06 November 2008

MP Pakatan Rakyat keluar dewan bantah Najib kemuka Bajet baru semasa penggulungan Bajet 2009

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang kecewa kerana perangkaan dalam ucapan Najib semalam berbeza dengan perangkaan dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri kewangan September lalu.
Sepatutnya Najib menggunakan masa yang diperuntukkan untuk beliau berucap dengan berbahas Bajet yang diusulkan Pak Lah. Namun semasa masa penggulungan beliau mengumumkan perubahan Bajet 2009 yang telah mengundang rasa tidak puas hati ahli MP Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Tian Chua (PKR-Batu) menyebabkan Pandikar Amin Mulia hilang sabar apabila beliau berkeras mengatakan bahawa ‘bajet baru’ itu melanggar Perintah Tetap 66(1) berhubung pembentangan rang undang-undang bajet.

“Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya.” Ini kata-kata Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak apabila mula membentangkan ucapan sulung penggulungan Bajet 2009 beliau di Dewan Rakyat petang semalam.

Secara tiba-tiba Dewan Rakyat bertukar tegang sambil pembangkang memulaukan sidang ketika Najib, yang mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kewangan lebih sebulan lalu, menyampaikan ucapan sulungnya itu.

Lebih 70 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat atas alasan tidak diberi laluan untuk mengemukakan soalan.Ketegangan bermula kira-kira lima minit Najib mula berucap sambil memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau tidak akan memberi laluan sehingga habis mengemukakan ucapannya.

Makluman itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Parlimen pembangkang.

Kekecohan bermula pada awal sesi penggulungan yang bermula 4.30 petang apabila Najib memberitahu Dewan beliau hanya akan memberi laluan untuk penjelasan selepas membentangkan dasar-dasar untuk menangani masalah ekonomi.

Ini menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan daripada beberapa wakil pembangkang antaranya Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Mahfuz Omar(Pas-Pokok Sena), Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kemudiannya bangun untuk meminta penjelasan sekali lagi daripada Najib sama ada beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk mencelah ketika sesi penggulungan peringkat pertama itu berjalan.

“Biar Menteri jawab, boleh atau tidak kita gunakan ruang untuk berhujah sekarang atau tidak boleh?,” soalnya kepada Najib sambil meminta supaya Najib sendiri yang memberikan jawapan berkenaan.

Najib kemudiannya menegaskan, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian, tetapi hanya selepas peringkat pertama penggulungan itu selesai iaitu apabila beliau selesai membentangkan dasar dan langkah baru yang dicadangkan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi negara.

“Saya ada beberapa langkah yang saya bentangkan. Biar saya bentang dulu kemudian saya bagi peluang. Sekarang ini, Yang Berhormat semua ganggu saya.

“Saya boleh bagi (bagi peluang)… Boleh, kemudian. Tapi tunggu kemudian… Apa yang terdesak sangat ni?” katanya bagi memberi penjelasan kepada Anwar yang ingin mengetahui sama ada beliau akan memberi laluan untuk penjelasan atau tidak.

Pandikar Amin kemudiannya bertanyakan kepada Najib sekali lagi sama ada mahu memberikan laluan kepada Ahli Parlimen yang ingin mencelah untuk meminta penjelasan.

“Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?” soal Pandikar Amin kepada Najib.

Najib menjawab: “Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya.”Dewan Rakyat terdiri daripada 83 ahli pembangkang termasuk dua wakil Bebas.Anwar langsung tidak kembali ke Dewan Rakyat selepas Najib habis berucap.Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen dilihat keluar masuk Dewan.

KOMEN ANWAR

Di lobi Parlimen Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

“Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.“Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.“Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini, katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009 berkata:“Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak.”Katanya, ahli-ahli Parlimen sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkann bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan seolah-olah menidakkan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru, yang lebih relevan.

Ia merupakan ucapan penggulungan pertama bajet bagi Najib selaku Menteri Kewangan. Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang. -dipetik dari malaysiakini