25 Jun 2009

Isu kerajaan haram Perak dibangkitkan di Parlimen

KUALA LUMPUR, 24 Jun : - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa Dewan Rakyat tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjaga kerajaan sesebuah negeri.

Beliau berkata demikian kepada Dr Muhd Puad Zarkasyi (BN-Batu Pahat) ketika membantah isi kandungan perbahasan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mendakwa negeri Perak sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Menteri Besar haram.



Maafkan saya, yang berhormat kerana peraturan mesyuarat 36(2) tidak menjaga dan mempertahankan sebarang urusan yang menyentuh kepentingan kerajaan negeri tetapi hanya hal berkaitan parlimen sahaja," tegasnya.

Lim yang sebelum itu menyentuh mengenai krisis politik yang melanda negeri Perak yang didakwa berpunca daripada 'tiga ekor katak politik'.

Beliau juga menegaskan bahwa kerajaan negeri Perak yang ada sekarang ini adalah merupakan kerajaan yang haram kerana ianya dibentuk melalui kaedah yang tidak mengikut perlembagaan negara.

"Ia dikatakan sebagai haram kerana tidak dibuat melalui cara yang betul.

"Apa yang menghairankan adalah kenapa mereka tidak membuat undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri Perak untuk menafikan Nizar sebagai Menteri Besar?" katanya.

Penasihat DAP itu percaya sekiranya ia dilaksanakan, terdapat kemungkinan Adun-adun BN Perak mempunyai pandangan yang berbeza daripada BN yakni menyokong kepimpinan Nizar.

"BN mesti rela bertemu rakyat dan membuat pilihan raya peringkat negeri Perak kerana mereka merupakan perampas kuasa di Perak," ujarnya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak tidak komited kepada prinsip demokrasi dan etika apabila terdapat dua Menteri Besar, dua Speaker Dun dan sidang Dun.

"Beranikah kerajaan BN memberikan maklum balas terhadap permintaan Pakatan Rakyat yang menuntut agar kuasa memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

"Oleh yang demikian, kita tidak hairanlah apabila terdapat suatu undian yang menyatakan populariti Perdana Menteri hanya sekadar 45 peratus sahaja," demikian ujarnya. Harakahdaily

Tiada ulasan: