2008

Menteri Besar perak lawat mangsa ribut

IPOH, 9 Okt :- Allah seakan menguji kesabaran sebahagian penduduk Ladang Felcra Nasharudin, berdekatan Seri Iskandar, dekat sini, selepas memberi mereka ketenangan beribadat pada Ramadhan dan menyambut IdilFitri, kerana kurang seminggu kemudian menghantar “tenteranya” merencatkan kebahagian mereka.



Hari ini Menteri Besar Perak, YAB. Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin telah mengadakan lawatan di tempat kejadian dan mengimamkan sembahyang Maghrib berjemaah seterusnya memberikan tazkirah sebagai perangsang dan semangat kepada semua mangsa yang hadir berjemaah.


Menteri Besar juga menyampai sumbangan dari Kerajaan Negeri Perak kepada semua mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.


Lebih 80 rumah direntap bumbung dan dindingnya oleh ribut dalam kejadian pada Selasa itu. Mengikut beberapa penduduk kejadian itu hanya mengambil masa antara satu dan dua minit sahaja apabila kelihatan kepulan seumpama kabus menerpa ke arap pokok dan rumah, lalu menerbangkan apa sahaja yang berada di laluannya.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu. Sewaktu tinjauan dibuat tengahari Rabu, kelihatan penduduk sedang membersihkan kawasan rumah masing-masing dan ada yang cuba memperbaiki kerosakan rumah dan menyelamatkan harta benda yang masih boleh terpakai.

Pujian juga harus diberikan pada anggota Unit Amal PAS yang berkampung di kawasan kejadian. Mereka membantu seboleh mungkin termasuk menyediakan makanan di kawasan kantin sekolah menengah di ladang itu. Sekumpulan anggota unit amal kelihatan kemudian mengagihkan makan tengahari (nasi) kepada mangsa di rumah-rumah terbabit.

Semasa tinjauan awal dibuat, Setiausaha Akhbar kepada MB Sdr Anuar Hashim dan Pembantu Khas kepada MB Sdr Amran Harun telah mengiringi Setiausaha Politik MB Perak Ustaz Misbahul Munir Masduki untuk menyampaikan bantuan segera Menteri Besar kepada keluarga yang terbabit.

Adalah dianggarkan kerugian melibatkan ratusan ribu ringgit memandangkan bumbung masjid yang baru siap dan belum digunakan juga telah terkopak diterjah ribut itu.

Sumber asal : http://perakdaily.com/

1 ulasan:

Muhammad Fahmi berkata...

beza betul dgn MB UMNO, selalunya geng UMNO ni hanya datang bagi duit utk masuk tv lepas tu berambus langsung tak nampak batang hidung.

saya harap ustaz dengar2 perak fm, nak termuntah saya. semua cerita pasal bekas MB Perak, UMNO Perak, Pemuda UMNO & Puteri UMNO. cadangan saya kerajaan negeri menarik sebarang permit untuk mereka bersiaran atau membuka sebarang premis di tanah Perak.