21 Jun 2009

Kenapa suami berubah angin setelah berkahwin

Ahmad Baei Jaafar

Kenapa suami tiba-tiba sahaja suka melakukan perkara yang pada peringkat awal perkahwinan tidak melakukannya? Kenapa suami secara tiba-tiba terlibat semula dengan amalan yang telah ditinggalkan sebaik sahaja berkahwin? Jawapannya tentu suami sahaja yang tahu.

Lazimnya isteri dalam keadaan itu tidak banyak soal sebaliknya membiarkan sahaja gelagat suami itu. Padanya kalau perkara itu adalah hobinya tidak boleh dihalang. Tetapi apabila suami sering melakukan amalan itu sehingga mengabaikan dirinya dan rumah tangga, barulah ketika itu isteri bising-bising dan marahkan suami.

Tanpa mencari puncanya, dia terus marah malah sering menuduh suami dengan pelbagai tuduhan liar. Kononnya suami sudah tidak sayangkannya. Malah ada yang menuduh suaminya ada orang lain. Ketika itu, suami tidak diberi peluang untuk menjelaskan sebab musababnya.

Bagi menyelesaikan masalah suka dijelaskan di sini bahawa kehidupan suami isteri yang paling indah hanyalah tiga bulan pertama perkahwinan. Pada waktu itu semua yang dilakukan oleh isteri adalah baik. Begitu juga bagi isteri, apa yang dilakukan oleh suami semuanya baik dan disukai. Walaupun hakikatnya mereka kurang bersetuju dengan perbuatan dan tindakan pasangan masing-masing.

Selepas tempoh itu, suami tidak boleh sabar lagi. Maka dia akan marah kepada isteri jika perkara yang sama terus dilakukan. Pada masa yang sama isteri juga akan marah kepada suaminya jika sikap suami yang tidak disukainya terus dilakukan. Di sinilah bermulanya permusuhan yang kadang-kadang berlarutan.

Sebenarnya, apa yang berlaku selepas itu adalah kerana kesilapan suami yang tidak pandai mentadbir dan mengurus kehidupan mereka. Suami tidak tahu berperanan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Maka suami lambat bertindak sehingga akhirnya nasi menjadi bubur.

Ajaran Islam
Jelas di sini, pasangan yang berkahwin tidak pernah mengambil kesempatan pada saat awal, pada saat semua manis, pada saat masih ada sayang untuk membuat sesuatu bagi membina kekuatan. Sepatutnya pada malam perkahwinan mereka, kedua-dua pasangan itu boleh duduk semeja berbincang dan melakukan akujanji sekali gus menandatangani perjanjian persefahaman (MOU). Antara perkara yang perlu dibincangkan ialah:
1. Apakah sikap kesukaan suami dan isteri
2. Apakah sikap yang tidak disukai suami dan isteri
3. Apakah makanan yang disukai oleh suami dan isteri
4. Apakah makanan yang tidak disukai oleh suami dan isteri
5. Apakah pakaian yang disukai oleh suami dan isteri
6. Apakah pakaian yang tidak disukai oleh suami dan isteri

Setelah mendapat jawapan, senaraikan secara jelas dan buatlah rumusannya. Selepas itu ambillah solusi pada perkara yang ada persamaan. Manakala perkara yang tiada persamaan, pilihlah salah satu yang masing-masing boleh berkompromi. Setelah itu, apa yang dipersetujui itu harus dipatuhi sampai bila-bila.

Selain itu sebagai pemimpin, suami hendaklah tegas mendidik isteri. Apa yang dilakukan isteri dilihat bertentangan dengan perjanjian, apatah lagi yang bertentangan dengan ajaran Islam, hendaklah ditegur segera.

Sebenarnya sikap suami yang membiar perbuatan buruk isteri diulangi beberapa kali akan menyebabkan teguran suami selepas itu tidak berkesan lagi. Oleh sebab itu, teguran mesti segera supaya ada kesan pengajarannya.

Dalam keadaan ini isteri mesti patut pada suami dalam hal yang dipersetujui bersama. Dia perlu sedar bahawa membantah kehendak suami adalah derhaka dan itulah yang boleh membawa pergaduhan rumah tangga. Pada masa yang sama kalau suami yang melanggar peraturan, isteri juga hendaklah secara sopan menegur suami. Isteri juga tidak boleh menangguh untuk menegur kesilapannya.

Jika semua itu dapat dilakukan oleh pasangan yang baru berkahwin, sudah pasti mereka akan mengenali hati budi pasangan masing-masing. Suami pasti tahu apa kesukaan isterinya dalam soal makan dan pakaian. Begitu juga isteri, dia sudah tahu apa yang disukai oleh suami.

Bukan itu sahaja, isteri juga sudah tahu apakah hobi suami sebelum berkahwin, malah sesetengahnya dengan sebab hobi itu jugalah yang menyebabkan mereka dipertemukan. Mungkin mereka sudah berjanji sama ada ingin meneruskan hobi itu atau tidak.

Realiti Pada Hari Ini
Berdasarkan pengalaman lampau, kebanyakan pasangan tidak membuat sebarang perjanjian seperti yang disebut di atas. Lazimnya pasangan itu tidak ambil kisah tentang hal itu, masing-masing bawa diri dengan kesukaan dan hobi masing-masing.

Toleransi, itulah pendekatan yang diambil oleh mereka. Apa yang suami suka, isteri tidak kisah, dan kalau suami tidak suka, dibiarkan sahaja. Begitu juga dengan isteri apa yang diinginkannya tidak pernah diambil tahu oleh suami.

Bayangkan apa yang akan terjadi jika keadaan ini berlarutan bulan ke bulan, tahun ke tahun. Bolehkah mereka hidup bahagia? Ya, kemungkinan kehidupan mereka akan mudah goyah dan lambat laun mereka akan bercerai.

Walaupun mereka sudah mempunyai anak yang ramai, namun kemesraan sudah tidak ada. Suami hendak menegur sikap isteri apa-apa yang tidak disukainya sudah tidak boleh lagi. Isteri juga tidak mampu menyayangi suami dalam keadaan itu kerana dia sudah tidak boleh menghormati suaminya sebagai ketua rumah tangga. Di sinilah berlakunya apa yang dikatakan retak mencari belah.

Hakikat yang Diabaikan
Sebenarnya lelaki apabila berkahwin dia mahu bermanja dengan isterinya dan mengharapkan dimanjai selama-lamanya. Apa yang menjadi idamannya pada waktu itu tidak pernah pudar apatah lagi pada usia tuanya.

Tetapi biasanya suami tidak mampu menyatakan rasa itu kepada isterinya sebaliknya dia mengharapkan isterinya faham rasa itu sendiri. Tetapi isteri mempunyai rasa yang lain, walaupun isteri juga mahu bermanja tetapi ada had tempohnya. Apabila sudah ada anak, tengok sebut kerja dan seumpamanya, maka rasa hendak bermanja sudah tidak ada.

Apabila keadaan ini berlaku, suami rasa kecewa, rasa keseorangan, dan rasa tidak diperlukan lagi. Demi mengisi kekosongan pada diri dan hati maka minat lama akan datang kembali. Kaki pancing akan mula mencari joran, kaki lepak akan bertemu kawan-kawannya. Itulah penghiburnya setelah isteri tidak mampu menjadi penghiburnya lagi.

Jadi, mana-mana pasangan yang menghadapi masalah yang sama, cuba betulkan kesilapan lampau. Isteri hendaklah memahami hati suami dan jangan biarkan jiwanya kekosongan walaupun di saat tua. Tetapi bagi mereka yang baru hendak kahwin, ambillah perhatian kepada semua maklumat di atas, semoga anda bahagia.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah di 6/20/2009 08:14:00 PM

1 ulasan:

lhakim berkata...

nak kena buat mou lah nampaknya nih..