30 Mac 2009

Masa kempen di Bukit Gantang dikurangkan sejam

TAIPING: Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak dibenarkan berkempen selepas 11 malam di kawasan-kawasan luar bandar.

Langkah itu, yang agak berlainan berbanding sebelum ini termasuk ketika pilihan raya umum Mac 2008, diambil dipercayai bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk tempatan.

Bagaimanapun PAS kecewa dengan keputusan tersebut yang dibuat oleh polis.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi berkata, "kami agak kesal dengan keputusan ini."

"Kami dimaklumkan oleh polis bahawa kempen di kawasan luar bandar tidak boleh diadakan selepas 11 malam.

"Alasan yang diberikan ialah penduduk mengadu, mahu tidur awal...tetapi bagi kami, alasan ini sukar diterima," kata beliau yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil PAS ketika ditemui di sini.

Lazimnya kempen dibenarkan dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada membuat aduan, beliau berkata, PAS tidak mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya ada memaklumkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Datuk Mahmud Morsidi.

"Tetapi beliau memberitahu itu soal polis dan saya (Mahmud) hanya uruskan soal penamaan calon," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenainya tetapi ia kemungkinan sebahagian syarat ditentukan oleh polis.

"Lazimnya jika polis keluarkan permit kempen (di bawah Akta Polis) akan ada syarat seperti tempat dan tempoh berkempen.

"Kalau tamat pukul 11 malam, itu tertakluk di bawah kuasa polis.

"Itu memang hak dan kuasa polis, tiada kaitan dengan bidang kuasa SPR," katanya.
Mstar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

di dalam hal pilihanraya ni, saya tak paham, spr dan polis ni porfolio dia macam mana?

kelihatan polis lebih cakap dari spr.
atau diorang ni satu badan, tapi uniform berlainan?