10 Januari 2009
Nik Aziz sokong pulau barangan Amerika
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat menyokong usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan individu tertentu untuk memulaukan barangan buatan Amerika Syarikat dan rakan sekutunya Israel dalam usaha memerangi keganasan rejim itu di Palestin.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai mengajar kuasa besar dunia itu termasuk meminta rakyat negara ini tidak menggunakan dolar Amerika dalam urus niaga mereka.
"Mulai hari ini, kita jangan beli barang-barang mereka dan jangan guna dolar Amerika dalam urus niaga harian," katanya pada ceramah mingguannya di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Beliau berkata, sudah sampai masanya masyarakat dunia ini hari ini mengajar kuasa besar yang angkuh dan menindas negara Islam, terutama dalam menunjukkan sokongan umat Islam dunia terhadap nasib rakyat Palestin yang tertindas di bumi sendiri.
Sebaik selesai mengadakan kuliah Nik Aziz kemudiannya turut melancarkan kutipan derma bagi mengisi Tabung Rakyat Palestin dan memijak poster dan membakar patung Presiden Amerika, George W Bush dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.
Sementara itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mahu rakyat membuat penilaian terhadap berita yang disifatkan menentang gerakan Islam terutama menjelang sebarang pilihan raya.
Lebih 5,000 orang hadir pada majlis kuliah mingguan itu. BERNAMA&mstar