12 Mac 2009

Nizar dijangka rasmi gerak kerja Kelab Penyokong PAS di Bukit Gantang

IPOH, 11 Mac : - YAB. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan merasmikan pelancaran gerak kerja Kelab Penyokong PAS di Parlimen Bukit Gantang pada 15 Mac ini, sekali gus menyuntik semangat ahli kelab di negeri ini untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi mempastikan calon PAS memenangi kerusi parlimen tersebut pada pada 7 April nanti.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Jentera Kelab Penyokong PAS, Khalilul Rahman Adbul samad, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di Pejabat PAS Negeri Perak pagi tadi.

Menurut beliau, pelancaran gerak kerja Kelab Penyokong PAs itu akan diadakan di hadapan Bilik Gerakan Kelab Penyokong PAS, Taman Matang Utama, Simpang, Taiping , bersebelahan Bilik Gerakan MTD Kuala Sepetang bermula jam 11.00 pagi.

Antara pimpinan utama kelab penyokong PAS yang akan berucap di majlis itu, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Negeri Perak, Soorianarayanan, Pengarah Jawatankuasa Operasi Kelab Penyokong PAS yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Perak, YB. Hj. Mohd. Zainudin Mohd. Yusoff, Pengerusi Kelab Penyokong India Pusat, Balasubramaniam dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw.

Serentak dengan itu juga Mohamad Nizar akan melancarkan dana Kelab Penyokong PAS.

"Kita menjangkakan kehadiran tidak kurang 2,000 ahli kelab penyokong PAS dari seluruh negeri Perak," katanya.

Menurut beliau lagi, di bawah pengelolaan Kelab Penyokong PAS, pada hari yang sama akan dilancarkan gerak kerja Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu kemenangan calon PAS di Parlimen Bukit Gantang.

"Saya menyeru seluruh ahli Kelab Penyokong PAS khususnya di negeri Perak untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon dari Pakatan Rakyat, kita mahu buktikan BN tidak lagi diterima di Bukit Gantang, marilah kita bersama sama mentalkinkan BN di bumi Bukit Gantang," tegasnya. Harakahdaily.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

teruskan perjuangan ir nizar